Friday, 4 July 2014

Bab 4 (Part 2) - AKU BUKAN TOUCH & GO

Sumber : Google

“KAU nak bawa aku ke mana ni Lily? Ini bukan jalan ke butik.”
            Dah setengah jam dalam kereta, tapi masih belum sampai-sampai lagi. Tadi kata nak jumpa di butik.Tapi kenapa Lily melencong ke arah lain?
           “Nas call masa kau tengah bersiap tadi.Dia tunggu di…”
            Ayat Lily tergantung. Mata dia melilau tengok kiri kanan. Dia ni biar betul. Bahayalah membantu kereta dalam keadaan macam tu.
            “Dia tunggu di mana? Cuba kau berhenti tepi dulu. Terlanggar kereta depan tu nanti, siapa nak jawab?
            “Dah nak sampai dah ni. Kau telefon Nas, tanya dia ada kat mana.”
            Bam!
            Alamak! Aku pandang Lily. Kan, aku dah cakap tadi. Menjawablah pula ni nanti. Pemandu depan keluar dari perut kereta. Mak oi, muka macam samseng Kampung Dusun. Rantai lehernya macam rantai kapal.Tatu penuh satu badan.Besar betul badan dia.
            “Macam mana ni Rin? Aku tak sengaja.”
            “Macam mana apa? Tadi hebat sangat, kan? Keluar ajelah, kasi settle. Jangan melawan Lily. Kau tengok lengan dia tu, sekali hayun aje tertiarap kita berdua. Kau ajak dia cerita kat balai ajelah.”
            Pucat lesi muka Lily. Dari dalam kereta, aku tengok saiz Lily dengan mamat tu berganda-ganda bezanya. Tak sampai hati pula aku biarkan dia mengadap mamat tu seorang. Aku keluar dan pergi ke depan kereta. Melekat muncung kereta Lily ‘mencium’ buntut kereta mamat tu.
            “Kau ni reti bawak kereta ke tak?”
            Tergamam aku dan Lily. Macam nak terkucil pun ada. Garang bukan main. Sayup saja aku tengok Lily berdiri depan mamat tu. Aku telan liur dan cuba bertenang. Kalau tunjuk muka takut, lagi seronoklah dia menyinga. Muka Lily macam nak menangis.
            “Relax bang. Jangan marah-marah. Kita selesaikan cara baik.” Lily cuba ajak berbincang.
           “Apa relax? Kau tengok kereta aku jadi apa ni? Siapa nak jawab?”
            Ewah-ewah! Tak boleh jadi ni. Mentang-mentang kami ni perempuan, dia nak tayang dia punya taring pula. Kereta belakang dah memekak dengan hon masing-masing. Manusia-manusia yang duduk di dalam kedai pun sudah mula jadi penonton tanpa tiket.
            “Kita cerita kat balai ajelah bang. Kereta saya pun teruk juga.”
            Aku pula buka suara. Hidung mamat tu makin kembang kuncup. Kalau boleh letak belon di hidung dia, pasti belon tu dah kembang.
            “Aku tak nak cerita kat balai. Kau yang langgar kereta aku, aku nak kau bayar sekarang!”
Lelaki badan bertatu itu tak mahu beralah.
            “Man, dah tu. Kita nak cepat ni. Lain kalilah kita settle.”
            Seorang lagi kawan lelaki hidung kembang tu keluar dari kereta. Aku pandang lelaki berkepala botak itu dengan mata yang tak berkelip. Mata dia terlindung dengan cermin mata gelap. Jambang penuh satu muka. Tapi aku rasa macam pernah dengar suara dia.
            “Lain kali bawa kereta guna mata, bukan kepala lutut!”
            Sempat lagi mamat badan besar tu bagi kata-kata akhir. Sebaik saja dia berpaling, aku dan Lily cepat-cepat berlari masuk semula ke dalam kereta. Bimbang kalau-kalau lelaki yang besar macam Shrek tu datang semula. Tapi mata tiba-tiba terpaku pada lelaki berkepala botak tadi. Dia masih merenung aku. Cermin mata gelap dia menghalang aku melihat biji matanya. Tapi suaranya tadi masih melekat di telinga. Sumpah! Suara dia betul-betul dekat dengan aku. Cepat Zarin Sofea! Cuba fikir, suara lelaki tu macam suara siapa?
Fuh! Lega. Nasib baik dia tak tenyeh muka aku dengan buku lima dia. Kalau tidak memang tidur hospitallah aku malam ni. So, sekarang ni macam mana Rin? Woi! Apsal kau pandang aku macam tu?”
Lily tolak bahu aku dengan kasar. Aku macam baru sedar dari mimpi yang panjang. Dan tak semena-mena badan Lily ku goncang kuat.
            “Itu Ikmal!”
            Lily dah turunkan brek tangan. Dia sudah bersedia nak main kejar-kejar dengan kereta tadi.Tapi aku cengkam kuat tangan kiri dia.
            “Jangan! Kita pergi balai. Selesaikan kereta kau ni dulu.”
            Aku teringat kata-kata Ikmal semalam. Walaupun nak sangat jumpa Ikmal tapi aku terpaksa simpan rasa rindu kemas-kemas dalam hati. Ketika Lily buat laporan di balai polis, aku tertinjau-tinjau juga kalau ternampak kawan-kawan Ikmal. Tapi hampa. Sekarang aku dan Lily terpaksa menunggu Nas datang jemput kami di balai.
            “Kau jangan cerita pada Nas pasal Ikmal tau.”
            Aku bagi amaran pada Lily. Pandangan tajam aku  ke mata dia menandakan aku betul-betul nak dia rahsiakan peristiwa tadi. Lily mengangguk faham. Dia nampak masih terkejut dengan insiden yang berlaku.
            “Kalau kau nak cuti, aku boleh bagi kau cuti.”
            “Aku tak apa-apa Rin.Terkejut sikit aje.”
            Lily bangun dan melambai pada Nas yang baru sampai. Terkocoh-kocoh bakal suami aku tu keluar dari kereta. Melenggang-lenggang punggung Nas menuju ke arah kami.
            “Rin, kau okey tak? Ada yang luka tak?”
            Nas belek badan aku atas, bawah,depan dan belakang. Muka dia nampak cemas.
            “Lily, macam mana kau bawa kereta ni? Kalau jadi apa-apa pada bini aku macam mana?”
            Nas menolak bahu Lily dengan jari telunjuk.
            “Eh, pembetulan. Bukan bini ya. Baru bakal bini, itu pun belum confirm lagi.”
            Aku membetulkan ayat Nas. Langkah aku atur terus ke kereta Nas. Malas aku nak dengar dia bebelkan Lily.Sampai dalam kereta pun dia masih berceramah pada Lily.
            “Orang nak jadi PA, kau pun sibuk nak jadi PA.Tapi tengok, macam mana kau buat kerja. Mujur kereta aje yang kena. Kalau Rin yang kena tadi? Apa aku nak jawab pada mak dan abah dia?”
            “Nas, kan aku dah cakap aku tak sengaja.” Lily cuba bela diri.
            “Tak sengaja konon! Kau tu yang cuai. Bawa kereta macam budak sekolah baru dapat lesen. Ni mesti bawak laju.”
            Sambil membebel, Nas jeling Lily yang duduk kat belakang.
            “Mana ada laju. Aku tengah cari kaulah tadi. Kau janji nak tunggu kat situ. Dah dua tiga kali aku pusing,tak nampak pun kereta kau.”
            Lily masih tak mahu mengalah.Dia pun nak mempertahankan hujah.
            “Pandailah kau menyalahkan aku pula.Telefon kau mana? Dah tak reti nak telefon? Apsal tiba-tiba jadi bodoh pula kau ni? Eee, geramnya aku. Kau tahu tak, aku ni macam nak mati bila dengar kau accident tadi tau. Kalau jadi apa-apa pada Rin tadi, alamatnya tak kahwinlah aku.”
            “Diammm!!!”
            Aku jerit sekuat hati. Ha, tahu pun diam. Tahu pula dia buat muka terperanjat. Kalau dapat peluang nak sembur orang, Nas bukan kira tempat dan masa. Dia main redah saja. Kalau dia buka mulut lagi lepas ni, sumpah aku akan sumbat mulut dia dengan selendang yang terlilit di leher dia tu.Lega telinga aku bila suasana dalam kereta dah tenang.
            Hampir tiga jam duduk di balai buat perut aku lapar. Tapi Nas dah membantutkan selera makan aku. Aku toleh belakang, tengok Lily yang tersandar keletihan. Dia senyum kelat. Aku pandang semula ke jalan raya. Baru aku perasan, Nas menghalakan perjalanan balik ke butik.
            “Kau nak balik butik ke?”
            Nas pandang aku dan angguk sekali.
            “Buat apa pergi butik lagi? Kan dah malam ni. Hantar aku balik. Lily, kau tidur rumah aku malam ni.”
            Aku mengarahkan Nas tukar haluan. Tapi Nas pandang aku dengan wajah berang.
            “Aku hantar korang balik lepas kita pilih kad kahwin. Kita pergi makan, lepas tu baru balik.”
            Nas buat suara tegas. Apa dia fikir aku takut dia buat suara macam tu? Huh, silap oranglah!
            “Nas, kau jangan pentingkan diri sendiri boleh tak? Kami ni baru aje kemalangan. Lily tu, masih terkejut lagi. Kami nak balik berehat. Besok-besok kan boleh pilih kad kahwin tu.”
            Aku cuba kawal volume suara, walaupun hati ni dah mula menggelegak. Macam tak ada otak. Dalam keadaan macam ni pun masih sibuk dengan kad kahwin.
            “Besok kau ada show. Lusa kita nak pergi Penang. Mana ada masa lagi nak pilih. Aku ni macam-macam nak kena buat. Baju kau lagi, baju mak kau, tempah dewan. Kau apa tahu?”
            Nas dah mula tinggi suara.
            “Aku dah cakap yang aku nak majlis ringkas aje. Kau dan mak aku yang besar hati sangat nak buat majlis besar-besaran. Sekarang kau buatlah sendiri dengan mak aku. Hantar aku balik! Aku tak nak ambil tahu pasal kad kahwin tu. Kau uruskan sendiri.” Aku balas balik cakap Nas.
            Aku dengar nafas Nas keluar kasar-kasar. Dia tak dengar langsung arahan aku. Kereta yang sepatutnya belok ke arah kanan tapi terus aje menuju ke pusat bandar. Nas memang melampau. Aku benci dengan perangai veto dia. Semasa kereta berhenti di lampu isyarat, aku cepat-cepat buka tali pinggang keledar. Aku pandang Lily yang hampir terlelap di belakang.
            “Lily, jom turun. Kita balik naik teksi.”
            Aku buka pintu kereta. Lily pun sama. Terjerit-jerit Nas panggil aku dan Lily. Aku tarik tangan Lily menyeberang jalan dan menuju ke tempat menunggu teksi. Belum sampai lima minit aku dan Lily duduk, kereta Nas dah berhenti di depan kami. Aku dan Lily sembunyikan senyum.
            “Okey, aku surrender. Jom aku hantar balik.”
            Aku buat-buat tak dengar laungan Nas dari dalam kereta. Aku pandang ke arah jalanraya sambil meninjau kalau-kalau ada teksi yang lalu. Nas keluar dari kereta dan melangkah laju ke arah kami berdua.
            “Rin, aku minta maaf okey. Janganlah macam ni. Marilah balik, aku janji aku hantar kau balik.”
            Nas angkat sebelah tangan macam orang angkat sumpah. Aku pandang Lily dan bagi isyarat supaya dia masuk dulu ke dalam kereta. Aku berdiri tegak dan pandang Nas yang masih tak turunkan tangan. Aku bagi isyarat mata suruh dia turunkan tangan tu. Namun tak semena-mena dia tarik jemari aku dan genggam dengan kuat.
            “Maafkan aku Rin. Kau masih nak kahwin dengan aku kan?”
            Soalan apa ni? Dia ni dah tertelan satu papan panadol ke? Aku cuba lepaskan tangan tapi Nas tak mahu beralah. Mulut dia masih mengulang soalan yang sama.
            “Kalau kau tak lepaskan tangan aku, aku tak nak maafkan dan tak nak kahwin dengan kau.”

            Ugutan aku berjaya. Nas pimpin aku sampai ke kereta, siap bukakan pintu. Gentlemanlah konon!


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget