Thursday, 3 July 2014

Bab 2 : AKU BUKAN TOUCH & GO - Qahiera Izma

Sumber :Google


PAGI-PAGI buta aku terima panggilan daripada mak.
“Piah, ada perubahan rancangan petang ni.”
“Mak tak jadi datang ke?
“Tak.”
            Tak semena-mena aku  buat lompat bintang. Mujur tak terlucut tuala yang membalut tubuh. Punyalah gembira hati ni, Tuhan saja yang tahu. Aku kawal suara supaya tak kedengaran riang di talian. Fuh! Leganya rasa hati bila dengar mak cakap macam tu.
            “Zarin Sofea.”
            Aku berdeham berkali-kali bila dengar mak memanggil aku di dalam talian. Cepat-cepat tukar ton suara. Aku ni sebenarnya baru selesai mandi. Rambut pun belum sempat kering lagi. Dengan tuala yang semakin longgar ikatannya, aku cat walk hingga depan meja solek. Kemudian buat kerut-kerut muka. Nak mulakan babak lakonan dengan mak ni!
            “Kenapa tak jadi datang?
            Pura-pura bengang tapi mulut ni dah tersenyum lebar. Berus rambut aku ambil lalu kusisir rambut yang masih basah. Sebelah tangan memegang ikatan tuala yang hampir terlepas.
            “Memang tak jadi datang rumah kau. Tapi mak nak kau bawa dia datang sini.”
            “Hah?”
            Terus terlucut tuala yang aku pegang. Terlepas sekali bersama handphone yang  terpegang di tangan. Terkial-kial  aku membungkus badan semula. Talian pun dah terputus sebab telefon terjatuh tadi. Tapi tak sampai seminit menjerit lagi telefon tu. Aku tak terus jawab. Tapi  aku ketuk-ketuk telefon tu ke dahi. Aduh! Kenapalah mak ni suka menyusahkan hidup aku? Tak boleh ke kalau aku hidup dengan aman walaupun sehari?
Telefon dah senyap. Tapi aku yakin benda alah tu akan berbunyi lagi. Dan seperti yang aku sangka. Telefon aku menjerit lagi. Menggigil tangan aku nak tekan butang hijau.
                        “Piah.”
“Orang tengah dengarlah ni mak.”
            “Nanti bawa kawan kau tu datang sini. Kita makan malam sekali. Jangan lambat pulak. Dengar tak?”
                        “Hmm...”
            “Apa dia?”
            “Yalah mak. Orang dengar.”
            Cepat-cepat aku tekan butang merah. Tak sanggup dengar suara mak lagi. Tak boleh jadi ni. Aku kena pergi cari Ikmal. Cepat-cepat aku pakai baju dan capai kunci kereta. Cari Ikmal? Cari Ikmal ke cari Nas? Ah, aku nak cari Ikmal. Ya, cari Ikmal. Tanpa sebarang mekap, aku cuma mengenakan blaus tanpa lengan dan jeans lusuh. Lantaklah! Apa yang penting sekarang aku mesti dapatkan Ikmal. Apa jadi sekali pun dia mesti jumpa mak dan abah hari ini.
            Baru saja undur kereta keluar dari pintu pagar, kereta Lily pula tiba. Aku cuma turunkan tingkap. Tak ada masa nak bersembang dengan dia. Lily pun buat  perkara yang sama. Tapi  belum apa-apa lagi dia dah tayang  muka pelik. Peliklah sebab  aku jarang  pandu kereta sendiri. Selalunya dialah yang jadi  supir terhormat aku.
            “Nak ke mana ni?” tanya Lily.
            “Nak pergi cari Ikmal. Kau pergi butik, tunggu aku kat sana.”
Aku terus tekan pedal minyak. Tak kuasa nak  dengar Lily membebel. Mujurlah jalan raya pagi tu tak berapa sibuk. Dah lepas peak hour, patutlah. Tak sampai lima belas minit aku dah  berada di depan rumah Ikmal. Aku nampak kawan dia sedang cuci motor. Aku kenal dia ni. Polis trafik yang paling poyo pernah aku kenal. Muka tak reti nak senyum. Masam aje dua puluh empat jam.
            “Zahril, Ikmal ada?”
            “Ikmal tak ada. Dari malam tadi belum balik lagi.”
            Jawapan Zahril buat lutut aku lemah. Mana aku nak cari dia?
            “Dia pergi mana?”
            Zahril tak menjawab. Dia cuci tangan yang bersabun dan buka pintu pagar. Dia datang dekat. Muka Zahril nampak macam sedang merahsiakan sesuatu.
            “Rin, buat masa ni jangan cari Ikmal.”
            Aku pandang Zahril. Dia faham aku mahu penjelasan yang lebih lanjut.
            “Dia sedang buat tugas penyamaran.”
            “Di mana?”
            “Maaf, aku tak boleh beritahu. Dan sebenarnya memang aku  sendiri pun tak tahu.”
            Jawapan Zahril langsung tak membantu. Mata aku dah rasa panas. Sebelum aku meraung depan Zahril lebih baik aku beredar. Aku  cuba memahami situasi kerja Ikmal sebagai anggota polis. Tapi yang aku tak faham, takkan Ikmal langsung tak tinggalkan apa-apa pesanan pada kawan-kawan dia. Sebelum aku tekan pedal minyak, sempat lagi aku jerit pada Zahril.
            “Awak tahu tak rumah keluarga Ikmal?”
            “Tahu, tapi tak guna awak ke sana sebab keluarga dia pun tak tahu tentang ni.”
            “Kalau saya nak alamat rumah aje, boleh?”
            Zahril tak menjawab. Dia cuma senyum. Fahamlah aku makna senyum tu. Tak gunalah aku mencuba. Melayan kawan Ikmal yang poyo ni makin buat aku sakit hati. Aku balas senyum Zahril tanda aku akur dengan jawapan dia tu. Senyum pun sekadar buat syarat, jangan dia cakap aku sombong aje. Ah, kalau dia nak cakap macam tu pun aku peduli apa? Aku nak kahwin dengan Ikmal, bukan dengan dia, kan?
            Aku tekan pedal minyak menghala ke butik Nas. Dah tak ada pilihan. Terpaksa jugalah gunakan khidmat agar-agar tu. Tapi bersyukur jugalah sebab Nas sanggup tolong. Kalau terpaksa kahwin dengan dia pun, sekurang-kurangnya aku kenal hati budi dia. Dalam pada tengah serabut ni, sempat jugalah aku sengih sekejap. Bayangkanlah kalau aku dan Nas betul-betul kahwin. Nas pakai baju melayu dengan selendang warna pink di leher. Bibir bersapu lipgloss. Silap-silap haribulan pengantin lelaki lebih anggun dari pengantin perempuan. Awww!
Tak pasal-pasal aku gelak melambak dalam kereta. Mujur tak berhenti kat traffic light. Kalau tidak, orang ingat aku gila. Ah, lantaklah. Memang dah nak gila ni. Ketika aku sampai di butik Nas, dia sedang sibuk fitting baju baru pada dummy. Lily pun ada situ. Bobby pula sibuk mekapkan model-model sambilan untuk photoshoot majalah.
            “Amboi, awalnya datang. Dah tak sabar nak jumpa bakal suami ke?”
            Aku pandang Lily. Laju aje minah kenit tu tekup mulut. Tahu pula takut dengan  kelancangan mulut sendiri. Dengan jelingan tajam, aku baling kunci kereta pada Lily. Terkial-kial dia menyambut balingan itu.
“Banyaklah kau punya bakal suami. Pergi tunggu dalam kereta. Aku tak letak kupon tu. Kalau kena saman, siap kau.”
            Lily keluar dari butik sambil menghentak kaki. Proteslah tu. Entah apa yang dia bebelkan, aku pun tak dengar biji butirnya. Lantaklah. Dia kan PA aku. Perhatian aku tumpukan pula pada Nas. Dia masih sibuk mengerjakan  dummy sejak tadi.
            “Nas, ada perubahan sikitlah untuk program petang ni.”
            Aku senyum sikit bila Nas pandang aku sekilas.
            “Ikmal dah sanggup nak jumpa mak kau ke?”
            Aku geleng perlahan. Nas tarik jarum peniti yang sedang digigit. Dia betulkan lilitan selendang yang terlondeh di leher.
            “Mak kau dah tak kisah kau nak kahwin dengan siapa pun?” Nas meneka lagi. Aku pun  geleng untuk kali kedua. Serentak dengan itu Nas mendengus kasar.
            “Habis tu apa perubahan programnya? Kau jangan cakap sangkut-sangkut boleh tak? Aku banyak kerja ni!”
            Terkejut aku bila Nas baling aku dengan kapur kain. Marah pula. Dia tahu angin dia aje. Dia tak tengok lagi angin aku macam mana. Sabar Zarin Sofea, jangan melenting. Karang dia tarik diri, habislah aku. Masa dah makin suntuk ni.
“Mak aku suruh pergi rumah dia.”
                        “Itu aje?
            Aku angguk sekali. Nas kerling aku. Kemudian dia pandang Bobby. Bobby cuma balas dengan cebikan. Eee, menyampah pula aku tengok gelagat diaorang. Nas kembali ligat menghias dummy. Hasil sentuhan tangannya memang menakjubkan. Ramai artis yang dah menggayakan rekaannya. Dan aku antara yang paling bertuah sebab terpilih menjadi model tetap di butiknya.
            “Bagi aku alamat rumah mak kau.”
            “Nak buat apa? Kau datang ajelah rumah aku. Kita pergi sama-sama.”
            Nas dah mula cekak pinggang. Zarin Sofea, sila siapkan telinga.
            “Kau suruh aku tolong kau, kan?”
            Aku angguk.
           “Kau nak aku menyamar jadi boyfriend kau, kan?’
            Aku angguk lagi.
           “So, jangan banyak songeh. Aku nak kau SMS  alamat rumah mak kau. Lepas tu kau pergi balik. Benci betul aku tengok kau pakai macam ni. Dengan muka pucat, macam orang kurang darah. Tengok kulit  tangan tu. Eee, kasar betul? Rumah kau dah tak ada  losyen ke? Tercalar imej aku sebagai bakal suami tau!”
            Bobby gelakkan aku. Makin panjang muncung aku bila model-model yang lain pun ketawa sekali walau pun tak tahu hujung pangkal perbualan aku dan Nas. Aku ambil pen yang selalu Nas guna untuk melakar. Terjerit-jerit Nas melarang aku tulis alamat rumah mak di atas kertas lakarannya. Tapi aku peduli apa? Sakit hati tau!
            “Kurang asam kau Rin! Aku tak nak datang petang ni.”
            Sempat lagi Nas ugut aku. Terbantut kaki nak melangkah keluar. Aku tenung  Nas. Dia balas balik.
            “Kalau kau tak muncul depan rumah aku tepat pukul enam, aku bakar butik ni.”
            Sekali lagi diaorang gelak. Aku tinggalkan Nas yang terjerit-jerit memaki aku kat dalam butik. Lily yang setia di dalam kereta segera keluar bila nampak aku laju aje menuju ke arah tempat letak kereta.
“Kau jangan lupa ingatkan agar-agar  tu datang rumah aku pukul enam petang ni.” Aku mengingatkan Lily.

Dia terangguk-angguk laju. Terus terkunci mulut bising dia bila aku dah meroyan. Destinasi seterusnya, rumah. Aku perlu masa untuk tenangkan diri sebelum pergi ke rumah mak petang ni. Dalam pada tu, usaha menghubungi Ikmal masih aku teruskan. Tapi usaha hanya tinggal usaha. Aku dah mati akal. Maka secara rasminya, terpaksalah aku teruskan juga rancangan tadi. Nas akan jadi  boyfriend olok-olok aku.

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget