Sunday, 6 July 2014

Bab 1 : BAHASA HATI KITA - REHAN MAKHTAR


Sumber :Google

DADA Que berdebar.  Macam nak patah tulang rusuk.  Hampir sangat dah tu.  Kalau terbenam, pasti dia akan tersadai di hospital. Pasti!  Salah dia ke? 
Ya, memang salah dia agaknya. Dan sekarang ni, tangan dia kemas digenggam jari-jemari halus tu.  Mata yang memandang dia merah padam.  Nampak sedikit berair.  Mungkin kerana terlalu marah. 
Hembusan nafas pemilik tangan halus itu juga menderu kasar.  Menyapa wajah Que yang amat dekat jarak mereka. Hembusan nafas bersatu, hidung hampir bertemu hidung bila pemilik tangan yang sedang marah itu angkat wajah memandang wajah Que yang tinggi itu. 
Garpu  yang digenggam oleh tangan putih yang tercela dengan segaris parut lama tu hanya seinci hampir mengena belakang tangan Que. 
Pantas sungguh dia ni.  Kalau tak ada yang jerit tadi, bocor tangan aku!  Que mengucap dalam hati.  Kecewa bila niat baik dia dibalas begini.
“Jed…”  Suara gadis yang berdiri di antara mereka menyeru perlahan.  Wajah penuh beriak risau. 
“Jed, leave him alone.” Pujuk si gadis lagi bila makhluk yang digelar Jed ini tetap tak berganjak biarpun satu sentimeter. 
Que memang tak tahu nak kata apa melainkan dalam kepala dia panggil makhluk di depan dia ni pengganas.  Macam Israel kejamnya. 
“Jed, bocor tangan orang tu.”  Gadis manis tu merengus sambil menarik tangan Jed. 
“Eh! Kau tepi Lis,” bentak Jed.
“Jed, please...this is not right. Kau nak potong tangan dia dulu baru kau nak lepas?”  Mata gadis yang dipanggil Lis tajam memandang Jed.  Menggeleng.  Sakit jiwa.  Salah sikit aje pun lelaki ni. 
Tapi itulah, Lis bukan tak tahu Jed, kalau dah pegang, selagi tak luka atau nampak darah mengalir, takkan dilepaskan.  Tak tahulah perangai apa yang merasuk Jed ni. 
Yang si lelaki pula, menikus tak bersuara.  Tadi kemain lagi bagi tazkirah pada Jed.  Bila Jed mula mengaum, mulut tu masih lagi bercakap. Tak berhenti bagi syarahan percuma.  Bila sekali Jed nak pasak garpu dekat belakang tangan, diam tak berbahasa.  Namun, riak pada wajah yang sedikit serabut itu tetap tenang.  Buat Lis senyum sendiri. 
“Kau tepi Lis! Let me teach him a lesson, cara cepat nak suruh dia tutup mulut ni!”  Kasar dan keras suara Jed  menepis tangan Lis yang nampaknya dah mengalah. 
Kawasan lepak Orange Range sepi.  Laluan pejalan kaki tu semacam kaku.  Semua orang berhenti melihat drama tak ada pengarah ni.  Semua orang melopong memandang Jed dan Que yang saling bertatapan.  Lama. 
Sekali tengok macam pasangan kekasih sejoli saling merenung sedangkan dalam dada Jed, dah berlahar. 
Dalam dada Que bergelodak.  Rasa nak ditampar, tapi air muka nampak  lembut.  Karang singgah telapak tangan kasar dia tu, ada juga budak ni melekap dekat cermin Orange Range ni. 
“Kalau rasa nak tebuk, silakan…”  Que menggiat. 
“Aku tunggu!”  Suaranya semakin datar dan sinis. 
Dia nak tengok sampai tahap mana berani perempuan ni.  Nampak macam berani tapi Que yakin dalam hati, tiada tindakan akan diambil. 
“Kau jangan cabar...”  Mata Jed dah berair menahan marah. Amaran keras dikeluarkan.  Matanya semakin mencerun tajam. 
“Itu bukan cabar.  Itu aku suruh.  Teruskan.  Aku tak akan repot polis ataupun saman kau...”  Que sengih pada hujung bibir, mahu menaikkan kemarahan Jed. 
Dengar saja pada perkataan polis tu, buat Jed lepaskan tangan Que.  Dia bukan takut tapi malas nak bersoal jawab dengan mak bapak nanti.  Lagipun, tak ada guna dia nak hancurkan tangan lelaki ni di depan orang ramai.  Kalau dekat lorong, memang lunyai dia kerjakan  lelaki ni. 
Marah dia masih tak padam.    Masih meluap-luap sebenarnya.  Apatah lagi marah yang sedia ada pun tak pernah nak reda, ditambah lagi dengan yang ini, entah bila mahu lega hatinya. 
“Kau ingat...”  Jari telunjuk Jed naik tepat pada wajah Que yang tenang, sambil menggosok belakang tangan yang hampir menjadi mangsa.  Dah tu berani pula cabar orang tak betul ni suruh tebuk. 
“Kalau aku jumpa kau sekali lagi...”  Jed ketap bibir.  Menahan geram. 
“…bukan ni penamatnya,” ugut Jed. 
Dia kalih.  Beg galas, case gitar dan juga topi keledar full face itu dicapai.  Langsung dia tinggalkan Lis yang terkial-kial menapak dengan wedges setebal dua setengah inci.  Hati dia membekam.  Kalau bukan sebab Lis jerit tadi, dia pasti berakhir dekat balai.  Sia-sia kena maki dengan abah. 
Tapi, kata-kata lelaki tadi memang dia tak akan lupa buat selamanya.  Wajah selekeh tu juga.  Rasa nak disambar rambut panjang lelaki tu dan digesel muka ke jalan tar yang membahang. 
Que hantar pemergian si gadis dengan pandangan mata.
“Eh, kau okey?”  Teguran suara tu Que jawab dengan gelengan.  Dia kembali duduk.  Malu memang malu bila menjadi tatapan tapi abaikan sudah. 
Dia tarik gelas jus oren di depannya dan disisip kasar.  Sampai kering terus.  Panas hati punya pasal.  Salah ke tegur orang?  Itu pun secara baik dia tegur.  Bukan dia maki pun. 
Ya, dia akui teguran dia agak sinis.  Silap dia barangkali.  Akhirnya, bibir Que menguntum senyuman tipis. 
Dia pegang belakang tangan sendiri.  Masih terasa halusnya telapak tangan tadi.  Biarpun menyentuh kasar tapi kulit itu tak mampu menutup kelembutan yang ada dalam jiwa yang bergelar wanita.  Que menggeleng, cuba menghalau bayangan tadi.  Menakutkan pun ada.  Namun, sebaris parut lama itu menarik perhatian dia.  Budak-budak gangster ke apa? Parut bergaduh?  Tapi…
Que kalih belakang.  Ada lagi kawan perempuan tadi tu menapak perlahan.  Dan motosikal tadi dah hilang daripada pandangan.
‘Tak mungkinlah…’ Hati Que menafikan apa yang dia syak itu.  Tak mungkin.  Kali ini lebih yakin. 
“Terkejut aku weh nampak kau nak kena cepuk tadi?  Itu lelaki ke perempuan?”  ujur Rico laju dengan perasaan ingin tahu yang meluap-luap. 
Panjang aje leher dia intai dua orang yang dah berlalu tu.  Seorang tu nampak cun dan lembut.  Yang sorang lagi muka je lembut dan putih tapi perangai... macam jin. 
“Tak ada apalah, Ric.  My bad.  Aku ringan mulut nak tegur orang.  Padan muka aku...”  Que gelak sendiri.  Memang padan muka dia. 
Tiba-tiba....
Guys… sorry about that ” 
Que dan Rico pandang ke belakang serentak.  Wajah seorang gadis yang menghalang perbuatan Jed tadi tersenyum di depan mata.  Rico telan liur.  Mula nak menggatal.  Boleh tahan.  Dia jeling Que yang sedang buat muka. 
“Tak apa.  Salah saya.”  Que mengaku dengan rendah diri. 
Dia pun kena ubah perangai.  Jangan semedang aje suka tegur orang.  Bukan adik-adik dia pun. 
Normally she’s okayMaybe it’s time of the month, ada konflik dalaman sikit.  Biasalah tengah-tengah bulan ni, kan…”  Lis sengih.
Harap sangat dua orang lelaki di depan dia ni tak fikir bukan-bukan pasal Jed.  Perempuan biasalah kalau datang bulan.  Konon.  Dia pun main serkap jarang aje.  Janji Jed tak didendami. 
“Itulah enjoy sangat.  Gaji tengah bulan dah habis…” 
Lis geleng dengan tangan mengawang menafikan.  Salah faham dah ni.  Penyampaian dia tak berkesan ke? 
“Bukan itulah.  Dia tu anak orang senang.  Duit bukan masalah tapi masalah perempuan.  Biasalah…”  Lis senyum tipis.  Malu.
Rico angguk.  Baru mengerti.  Que hanya mendengar tenang.  Malas nak menyampuk.  Hinggalah Lis minta diri nak balik barulah dia angguk sedikit dan melemparkan senyuman.
Take care,” pesan Que tawar. 
Lis angguk dan terus berlalu bila ada sebuah Audi 4 terparkir tepat di depan Orange Range. 
Semua anak orang kaya.  Bisik hati Que dan, tak tahu kenapa dia memang berdoa moga ada lagi pertemuan dia dengan manusia tadi tu.  Nak tengok apa jenis perhitungan  yang bakal dibuat.  Ego dia pun berdiri pada kedudukan tersendiri. 
Permulaan pertemuan tadi diimbas kembali. Telinganya terasa panas tatkala mendengar suara lembut tu mengutuk mak bapak sendiri.  Mana boleh macam tu?  Tak tahu ke mak bapak tu yang bawa kita ke dunia?  Ini dok canang satu dunia tentang aib orang tua sendiri?  Anak orang ke, anak jin?
Mula-mula dia biarkan.  Lama-lama makin giat pula manusia di belakangnya tertawakan mak sendiri.  Ada ke patut?  Dia pun tak adalah nak prihatin sangat, tapi dia sayang mak.  Ini perempuan...
Rico pula masih beratur kat dalam untuk dapatkan oder.  Que kalih belakang sikit.  Nak juga dia lihat empunya suara tu.  Dia kerut kening.  Eh, biar betul.  Bila dia pandang betul-betul, lelaki? Eh? 
Nafas tenang dihela.  Que kalih separuh wajah.  Telinga dia masih dipasang rapi. 
“Gila mak bapak aku, aku balik lewat semalam tak bagi masuk rumah.  Dia suruh aku tidur bawah jambatan.  Tak sayang anak ke apa?”  Jed menggeleng di depan Lis. 
“Apalah nasib aku ni ada mak bapak macam tu?  Kut ya pun tak sayang…”  Suara si gadis merendah. 
“…tak payah halau.  Aku tahu mereka tak pernah sayang aku.   Kalau nak sangat, aku boleh keluar.” 
“Jed, mungkin kau balik lewat sangat... mak bapak mana tak marah...” sahabat di sebelah membantah sikit. 
“Eh! Lis, aku balik lewat pun aku tahu jaga diri.  Aku ada kerja.  Bukan aku suka-suka nak keluar.  Nak harapkan dia orang, mati kering sekor-sekorlah aku dalam rumah tu...”  Jed dah merengus.  Gelas di depan di tolak kasar.  Sikit lagi nak tertonggeng gelas plastik tu. 
Menggeleng Que dengan jawapan yang dia dengar.  Ini tak boleh jadi.  Lidah dia dah ringan nak bersuara.  Dari tadi dia tahan. 
“Tak baik kutuk orang tua sendiri.  Derhaka tu namanya...”  Lembut dan datar aje dia  menegur.  Seperti mana dia tegur adik-adik dia selama ni.  Tak ada istilah sinis atau sindir.  Dia ikhlas mengingatkan sesama manusia. 
Jed berpaling pantas. 
“Kau cakap dekat siapa tu?” 
Que sengih.  Langsung tak berpaling pada Jed. 
“Aku tegur pada saudara seagama aku.  Tak elok kutuk mak bapak.  Jangan kata kutuk, ada niat tak elok pun dah berdosa.  Baik balik minta maaf...”  tambah Que. 
“Sebelum terlambat…”  Dia sengih.  Sempat lagi tu. 
Asap panas dah keluar daripada hidung Jed.  Dia bangkit dan mendekati Que yang tenang melarikan jari telunjuk di atas tablet 10.1 tu.  Layan internet cari kerja baru memandangkan kerja  yang sedia ada kontrak dah hampir tamat. 
“Kau cakap dekat aku ke?”  soal Jed yang sudah berdiri tegak di sebelah Que.
Que panggung kepala.  Pandang wajah Jed lama.  Erm... perempuan.  Tapi rambutnya, sikit lagi nak nampak kulit kepala yang bahagian tepi tu.  Mujurlah atas tu panjang juga.  Rambut dia lagi panjang. 
Mata Que turun pada pakaian.  Jeans skinny, kasut Supra warna hijau epal, jaket kulit yang separuh dizip dan celak hitam yang pekat melingkari kelopak mata.  Jumpa malam hari, sah dia lari laju-laju. 
“Kau pandang apa?”  Jed menyergah. 
Que tersentak.  Dia senyum.  Ikhlas juga kali ni. 
“Anggap ajelah itu nasihat.  Aku cakap perkara baik. By the way, tak elok kau buruk-burukkan mak bapak kau kat diri sendiri apatah lagi depan orang. Dosa.  Apa  yang pasti, berdosa kutuk orang tua kita.” Dia kembali tunduk pada tablet di tangannya. 
Dada Jed dah rasa nak pecah.  Dia memang pantang kalau ada orang tegur apa yang dia buat.  Selama dia dewasa ni, dia pandai jaga diri biarpun dia macam ni.  Dia tak pernah bonceng mana-mana jantan macam perempuan-perempuan bajet ayu kayu tu.  Dia sendiri-sendiri aje.  Selama ni dia dengan Lis aje.  Tak pernah terfikir nak buat kerja tak ada maruah.
“Kau siapa nak tegur aku?”  bentak Jed.
Dan, tak ada siapa pernah faham apa dia rasa selama duduk dalam rumah banglo besar tu.  Orang lain sewenang menegur tapi tak pernah merasa. 
Que senyum sinis. 
“Kan dah cakap tadi, aku saudara seagama kau...”  Selamba Que menjawab.   
“Tuhan suruh kita jauhkan diri daripada neraka, jangan sengaja nak tempah kelas pertama pulak sebab derhaka dekat mak bapak," bidas Que bersama jelingan, mengilas manusia yang kabur identitinya.
Tangan Jed dah ringan.  Dia pandang Lis tapi Lis melarang dengan riak mata.  Mata Jed mengerling sudu dan garpu yang ada di hujung meja kafe Orange Range ni.  Silap percaturan, tangan dia akan bergerak mendahului suara.
“Kau jaga diri kau, aku jaga diri aku. Jangan nak sibuk hal orang.  Kubur masing-masing!”  herdik Jed. 
Dia kalih.  Tapi tak sempat nak berlalu, Que bersuara  lagi.
“Memanglah kubur masing-masing tapi buatnya takdir Tuhan tu jadikan kau jiran orang alim masa alam kubur nanti, buat bising aje kau menjerit dalam kubur sedangkan orang lain nak rehat aman damai....”  Mendatar Que bersuara tapi pedasnya, hampir melecur lidah Jed.
Serta-merta, dengan begitu pantas tangan halus Jed mencengkam tangan kanan Que.  Sebelah lagi tangan Jed menarik garpu dan terus diangkat tinggi hendak dibenamkan pada belakang tangan Que.
“Jed!!!”  Jeritan Lis menghentikan perbuatan Jed. 
Nafas kasar dia dan Que bersatu.  Masing-masing kaku dalam pandangan yang panas. 
“Senyum je, Que?”  Teguran Rico mengembalikan Que ke alam nyata. 
“Kau dah kenapa?  Dekat nak kena luku dengan perempuan pun kau boleh senyum?  Kalau aku...”  Suara Rico mati.  Dia menggeleng memandang Que.  Memanglah dia ni cool tak bertempat.  Rico mencebik. 
“Sebab aku bukan kaulah, aku senyum,” bidas Que. 
Dia sabar orangnya.  Dia memang sabar.  Selama dia hidup dua puluh sembilan tahun ni, tak pernah dia marah kalau kata adik-adik dia mengamuk.  Kalau kata ibu membebel pun, dia tetap diam.  Paling tidak pun, dia senyum.  Lepas tu, kalau tak tahan sangat dengar bebelan, dia tidur.  Bangkit aje ibu dah ajak makan.  Suasana kembali pulih. 
Tapi, itu dulu masa zaman gila-gila remaja.  Sekarang dia bukan lagi remaja.  Dia seorang dewasa yang penuh dengan tanggungjawab yang tergalas pada bahu. 
Heh?  Kau ni... perasan cool sungguh,” perli Rico. 
“Dah aku memang cool...”  Que senyum sendiri. 
“Nak kata apa, kan?”  Kening Que naik. 
Mata dia masih terbayang-bayang dengan kemarahan pada wajah putih bersih tu.  Wajah yang dihiasi satu parut kekal di atas kening.  Terbentang sepanjang satu inci tu.  Tangan juga berparut.  Tak tahulah kesan apa.  Rasa nak tahu pula dah. 
“Tapi, kan... kenapa kau tak sepak aje dia tadi?” 
“Nak sepak kenapa?”  Wajah Rico dijeling. 
“Salah aku.  Tegur orang pepandai aje.  Bajet adik orang tu adik sendiri...”  Kesal juga Que tadi. 
“Sayang... jadi macam tu.  Jadi musuh pulak.”  Que kalih pada Rico dah sengih. 
“Dia nampak cantiklah tapi... Eeeiiii... Meremang aku tengok.  Macam zombie.  Tak hingin aku...”  Takut sungguh tadi Rico tengok perempuan tu.  Garang nak mati. 
Hey, aku tak kata dia cantik okeyIn fact, aku memang tak nampak dia cantik pun, kecuali sangat kurang ajar,” ujar Que. 
Dia gelak halus.  Menggeleng kesal tak habis-habis.  Tiba-tiba, jadi serik nak tegur orang tapi entah kenapa, dia  memang tak boleh dengar orang kutuk mak bapak.  Tak senang duduk dia.  Nak jadi penyelamat dunialah konon.  Sekali… bertemu buku dengan ruas. 
Keluhan dilepaskan.  Que angkat tubuh yang tinggi lampai tu.  Dibetulkan sedikit urat saraf.  Rasa kejang otot diserang tadi.  Rasa lagi hangat pegangan tangan perempuan tadi.  Dipegang pergelangan tangan seketika sebelum disuakan tablet Samsung tu pada Rico semula.  Tak jadi nak intai kerja baru.  Mood dah terbang melayang.
“Aku balik dulu.  Karang ibu aku bising pulak,” ujar Que pada Rico. 
“Lepak dulu…”  Terkebil-kecil mata kawan yang baru nak suap fries ke mulut.  Cinabeng kongkang punya Que.  Dia ajak kita, dia nak blah dah. 
Que yang dah berjalan ke arah motor EX5nya itu melambai tanpa berpaling.  Kasihan Rico tapi dia sebenarnya dah letih.  Lepas kerja sedia ada, berkejar buat kerja part-time pula.  Balik tidur, rehatkan minda dulu.  Moga Allah bukakan pintu rezeki buat dia. 
Sedang elok dia melalui meja yang diduduki oleh perempuan tadi, kaki Que tersepak sesuatu.  Dia pandang ke bawah.  Nampak macam wallet?  Sungguh ke?  Que tunduk menggapai.  Kemudian, badan dia tegak kembali.  Memandang tenang pada barang yang dah ada di atas telapak tangan. 
Sungguh!  Wallet.  Nak buka ke tidak?  Dia berbelah bahagi.  Tapi, dia  yakin ini perempuan cap singa tadi punya.  Bila kalih belakang, Rico ralit pandang tablet.  Sudahnya, Que letak wallet itu ke dalam poket jeans.  Biar dulu di situ dulu untuk sementara waktu. 


Looks like we will be seeing each other again,  hati Que senyum tipis.  Bibir dia terjongket ke kiri sedikit. 


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget