Saturday 5 July 2014

BAB 9 - AKU BUKAN TOUCH & GO - QAHIERA IZMA

SEHELAI demi sehelai isi majalah itu aku selak. Tak ada satu pun fesyen rambut yang berkenan di hati. Aku pandang tukang gunting yang sedang berdiri di belakang aku. Dia senyum sambil angkat kening.
            “Sudah pilih?” tanya amoi  kening nipis tu.
            “You  kasi potong pendek. Tapi buat macam Korean short hair style.”
            Amoi tu senyum dan angguk kepala. Dia dah mula menyikat rambut aku yang panjang mengurai tu.
            “Potong pendek? Kau biar betul Rin. Lusa dah nak jadi pengantin, bising Nas nanti.” Lily mengingatkan aku.
            “Eh, apsal pulak dia nak bising? Rambut aku, aku punya sukalah!”
            Aku jeling Lily. Dia pula yang  lebih sudu dari kuah!
            “Aku ingatkan aje. Cik abang  kau tu kaki membebel. Nanti takut bernanah pulak telinga tu nanti,” kata Lily.
            “Eh! Tak ada sebab dia nak  bebelkan aku, ya? Mak bapak aku pun tak bising, dia pulak yang nak sibuk pasal gaya dan penampilan aku apahal?”
Aku pandang Lily melalui pantulan cermin besar. Dia senyum sambil angkat bahu. Tergeleng-geleng kepala dia.
“Aku peliklah dengan kau ni. Kau yang minta tolong Nas, bantu kau berlakon jadi suami olok-olok. Tapi aku tengok kau asyik cari pasal aje dengan dia,” ujar Lily
“Entahlah Lily. Aku rasa aku dah mula keliru dengan rasa hati aku ni.”
“Keliru? Apa maksud kau?” tanya Lily.
Aku diam kejap sebab amoi tu nak mengerjakan rambut aku di sebelah kiri. Tak feel kalau bersembang tak nampak muka. Dalam diam tu aku fikir sejenak. Patut tak aku berkongsi rasa hati aku ni dengan Lily? Selama ini pun, Lily memang banyak menyimpan rahsia peribadi aku.
“Kau masih harapkan Ikmal ya?”
Pertanyaan Lily buat aku tersentap. Tapi aku tak boleh nak tengok muka dia sebab amoi ni tengah gunting rambut sebelah depan pula. Nak tak nak terpaksalah tutup mulut sekejap.
“Aku takut nanti Ikmal fikir aku curang.” Aku menjawab sebaik saja dapat tengok semula muka Lily. Bila sebut pasal Ikmal, mata aku ni mesti rasa berpasir. Tolonglah mata. Janganlah menangis di sini. Malu dengan amoi Cina tu nanti.
“Kau tak beritahu Ikmal ke tentang rancangan kau ni?” tanya Lily.
“Bila masa aku nak beritahu dia? Semuanya datang mendadak. Masa mak aku suruh kenalkan calon menantu hari tu, masa tu jugalah Ikmal ada hal. Kau nak aku buat macam mana lagi?”
“Shhh! You duduk diam-diamlah liang moi. Nanti tergunting You punya telinga saya susah ooo!”
Kan, dah kena tegur dengan amoi Cina tu. Aku jeling Lily yang tersengih tengok aku. Aku pejam mata dan bagi peluang pada tukang gunting tu selesaikan kerja dia. Lepas bergunting, cuci rambut pula. Lily sampai terlelap di sofa. Dah macam rumah dia pula dibuatnya. Kurang lima belas minit lagi satu jam, aku keluar dari salun. Ringan rasa kepala dengan gaya rambut baru yang lebih kemas.
“Rin,” panggil Lily.
Dia tiba-tiba kaku berdiri di depan pintu kedai. Matanya terarah pada seseorang di tepi jalanraya yang agak sibuk. Aku tanggalkan cermin mata gelap dan cuba amati sesusuk tubuh lelaki yang sedang mendaki tangga jejantas. Kunci kereta terlepas dari tangan. Aku yakin  mata aku tak salah pandang.
“Ikmal! Mal! Tunggu!”
Aku dah tak pedulikan orang kiri kanan. Laju kaki aku menuruni mata tangga dan berlari ke tepi jalan raya menuju ke jejantas. Hari ini aku nekad, aku akan dapatkan kata putus dari Ikmal. Aku lupa terus pesanan dari Ikmal dulu.
“Ikmal! Tunggu Ikmal!” Aku jerit lagi.
Jarak aku dan dia cuma beberapa ela aje. Tapi Ikmal langsung tak menoleh. Aku sangat pasti yang aku tak salah orang. Cara dia berjalan memang jelas menunjukkan dia Ikmal, buah hati yang dah lama aku rindui. Langkah aku dah mula perlahan. Mana nak larat kalau berlari dengan kasut tumit tinggi. Mujur jugalah tak terpelecok.
“Mal! Please Mal, jangan buat Rin macam ni.”
Aku dah penat. Sudahnya aku terduduk di tengah-tengah jejantas. Aku cuma mampu memandang  Ikmal yang makin jauh. Saat ini aku sudah tak mampu bertahan lagi. Empangan air mata yang dah lama aku tutup kini melimpah. Aku menangis semahu-mahunya. Dah tak peduli dengan orang yang lalu lalang di depan aku.
“Mal, sampai hati buat Rin macam ni!” Aku meruntun lagi.
Aku pandang Lily yang baru tiba. Tercungap-cungap minah  kenit itu. Dipegangnya kedua-dua belah bahu aku.
“Sudahlah Rin. Tak guna kau menangis,” ujar Lily.
“Tapi aku sayang dia Lily! Aku tak mahu dia tuduh aku tak setia. Aku tak mahu dia tuduh aku curang. Aku nak Ikmal, bukan Nas.” Aku meraung lagi.
“Shhh…perlahanlah sikit suara tu. Malu kat orang lalu-lalang ni,” tegur Lily.
“Ah! Pergi mampuslah semua orang ni. Selama ni aku asyik fikir pasal orang aje. Tapi hati aku ni, ada tak orang lain fikir?”
Tegang urat leher aku menjerit di tengah-tengah jejantas ni. Tapi aku puas. Biar semua orang tahu yang aku tengah menderita. Lily cuba menyabarkan aku. Aku tak nak Lily yang pujuk. Aku nak Ikmal.
“Ikmalll!!!”
Lily tepuk dahi  dengan perangai aku.
“Jangan terkejut ya. Dia tengah practise untuk filem baru. Tajuknya Air mataku Gugur Di Jejantas,” kata Lily.
Dia senyum-senyum kambing  pada orang yang lalu lalang. Aku sambung meraung lagi. Sedih benar rasa hati ni. Kalau ikutkan hati tadi nak aje aku baling kepala Ikmal dengan kasut. Biar dia tersungkur.  Senang tak payah aku kejar dia. Aku tanggalkan kasut bertumit runcing di kaki. Lily melopong tengok aku. Buruk benar aku tengok rupa dia. Aku kesat air mata dengan hujung baju Lily. Makin besar lopong mulut dia.
“Jom balik.”
Aku menonong pergi. Berkaki ayam saja. Lily panggil pun aku buat tak dengar. Bila ada orang yang berselisih dengan aku dan pandang semacam, aku jeling orang tu balik.
“Apa tengok-tengok? Tak pernah tengok orang lawa jalan tak pakai kasut ke?
Seronoknya dapat herdik orang. Padan muka! Siapa suruh pandang?
“Jangan layan dia bang. Hari ni Hari Otak Kejang dia,” kata Lily pula.
Aku toleh belakang, tengok Lily. Dia tutup muka dengan kasut bila aku menjeling tajam. Sedap mulut dia saja cakap aku macam tu. Walaupun tapak kaki aku rasa panas, tetap tak sama panasnya dengan hati aku sekarang. Sampai saja di kereta, aku minta kunci kereta pada Lily.
“Bagi aku drive.”
Lily pandang aku. Dia macam tak percaya dengan aku.
“Boleh ke kau bawa dalam keadaan macam ni?” Lily tanya aku.
“Keadaan apa? Kau ingat aku mabuk ke? Aku masih waras lagilah. Kau fikir aku tak sayang ke dengan nyawa sendiri? Bagilah kunci tu cepat. Pedih  tapak kaki aku ni.”
Banyak songeh lagi. Kan, tak pasal-pasal dah kena sembur.
“Kita nak pergi mana ni.” Sekali lagi dia bertanya. Budak ni, ada yang kena sumbat mulut tu karang!
“Duduk ajelah diam-diam. Apsal, kau takut aku bawa kau lari pergi Siam?”
Lily tersengih. Sudahnya dia duduk bersandar. Amboi, macam bos pula! Aku tekan punat radio dan pulas punat volume  sampai habis. Lily tutup telinga, tak tahan dengan suasana bingit di dalam kereta. Sebenarnya aku pun tak suka dengar radio kuat-kuat. Tapi aku tengah tension sekarang ni. Aku tak tahu nak luahkan macam mana. Risau, sedih, geram, takut, semua ada. Berserabut kepala aku. Menyesal pula tak suruh amoi tu gondolkan saja kepala aku tadi. Biar botak licin macam Ikmal.
Ikmal? Lelaki itulah yang buat aku jadi macam ni. Lelaki itu jugalah yang menyebabkan aku buat tindakan bodoh untuk berkahwin dengan Nas. Tiba-tiba Lily matikan suis radio. Dia pandang aku dengan muka masam.
“Kalau ya pun tengah stress, bukan macam ni caranya. Boleh pekak telinga aku tau tak? Orang kalau fikiran tengah serabut ni, bawa-bawalah istighfar. Ini tidak, terjerit-jerit macam orang hilang akal. Kalau aku jadi Ikmal, aku pun lari tengok kau macam ni. Dah macam orang  kalah perang.”
Fuh, sedapnya Lily bebelkan aku. Tapi masuk akal juga apa yang dia cakap. Jadi baik aku diam ajelah. Penat juga menjerit-jerit ni. Aku berhenti di stesen minyak sekejap. Tangki dah hampir kosong. Aku hulur duit pada Lily. Malas aku nak turun. Biar dia  yang isi minyak. Aku pandang kereta–kereta lain yang sedang beratur menunggu giliran. Ada sebuah kereta yang aku kenal di antara deretan kereta itu.
“Itu macam kereta Zahril.” Aku cakap sorang-sorang.
Tak lama lepas tu aku nampak tuan punya kereta sedang isi minyak. Memang sah, itu Zahril. Tapi apa gunanya aku jumpa dia? Makin menyakitkan  hati aje nanti. Dalam pada tu aku nampak Lily melambai-lambai aku kat dalam Kedai Mesra. Apa hal pula dengan Lily ni?
Terpaksa jugalah aku keluar  dari kereta. Pakai selipar aje sebab malas nak sarung kasut tumit tinggi tadi. Terasa macam pendek pula bila pakai selipar.
“Kenapa?” Aku tanya dia.
“Beg duit  aku tertinggal kat rumahlah,” jawab Lily perlahan.
“Eh,  kau keluar merayap dengan aku  tak  bawa kad pengenalan? Habis tadi tu,  kau  bawa kereta? Tak ada lesenlah  ni?” Buntang mata aku  tengok minah  kenit ni. Tak semenggah  betullah  dia ni. Kalaulah jadi  apa-apa tadi, tak pasal-pasal aje  mati  katak.
“Ada, semua tu  aku  letak  dalam   card holder. Beg duit  aje yang tertinggal,” jawab Lily lagi. Dia dah menyeringai suka. Aku lepuk bahu dia. Cakap ajelah yang  dia nak  ‘pau’ aku. Banyak pula ceritanya.
“Sekarang  ni  kau  nak  aku  buat apa? Kan aku dah bagi  duit tadi?” Saja buat-buat tanya. Padahal aku dah nampak  beberapa bungkus makanan  ringan  di tangan Lily. Sengaja nak  bagi dia sengsara sekejap.
“Duit tu nak  bayar minyak. Ni ha, tolong bayarkan jajan aku ni.” kata Lily.
“Kau tu kalau keluar dengan aku memang memanjang lupa bawa duit aje, kan?”
Padan muka dia kena balik dengan aku. Kalau punggung tu boleh ditanggal-tanggal pun boleh  lupa agaknya. Aku hulur beg duit aku pada Lily, lepas tu cepat-cepat keluar dari kedai yang sesak itu.
“Zarin Sofea!”
Aduh, tak boleh nak mengelak dah. Bertembung  juga dengan Zahril. Dia pandang aku dari kepala sampai kaki. Pelik sangat ke tengok model pakai selipar Jepun?
“Hai  Zahril.” Aku  sapa juga walaupun aku memang  tak  berselera nak tengok  muka  poyo kawan Ikmal ni.
“Hai, dengar cerita dah nak naik pelamin.Takkan tak ada kad jemputan untuk kawan-kawan kut?” Zahril mengusik. Ada senyum sinis di muka dia.
“Eh, ada kat dalam kereta tu. Nanti saya ambil,” jawab aku dengan selambanya.
“Awak pergi dulu, saya nak beli barang kejap. Nanti saya pergi kat kereta awak,” balas Zahril.
Aku bergegas ke kereta sebaik saja dia masuk ke dalam. Ambil kad jemputan yang Nas beri semalam. Aku sendiri pun tak tengok lagi macam mana rupa kad jemputan tu. Kalau bukan sebab nak bagi kad pada Zahril, mungkin aku biarkan saja kad tu reput di dalam kereta. Tapi kan, cantik juga kadnya. Ada gambar aku dan Nas. Pandai pula Nas letak warna kegemaran aku, baby blue.
“Lamanya tenung kad tu. Rindu kat pengantin lelaki ke?”
Laju tangan aku tulis nama  Zahril di atas kad. Nak cover  rasa terperanjat sebenarnya. Leka membelek kad sampai tak perasan bila masa pula dia dah ada di sebelah kereta. Tanpa sampul, aku hulur kad yang dah bertulis pada Zahril. Polis trafik berpangkat Koperal itu membaca sepintas lalu saja. Sambil dia menyimpan kad di dalam beg selempang, dia senyum sinis pada aku.
“Tak sangka ya?”
“Tak sangka, kenapa?” Aku tanya balik.
“Punyalah ramai lelaki dalam Malaysia ni, dia ni juga yang awak pilih,” jawab Zahril.
“Apa salahnya dengan dia? Sekurang-kurangnya dia ada bila diperlukan!” Aku bidas semula cakap Zahril.
Hati ni macam nak panas balik. Kecil besar saja aku tengok housemate Ikmal ni. Mulut dia  sampai senget-senget  nak perli aku. Macam bagus sangat! Muka dia memang poyolah!
“Kesian Ikmal. Kalau awak nak cemburukan dia pun, carilah yang keras sikit. Saingan dia ni tak mencabar langsung.” Zahril perli aku lagi.
Lily dah  kembali masuk ke kereta. Dia cuma mengangguk tanpa  menyampuk perbualan aku dan Zahril. Aku pula, rasa macam nak  sodok mamat ni dengan muncung kereta. Meluat betul tengok muka dia.
“Tak kisahlah dia keras ke, dia lembik ke. Yang pasti dia tak tinggalkan saya  dan tak main-mainkan perasaan saya.” Aku cuba pertahankan Nas.
“Mana awak tahu Ikmal tinggalkan awak? Cuba beritahu saya, Ikmal atau awak yang main-mainkan perasaan orang? Lain kali fikir dulu sebelum bercakap. Awak tak tahu apa yang Ikmal lalui sekarang jadi jangan cepat sangat nak menghakimi dia.”
Amboi, apahal nak tinggi suara kat aku ni? Dia  fikir perasaan kawan dia saja. Perasaan aku ni, apa cerita?”
“Zahril, memang saya tak tahu apa jadi pada Ikmal sekarang. Tadi saya nampak dia di Taman Maluri. Bila saya panggil, dia buat tak tahu. Sekarang cuba cakap dengan saya, sampai bila saya nak menunggu buah yang tak jatuh?”
“Ini bukan masalah buah, Zarin. Masalahnya sekarang, awak tak setia. Awak musnahkan kepercayaan Ikmal. Dua tahun awak bina impian dengan dia, tiba-tiba awak runtuhkan macam tu aje. Awak ni…”
“Cukup Zahril! Itu bukan masalah awak. Dia yang terlalu berahsia dengan saya. Kalau betul saya ni kekasih Ikmal, kat mana dia sekarang? Saya tak kisah dia nak pergi ke mana pun kalau segala-galanya bersangkut-paut dengan kerja. Tapi sekurang-kurang  bagi saya tanda yang saya ni masih milik dia. Bukan dibiarkan terkapai-kapai macam ni!”
Alahai, mata ni nak berair pula bila tiba topik macam ni. Zahril nampak macam tak puas lagi nak berdebat dengan aku. Sebelum dia tembak aku lagi dengan ayat-ayat pedas, lebih baik aku pergi dulu.
“Jangan lupa datang ke majlis kami nanti. Kalau awak jumpa Ikmal, sampaikan salam terakhir saya pada dia.”
Aduh, sakitnya nak cakap macam tu. Seperti  mencabut kaca yang tertanam di tangkai hati. Masuk saja dalam kereta, terus aku pecut keluar dari kawasan stesen minyak. Lily yang menjadi saksi drama sebabak tadi, cuma diam. Aku pandang dia yang nampak muram.
“Woi, aku yang sedih, apa pasal muka kau pulak yang macam orang kena senggugut?” Dia pula jadi mangsa jerkahan aku.
Lily senyum kelat.  Perlahan-lahan tangan kanan dia menepuk  peha kiri aku.
“Aku tahu kau tengah serabut dan sedih Rin. Banyak-banyak bersabar ya. Apa-apa pun, aku sentiasa di belakang kau,” kata Lily.
Lega sikit bila dengar Lily cakap macam tu. Sekurang-kurangnya ada juga yang faham hati aku waktu ni. Aku pandang jam atas dashboard. Dah pukul lapan. Sejak petang tadi kitaorang belum makan apa-apa. Lily pegang perut sambil senyum sumbing. Macamlah aku tak faham yang dia dah kebulur.
“Jom kita pergi makan Rin. Malam ni aku belanja kau. Sempena menamatkan zaman gadis yang berakhir dalam masa empat puluh lapan jam aje lagi.” Lily ketawa mengekek.
Aku juihkan bibir. Dia ni nak kata dah tua, umur belum cecah tiga puluh pun. Dia lupa ke yang dia tak bawa beg duit?
“Kau nak belanja aku dengan apa? Air liur? Atau lepas makan nanti kena basuh pinggan kat dapur. Kau nak bayar dengan apa nanti? Ada duit?”
Aku jeling minah kenit tu. Tergaru-garu, dah macam kerang busuk.
“Alamak, aku lupalah beg duit aku tertinggal. Tak apa, aku pinjam duit kau dulu. Kira macam aku belanjalah. Cukup bulan kau potonglah gaji aku,” ujar Lily.
Aku senyum lebar dengan cadangan dia. Baru aje nak fikirkan tempat nak makan, telefon aku berbunyi. Aku suruh Lily tolong jawabkan.
“Naslah Rin,” kata Lily.
“Bagi sini.”
Aku sumbat earphone di lubang telinga.
“Helo Nas, aku tengah drive ni. Jom keluar makan, nak? Aku tunggu kau kat restoran belakang istana negara tu. Cepat tau.”pulak
Aku terus letak telefon sebelum Nas berceloteh lebih panjang. Lily pandang aku. Apsal pula minah kenit ni pandang macam tu? Macam tak pernah dengar aku cakap telefon dengan Nas.
“Mimpi apa tiba-tiba ajak Nas keluar makan? Dia kan tak suka kalau aku ada sekali.” Lily buat muka cemberut.
“Tak ada mimpi apa-apa pun. Saja nak ajak dia makan sekali.”
Selamba aje aku jawab. Aku sedang melatih hati aku ni supaya terima Nas. Bukan terima Nas sebagai pengganti Ikmal. Tapi sebagai bakal pengantin supaya tak nampak terlalu canggung nanti. Yalah, sampai bila nak  buat hati kering aje dengan dia kan? Lagipun aku yang  suruh dia tolong. Tak salah rasanya kalau aku bagi sedikit kerjasama.
“Kalau dia cakap apa-apa nanti kau diam aje,” pesan aku pada Lily.
Sejak kemalangan hari tu, Nas dan Lily dah macam kucing dan anjing. Ada saja benda yang Lily buat, tak kena pada mata Nas. Minah kenit ni pun satu hal. Tak bolehlah Nas tegur sikit, dia punya melenting macam kucing hilang anak. Habis keluar semua kuku dan taring.
Nas sampai lima belas minit lepas kami order makanan. Aku dah boleh agak, pasti muka Nas berubah bila nampak Lily.
“Aku ingatkan kita dating berdua aje. Menyibuk aje orang tu.” Nas cebik bibir.
Lily buat bodoh. Dia layan Guess the Emoji  lagi bagus. Nas menghenyak punggung  di sebelah aku. Bukan main menjeling lagi dia pada Lily.
“Dah order ke?” tanya Nas.
Eh, dia senyumlah! Aku ingatkan masih nak tarik muka masam lagi. Aku senyum balik pada dia. Belum sempat nak menjawab, minuman kami pun sampai.
“Eh, siapa yang order kan air ni? Kau ya?” Nas pandang Lily.
“Hei, tolong sikit! Tak kuasalah aku. Kalau aku yang order, aku minta sky juice aje untuk kau!” Lily bidas cakap Nas.
Dia tak pandang pun muka Nas sebab dia masih leka melayan game. Nas pandang aku. Adoi, mata dia! Dia letak spotlight  ke kat mata dia ni? Kenapa aku rasa matanya memancar terang sampai tertembus ke dada?  Lepas tu dia senyum pula. Adoyai, aku lupa Ikmal kejap. Kejap ajelah. Bila teringat semula hal petang tadi, cepat-cepat aku pandang tempat lain. Tak boleh, aku tak boleh benarkan siapa-siapa pun rampas tempat Ikmal dalam hati aku.
“Selamat tak aku minum air ni? Mana tahu kut orang  tu letak lagi garam dalam air ni.”
Nas kerling aku. Hujung ibu jari dan jari telunjuk dia memegang pangkal straw. Dikacau-kacau jus belimbing yang aku pesan tadi. Nak tergelak aku tengok muka dia was-was nak sedut air tu.
“Minum ajelah. Aku ni taklah zalim sangat nak aniaya kau banyak kali. Sekali cukuplah. Kalau ada orang merajuk lagi, susahlah aku. Mana pula aku nak cari pengantin lelaki nanti?”
Nas senyum lebar bila aku cakap macam tu. Makin berseri-seri aku tengok muka dia. Mata Nas terbeliak tiba-tiba. Apahal pula ni? Dia pegang pipi aku kiri dan kanan. Lily pun terkejut dengan tingkah spontan Nas.
Oh my God Rin! Kau potong rambut?”
Dia baru perasan ke? Dari tadi bersembang dengan aku baru sekarang dia buat muka terperanjat tu? Aku senyum aje sambil jeling Lily yang dah buat senyum kambing. Tadah ajelah telinga ni kejap lagi.
“Cantiklah fesyen rambut kau. Macam baby doll.”
Eh, dia sukalah! Aku ingatkan dia nak bebelkan aku. Dia selitkan hujung rambut yang berjuntai di tepi telinga. Zas! Alamak, kejutan elektrik tu datang lagi. Muka aku tiba-tiba jadi panas. Mata Nas pula macam dah tak reti beralih ke arah lain. Ala… Apa nak buat ni?
Nasib baik pelayan datang  tepat  pada masanya. Cepat-cepat aku alihkan muka ke arah lain.
“Kut ya pun nak  main mata, sabarlah sikit. Tak lama lagi dah, kurang empat puluh lapan jam aje lagi.” Lily menyakat kami.
Dia nampak apa yang berlaku tadi rupanya. Eee, dah dua kali malu. Tapi Nas buat muka selamba aje.
“Amboi meriahnya lauk malam ni. Kita ni tengah celebrate sesuatu ke?” tanya Nas.
Lily cuma angkat bahu. Mulutnya memuncung pada aku.
“Tak ada celebrate apa-apalah. Saja nak belanja kau makan.”
“Oh, aku ingat kita ada sambutan sempena hari terakhir bergelar solo.”
Bukan main lebar lagi senyum Nas bila dia cakap macam tu. Aku dah malas nak layan. Masing-masing dah mula menyuap, menikmati hidangan yang masih panas. Berselera betul masing-masing makan. Lily lagilah. Siap bersila di atas kerusi. Senyap aje masing-masing. Nas pun aku tengok, laju juga menyuap.
Tapi tak lama lepas tu aku tengok muka dia tiba-tiba bertukar jadi warna pink. Makin lama makin tunduk. Mata dia kejap-kejap pandang aku. Apa hal pula dia ni?
“Rin, janganlah buat macam ni… malulah.” Nas tegur aku.
Mata dia tak berani pandang aku. Dahi dia dah bermanik-manik .
“Aku buat apa kat kau?” Aku  soal dia balik.
“Kaki tu, duduklah diam-diam. Janganlah gelojoh sangat, kita banyak masa lagi kan?”
Meremang bulu tengkuk aku dengar suara Nas yang berubah jadi seksi. Aku pandang Lily. Tapi minah kenit tu dah tak peduli apa yang yang jadi sekeliling dia. Sibuk sangat dia mengerjakan ikan bakar. Aku selak alas meja ke atas sikit, nak tengok apa yang ada di bawah meja.
“Nas, aku tak pandai main gesel-gesel ni. Cuba kau tengok kat bawah meja tu.”
Nas terkedu kejap. Dia letak sudu dan garfu di tepi pinggan. Sempat lagi dia minum sebelum tengok benda apa yang ada di bawah meja. Aku tahan nafas,  nak ketawa ni.
“Aaa! Rin, halau kucing tu. Aku geli!”
Nas menggelupur. Nasib baik tak  jatuh. Dia terus bersila  atas kerusi. Dia punya jerit,  satu kedai pandang kami. Aku dan Lily dah gelak melambak. Tak boleh tahan tengok Nas menggeletis. Makin kuat dia menjerit bila kucing tu nak cuba memanjat. Punyalah dia takut dengan kucing tu, dia berdiri dan terkinja-kinja di atas kerusi.
“Rin, tolonglah! Halau kucing tu. Aku geli tengok bulu dia!”
Aku tak boleh nak bangun. Senak perut aku gelakkan Nas. Orang lain yang ada di situ pun tumpang sekaki. Muka Nas macam nak menangis. Lily ambil ekor ikan yang ada di dalam pinggan. Diumpannya kucing itu. Nasib baik kucing tu dengar cakap. Dia pergi pada Lily pula.
“Buanglah kucing tu jauh-jauh! Nanti dia panjat lagi.”
Nas masih rasa kurang selamat walaupun kucing tu dah tak mengiau kat dia lagi. Dia turun dari kerusi dan duduk rapat di sebelah aku. Lily bangun, didukungnya  kucing  berbulu lebat itu. Kucing Parsi rupanya. Leher haiwan kesayangan nabi itu diusap dan dengan sengajanya Lily mendekati Nas.
“Janganlah Lily! Aku sepak kau karang!” bentak Nas.
Lengan aku Nas paut erat-erat. Muka dia rapat di bahu aku. Zas! Sekali lagi arus elektrik datang. Hilang  gelak melambak aku. Bau minyak wangi dia dekat betul di hidung. Adoi, apa kena pula dengan aku ni?
“Dahlah Lily. Letak kucing tu jauh sikit.” Aku tegur Lily.
Aku lepaskan pautan lengan Nas. Sebelum muka aku pula yang berpeluh, baik aku buat sesuatu.
“Nas, kau panggil budak tu suruh dia kira. Aku nak pergi tandas kejap.”

Tak berani aku pandang mata Nas sebab jantung aku ni dah mula nak main gendang pelik. Ikmal, tolong aku!!!

1 comment: