Sunday, 6 July 2014

Bab 2 : BAHASA HATI KITA - REHAN MAKHTAR



PENING kepala Lis dengan gelagat Jed.  Macam lipas kudung.  Sesampainya tadi, Jed terus keresahan.  Apa yang tak kena, dia pun tak tahu tapi macam mencari sesuatu.  Digagau poket jeans, poket jaket dan juga bawah seat motor.
“Kau kenapa wei?”  Lis langgar bahu Jed sedikit. 
“Aku kena balik!”  Wajah Jed dah cuak.  Dia pandang Lis yang dah sedia memegang helmet. 
What?”  Mata Lis bulat. 
“Kita dah lambat ni, Jed…”  Keluhan kecewa terbit daripada celah bibir tipis Lis yang berkilat dengan lipstick merah jambu. 
I have too.  Wallet aku tertinggal dekat rumah.  Dengan lesen segala.  Duit tak ada, tak apa lagi.  Lesen dengan IC aku, itu memang tak boleh…” 
Yalah, buatnya terjumpa dengan polis ke apa, naya aje.  Pihak polis bukan boleh tengok muda-mudi bawa motosikal. Mulalah nak tahan.  Tak ada salah pun dicari kesalahan itu.  Nak-nak ada yang salah.  Tapi, dah itu kerjanya.  Nak-nak malam minggu ramai budak-budak muda buat onar tengah kota.  
“Dah pulak?  Kalau macam tu, aku pergi dengan teksi jelah…”  Lis hulur semula helmet pada Jed.  Kecewa. 
Dia dah berjanji nak tiba di konsert gig kawan lama dia awal-awal.  Dah lama tak jumpa.  Sekali Jed potong jalan pula.  Dahlah payah nak cari masa lapang Jed ni.  Busy semedang
Sorry, Lis.”  Jed sengih.  Manis. 
“Kau jalan dulu.  Aku follow kemudian…”  Jed dah sarung helmet pada kepala. 
Enjin motor Kawasaki Z250 berwarna hitam dan merah hati yang tak dimatikan tu memudahkan dia meneruskan perjalanan tanpa menanti Lis bersuara. 


JED garu kepala yang tak gatal.  Rasa nak tersiat dah kulit kepala.  Satu bilik dia sepahkan.  Kak Zah yang memandang pun dah naik pelik.  Apalah yang disepahkan tu?  Baru aje dikemas tapi bersepai lagi.  Menggeleng Kak Zah melihatkan pada perlakuan Jed. 
“Jehanna cari apa?”
Jed tak kalih seinci pun.  Dia tarik laci.  Dia selak cadar.  Dia angkat bantal.  Dia sepahkan segala pakaian kotor yang baru dikutip oleh Kak Zah.  Dia campak semua pakaian bersih yang baru dilipat oleh Kak Zah di atas katil. 
Wallet Jed hilang la.  Kak Zah ada nampak tak?”  Mata terus meliar mencari. 
Kak Zah, orang gaji harian keluarga mereka.  Datang dua kali seminggu membantu bersihkan rumah bila mummy sepanjang hari sibuk di butik.  Abah pula busy dengan kayu golf.  Tak pun dengan business partner.  Atau juga projek baru dan juga dinner dengan orang kenamaan. 
“Masa Kak Zah kutip baju kotor tu, tak ada pulak ternampak.  Dalam almari pun tak ada.  Tak tahulah kalau Kak Zah terlepas pandang,” jawab Kak Zah sambil membantu Jed mencari. 
“Adui… macam mana ni…”  Jed pegang kepala. 
Sakit tiba-tiba.  Duit tak kisah.  Kad bank pun tak susah mana.  Telefon aje bank terus boleh dapat baru.  Tapi, kad pengenalan tu yang penting.  Tak ada IC semua benda tak menjadi. 
“Tercicir tak?”  duga Kak Zah. 
Jed pandang Kak Zah.  Kepala dia memikir.  Agak-agak kat mana?  Bawah seat motor pun tak ada.  Habis tu…
“Dah ingat?” 
“Orange Range!”  tempik Jed.  Dia ketik jarinya yang runcing. 
Aduh.   Kalau betul tercicir dekat situ, orang yang jumpa tak reti nak pulangkan ke?  Pulangkan wallet tanpa duit pun tak apa.  Janji dokumen penting semua ada. 
“Semalam Jed lepak Orange Range dengan Lis.  Mesti jatuh dekat situlah tu…” 
Ya, dia baru ingat.  Dia letak aje atas meja lepas buat bayaran.  Lepak, makan dan minum, tapi malang tak berbau datanglah pula.  Kena sound berdas-das.  Bernanah telinga dia.  Sampai hari ni pun bengkak lagi rasanya.  Mujur tak pekak. 
Boleh jadi masa dia tarik helmet, wallet tu jatuh ke bawah dan dia pun menonong berlalu sebab marah.  Dan bila dia ingatkan kembali lelaki itu, membahang kembali dada.  Dia masih ingat dengan baik wajah selekeh tu.  Rambut panjang tutup mata.  Jeans lusuh tak ingat.  T-shirt pudar kemain.  Ada hati nak tegur orang jalan lurus kalau diri sendiri pun senget. 
Laa… dah tu, cuba Jehanna pergi semula tempat tu.  Kut-kut orang kedai tu tolong simpankan ke,” suruh Kak Zah. 
Jed menggeleng.  Kata hati dia mengatakan, kirim salam ajelah pada wallet kulit Levi’s edisi terhad tu.  Memang selamatlah.  Jual wallet tu saja dah dapat beberapa ratus.  Mujurlah duit ada berapa puluh aje lepas dia beli case gitar baru. 
“Biarlah, Kak Zah… Jed nak tidurlah.”  Sedih punya pasal, niat nak ikuti konsert gig luntur begitu saja. 
Biarlah Lis seorang diri.  Bukan tak biasa.  Hanya dia aje baru pertama kali nak jejakkan kaki.  Kawan lama pula tu.  Lis yang merayu-rayu dan sehabis daya dia mencari ruang dan waktu untuk ikut serta.  Kalau tidak, haram dia nak pergi.  Bukan tempat dia biarpun perangai dia sendiri mengalahkan jin.  Dia dah tak ada mood.  Kalau pergi dia perlukan dokumen tu semua.  
“Dah lewat petang ni, jangan nak tidur,” larang Kak Zah memandang Jed yang dah menekup wajah dengan bantal. 
“Sebelum Kak Zah balik, kejut Jed,” arah Jed perlahan. 
Ingatan dia kembali pada peristiwa semalam.  Buatnya mamat tu jumpa, memang mati dia. 
“Erm… nanti kita makan sama.  Mummy Jehanna balik lewat malam ni.  Dia pesan pagi tadi.” 
Jed mencebik sendiri.  Mummy?  Boleh ke dipanggil mummy pada Ku Zarina tu bila dah hampir sebulan dia tak bersua empat mata dengan wanita tu? 
Hanya beberapa malam lepas, dia terserempak dengan mummy semasa dia masuk rumah pada jam 4.00 pagi.  Tapi, itu pun dalam gelap.  Dan, mummy bising amat kata dia buat rumah macam hotel. 
Keluar tak ada berita, balik pun sama.  Kalau kat luar, tak dapat dikesan langsung.  Bukan nak tanya khabar sepatah.  Sungguh buat Jed resah.  Masalahnya, pernah ke mummy atau abah bertanya khabar dia semasa dia di luar?
Tak ada.  Tak pernah!  Juring matanya terasa basah. 


AIR yang dah tinggal separuh tu disisip lagi. Que  bagaikan menanti seseorang tiba di Orange Range.  Malam-malam begini ramai budak-budak motor lepak.  Tak nampak pula dia.  Hati berbisik.  Mata Que masih liar melilau.  Tak datang kot…
“Que, air kau…” Pekerja Orange Range datang meletakkan segelas air pada Que.  Que angkat wajah.  Nak tanya ke tidak, nak tanya ke tidak...
“Eh, kau tahu budak perempuan Gothic tu tak?”  Akhirnya terluncur jua soalan. 
Qimi buat muka pelik. 
Gothic?  Siapa?”  Ini pertama kali Que tanya pasal perempuan sejak dia kenal Que datang melepak dekat sini. 
“Ala… yang pakai celak hitam legam tu.  Skinny, apple green Supra,” beritahu Que memberi bayangan pada Qimi. 
“Alaa… yang nak tikam Que dengan garpu hari tu,”  sampuk Rico pula sambil tergelak-gelak. 
Makin berkerut wajah Qimi. 
“Kau nak kena tikam?  Biar betul ni, Que…” 
Macam tak percaya aje.  Jejaka idaman di Orange Range nak kena tikam?  Dan itu pun oleh seorang perempuan?  Pandangan Qimi penuh syak.  Tak percaya.  Perempuan mana yang tak pandang Qalam Azad dengan dua mata ni?
“Ala… abaikan,” putus Que. 
Dia capai gelas Nescafe ais dan terus di bawa ke bibir.  Straw entah ke mana.  Senang, biar dia teguk aje. 
Dah beberapa hari dia datang tapi bayang Dian Jehanna Puteri langsung tak nampak.  Lepas 48 jam dan itu pun dia jenuh bertanya pada ibunya, tak apa ke buka barang orang dengan niat nak tahu pemilik.  Risau. 
Bila ibu benarkan, barulah Que buka.  Kotlah ada rahsia besar, tapi memang rahsia besar.  Sangat besar.  Bulat jugalah mata dia melihat pada sekeping gambar dalam wallet kulit itu.  Siapa sangka, pemilik nama Jed yang dia dengar daripada mulut kawan gadis tu mempunyai nama sebenar yang sangat cantik. 
‘Dian Jehanna Puteri.’  Hati Que menyeru tanpa sedar. 
Habis tu mana datang panggilan Jed?  Kalau kata panggil Dian… Jehanna… Puteri ke, kan manis?  Logiklah juga dengan nama dia.  Tapi, sesuai ke dengan penampilan dan perangai dia tu?  Que senyum sinis.  Tak perasan yang dia sedang diperhati. 
“Kau ni dah kenapa, Que?”  Soal Qimi.
“Angau?”  Tokok Rico. 
Que gelak.  Dia raup rambut panjangnya ke belakang.  Nak kena potong dah ni.  Kerja site dah siap.  Beberapa hari lagi kena masuk office pula.  Rambut dah kena kemas.  Kerja sebagai penyelia tapak projek memang penat.  Gaji tak seberapa pun. 
Bilalah dia nak dapat kerja yang sesuai dengan kelulusan yang dia ada?  Dia nak juga merasa tapi tak bermakna dia tak bersyukur dengan apa yang dia ada sekarang.  Lagipun, tak lama lagi kontrak dia akan tamat.  Jadi penganggur lagilah nanti.  Allah… resahnya hati dia.  
“Angau apa pulak?  Aku ada perhitungan akhir ni…” 
Rico dan Qimi kerut kening. 
“Kau jangan cakap nak tumbuk dia pulak…” 
“Laa… kau juga dengar dia kata kalau dia jumpa aku lagi, ending dia bukan macam tu.  Aku pun ada pride aku juga.  My male ego, she didn’t get to know it yet,” ujar Que, saja nak kenakan kawan-kawan depan mata.  Nampak sangat nak menyibuk. 
“Aku rasa aku tahu siapa dia…” Qimi jongket kening. 
Que panggung pandangan.  Tepat merenung mata Qimi dalam samar-samar cahaya.  Rico hanya diam menanti bicara Qimi.
“Dia selalu dengan kawan perempuan dia yang cantik dan lemah-lembut tu, kan?  Selalu kelek helmet full face.  Tak pun case gitar?”  Duga Qimi tepat. 
“Jaket kulit hitam?”  Kening Qimi terangkat dua-dua.
“Yeah… 100%.” Rico petik jari. 
Que senyum senget. 
“Kalau kau nampak dia datang, bagi ni pada dia.”  Que hulurkan sekeping kertas pada Qimi. 
Tertera sebaris nombor di atasnya.  Nombor telefon dia.  Tanpa nama.  Bila Qimi nak tulis nama, Que melarang.  Tanpa sebab, yang pastinya.  Biarlah nombor telefon itu tanpa namanya.  Walaupun itu nombor dia. 
“Kau berdendam dengan dia ke, Que?”  Risau sungguh nada suara Rico. 
Yalah, buatnya sungguh Que nak balas dendam sebab malu, dia tak boleh biarkan.  Tercalar kredibiliti seorang Que ni. 
“Mana adalah. Aku ada hal sikit…”
“Apa?”  Serentak Qimi dan Rico menyoal. 
Kening Que naik sebelah. 
“Urusan aku dengan dia, korang nak masuk campur buat haperDok tepi, tengok sudah.  Belajar dari yang pakar,” ejek Que.  Dia sengih. 
Heh?  Kekdahnya?”  sinis Qimi.
“Nak mengayat ke apa?”
Que diam.  Malas nak menjawab.  Tengok orang lagi seronok.  Macam-macam perangai ada depan mata dia ni.  Ramai perempuan malam minggu ni.  Melepak dengan teman lelaki masing-masing. 
Ada tu lagi sopan daripada Jed.  Cantik bertudung tapi sayang, bonceng lelaki tak halal tambah pula lepak dari malam membawa ke pagi.  Ada masanya, rasa elok lagi Jed, tapi Jed tu pun macam dah terpesong.  Sayang betul. 
“Tapi, kau mana pernah ayat awek.  Awek ayat kau pun, kau buat muka sardin ketat dalam tin je,” tokok Qimi. 
“Ha’ah... betullah tu.”  Rico pula menyokong. 
“Awek kemain cantik datang ayat The Tall-Dark-Handsome Qalam Azad bin Azmi ni pun, kau boleh buat tak tahu aje,” usik Rico lagi. 
Hakikat sebenarnya.  Semua orang yang biasa di Orange Range tahu tu.  Que yang sangat dingin dan jual mahal. 
Que buat muka jijik.  Tall? Dark?  Handsome?  Dia ke?  Kalau dark tu memang pun.  Berpanas setiap hari, siapa tak hitam?  Tall?  Bolehlah dikatakan tinggi edisi jejaka Malaya asli.  Handsome?  Orang kata cukuplah sedap mata memandang. 
Fairytale sangat kau ni, Rico.  Umur dah dekat jadi bapak budak, hidup dalam angan aje kau,” sinis Que pada Rico.   
Tapi Rico hanya gelak, memang itulah gadis-gadis yang selalu melepak di Orange Range ni kata.  Hero novel versi nyata -  Que. 
“Lagipun, aku tak suka perempuan kejar aku.  Dan aku pun tak kejar perempuan.  Aku nak tunggu sampai masa Tuhan tu hantar seseorang untuk aku,” sambung Que tenang. 
Entah, dia sendiri tak pernah fikir sejauh tu tentang hubungan dia dengan perempuan.  Tak sempat nak fikir.  Otak dia dah sarat dengan perkara lain. 
Wah! Wah!...Kau ni dah tersuka dia tu ke, Que?”
“Kau ni mimpi, ya?” bidas Que geram. 
Ada ke dia boleh duga aku suka perempuan macam Jed tu?  Tak pitam ibu aku, aku yang demam.  Tapi, dalam hidup kan, segalanya mungkin.  Ibu pun ada juga tanya, bila nak berumah tangga?  Dia tiada jawapan.  Apa yang pasti, dia tak sedia lagi. 
“Pitam ibu kau nanti, Que…”  Qimi gelak. 
Que senyum tipis.  Kaki kanan di bawah meja menindih peha kiri.  Jari-jemari menggendang meja besi warna chrome di depan mata. 
“Ibu aku tak pitam, tapi aku takut dia tu yang pitam lepas jumpa ibu aku,” balas Que.  Dia sengih penuh makna.  Makna yang dia sendiri pun tak temui lagi.
Mata mengerling jam Adidas hitam di pergelangan tangan.  Dah lewat.  Dah hampiri 12.00 tengah malam.  Nanti ibu kunci pintu, tidur luar dia malam ni.
“Aku gerak dulu korang.”  Que angkat tubuh
“Qimi, ingat tu… bagi aje.  Don’t you dare say a word,” pesan Que pada Qimi.  Laju Qimi angguk.  Patuh.  
Langkah kaki Que laju menuju ke motosikal.  Motosikal hadiah daripada arwah ayah masa dia dapat masuk universiti dulu.  Dah bertahun tapi dijaga rapi.  Kenangan terakhir arwah ayah. 
Tanggungjawab dia besar sekarang.  Ada lagi seorang adik di sekolah menengah.  Nak ambil SPM tahun ni.  Seorang di universiti dan seorang lagi di matrikulasi.  Semua tu perlukan belanja.  Ibu hanya ambil upah jahit baju dengan mesin jahit lama tu.  Beli yang baru pun, ibu sayang nak lepaskan yang lama tu.  Apa yang dia nak kata? 
Lagipun, ibu bukan kuat lagi.  Nak bersengkang mata, menyulam, menyembat, memotong dan macam-macam lagilah.  Que pun tak tahu  urusan jahit baju ni. 
Gaji dia pun dihabiskan pada keluarga.  Belanja rumah, adik-adik, untuk ibu, bayar kereta,  yang selebihnya simpan sikit untuk masa depan.  Sebab tu dia pilih untuk buat kerja part-time kalau berkesempatan.  Lega sikit kalau ada apa-apa kecemasan, ada duit lebih. 
Enjin motor dihidupkan.  Helmet dipakai kemas.  Wallet yang disepaknya beberapa hari lepas ditarik daripada dalam poket jeans.  Sekali lagi dia pandang gambar kad pengenalan milik Jed.  Bibir Que herot dengan senyuman.  Lain sungguh dia dalam ni.
‘Dian Jehanna Puteri binti Megat Johari.’ Hati Que menyebut nama tu sekali lagi. 
Ada alamat rumah tapi Que tak ada niat nak pergi hantar sampai ke rumah pun.  Kalau kata Qimi tak dapat jejak Jed juga, Que akan pos saja wallet tu pada tuan punya badan. 
Lepas tu, tangan dia menarik sekeping kad berwarna putih.  Assistant Project Manager.  MJ Bina Sdn. Bhd.  Berpendidikan, berkerjaya… tapi kenapa dia pilih kehidupan macam tu?  Dah senang sangat ke?  Ke itu sisi gelap dia?  Que geleng kepala.  Cepat-cepat dia simpan wallet tersebut dalam poket belakang jeans

Minyak dipulas.  Lipat maut sikit, terus dia menderum laju mencari arah pulang. 


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget