Saturday, 5 July 2014

BAB 8 - AKU BUKAN TOUCH & GO - QAHIERA IZMA


MATAKU seakan tidak mahu berkelip. Urat-urat  mata bagai kekejangan. Aku pandang Nas dari kepala sampai ke kaki. Dia ni nak pergi kursus kahwin ke nak pergi pejabat kadi?
            “Nas, kenapa kau pakai macam ni?”
            “Apsal? Tak elok ke aku pakai macam ni?” Nas tanya aku balik.
            Aku tepuk dahi. Pening kepala aku dengan perangai dia.
            “Nas, kita ni nak pergi kursus kahwin. Bukan nak pergi nikah. Kau pakai macam ni, nanti orang gelakkan kau.Tukarlah, pakai baju biasa aje. Bersongkok bagai!”
            “Rin, biarlah apa orang nak kata pun. Aku peduli apa? Kalau kau tak suka, kau tutup mata. Cepatlah masuk! Kita dah lambat ni,” jerit Nas.
Sebelum suara Nas makin tinggi, lebih baik aku ikut cakap dia. Aku betulkan selendang yang asyik melurut dari kepala. Walaupun aircond dalam kereta Nas ni dah full level, aku masih rasa rimas. Almaklumlah jarang pakai baju kurung. Aku sinsing lengan baju sampai paras siku.
“Kenapa kau buat macam tu? Kedutlah nanti. Cuba duduk elok-elok sikit. Macam cacing panas ni kenapa?” tanya Nas.
“Aku rimaslah pakai baju ni. Kain tebal pulak tu. Panas tau tak?”
Nas pandang aku atas bawah. Dia halakan semua lubang penghawa dingin ke arah aku.
“Ala, tahanlah sikit. Kat akhirat nanti lagi panas...”
Terhenti tangan aku mengipas badan bila dengar Nas cakap macam tu. Aku letak belakang tapak tangan di dahi dia. Lepas tu aku pandang dia dan sedekahkan senyuman yang paling manis.
“Wah, abang Nasrin kita ni tiba-tiba dah menjelma jadi Ustaz Nasrin. Baiklah abang Ustaz, adik Rin akan patuh dengan segala nasihat dari abang Ustaz.”
Nas tersengih. Sukalah tu kena usik. Aku lempang laju-laju nanti baru dia tahu.
“Kalau cakap macam tu hari-hari kan bagus. Sejuk hati abang dengar. Barulah dikatakan calon isteri solehah.”
Eh, dia pun tak nak kalah! Makin lebar pula senyum dia.
“Banyaklah kau punya calon isteri! Kau jangan lupa perjanjian kita Nas. Aku tengok kau macam dah terlebih ni.”
Aku tuding jari pada Nas. Tapi dia cebik aku pula.
“Aku ingatlah Rin. Tapi kut ya pun nak berlakon, kenalah buat betul-betul. Barulah nampak real. Aku lebih-lebih pun untuk siapa? Untuk kau juga kan?”
Malas aku nak menjawab. Lebih baik aku diam sebelum Nas mengarut lagi. Dia terlebih dulu keluar dari kereta sebaik saja sampai ke destinasi kursus. Aku betulkan selendang di kepala sebelum turun menyaingi Nas. Tapi belum sempat aku keluar, Nas dah sambut aku dulu. Banyak mata yang memandang kami. Ada yang tersengih macam kerang busuk melihat Nas berpakaian macam orang nak pergi akad nikah. Eee,malunya aku!
“Aku dah cakap tadi, tukar baju. Cuba kau tengok, mana ada orang pakai baju macam kau. Buat malu ajelah!”
Aku jalan lebih laju dari Nas. Tapi dia pun sama lebar langkahnya dengan aku. Dia pegang tangan aku. Sambil berjalan dia bercakap dengan nada perlahan.
“Kau nak malu apa? Kita ni kan public figure. Biasalah tu kalau orang pandang. Kau tu,  boleh tak jangan buat muka sendat macam tu? Kalau tak nak jaga air muka aku pun, jagalah air muka sendiri. Kau yang minta ni semua kan? Aku cuma merealisasikan aje.”
Aku kemam bibir. Nak marah pun tak guna. Terpaksalah aku harung  sepanjang hari ini dengan redha. Awal-awal lagi Nas dan aku sudah mendapat perhatian peserta-peserta kursus yang lain. Ada juga yang nak bergambar. Kalau bergambar seorang kira okeylah juga. Ini tidak, mesti nak suruh aku bergambar sekali dengan Nas. Bakal pengantinlah konon!
Dalam kelas, kami juga yang menjadi perhatian penceramah. Tapi Nas lebih menonjol dari aku. Banyak kali juga dia disoal oleh penceramah. Mujur dia boleh jawab. Pandai juga Nas ni. Mungkin dia dah buat homework di rumah. Setiap kali disoal aku tengok Nas menjawab dengan yakin. Dia berdiri tegak. Hilang terus sifat agar-agar dan nilai-nilai kelembutan. Hmmm... kan bagus kalau Nas tu lelaki sejati. Eh, kenapa sampai ke situ pula aku ni?
“Apakah tanggungjawab seorang suami di dalam Islam?
Penceramah berjanggut tebal itu memandang wajah setiap peserta kursus. Ada yang sengaja tunduk. Nak mengelaklah tu. Aku tunduk  memandang buku nota. Kursus yang banyak sesi soal-jawab macam ni betul-betul buat aku mengantuk.
“Tanggungjawab seorang suami di dalam Islam adalah bersikap adil pada isteri, memimpin isteri ke jalan yang diredhai Allah, memberi nafkah yang cukup pada isteri  secara zahiriah dan batiniah, memberi pendidikan agama pada isteri dan anak-anak, melindungi  isteri dan ahli keluarga dan yang terakhir melayan dan menggauli isteri dengan baik.”
Aku angkat kepala. Lancarnya jawapan dia. Untung betul siapa yang kahwin dengan lelaki tu nanti. Aku memanjangkan leher, nak juga tengok juga macam mana rupa lelaki yang cerdik pandai tu.
Ya Allah! Biar betul. Tak mungkin dia yang menjawab soalan tadi. Tapi kalau bukan Nas, kenapa dia berdiri?
“Terima kasih saudara Nasrin. Jawapan yang tepat dan padat. Harap nanti awak akan melakukan segala tanggungjawab yang awak sebutkan tadi  dengan sempurna.”
Sah! Memang betullah lelaki yang berdiri itu Nasrin. Aku dengar dengan jelas ustaz janggut panjang tu menyebut nama Nas. Aku tengok Nas khusyuk mendengar ceramah. Tidak seperti aku, tak sampai setengah jam aku dah tersengguk-sengguk.
“Sila baca surah Al-Kafirun.”
Sekali lagi aku tengok kepala para peserta macam kepala penyu. Tunduk saja masing-masing. Bilik itu juga tiba-tiba senyap sunyi. Kalau jarum jatuh pun boleh dengar.
“Hah, kamu baca,” suruh penceramah berjanggut itu.
Siapa pula yang kena kali ni? Aku memasang telinga. Mungkin kali ini peserta perempuan pula yang kena.
Bismillahirrahmanirrahim…”
Aku tersentap untuk kesekian kalinya. Suara Nas kedengaran lagi. Sedapnya dia mengalunkan ayat suci itu. Ada perasaan lain pula aku rasa dalam hati ni. Kenapa tiba-tiba aku rasa sebak pula ni? Nampaknya dia memang dah buat persediaan yang cukup untuk kursus ini. Alangkah bagusnya kalau yang  bersama aku sekarang ni adalah Ikmal.
Tapi sejak aku berkawan dengan Ikmal, aku tak pernah tengok dia solat. Berlainan betul dengan Nas. Walaupun pada mata kasar orang melihat dia lembut dan seperti perempuan, setakat hari ini aku tak pernah tengok dia ponteng sembahyang Jumaat. Ya Allah! Apa dah jadi dengan aku ni?
Tidak Zarin Sofea, jangan terbawa-bawa dengan perasaan. Ingat, Nas cuma berlakon saja tu. Ya, dia cuma berlakon. Jangan risau, lepas setahun nanti aku akan jadi milik Ikmal semula. Tak mungkin aku akan bersama agar-agar tu.
Hari kedua kursus kahwin, Nas berpakaian lebih santai. Dia nampak lebih senyap hari ni. Tidak seperti semalam. Dalam kereta pun dia tak banyak mengomel. Sepatah aku bertanya, sepatah dia menjawab. Pelik pula rasanya bila Nas buat perangai macam tu.
“Nas, kau tak sihat ke? Tak rancak pun aku tengok hari ni.”
 Teguranku langsung tak diendahkan. Tenang saja dia memandu. Memang dia nampak lain sangat hari ni. Muka dia pun tak ada secalit mekap. Kalau tidak tu, dengan pelembab bibir, maskara tebal dan bedak asas yang tebalnya dekat empat inci.
“Nas, cakaplah! Janganlah diam aje macam orang sakit tekak.”
Aku menolak bahu Nas dengan kasar. Dia pandang aku sekejap. Dia senyum. Tapi nampak sangat dia senyum tidak ikhlas.
“Malam tadi aku siapkan baju resepsi kau. Cantik sangat Rin. Lepas kita kahwin nanti aku nak hadiahkan gaun pengantin tu untuk kau. Tak payah bayar.”  Lembut saja tutur kata Nas.
“Takkan sebab gaun pengantin tu kau jadi macam ni? Ni mesti ada hal lain. Cuba cakap betul-betul. Kita ni dah nak jadi suami isteri. Suami isteri tak boleh ada rahsia. Kau ingat tak penceramah tu cakap tu semalam?”
Eh, dia gelak pula. Kelakar ke ayat aku tu? Boleh pula dia pandang aku sambil menggosok-gosok hidung. Sejak bila pula Nas ni ada resdung?
“Memang dah nak jadi suami isteri. Tapi suami isteri atas kertas aje. Jadi tak payahlah nak berkongsi rahsia sangat. Tak sesuai!” bidas Nas.
Entah kenapa, aku rasa tersinggung dengan kata-kata Nas. Terasa sangat,  rasa macam nak menangis. Perasaan ini semakin bertambah pelik ketika sesi kursus bermula. Penceramah menerangkan nilai-nilai dalam sebuah perkahwinan dan keajaiban penyatuan dua hati yang sah. Tidak aku nafikan memang aku agak terkesan dengan ceramah yang diberikan. Namun cepat-cepat aku biaskan rasa walang itu ke arah lain. Hati aku masih ingin berpaut pada dahan cinta Ikmal. Aku masih menyimpan janjinya yang akan memperisterikan aku nanti.
“Jauhnya menung. Ingatkan Ikmal ke?”
Nas seakan boleh membaca fikiran aku. Aku mengalihkan pandangan keluar tingkap. Tak nak dia nampak mata aku yang berair.
“Rin, batalkan ajelah majlis perkahwinan ni. Aku tahu kau tak suka dengan  apa yang aku  buat. Batalkan aje. Masih sempat lagi. Aku tak kisah.”
Laju kepala aku mencari muka dia. Sawan ke dia ni? Tiba-tiba pula berubah fikiran.
“Kau cakap apa ni Nas? Ada ke aku cakap nak batalkan rancangan kita?”
“Memanglah kau tak  cakap. Tapi aku dah tak nampak  kau  senyum sejak kita jadi ‘kekasih plastik’ ni. Dari situ aje aku tahu. Kau  tak ikhlas pun nak suruh aku  buat  semua ni, kan?”
“Mana ada manusia yang akan tersenyum kalau terpaksa buat  perkara yang dia  tak suka? Aku buat  semua ni semata-mata nak  jaga hati mak aku aje. Soal ikhlas ke tidak dah tak ada dalam kepala aku ni. Jadi tak payahlah  kau  nak  pertikaikan soal keikhlasan ni. Apa yang  aku  nak sekarang, kita selesaikan  semua ni secepat mungkin. Cukup  setahun, kau lepaskan aku. Habis cerita!”
Mulalah aku nak melenting. Muka Nas selamba sangat. Ikut hati mahu  aku menarik brek tangan tu dan suruh dia keluar. Tapi ni kereta dia, tak logiklah kalau aku yang halau dia.
“Aku bukannya apa Rin. Lepas aku dengar ceramah kat tempat kursus tadi, aku rasa lain macamlah,” kata Nas.
“Rasa lain macam mana pula?”
“Aku rasa apa yang bakal kita buat ni salah. Kau ingat tak penceramah tu cakap? Perkahwinan ni sama seperti mendirikan sebuah masjid. Perceraian itu memanglah dibolehkan, tapi itulah perkara yang Allah tak suka. Bergegar tiang Arasy bila sebuah rumah Allah tu cuba dirobohkan. Kau tak takut ke?” Nas pandang aku.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba mencari jawapan yang sesuai untuk memahamkan Nas  tentang keadaan aku sekarang. Aku kena berhati-hati, kalau tak kena cara alamatnya merajuk lagilah agar-agar ni.
“Nas, penceramah tu pun ada cakap. Perkahwinan ni adalah penyatuan kasih sayang  antara dua manusia yang berlawanan jantina. Perkahwinan itu terjadi bila seseorang itu sudah bersedia dan ingin mengelak dari melakukan dosa zina. Masalahnya sekarang ni, aku tak bersedia lagi nak kahwin. Mak aku tu yang paksa. Alah, tak  payah pening-pening sangat nak fikir pasal ni lah Nas. Kita ikut aje seperti yang kita rancang tu. Lagi pun tak salah kalau kau pergi kursus sekarang. Mana tahu ada jodoh nanti kau kahwin betul-betul dengan gadis idaman, dah tak payah nak pergi kursus lagi.”
Aku harap sangat Nas tak bersoal jawab lagi dengan aku mengenai isu ni. Otak aku masih ligat memikirkan jalan nak memesongkan Nas dari topik ini. Aku tak suka tengok keadaan dia sekarang. Muram saja. Nas yang aku kenal bukan macam ni. Aku nak Nas yang mulut becok dan suka bergaduh dengan aku walaupun tentang perkara yang kecil saja.
“Nas, Lily cakap dengan aku pagi tadi lepas kursus ni kita ada pre- wedding photoshoot. Jadi ke tidak?” tanya aku.
“Jadi, ni  nak pergi ke sanalah. Steven dah call aku tadi. Diaorang  tunggu kita kat I-City.”
“I-City? Kenapa tak ambil gambar kat studio aje? Malulah buat photoshoot  kat situ. Ramai orang.”
Aduh, selesai satu masalah, hal lain pula datang menyemakkan kepala. Kalau aku tahu Nas nak buat photoshoot kat luar, awal-awal lagi aku dah bangkang. Salah aku juga, semua benda aku serah bulat-bulat pada dia. Sekarang aku tanggunglah akibatnya.
“Bagilah aku peluang nak merasa glamour macam kau juga Rin. Kalau ambil gambar dalam studio, orang tak tahu aku ni bakal suami kau. Tahu-tahu siap aje gambarnya. Aku pilih tempat tu sebab banyak tempat cantik kat situ. Selalunya pasangan pengantin ambil gambar tepi tasik atau taman bunga kan? Tapi aku nak lain sikit. Nanti aku nak suruh Steven ambil gambar kita dalam rumah salji.”
Dah muncul balik dah perangai asal Nas. Aku diam saja. Dengan dia ni tak guna dibawa bergaduh, mesti dia juga yang nak menang. Sampai saja di sana dia dah kembali ke watak agar-agar semula. Dia dengan Steven sama saja satu kapal. Kalau dah jumpa, tak sah kalau tak main laga-laga pipi. Eee, geli aku. Masing-masing kalau bercakap siap dengan kaki dan tangan sekali melayang-layang. Gelak mengilai-ngilai. Kaki tu terkepit saja macam tengah tahan kencing.
“Rin, you ikut Vivian pergi make up dan tukar baju okey. Nas, biar I  yang kerjakan you,” ujar Steven.
Nakal betul mata dia merenung Nas. Sengaja dia menggigit bibir sambil meramas-ramas bahu Nas. Ya Allah! Tolonglah. Nak muntah aku tengok gelagat diaorang. Tak banyak masa yang aku ambil untuk bersiap. Aku harap sangat sesi photoshoot ni akan selesai cepat. Ramai pula pengunjung hari ni. Hari minggulah katakan. Penat mulut aku nak senyum sepanjang  jalan. Tak senyum nanti orang kata aku sombong pula. Terkial-kial Vivian mengikut langkah aku yang agak laju. Dipegangnya hujung gaun pengantin yang labuh. Bukan sikit-sikit punya labuh. Aku rasa dekat tiga meter labuh gaun yang aku pakai ni. Lenguh pinggang aku nak menyeretnya.
“Bertuah betul you dapat Nas tau Rin. Sayang betul dia dengan you. Dress ni seratus peratus hasil tangan dia tau,” kata Vivian.
Aku terkedu, tak percaya dengan apa yang aku dengar.
You biar betul Vivian. Gaun ni bukan dari studio you ke?” tanya aku.
Vivian menggeleng kepala. Aku tenung amoi berambut pendek yang sibuk membetulkan hujung gaun aku. Betul ke ni? Atau Nas upah Vivian  untuk cakap macam tu? Eh, apahal pula Nas nak buat macam tu?
“Dah siap?”
Aku menoleh pada Steven. Nas pun ada di situ. Sekali lagi aku tergamam. Nas senyum lebar melihat reaksi aku. Kenapa banyak sangat kejutan dia buat untuk aku hari ni? Aku seperti tak percaya lelaki yang berdiri di depan aku sekarang adalah Nasrin. Dengan tuksedo hitam dan bowtie warna merah, dia kelihatan sangat berbeza. Kalaulah aku tak tahu  yang Nas ni agar-agar, aku rasa dah lama aku tangkap cintan dengan dia. Nas nampak sangat maskulin.
“Wah! Handsomelah you  Nas. Nasib baik Rin sudah dapat dulu. Kalau tidak, gerenti I  jadi girlfriend you  sampai mati,” ujar Vivian.
Nas cuma tersengih. Sesi penggambaran pun bermula. Berbagai-bagai pose yang kami gayakan. Mungkin sebab sudah ada pengalaman dalam bidang peragaan, maka kerja-kerja Steven menjadi lebih mudah.
“Ok, sekarang I nak you all berdua bagi I pose yang lebih romantik,” kata Steven.
Mulalah mulut Steven tu bising mengarahkan aku dan Nas melakukan pose yang dia nak. Mula-mula memang tak ada masalah. Tapi lama-kelamaan gayanya sudah semakin daring.
“Nas, you  dukung Rin dan pandang mata dia,” arah Steven.
Alamak! Boleh ke Nas dukung aku ni? Aku pandang Vivian yang sudah bersedia  di hujung gaun. Veil di kepala aku dipegang untuk memudahkan Nas dukung aku nanti.
“Zarin Sofea, are you ready?”tanya Nas.
Aku mengangguk dan dalam sekelip mata aku sudah berada di dalam dukungan Nas. Beberapa orang pengunjung yang dari tadi jadi penonton setia mula bersorak sambil bertepuk tangan. Bila diaorang begitu, makin ramailah yang ingin melihat sesi penggambaran kami. Aduh, tiba-tiba saja muka aku panas. Malunya kena sorak macam tu.
“Pandang mata Nas tu Rin. Lembutkan muka you. Express your love to him.”
Zas! Aku rasa macam ada arus elektrik sedang mengalir di dalam badan aku. Apa sudah jadi? Rasa lain macam pula bila bertentang mata dengan Nas. Lepas dukung, Nas rangkul aku dari belakang pula. Muka dia dekat sangat dengan muka aku. Aku boleh dengar dengus halus nafas dia. Oh tidak! Jantung aku, kenapa detaknya menjadi kencang?
Aku pandang muka Nas. Secara kebetulan pula, Nas pun menoleh. Nyaris berlaga bibir aku dan dia. Tapi seakan ada magnet yang melekat pada tangan Nas. Dia masih merangkul aku. Pandangannya seperti ingin cuba menyampaikan sesuatu. Kami pegun buat seketika.
Mata kami bertatapan. Aku dapat rasakan ada satu macam  perasaan yang sedang mengalir dalam diri ini. Tiba-tiba aku rasa bahagia berada di dalam pelukan Nas. Aku rasa selamat. Aku rasa…
Okay, it’s a wrap!”
Jeritan Steven menghentikan lamunan aku. Tepukan dan siulan dari para pengunjung buat aku malu sendiri. Perlahan-lahan Nas melepaskan tangan. Tapi matanya masih tenggelam dalam pandangan mata aku. Tidak Rin, kau masih ada Ikmal. Jangan curang dan ingat, ini semua hanyalah lakonan.
“Nas, balik ni kau tak payah hantar aku. Aku dah telefon Lily. Dia datang jemput aku kat sini nanti.”
Tanpa menunggu reaksi dari Nas, aku cepat-cepat beredar dari situ. Aku tak sanggup nak balik dengan Nas sebab arus elektrik yang mengalir tadi masih belum berhenti. Tiba-tiba aku jadi  malu dengan dia.
“Betul ke Lily datang ambil kau kat sini?” tanya Nas. Kami sudah selesai menyalin pakaian. Dia masih menemani aku di situ. Seakan tidak percaya aku akan pulang bersama Lily nanti. Steven dan Vivian baru saja beredar.
“Dia kata dalam sepuluh minit lagi sampailah.” Aku menjawab ringkas.
“Rin, kenapa nampak gelisah aje ni?” tanya Nas.
“Mana ada, aku okey aje.”
Aduh, janganlah dia perasan yang aku ni tiba-tiba dah jadi malu dengan dia.
“Rin…”
“Hmmm…”
“Terima kasih.”
“Untuk apa?”
Aku pandang dia sekejap. Sekejap saja. Aku takut  arus elektrik tu datang lagi.
“Sebab sudi hadir sesi pre-wedding ni.”
Aduh, kenapa pula tiba-tiba suara Nas jadi  macho ni? Sekali dengar macam tertelan batang jagung, tapi sebenarnya suara Nas dah buat aku jadi menggelabah semula. Aku tak selesa dengan keadaan macam ni. Mana Lily ni? Lambatnya dia nak sampai
“Inikan sebahagian dari rancangan kau. Aku ikut aje. Tapi aku nak berterima kasih juga kat kau sebab buatkan gaun pengantin untuk aku.”
Aku cuba berlagak seperti biasa. Cuba hindarkan aktiviti hati yang sedang tunggang langgang di dalam hati ini.
“Aku nak kau simpan gaun tu sebagai kenang-kenangan. Itu hadiah ikhlas dari aku.”
“Eh, tak naklah. Dari kau bagi kat  aku, lebih baik kau  letak kat  butik. Tak pulang modal kalau kau bagi kat  aku.” Sambil bercakap, mata melingas melihat  sekeliling. Aduhai hati. Cubalah bertenang  sikit, boleh tak?
“Aku dah  lama  design gaun tu  untuk kau. Hanya untuk kau. Dan bila aku  cakap  nak bagi kau, maknanya gaun tu  bukan untuk dijual. Sama juga dengan hati  dan perasaan aku. Tak boleh  dijaja, faham?”
Aku kehilangan kata. Otak dan mulut  tak mampu  menghadam kata-kata Nas. Dada terasa sesak. Kenapa lain benar cara Nas kali ni? Telefon bimbit aku berbunyi.  Lily! Bagus, dia  telefon tepat pada masanya.
“Aku pergi dulu Nas. Nanti apa-apa hal kau call  ya.”
Laju saja kaki aku meninggalkan dia. Tapi kenapa aku rasa seperti dia masih perhatikan aku? Tiba-tiba aku teringat satu babak dalam filem hindustan. Aku tersengih sendirian. Terlintas di benak fikiran ingin mempraktikkan aksi di dalam filem Dilwale Dulhania Le Jayenge.
“Aku kira sampai tiga. Kalau Nas tengah pandang masa aku menoleh nanti maknanya dia dah jatuh cinta dengan aku. Kalau dia tak pandang, faham-faham ajelah.” Aku cakap sorang-sorang.
“Satu, dua…tiga.”
Berpusing! Alamak, betul ke apa yang aku tengok ni? Nas masih ada di situ dan… dia tengah pandang aku! Mata ku tenyeh berkali-kali.  Posisi Nas masih tidak berubah. Dia mendongak sedikit, hairan dengan tingkahku barangkali. Sepantas kilat aku berpaling semula.

“Tak… tak mungkin. Aku cuma main-main aje. Tak mungkinlah! Mengarut aje semua ni.”

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget