Sunday, 6 July 2014

Bab 3 : BAHASA HATI KITA - REHAN MAKHTAR



TANGAN Jed nak suapkan makanan ke mulut terhenti.  Suara Ku Zarina daripada atas terjerit-jerit telah mencantas selera.  Wajah  Kak Zah dikerling. 
Mummy tu kenapa, Kak Zah?”  Bihun goreng diputar dengan hujung garpu. 
Mata dia memandang ke atas cuba mencari bayangan mummy tapi tak nampak.  Hanya suara saja bergema memenuhi banglo besar ni. 
Kak Zah senyum.  Senyuman memujuk sebab nampak dah Jed nak mengamuk. 
Mummy Jehanna tu banyak kerja.  Pekerja dia seorang baru berhenti.  Tempahan tengah banyak.  Tak ada orang nak jahitkan tempahan tu,” jawab Kak Zah.
“Dah tu, nak terpekik terlolong dalam rumah ni kenapa?  Nak marah siapa?” 
Bahu Jed diusap.  Kak Zah tahu Jed nak membentak lagi.  Kak Zah bukan tak tahu Jed dah banyak hari tak bersua dengan wajah Ku Zarina tapi sejak dua tiga hari ni, Jed memang lekat di rumah sebab wallet dia hilang.  IC baru pun tak pergi buat lagi.  Tak sempat. 
“Ala… mummy tengah cakap dengan orang yang tolong dia carikan pekerja la tu gamaknya.  Mummy Jehanna kata dia nak pakai orang segera.  Jehanna bukan tak tahu, mummy sayang sangat butik dia…”
“Yalah tu… macam butik mummy tu boleh tolong mummy dalam kubur nanti!”  Sinis Jed datar. 
Dia letak garpu dalam pinggan dan terus bangkit.  Peristiwa dia nak tikam tangan lelaki tu dengan garpu, terbang dalam kepala tiba-tiba.  Jed geleng kepala.  Tak nak ingat.  Menyakitkan. 
Kak Zah dah terkedu.  Jed tak pernah cakap macam ni kalau marah sangat pun.  Ini mesti kes dah tak tahan sangat.  Kasihan dengan Jed tapi apa yang mampu dia buat.  Dia pun hanya dua tiga kali seminggu aje datang.  Cuma semalam dia tidur di sini bila Jed meminta.  Sunyi katanya.  Macam duduk dalam gua, bertapa seorang sendiri. 
Daun pintu dihempas.  Suara mummy hilang.  Jed terbaring lemah.  Rasa nak menjerit aje.  Kenapalah dia sendiri dalam rumah sebesar alam ni?  Apa fungsi rumah ni pada mummy dan abah kalau masing-masing tak lekat dalam rumah? 
Kalau kata tak sempat nak duduk berbual ramah, sekurang-kurangnya  bertanya khabarlah dekat anak yang seorang ni.  Dekat pejabat pun, Jed bukan selalu jumpa dengan abah.  Abah banyak mesyuarat sana-sini. 
Mujurnya dia dah lepas umur anak remaja yang jenis suka lari daripada rumahlah, buat hal bukan-bukanlah.  Dia dah lama sabar.  Daripada zaman sekolah.  Hingga dah umur dua puluh lima tahun ni, mummy dengan abah tetap macam tu malah semakin jauh pula.  Buat dia cipta dunia sendiri.  Menapak sendiri.  Ditemani sunyi dan sepi.  Hidup dalam dunia yang bisu. 
Ingatkan hujung minggu ni nak beraman-damai ditemani Kak Zah.  Tapi, hampagas semuanya.  Mummy, pagi-pagi dah bikin kecoh.  Abah, entah mana hilang.  Galas kayu golf lagi la tu.  Bila dia balik lewat, mummy tahu nak kecoh satu alam.  Bila dia ada di rumah, ada mummy datang dekat cuba nak sembang? 
Huh… Jed mengeluh berat.  Jiwa dia sakit sungguh.  Hati dan dada dia terasa kosong.  Selain kerja dan Lis… hidup dia hanya ada muzik dan kesunyian. 
“Jehanna…” 
Jed keraskan badan bila daun pintu ditolak daripada luar.  Suara mummy memanggil.  Dia hanya keraskan badan memandang siling kapur cantik tu. 
“Jehanna,” panggil Ku Zarina lagi. 
Jed ni tak dengar ke dia panggil atau sekadar buat tak dengar?  Saja nak duga sabar dia.  Sudahlah ada pekerja berhenti tanpa notis.  Terkial-kial dia nak cari pengganti. 
“Dian Jehanna Puteri!”  Keras sikit suara Ku Zarina. 
Barulah Jed rendahkan anak mata memandang mummynya yang sedang mendekati birai katil.  Ada handbag Coach warna biru gelap tergantung siap di lengan kiri.  Tanda mummy dah sedia nak keluar. 
Mummy nak keluar pergi butik ni” 
Jed buat tak tahu.  Langsung tak beri reaksi. 
Mummy ada hal urgent.  Urusan pekerja.  Malam nanti kita jumpa.  Hanna jangan balik lewat macam hari tu.  Mummy tak suka,” pesan Ku Zarina lalu dia keluar daripada bilik anak dara yang seorang itu. 
Langkah Ku Zarina terhenti di muka pintu.  Dia teringat sesuatu yang Kak Zah bagi tahu.  Terus dia berpaling semula pada Jehanna. 
“Oh... Kak Zah kata wallet Hanna hilang?  Nak pakai duit, ambil kad kredit mummy ni.  Cash dalam laci meja solek mummy ada dua tiga ratus.  Nak guna, masuk ambillah ya?”  Kemudian, Ku Zarina terus berlalu lagi. 
Tiada perbualan.  Itu lebih berbentuk arahan.  Kalau perbualan itu adalah dialog daripada dua pihak tapi ini mummy seorang bersuara.  Hujung mata Jed terasa basah.  Silap dia berlengah nak siapkan IC dan lesen segala.  Sekarang dah tersangkut dalam rumah ni. 
Jed bangkit.  Telefon dicapai.  Rasa nak dihubungi Lis tapi perbuatannya terhenti.  Lis mesti nak rehat dengan keluarga hujung minggu.  Telefon diletak kembali.  Tak sampai hati nak sakitkan hati sendiri bila dengar Lis bergelak ketawa dengan keluarganya.  Dia cemburu.  Hati jahat dia cemburu. 
“Jehanna…”  Suara Kak Zah merodok gegendang telinga. 
Jed berkalih.  Senyum tawar dan memandang ke luar tingkap yang terbuka lebar.  Nampak kolam renang daripada atas tu.  Nak terjun terus daripada tingkap ni pun boleh. 
“Abang Zaman dah ada kat bawah kalau Jehanna nak keluar.” 
Jed diam seketika sebelum menjawab. 
“Kalau nak keluar, nanti Jed naik teksi aje, Kak Zah.  Suruh Abang Zaman balik ajelah.  Hari ni hari minggu.  Abah tak guna dia, tak kan Jed nak guna pula.  Biar dia luang masa dengan keluarga dia.  Kak Zah pun kalau nak balik, baliklah… Jed boleh aje dok sendiri,” ujar Jed lembut. 
Kak Zah senyum tipis.  Kasihan sungguh pada Jehanna.  Lepas habis belajar terus dipaksa masuk kerja.  Bijak, cantik, berpendidikan tapi kenapa sisi gelap Jehanna tu membuatkan dia tak selesa mengetahuinya?  Nak dinasihati, risau melebihi had orang gaji pula. Sekadar berkias dan dia yakin Jed faham. 
“Kalau macam tu, Jehanna nak tak ikut Kak Zah balik rumah Kak Zah,” ajak Kak Zah.  Tak tahulah Jed nak ikut ke tidak.  Teratak orang kebanyakan.  Manakan sama dengan teratak milik keluarga daripada keturunan Megat dan Ku. 
Jed kalih.  Dia pandang Kak Zah seketika dan menggeleng.  Tak pernah dia pergi ke rumah Kak Zah.  Tiap kali pun Abang Zaman yang jemput dan hantar.  Tak pun Kak Zah datang dan balik sendiri.  Dia teringin nak pergi tapi masa sekarang ni, dia nak bersendiri. 
“Tak apalah.  Jed nak keluar kejap lagi.  Kak Zah baliklah, eh.”  Jed menolak sopan.  
“Minta Abang Zaman hantarkan,” ujar Jed sambil berlalu ke meja solek. 
Puntung celak hitam tebal dicapai.  Didekatkan ke wajah dan dilorek pada kelopak mata.  Kak Zah dah agak, Jed sedang menjadi sisi yang lain.  Bukan Dian Jehanna Puteri tapi Jed.  Menggeleng, Kak Zah berlalu juga meninggalkan Jed sendiri. 
Jed pandang wajah dalam cermin.  Hidup dia meriah dengan aktiviti dan kawan-kawan tapi hakikatnya jiwa dia sunyi.  Bicara antara dia dan hati sendiri adalah bahasa yang bisu.  Berbicara tentang kesunyian. 
Rambut atas dia dah panjang sebenarnya.  Kalau dia lepas, tak nampak dah yang pendek di kiri kanan kepala.  Mummy bising tapi bila dia lepaskan rambut dia bebas, adalah separa bahu dah.  Tertutup potongan askar di sisi kiri kanan kepala.  Tak nak abah bising dan pejabat pandang serong pada dia demi air muka abah. 
Rambut diramas seketika sebelum tangan dia terus menekan celak hitam tu pada sekeliling mata menjadikan mata bundar dia sedikit tenggelam dan pudar.  Sepudar kasih sayang dalam rumah dia kini. 


ORANGE RANGEAgain
Jed mengeluh.  Kenapalah dekat sini yang dia tuju kalau kata bosan berkurung.  Dahlah Lis tak boleh nak temankan sebab mummy dia ajak pergi Pavilion.  Dia pula mana ada kawan lain selain Lis.  Sejak daripada bangku sekolah, Merlis sajalah temannya. 
Ada masanya Lis pun tak faham situasi yang dia hadapi tapi Lis adalah pendengar yang baik biarpun banyak masanya Lis terkebil-kebil aje bila Jed luahkan rasa.  Buatkan dia malas nak bercerita. 
Kaki kanan diangkat.  Dibawa menindih peha kiri.  Kedua-dua belah tangan diletak pada kepala lutut.  Jari-jemari bergerak.  Jari-jemari runcing yang jelas rosak hujungnya.  Kuku pun teramat pendek.  Kelabu asap.  Tak berkilat macam gadis-gadis lain.  Tak berminat nak masuk spa ke, apa ke. 
“Air awak, ya...”
Jed angkat wajah memandang pada pelayan lelaki yang baru saja meletakkan segelas air yang dipesan.  Biasanya, di sini lebih pada layan diri dan jika pelanggan tak ramai, pelayan akan tawar diri untuk menghantar pesanan. Jed buat tak tahu.  Cari tempat duduk, lepaskan lelah, pandang orang lalu lalang, sudah. 
Thanks...”  Perlahan Jed ucapkan terima kasih. 
Waktu ni, ada cap Nike terletak kemas di atas kepala.  Nak ketuk helmet, dia datang dengan teksi.  Dia keluar berlenggang kangkung aje hari ni. 
“Errr...” 
Sekali lagi Jed angkat wajah.  Berkerut sikit kening memandang pelayan lelaki ni.  Nampak muda lagi.  Boleh jadi sebaya dia atau tua sedikit aje.  Pandangan Jed menghantar pertanyaan.  Dah nampak macam nak menyoal, Jed memang buka laluan. 
Yes…. Anything?”  soal Jed sarkastik. 
Lelaki di depan dia sengih.  Poket jeans diseluk.  Langsung diletakkan cebisan kertas tu di atas meja.  Tepat depan Jed.  Dia tak berani nak bersuara bila yang sebelah sana dah beri amaran.  Tambah pula dengan renungan mata garang Jed yang hitam legam tu, siapa pun takut nak pandang. 
“Apa ni?”  Bibir Jed terjuih pada kertas tadi.  Sebaris nombor.  Nombor telefon  yang pasti.  Heh?  Nak ngorat aku ke apa?
Yours?”  tanya Jed lagi. 
Qimi menggeleng.  Apalah yang aku nak jawab?  Dahlah Que pesan jangan cakap apa-apa.  Mungkir janji karang, kena sedas dua dek Que, pedih juga telinga. 
Yours?”  Naik satu oktaf suara. 
Dada dah berlahar.  Orang tanya tak nak jawab.  Ke nak kena simbah dengan air dulu baru boleh buka mulut?  Meletup aje hati Jed. 
It’s not mine...”
Then whose?”  cantas Jed tak sabar.  Letih main cak-cak.  Menyampah. 
My friend...”
So?”  Beku dan kaku Jed menyoal.  Tak berminat. 
Hati Qimi dah mengumpat perempuan krisis identiti di depan dia ni.  Apalah taste Que ni?  Ini ke yang dia nak?  Macam tak kena dengan Que je.  Teruk sangat ni.  Ramai perempuan ayu lain cuba dekati tapi kenapalah perempuan ini juga yang dia nak?
“Dia bagi dekat you.  I sampaikan pesan aje.” 
“Dengan harapan?”  selar Jed tak ada perasaan. 
Qimi dekat nak tertanggal rahang.  Apalah jenis soalan yang dia ni kemukakan?  Satu... satu.  Macam budak tadika. 
“Dengan harapan...”  Suara Qimi meleret tapi mati tiba-tiba. 
Dia telan liur.  Matanya terhala ke belakang.  Nampak wajah yang sedang merah menahan marah.  Mati aku.  Daripada pandangan Que tu, dia tahu itu pandangan amaran sebab dia hampir pecah amanah.  Masak. 
Err...I masuk dulu.”  Qimi terus pusing.  Pitam.  Tertangkap bodoh aje dengan kawan sendiri.
Hey, kau tak cakap lagi kenapa ni?”  jerit Jed sambil melambaikan kertas kecil tu pada Qimi yang dah menonong masuk ke dalam kafe.  Hai... apalah nasib. 
“Aku ada jawapannya.” 
Hampir terlompat Jed masa ni.  Silang dia jatuh semula.  Kepala dia menoleh ke kiri.  Wajah melangut, anak mata naik, merenung pada empunya suara. 
“Kau?”  Suara Jed dah tertahan-tahan oleh nafas yang berhembus kasar. 
“Ya, aku,” akui Que. 
“Ada masalah?”  tanyanya  datar.  Soalan saja cari nahas. 
Jed mengeluh berat. 
“Apa kau nak?  Nak aku tebuk sungguh tangan kau?” 
Selamba, Que tarik kerusi dan duduk sedikit jauh daripada Jed.  Risau dia.  Buatnya Jed ni bertindak macam hari pertama dia jumpa, jenuh tu. 
“Itu nombor aku...”  Tanpa silu Que mengaku.
Eleh, kemain pesan dekat Qimi jangan bagi tahu tapi dia pula mengaku.  Iyalah, dah jumpa dekat sini.  Mengaku ajelah.  Tak salah.  Niat dia baik. 
So?”  Nada suaranya semakin dingin. 
“Aku harap kau call aku...”
“Dengan harapan?” 
Que gelak sinis.   Soalan Jed ni tak berubah langsung.  Sama je.  Macam dia dah rakam.  Sebiji macam dah diprogramkan seperti terminator tu.  Cakap apa  yang perlu aje. 
“Tak ada harap apa.  Aku cuma harap, aku dapat pulangkan ni pada kau.”  Serentak tu Que letakkan wallet Jed di atas meja.
Jed bulat mata.  Dia pandang Que yang selamba.  Mesti mamat ni dah tahu nama penuh dia semua.  Siapa dia, anak siapa, tinggal di mana dan kerja apa. 
“Kau curi, ya?”  tuduh Jed menyinga.  Tapi, masalahnya Que tetap tenang. 
Owh… itu satu tuduhan tak berasas.  Satu fitnah dan fitnah tu dosa.  Aku terjumpa… errr.... The truth is, aku tersepak masa nak balik dari sini hari tu and sorry... I’ve to open your wallet.  Sebab nak tengok siapa punya.  Aku tak usik apa-apa pun.  Ni aku pulangkan.  Nombor ni...”  Que tarik kertas kuning tadi dengan jari telunjuk dan jari tengah.  Dikepitnya di antara dua jari tersebut dan digoyang di depan Jed.
Forget about it...”  Ya, dia pun tak sangka.  Datang ni sebab ingat nak tinggalkan aje pada Qimi minta diberi pada Jed lepas beberapa hari tak ada berita. 
Dia takut bila dia datang, Jed tak ada.  Hari ni boleh tak dia kira langkah kanan?  Entah.  Tapi, melihatkan air wajah dan renungan  membunuh Jed tu, rasanya langkah kiri.  Tak pasal-pasal dituduh mencuri. 
Apa?  Rupa dia ada rupa pencuri ke?  Ada nampak tangan panjang sampai ke lutut ke?  Memanglah dia usaha keras demi mencari rezeki tapi mencuri tu tak pernah pula dia fikir.  Ibu dan arwah ayah tak pernah ajar anak-anak jadi pencuri. 
Que bangkit.  Kertas tadi direnyuk dan diletakkan di dalam poket jeans lusuh.  Hari cuti, seronok bersantai tapi rasanya nak baliklah.  Mood dia ada di rumah aje sejak akhir-akhir ni. 
You, take care,” pesan Que mengakhiri kata bila Jed pandang dia macam dia pula yang salah.  Baru nak pasang langkah, Que kalih lagi sekali.  Tapi, separuh.  Separuh wajah aje Jed nampak wajah Que. 
Sorry tegur kau macam tu hari tu.  Aku tak sengaja tapi aku memang tak boleh dengar hal berkait dengan orang tua ni...”  Senyuman tipis diukir. 
There you go, Que.  Dah minta maaf, segalanya dah selesai.  Boleh hidup dengan aman lepas ni tanpa ada rasa bersalah atau terbeban.  You, say no more to Dian Jehanna Puteri. 
Tapi, tak sempat Que nak sampai ke motor, Jed menyeru dia.  Biarpun hanya ‘HEY’ tapi Que tetap pusing kepala. 
Yup?”  Kening Que naik sebelah. 
Err... siapa nama kau?”  Soal Jed gagap.  Orang dah berbudi tak boleh ke dia berbahasa sikit. 
“Kau nak tahu nama aku ke?”  tanya Que tanpa perasaan.  Rasa nak pulang paku buah keras pula. 
Jed angguk dan Que sengih keji. 
“Dengan  harapan apa?” 
Melopong Jed seketika.  Hati yang sejuk membahang tiba-tiba.  Banyak cerita punya jantan.  Aku nak  ucap terima kasih aje pun.  Mood baik Jed dah  hilang.  Kat rumah menggelegak, luar rumah membahang. 
Dia terus bangkit hendak berlalu daripada Orange Range.  Tapi, suara Que menahan langkah Jed. 
“Kau boleh panggil aku Que.” 
Jed kerut kening. 
“Itu aje?”  Tak puas hati pula tahu nama Que aje. 
“Cukuplah tu.  Nama aku hak aku.  Ikut suka akulah nak bagi tahu nama penuh ke, nama panjang ke.  Aku bagi tahu pun, kau dah cukup bertuah.  Okeylah, ciao!”  Que membidas lagi. 
Dia angkat tangan dan berlalu ke arah motosikalnya.  Bagai ada magnet, Jed mengikut dari belakang.  Rindu motosikal di rumah tapi lesen tak ada. 
Weh, thanks...”  Jed pandang wallet dia dan Que silih berganti.  Tak ada yang hilang.  Semuanya terletak pada tempat sepatutnya.  Main semedang aje tuduh orang.
Que sengih tanpa berpaling.  Tali topi keledar diketatkan.  Kunci motor dah ada pada leher motor.  Bila-bila masa aje enjin dihidupkan dia akan pergi dan dia tak harap jumpa lagi perempuan macam Jed. 
“Sama-sama.”  Ringkas aje Que membalas. 
But be truthful to yourself, Dian Jehanna Puteri,” sambung Que lagi. 
Dia rasa Jed masih tak jauh terpesong ni.  Masih boleh diubati.  Tapi, dia bukanlah ubatnya.  Hanya berpesan sesama saudara Islam. 
Mata Jed bulat.  Dah lama tak dengar mana-mana lelaki panggil dia dengan nama tu.  Malahan tak ada sesiapa pun.  Mummy, Kak Zah dan abah panggil dia Jehanna.  Orang dekat ofis panggil dia Cik Jed juga. 
Que dah hidupkan enjin EX5.  Nak bergerak dah bila telinga dia menangkap samar-samar dan cukup perlahannya suara Jed. 
Sorry pasal hari tu.”  Jed ketap bibir.  Malu juga bila Que tak buat jahat sikit pun pada dokumen dia. 
Pardon me?”  Kerut kening Que.  Dia dah dengar tapi nak dengar lagi sekali bagi jelas.  Nak tengok setahap mana ego Jed. 
“Aku minta maaf pasal hal hari tu...”  Menggumam aje Jed tuturkan kata.  Que dah sengih sinis.  Lebar pula tu.
“Oh, tak ada hal.  Salah aku juga.  Apa-apa pun, aku harap kau dah tak marah.  Tenang hidup aku nak  melangkah tanpa musuh.  Harap lepas ni, kita tak jumpa dah sebab aku tahu, kau mesti tak nak jumpa aku lagi.”  Halkumnya bergerak tatkala liur ditelan sedikit kasar. 
“Apa-apa pun, aku rasa kau lebih sesuai jadi Dian Jehanna Puteri daripada Jed.  Tak apa nak jadi Jed tapi penampilan sebagai Dian Jehanna Puteri tu lebih sesuai untuk kau kut... entah.  But then again, I don’t know you.  So, no hard feeling okay?  Aku blah dulu.  Sorry again.  Ciao!” 
Minyak dipulas.  Tak menanti Jed bersuara, Que berlalu.  Terkebil-kebil Jed sendiri. Hari tu rasa sakit hati tapi ini rasa pilu jiwa pula mendengarkan pesanan Que.  Dia genggam kemas wallet di tangan. 
Que...  Hati Jed berbicara bahasa kesunyian lagi.  Tapi, tak ada siapa mengerti.  Nak mengharapkan Que yang baru dia kenali, apatah lagi.  Lelaki itu pastilah lebih tak memahami.  Jauh panggang daripada api.  Pasti!
Mata Que memandang Jed dari dalam cermin sisi.  Kasihan pula dia blah macam tu aje tapi apa lagi urusan yang ada.  Semua dah selesai.  Kalau tak, macam mimpi ngeri aje bila ingat nak kena tikam dengan garpu.  Nak-nak dia hampir setiap hari buka wallet Jed.  Tak ada kerja sungguh kau, Que.  Sampai ibu dah jeling lain macam. 
Sekarang, dah sampai pada tuan.  Maaf dah diminta dan diberi.  Que dapat rasakan, Jed tu paksa diri jadi macam tu.  Macam nak tunjuk tanda protes.  Tak puas  hati?  Tapi umur berapa nak buat perangai macam remaja baru nak up?  Dah dua puluh lima tahun, patutnya dah pandai pilih mana yang benar dan mana yang salah? 
Sekali pandang pada gambar kad pengenalan, biarpun tak bertudung tapi tak ada celak hitam.  Rambut pun cantik diikat tocang satu.  Gambar zaman remaja.  IC tak pernah ditukar gamaknya. 
Dan, sekeping gambar yang dia scan dengan minda dia tu terlakar kemas dalam kepala.  Gambar Jed dengan gelak tawa dengan seorang perempuan yang dia kenali sebagai Lis hari tu. 

Tapi, untuk apa dia nak ingat?  Bukan adik dia pun.  Jed hanya salah seorang penumpang dalam dunia ni.  Macam dia juga.  Apa yang pasti, dia lepas beban di bahu tapi beban di hati, kenapa rasa macam sikit berat sekarang?  

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget