Saturday, 5 July 2014

BAB 10 - AKU BUKAN TOUCH & GO - QAHIERA IZMA

MERAH betul inai di jemari. Corak ukiran awang larat memenuhi belakang tapak tangan. Tak cukup di tangan kat kaki pun ada. Aku tengok muka di cermin. Cantiknya aku. Tak salah kalau puji diri sendiri, kan? Walaupun muka aku ni dah terbiasa dengan warna-warna mekap, tapi hari ini aku rasa lain. Mungkin seri pengantin, kata orang tua. Aku mendongak muka untuk memudahkan Bobby menyapu gincu di bibir. Sentuhan terakhir sebelum dia pergi menyiapkan Nas pula.
            “Tak payahlah  menjeling-jeling  kat  cermin tu. Kau  nak  melaram sakan pun, bukannya  Nas tu heran!”
Aku  kerling  Bobby. Bibirnya  asyik  menjuih  saja  setiap  kali  aku  bertentang  mata dengannya. Aku  tahu,  dia rasa kedudukannya  tergugat sebab  dia fikir aku  akan  memiliki ‘rakan sesotong’ dia. Eee! Tolonglah! Perjanjian  tetap  perjanjian.  Tak  ingin  aku  bersuamikan  Nasrin  Si Agar-agar Terlebih  Air tu.
“Kau duduk diam-diam kat sini. Nanti aku panggil Lily temankan  kau  bersiap.”
            Aku angguk saja. Malas nak bercakap. Laju tangan Bobby mengemaskan semua peralatan solek di atas meja dan bergegas ke bilik sebelah. Kalau ikutkan, boleh sangat kalau Bobby nak pergi ke bilik Nas melalui pintu tengah. Tapi buat masa sekarang aku tak mahu tengok muka Nas. Aku bangun dan berdiri di jendela hotel bertaraf  lima bintang itu. Kecil saja saiz kenderaan dan bangunan di bawah. Seperti kotak permainan pula aku tengok. Dalam banyak-banyak kenderaan, aku ternampak sebuah kereta polis peronda sedang berlegar –legar di bawah. Automatik saja kepala otak aku ni teringatkan Ikmal.
            “Kau dah sedia Rin?”     
            Ya Allah! Nasib baik aku tak ada sakit jantung. Bila masa pula Lily masuk? Aku pandang pintu yang ternganga luas. Mesti Bobby lupa tutup pintu tadi. Lily letak busana untuk majlis nikah di atas katil.
            “Jom, tukar baju. Kita dah tak banyak masa lagi ni,” kata Lily.
            Aku pandang semula keluar tingkap. Kereta polis tadi masih ada di bawah. Aku mengharapkan seseorang muncul dari dalam kereta polis itu. Aku ambil telefon  di atas meja solek dan  mendail nombor Ikmal. Aku nak sangat bercakap dengan dia pada saat-saat genting ini. Aku nak dia tahu yang aku masih sayangkan dia. Aku nak  beritahu dia ini semua hanyalah lakonan.
            “Tak guna lagi kau telefon dia Rin. Dah terlambat.”
            Aku tak suka Lily cakap macam tu. Muka dia seperti orang yang  tak ada perasaan walaupun aku dah jeling.
            “Tak payah nak jeling-jeling akulah. Kalau Ikmal muncul sekarang pun dia tak boleh buat apa-apa?”
            “Siapa kata? Kalau dia muncul sekarang aku nak suruh dia bawa aku lari. Aku tak nak kahwin dengan Nas.”
            Datang dah sawan aku. Mata ni dah mula panas. Bulu mata palsu yang berat ni tak mampu menutup kolam air mata aku. Perlahan-lahan ia mengalir. Kelam-kabut Lily mencari tisu.
            “Kau janganlah menangis Rin. Cairlah maskara kau nanti. Tak guna kau menangis sekarang. Sepatutnya dari dulu lagi kau fikir kesan dan akibatnya. Sekarang tengok, siapa yang susah?” bebel Lily.
            “Kau ni Lily! Tak habis-habis nak salahkan aku. Aku  buat  semua ni  bersebablah!” Makin laju  pula  air mata ni turun. Aku dah terduduk  di birai katil. Hibanya hati. Harapkan  Lily mampu mengurangkan sedikit  lara di hati. Tapi dia titiskan limau pula pada luka yang  sedang  berdarah.
            “Aku tahu, kau buat  ni semua demi mak kau. Jadi kalau kau  benar-benar ikhlas nak buat mak kau  gembira, kau kena redalah dengan apa yang  kau  buat sekarang.” Lily  sambung lagi  ceramah percumanya.
            Dia hulur persalinan yang aku kena pakai untuk  majlis nikah nanti. Aku buat  bodoh aje. Pandang  baju tu tanpa sebarang perasaan. Baju tu memang cantik. Hasil rekaan Nas sendiri. Sepanjang tempoh Nas menyiapkan busana tu, aku tak pernah cuba pun. Tak berminat.
            “Cepatlah Rin. Nanti nak bawa kau turun bawah pula.” Lily pujuk aku.
            Aku masih macam tadi. Konon-konon nak boikot majlis sendiri, tapi tiba-tiba pintu bilik diketuk. Aku dengar suara mak di luar. Kelam-kabut aku suruh Lily tolong tukarkan baju. Habis hilang terbang wajah Ikmal. Mak dah mula terjerit-jerit kat luar. Sebab tak tahan dengar mak menggendang pintu, aku suruh Lily buka pintu.
            “Kenapa lambat sangat buka pintu? Piah mana? Dah siap ke?” Mak tanya Lily bertalu-talu.
            Terserlah sungguh kekepohan Puan Juriah ni. Dengan  gayanya yang mengalahkan datin, mak menelek muka aku dari atas ke bawah. Sebelah tangannya mencekak pinggang. Lama dia tenung muka aku. Sekali tengok macam dia tengah menjampi serapah. Tapi lama-lama aku tengok bibir mak menggeletar.
            “Akhirnya Allah izinkan juga mak tengok kau kahwin Piah.”
            Aduh, mak dah buat babak drama melayu. Berkaca-kaca mata dia pandang aku. Aku gerenti kejap lagi hujan air mata akan turun. Mak peluk dan tepuk-tepuk belakang badan aku. Alahai, bila dia buat macam tu aku rasa macam nak menangis juga. Sebak sebab sekejap lagi aku akan jadi isteri Nas tanpa rela. Aku balas pelukan mak. Buat seketika aku dan mak melayan perasaan masing-masing.
            “Terima kasih Piah sebab tunaikan hajat mak. Lepas ni  bolehlah mak main dengan cucu pulak.”
            Gulp! Amboi makin tinggi pula hajat dia. Mula-mula suruh aku kahwin, pastu nak cucu pulak. Dia ingat aku ni kilang ke? Boleh ke Nas tu bagi dia cucu? Hish, tak sanggup aku bayangkan.
            “Hei, ni apa pulak main peluk-peluk ni? Rin, kau menangis ke? Alamak! Habislah cair mekap tu.” Bobby dah mula membebel.
            “Alah,  biasalah aksi-aksi drama melayu di  hari  perkahwinan  ni  Encik  Bobby.  Janganlah  serius sangat. Bukan  senang  makcik  nak  pujuk  Piah ni  kahwin  tau.”
            Mak  mencuit  bahu  Bobby. Aku  hulur tisu  pada mak,  untuk  keringkan  pipinya yang  basah. Terdengar  dengusan  kasar  dari  mulut  Bobby  bila  mak  peluk dan cium  pipi  aku.
            “Okey, cukup-cukuplah  tu  aksi peluk  cium ni. Makcik duduk  jauh-jauh  dulu ya.  Saya  nak  touch up  balik  muka  Piah ni.”
            Tak  semena-mena tangan  aku  menampar kuat lengan  Bobby.
            “Aww! Ni  apahal  pulak  tiba-tiba melepuk orang ni?” Bobby  menjerit sambil  menggosok  lengan yang  perit.
            “Mulut  tu  jangan  gatal-gatal  nak  panggil  aku  Piah.  Mak  aku  sorang  aje yang  boleh  panggil  macam  tu.”
            Lurus  telunjuk  aku  tertuding  ke  muka  Bobby. Sakit  pula hati  bila  dia  langsung  tak  terkesan  dengan  amaran  aku. Diulang-ulang nama  timangan  yang  mak  panggil sambil  menarik  aku  duduk  semula  di  kerusi. Aku  ketap  bibir menahan  geram.  Mak  cuma  menggeleng perlahan. Mujurlah mak nampak lebih  penyabar hari ni. Kalau tidak aku rasa lembik Bobby mak kerjakan. Bobby menenyeh semula mekap di muka aku.
            “Okey, makcik boleh bawa Rin turun ke bawah. Lily kau tolong pegangkan kain dia,” arah Bobby.
            Masanya hampir tiba. Aku pandang Lily. Dia pegang dan usap bahu aku  perlahan. Mak dah tunggu aku  di luar bilik.
            “Sabar ya Rin. Setahun aje, lepas tu kau akan bebas. Nas pun dah janji takkan halang kau lepas tu, kan? Apa-apa hal pun, kita kena selesaikan majlis hari ni. Kau memang nampak cantik sangat hari. Naik seri pengantin kat muka kau.” Lily cuba menyedapkan hati aku.
Ketika aku tiba di dalam dewan, Nas sudah pun bersedia di atas pentas kecil bersama abah. Pak Imam dan saksi-saksi pun ada di situ. Deretan barang hantaran kepunyaan aku dan Nas  tersusun indah di sana. Mak dan Lily mengiringi aku ke pelamin mini yang disediakan khas untuk majlis pagi ini. Bunyi flash kamera di sekiling pentas membuatkan aku kurang selesa. Berpasang-pasang mata sedang memandang. Biasalah, aku kan heroin dalam majlis hari ni. Tapi aku tak rasa apa-apa pun. Hati rasa kosong sangat.
            “Senyumlah sikit, masam sangat muka tu ,” bisik Lin
            Dia betulkan selendang yang hampir menutup muka aku. Aku pandang dia dan cuba senyum. Tapi tak menjadi. Aku rasa bibir aku berat sangat.
            “Macam mana aku nak senyum Lily? Aku tak mampu suruh  hati  aku  terima semua ni dengan rela.” Perlahan aku  lirihkan suara sayu ku ke telinga Lily.
            “Jadi kau nak tarik diri sekarang?” tanya Lily.
Mata kami bersabung. Berani dia mencabar semangat aku? Turun naik  dada menahan  marah dan sebal yang menyerang serentak. Tangan Lily aku pegang kuat.
“Kau jangan cabar aku Lily. Aku lari dari sini karang.” Bibir ku kemam kuat. Kau cabarlah  sekali. Memang aku akan bangun dan pergi dari sini. Pedulilah apa orang nak kata apa   pun nanti.
“Boleh Rin, kejap lagi abah kau akan datang jumpa kau. Kalau kau berani, kau cakaplah dengan dia yang kau tak nak kahwin dengan Nas. Aku cabar kau.” Lily berbisik.
Eh, betul-betul dia cabar aku? Lily angguk sekali. Beria benar minah kenit ni  mencabar aku. Dia balas genggaman tangan aku. Dah macam  nak  bergusti lengan pula gamaknya. Perlahan-lahan aku tertunduk rapat ke dada. Beranikah aku menyahut cabaran Lily? Sanggupkah aku nak menentang wajah bengis mak kalau aku batalkan majlis hari ini?
            “Assalamualaikum anak abah.”
            Aku tersentak tatkala tangan kasar abah memegang bahu aku. Genggaman tangan Lily  aku lepaskan. Wajah abah aku renung.
            “Waalaikumsalam, abah...” Ada getar di hujung  suara. Namun aku tutup kegugupan dengan senyum simpul. Malulah konon!
            “Cantik anak abah hari ni,” puji abah.
            Aku kerling  pak imam yang  berdiri di belakang  abah. Dia tunduk sedikit tanda hormat. Baru hari ni  ke abah tahu  anak dia ni  cantik? Lupa ke anak dia ni  model? Ceh! Perasan  bagus pula aku ni. Macam tak biasa pula orang  puji  cantik, kan?
            “Sofea, kejap lagi abah nak nikahkan Sofea dengan Nasrin Bin Rusydi. Abah nak tanya ni, betul ke Sofea sudah  bersedia nak jadi isteri dia?”
            Aku ketap bibir. Lily yang duduk kat sebelah aku pandang sekejap. Teringat dengan cabaran dia tadi. Mata aku ternampak pula kelibat mak yang duduk di kerusi bersama adik-adik. Senyum lebar mak buat aku rasa marah. Tapi bila teringatkan kata –kata mak kat bilik tadi, tak sampai hati pula aku nak hancurkan harapan orang tua tu. Tapi aku masih sayangkan Ikmal. Boleh ke Ikmal terima aku balik nanti?
            “Cik Zarin  Sofea dengar tak abah tanya tu?” tanya Pak Imam.
            Tak nak! Aku tak nak kahwin dengan Nas. Aku nak kahwin dengan Ikmal. Cuma dia aje yang boleh membahagiakan aku.
            “Rin!” tegur Lily.            
            Dia menepuk lembut peha aku. Aku kembali semula ke alam nyata. Aku telan kata-kata tadi bersama anggukan perlahan tanda setuju. Lumpuh rasanya segala kekuatan aku  bila  melihat  wajah gembira mak. Tak  tergamak rasanya nak buat  dia  sedih.
            “Awak kenal Nasrin Bin Rusydi?” Pak Imam pula tanya aku.
            Aku angguk sikit. Mestilah aku kenal agar-agar tu. Gila tak kenal?
            “Cuba tengok kat tengah pentas tu. Betul ke itu bakal suami awak?” sambung Pak Imam.
            Leceh betullah Pak Imam ni. Nak kena buat kawad cam pula ke? Aku panjangkan leher nak pandang Nas di tengah pentas. Apa yang aku nampak sekarang ni, Nas bersongkok hitam dan memakai baju warna sedondon dengan aku. Muka dia aku tak nampak. Tapi aku pasti itu Nas, bos  merangkap suami olok-olok aku. Aku pandang Pak Imam dan aku angguk. Kepala abah  dan pak Imam dah  macam burung belatuk aku tengok. Asyik terangguk-angguk aje dari tadi.
            “Aku ingatkan berani sangat tadi.” Lily senyum sinis.
            Nak aje aku tepuk mulut minah kenit ni. Kenapalah  dalam keadaan macam ni pun dia masih nak perli-perli aku? Tak kuasa aku nak menjawab. Nanti makin panjang pula perginya.
            “Nasrin Bin Rusydi. Aku nikahkan engkau dengan anakku Zarin Sofea …”
            Sebak rasa dada bila mendengar  suara abah di mikrofon. Wajah Ikmal sedikit demi sedikit hilang dari pandangan. Musnahlah impian aku untuk bersuamikan Ikmal, lelaki yang aku cinta sepenuh hati. Aku sorot wajah setiap orang yang berada di situ. Masing-masing nampak gembira dan terharu. Tapi aku, segala rasa yang berada dalam diri ini telah bergabung menjadi satu, hambar.
            “Tahniah Rin. Selamat pengantin baru,” ucap Lily.
            Aku senyum kelat. Di tengah pentas, Nas sedang bersalam-salaman dengan Pak Imam, abah dan saksi-saksi pernikahan kami. Kemudian dia bangun dan berdiri tegak. Dia sedang melakukan sujud syukur!
            “Mak rasa kau dah buat pilihan yang tepat Piah. Sejuk hati mak tengok Nas sembahyang. Mak yakin dia boleh bimbing kau.”
            Eh, bila pula mak duduk sebelah aku ni? Tiba-tiba aje dia dah cium pipi aku. Aku dapat rasakan mak betul-betul gembira. Lensa kamera dah mula terarah pada aku. Nas seterusnya diarak menghampiri pentas mini. Maka, acara seterusnya,  membatalkan air sembahyang. Tapi sebelum tu Nas berlutut di depan mak. Eh, apa dia nak  buat ni?
            “Mak terima kasih kerana terima Nas dalam keluarga ni,” ucap Nas penuh  kesungguhan.
            Tangan mak dan abah  dikucup penuh perasaan. Muka dia kemerahan. Nas menangis ke? Apa yang dia sedih sangat tu? Dia  lupa ke yang kitaorang ni cuma berlakon aje? Tak payahlah nak lebih-lebih sangat.
            “Okey, Nas mari duduk sebelah Rin  ni,” arah Bobby.
            Mak bangun dan bagi ruang untuk Nas duduk. Aku tak pandang pun muka dia.
            “Assalamualaikum.”
            Itu suara Nas. Ikutkan hati, tak ingin aku jawab salam dia. Tapi aku pun bertanggungjawab juga dalam majlis ni, kan? Perlahan aje aku jawab salam dia. Dia suakan cincin yang dia tempah tempoh hari untuk disarungkan ke jari manis aku. Nak tak nak aku hulurkan juga tangan pada Nas. Bibir ni rasa berat sangat nak menguntum senyum. Plastik sangat rasanya.
“Cium tangan suami tu Piah,” suruh mak.
Alamak, bahagian ni yang paling aku lemah ni. Masak aku kena usik kejap lagi ni. Aku pandang Nas yang dah sedia menghulur tangan. Cerianya muka dia. Aku salam tangan Nas dan cium di hujung jari.
“Ada pulak salam macam tu? Salamlah betul-betul Rin. Jangan cepat sangat. Kitaorang nak ambil gambar ni.” Bobby pula menegur.
Cis! Kurang asam betul sotong gergasi ni lah! Lembap sangat  buat kerja tu kenapa? Tak pasal-pasal kena buat  sekali lagi.
“Nas, cium dahi Rin.”
Suara siapa pula tu? Suka-suka dia  aje nak suruh buat macam-macam. Tak sempat aku nak toleh kiri kanan, Nas dah pegang bahu. Saat dua ulas bibir Nas mendarat di dahi, aku rasa satu badan  ni macam kena simbah dengan air sejuk. Oh tidak! Apahal pula ni? Satu macam rasanya.
            “Terima kasih sebab bagi aku  peluang untuk jadi  suami  kau,” ucap Nas.
            Mata dia berkaca-kaca. Kenapa Nas pula yang menangis? Sepatutnya akulah yang menangis sebab terpaksa kahwin dengan dia. Lama dia tenung mata aku. Macam nak beritahu sesuatu.
            “Okey, bergambar dengan keluarga pengantin pulak. Jangan lama sangat ya. Lepas ni pengantin nak kena bersiap untuk majlis resepsi pulak,” kata Bobby.
            Semua ahli keluarga aku naik ke pelamin. Ketika masing-masing sibuk posing, tiba-tiba Nas buat hal. Mula-mula cuma menangis, lama-lama tersedu-sedu pula dia. Apahal pula ni? Masing-masing dah pelik tengok Nas. Aku pegang lengan dia.
            “Nas, kenapa?”Aku tanya.
            Dia tak terus jawab, tapi dia tenung aku. Adoi, tolonglah jangan tenung aku macam tu. Aku tak pandai pujuk orang menangis ni. Takkan nak suruh aku peluk pula.
            “Rin, selama ni aku membesar kat rumah anak-anak yatim. Aku tak kenal pun mak dan ayah aku. Tapi hari ni, aku rasa macam dilahirkan semula. Aku ada mak, abah dan adik-adik. Apa yang penting sekali, aku ada kau. Terima kasih Rin. Tak ada hari yang lebih bermakna dalam hidup aku selain dari hari ini.”
            Aku terkedu kejap. Rasa-rasanya aku tak pernah pun ajar dia dialog macam tu. Nak jadi lebih terperanjat lagi, Nas peluk aku dan sambung menangis di bahu. Apalagi, bukan main laju lensa kamera merakamkan aksi spontan Nas. Dalam keadaan terpaksa, aku tepuk-tepuk perlahan belakang badan Nas. Aku kerling mak dan abah. Laa, diaorang pun menangis juga? Ini apa kes pula menangis secara berjemaah ni?
            “Nas, dahlah tu. Banyak masa lagi boleh peluk bini  kau tu.”
            Fuh, usikan Bobby berjaya melepaskan pelukan Nas. Suasana jadi syahdu kejap. Aku tak sangka pula sejauh itu hebatnya lakonan Nas. Betul ke dia berlakon, atau memang dia cakap betul-betul? Aku cuba ingat balik apa yang dia cakap tadi. Meremang bulu tengkuk aku. Hish, dia main-main aje tadi kut.
            “Ok, kita bagi peluang pengantin berehat dan tukar baju ya. Kita jumpa semula untuk majlis resepsi nanti,” kata Bobby.
            Dia tarik tangan Nas. Lily pula pegang tangan aku. Aku dan Lily  yang lebih dahulu  masuk ke lif. Nas masih belum selesai  berurusan dengan wartawan. Bagus! Layanlah diaorang tu. Muka aku ni dah naik  kejang  dek senyum palsu yang aku ukirkan.
“Alhamdulillah, selesai sesi pertama.”
Lily melambung badan ke katil. Dia pula yang lebih penat dari aku. Tapi memang patut pun dia kelesuan. Sejak awal pagi tadi dia yang sibuk ke sana ke mari menguruskan keperluan aku dan keluarga. Aku duduk di depan almari solek. Melihat  cincin yang tersarung di jari manis. Sepatutnya aku seperti pengantin-pengantin yang lain. Terharu, gembira dan teruja untuk menerokai alam baru. Tapi cincin bertatahkan berlian satu  mata itu langsung tak memberi impak yang  istimewa bagi aku.
“Nampaknya lepas ni aku kena cari kerja lainlah...”
Keluhan berat  Lily  yang  masih terbaring  berjaya memancing perhatian aku. Aku bangun dan  menyertai dia di hujung katil.
“Eh, apsal pulak nak pergi cari kerja lain? Bila masa aku pecat kau? Kau dapat offer lain eh?”
Bertubi-tubi soalan aku ajukan pada minah kenit tu. Dia mengeliat malas. Sambil  meletakkan kedua-dua tangannya di dahi, Lily  pandang aku.
“Kau ingat tak? Nas pernah  cakap  masa kat  Penang dulu. Dia nak kau  pecat aku  lepas korang  kahwin nanti.  So...
“Eh, kau  tak payah nak termakan sangat  dengan  cakap agar-agar tu eh. Aku ni bos, merangkap  kawan kau. Tak ada sesiapa pun yang boleh paksa aku pecat kau.” Cepat-cepat aku bidas kata-kata Lily. Langsung tak terlintas dalam kepala aku nak pecat dia. Melainkan dia sendiri yang nak  berhenti kerja, aku takkan buang dia begitu sahaja.
“Tapi dia dah jadi suami  kau Rin...”
“Ah! Peduli apa aku. Dia cuma suami kat atas kertas aje.” Suara aku dah mula tinggi. Susahnya nak meyakinkan minah kenit.
“Berdosa kalau ingkar arahan suami...”
Terpempan sekejap. Lily ni  sengaja nak kenakan aku ke? Berapa kali aku nak ulang. Aku dan  Nas cuma berlakon. Ah! Malaslah nak  berdebat dengan dia. Aku tukar baju lagi bagus.
“Dah, tak payah nak buat muka teduh tu. Cepatlah tolong bukakan baju ni.”
Perlahan saja Lily  turun dari  katil. Muka dia masih suram. Masih fikirkan pasal tadilah tu.
“Lily...”
“Hmm...”
“Nanti aku  pujuk Nas. Dia takkan sempat nak uruskan aku. Jadual dia sendiri pun dah kelam-kabut.”
Lily senyum sikit. Dia angguk tanda akur. Aku duduk semula di depan almari solek, dia pula tolong tanggalkan   veil   labuh yang  masih terlekat  di  atas kepala aku.
“Tapi kalau dia tak nak, kau jangan paksa pula Rin. Aku tak nak  kau  jadi  isteri derhaka pulak  nanti.”
“Diam ajelah! Kau ni tengah  sedih pun masih nak  banyak cakap ya. Cepatlah buka selendang ni. Rimaslah!”
Diam pun dia. Elok saja siap menyalin kebaya sendat untuk  majlis nikah tadi, kena bersiap-siap untuk majlis resepsi pula. Lenguh segala urat sendi. Mujur semuanya dibuat  dalam masa sehari. Dua jam kemudian kami dah bersedia untuk acara seterusnya.

“Lily, aku rasa tak sedap hatilah.”
            Lily pandang aku atas bawah. Lepas tu dia senyum. Eh, dia ni. Aku cakap betul-betul, dia boleh tersengih-sengih pula.
            “Ada-ada ajelah kau ni. Kau kan raja sehari. Biasalah  perasan  gemuruh tu. Sekarang tak berapa nak gabra. Tunggu bila malam menjelma nanti.”
Pap!
Spontan tapak tangan aku melekap di  dahi Lily. Dia dah terkekek-kekek ketawa. Kurang asam! Ke situ pula dia fikir.
“Kau gelaklah lagi. Aku sumbat kasut tumit ni kat dalam mulut tu karang.” Aku acah sebelah kasut yang  masih belum ku sarung ke kaki. Lily tekup  mulut, buat-buat takut. Dia pergi  ke pintu. Sudah bersedia untuk mengiringi aku  ke dewan utama. Tapi hati aku ni makin tak keruan pula rasanya.
“Tunggu sekejap Lily.” Aku pegang kuat tangan Lily. Terjongket kening dia melihat tingkah aku. Tak sempat aku nak buka mulut, Nas muncul dari bilik sebelah.
            “Kenapa ni?” tanya Nas.
            Hish, kenapa dia handsome sangat ni? Tak macam selalu. Kut warna baby blue  yang dia pakai  memang kena betul dengan warna kulit  Nas yang cerah. Dia pandang aku atas bawah. Nampak risau aje muka dia. Nak ambil beratlah konon!
            “Tak ada apa-apa? Baju ni macam ketat sikit.” Aku bohong dia.
            “Ketat? Mari sini aku tengok,” kata Nas.
            Laju dia berdiri di belakang aku. Lily dan Bobby memerhatikan saja. Entah apa pula  yang dia nak buat kat belakang aku ni.
            “Eh, takpelah Nas. Aku okey aje.”
            Cepat-cepat aku jauhkan diri dari Nas. Aku tarik tangan Lily dan pergi ke pintu lif yang akan bawa aku turun semula ke dewan. Kami berempat diam membungkam saja di dalam lif. Tapi bila pintu lif terbuka, sekali lagi Nas buat aku terkejut.
            “Kau berdua keluar dulu. Aku ada hal nak cakap dengan Rin kejap,” arah Nas.
            Lily dan Bobby keluar. Nas tutup semula pintu lif, tapi tak tekan apa-apa nombor pun. Dia pandang aku dengan mata dia yang dah tak ada bulu mata palsu.
            “Rin, aku tahu ini cuma lakonan. Tapi janganlah kau tunjuk sangat yang kau tu tengah berlakon. Cuba maniskan sikit muka tu. Kat luar tu nanti macam-macam orang ada. Aku dah cakap dulu, tapi aku nak cakap lagi hari ni. Kalau kau tak nak jaga air muka aku, sekurang-kurangnya jaga air muka sendiri dan keluarga kau.”
            Aku pandang muka Nas, dia nampak  sedih. Aku tarik nafas dalam-dalam. Ada benarnya juga kata-kata Nas tu. Aku sepatutnya berterima kasih pada dia, bukan menjadikan dia seteru.
            “Aku minta maaf Nas. Aku tak ada niat pun nak gagalkan rancangan ni. Cuma aku rasa tak berapa selesa.” Aku cuba berterus-terang pada Nas.
            “Mula-mula memanglah tak selesa. Kau jangan risau, aku takkan lupa perjanjian kita. Tapi kau pun kena sedar satu perkara ni Rin. Aku suami kau yang sah untuk tempoh masa setahun ni. Dan status tu takkan berubah selagi kita masih bersama. Jadi apa-apa hal yang melibatkan kau, aku perlu ambil tahu.” Tegas Nas.
            Aku telan air liur bila Nas cakap macam tu. Untuk mengelakkan dari aku fikir yang bukan-bukan, lebih baik aku bawa Nas keluar dari lif. Aku lingkarkan tangan aku di celah tangan Nas.
            “Baiklah wahai suamiku. Marilah kita selesaikan majlis ini segera. Hal-hal yang lain tu nanti kita bincang kemudian, ya.”
            Aku tekan butang di dinding lif. Terbuka saja pintu lif, paluan kompang mula kedengaran. Maka bermulalah majlis resepsi pasangan pengantin sensasi Zarin Sofea dan Nasrin. Sensasi ke?
            “Lily, aku macam nampak Ikmal.”
            Aku bisik kat telinga Lily. Para tetamu  masih lagi melangsungkan acara tepung tawar. Melingas mata Lily mencari orang yang dimaksudkan.
            “Mana ada Ikmal kat sini Rin. Perasaan kau aje kut.” Lily menidakkan kata-kata aku.
            Aku rasa mata aku tak salah. Memang aku nampak Ikmal tadi. Sejam berada di atas pentas utama, akhirnya aku dan Nas beralih pula ke meja makan. Lensa kamera tak penat-penat ikut kami berdua. Habis berposing  di pelamin, sambung pula aksi suap-menyuap di meja makan.
            “Selamat pengantin baru Puan Zarin Sofea.”
            Laju kepala aku menoleh ke arah suara yang menegur di depan meja santapan. Serentak itu juga mata aku bagai dipukau. Tak percaya dengan apa yang aku lihat sekarang.
            “Ikmal…”
            Dia cuma senyum bila aku panggil. Mahu saja aku peluk dia. Tapi aku dah tak mampu nak berdiri. Kaki  aku rasa lembik tak bermaya. Menggeletar bibir untuk berbicara. Tapi Ikmal tetap senyum. Dia kelihatan tenang. Aku jadi keliru dengan reaksi Ikmal.
            “Semoga berbahagia hingga hujung nyawa,” ucap Ikmal.
            Dia menepuk bahu Nas yang juga sedang memandangnya. Kemudian tanpa menoleh lagi, Ikmal terus pergi. Oh tidak! Janganlah pergi. Aku nak bangun dan  kejar Ikmal tapi Lily pegang tangan aku.
            “Lily please. Aku nak jumpa Ikmal. Sekejap pun jadilah.” Aku rayu Lily.
            “Kau gila ke? Orang tengah ramai ni. Kau tak ingat ke apa dia buat kat kau kelmarin?” tanya Lily.
            Mata aku melingas mencari bayang Ikmal yang sudah hilang dari pandangan. Aku sentap tangan Lily. Kali ni aku goncang  pula tangan Nas.
“Nas, tolonglah Nas. Bagilah aku jumpa Ikmal. Aku nak terangkan pada dia semua ni. Aku tak mahu dia fikir aku curang . Aku masih sayangkan dia Nas. Please…” Aku rayu Nas pula.
            Dah hilang rasa malu aku pada  orang sekeliling. Lensa kamera yang sibuk merakamkan aksi spontan aku pun tidak aku hiraukan. Apa yang penting bagi aku sekarang adalah Ikmal.
“Kalau kau rasa kau dah cukup berani untuk malukan mak dan abah, kau pergilah kejar jantan tu,” kata Nas.
Nada kerasnya menyentap aku. Aku pandang wajah Nas. Dia masih mampu menguntum senyum walaupun baru sebentar tadi aku dengar suara dia melarang aku pergi mengejar cinta hatiku. Aku tiada pilihan, terpaksa ikut cakap Nas. Aku tak sanggup nak malukan mak dan abah. Sudahnya sepanjang majlis itu senyum yang aku pamerkan hanya plastik semata-mata. Kolam air mata ni macam dah beku. Walaupun sedih, aku tak boleh menangis. Apa yang aku boleh buat sekarang adalah senyum.

“Akhirnya selesai juga majlis kita,” kata mak.
Dia dah tersandar keletihan. Walaupun penat, aku tengok mak gembira sangat hari ini. Abah pun sama juga. Adik-adik aku dah balik dulu sebab anak masing-masing dah mula buat perangai.
“Lily, nanti aku balik dengan kau, ya.” Aku cakap perlahan pada Lily.
Rupa-rupanya Nas terdengar apa yang aku cakap. Bukan setakat Nas, mak dan abah pun menelinga sama. Tak pasal-pasal  diaorang gelakkan aku. Kelakar ke aku cakap macam tu?
“Puan  Zarin  Sofea, kau tu dah jadi isteri orang. Maka dengan ini aku mengisytiharkan bahawa, aku akan bercuti selama seminggu. Jadi sepanjang seminggu ni dan mungkin minggu-minggu seterusnya suami kaulah yang akan menghantar dan membawa kau ke mana-mana sahaja. Betul tak Nas?” Lily menyinggung lengan Nas yang sedang berdiri di sebelah aku.
Benci pula aku tengok muka Nas waktu tu. Hati aku ni memang dah bengkak sejak tadi. Aku salam mak dan abah, lepas tu  terus naik ke bilik. Dah tak peduli dengan orang sekeliling yang sudah  beransur pulang. Saudara-mara yang  masih berada di situ langsung tak aku hiraukan. Sempat jugaklah Nas ikut aku masuk dalam lif. Tapi dia tak cakap apa-apa pun.
“Eh, ni apahal pulak masuk bilik aku? Bilik kau kat sebelah kan?”
Terperanjat aku bila Nas ikut aku  sampai ke bilik. Aku  cuba menghalang tapi tangan aku pula yang ditarik masuk  ke dalam bilik. Terduduk aku di hujung katil ditolaknya. Aku nampak beg baju Nas kat tepi almari. Alamak, kena tidur sebilik dengan dia ke malam ni? Habislah aku. Nas buka beg baju dan keluarkan baju tidur.
“Kau nak tidur dengan gaun pengantin tu ke? Atau kau nak aku tolong tanggalkan?” tanya Nas.
Cepat-cepat aku bangun dari katil bila dia nak datang dekat. Walaupun dia ni agar-agar, tapi dia tetap lelaki. Buatnya tiba-tiba datang pula aura jantan dia, kat mana pula aku nak lari? Takut punya pasal, sampai terlupa nak  bawa tuala dan baju salin. Dah masuk ke bilik mandi baru teringat. Aduh macam mana ni? Hampir sejam aku dalam bilik air. Dah siap mandi dan cuci mekap, tapi takut nak keluar. Yalah, takkan aku nak sarung balik gaun meleret tu. Nak minta tolong Nas ambilkan baju, seganlah pula.
“Oi makcik! Kau tidur ke kat dalam tu? Cepatlah keluar, aku nak mandi pulak,” jerit Nas dari luar.
Alamak, macam mana ni? Takkan aku nak keluar dengan tuala hotel yang singkat ni. Nak minta tolong dia ke tak ni?
“Rin, cepatlah! Aku nak kencing ni. Aku kira sampai sepuluh, kalau tak aku tendang pintu ni nanti.” Nas ugut aku pula.
Ala, mana aci main ugut-ugut ni. Nas dah mula mengira. Nak tak nak aku buka jugalah pintu tu. Tapi aku buka sikit aje. Aku jenguk kepala ke luar. Eh, belum sempat aku cakap apa-apa lagi Nas dah hulur bath robe.
“Ambil wuduk sekali. Kejap lagi kita solat sama-sama,” arah Nas.
Aku tutup pintu balik. Sambil pakai bath robe, kepala aku ni ligat berfikir. Apahal pula Nas ajak aku sembahyang sama-sama ni? Takkan dia nak… Hish, aku tak berani nak fikir sejauh tu. Ya Allah, selamatkanlah aku dari agar-agar  ini. Dah siap ambil wuduk aku keluar dari bilik mandi. Di hujung bilik dah siap terhampar dua helai sejadah. Di atas satu sejadah tu ada telekung yang Nas bagi dalam dulang hantaran semalam.
“Siap-siap dulu. Aku mandi kejap,” ujar Nas.
Menggigil badan aku tengok semua ni. Di atas katil pula ada taburan kelopak ros merah. Oh tidak, apa yang aku pandang ni semua mimpi. Janganlah Nas langgar perjanjian. Kalau dia langgar juga, aku takkan maafkan dia seumur hidup. Aku pandang aje telekung di atas sejadah bertekat benang sulam itu. Hati ni masih berbelah bagi, nak ikut cakap Nas atau pun melawan.
“Kenapa kau tenung aje telekung tu? Kau period ke?” tanya Nas.
Eee, malunya  bila dia tanya macam tu. Dia ni kalau cakap memang tak reti nak jaga bahasa tau. Aku geleng dan cepat-cepat sarung telekung.
“Nas, apa maksud kau dengan semua ni. Kau jangan lupa…”
“Perjanjian kita?” Nas dah potong cakap aku dulu.
Dia dah siap berbaju melayu, busana yang dipakai sewaktu akad nikah siang tadi.
“Rin, aku belum nyanyuk lagilah. Aku takkan lupa perjanjian tu. Tapi sebagai seorang suami, aku rasa aku perlu tunaikan tanggungjawab aku. Tanggungjawab suami bukan setakat kat atas katil. Ini pun salah satu tanggungjawab juga. Aku dah lama impikan  nak jadi imam untuk isteri dan anak-anak aku. Walaupun perkahwinan kita ni cuma lakonan, perintah Allah yang satu ni jangan diabaikan. Sebab, hakikatnya kau  tu  isteri aku yang sah. Semua ni akan tergalas di bahu aku, faham?”
Kata-kata Nas menusuk tepat ke jantung. Aku pandang dia yang sudah berdiri tegak di atas sejadah. Inilah pertama kali aku jadi makmum buat seorang lelaki selain dari abah. Lain sangat rasanya. Usai solat Isyak, kami mengerjakan solat sunat pula. Rasa sebak tiba-tiba bertandang bila Nas mengharapkan kebahagiaan dan kesejahteraan aku di dalam doanya. Alangkah bagusnya kalau yang berada di depan aku  sekarang adalah Ikmal. Ah, kenapa dia muncul di saat aku sedang cuba membuat mak  percaya bahawa perkahwinan aku dan Nas ini adalah benar? Nyaris lagi aku membongkarkan rahsia sendiri. Aku mendengus kasar, melepaskan rasa kesal yang tak pernah sudah.
“Zarin  Sofea…”
“Hah!” Aku pandang Nas yang duduk mengadap aku.
“Dah habis dah doanya. Kau tadah apa lagi tu?” tegur Nas.
Aku raup muka dan lipat sejadah.
“Rin…”
“Apa?” Eh, tertinggi suara pula.
Nas hulur tangan. Aku sambut sekilas dan tarik tangan aku semula dengan laju. Tapi Nas  tarik balik tangan aku. Dia pegang dengan dua tangan, kemudian dia bawa ke bibir. Aduh, gelinya bila terkena kumis Nas. Tak cukup dengan tangan, dahi aku pula dikucup. Lama bibir Nas mendarat di situ. Alamak, apsal tiba-tiba bulu tengkuk aku meremang ni. Bahagianya bila Nas buat macam tu. Sampai terlelap mata aku menikmati rasa yang agak pelik ni.
Tiba-tiba Nas berdehem kecil. Dia melipat sejadah dan pergi ke bilik air untuk menyalin baju. Aduh, malunya aku. Minta-minta Nas tak terperasan tadi. Aku sangkut telekung dan sejadah di tempat penyangkut. Satu lagi masalah timbul. Macam mana aku nak tidur malam ni? Takkan aku nak tidur sekatil dengan Nas? Dalam pada  tengah berfikir tu, Nas keluar dari bilik air. Dia terus pergi ke katil, ambil bantal dan selimut. Dia letak bantal dan selimut kat atas sofa. Aku senyum, mujurlah dia faham.
“Terima kasih.” Aku ucapkan pada Nas. Dia pandang aku dengan muka pelik.
“Untuk apa?”
“Sebab kau tak paksa aku tidur dengan kau. Kau tak kisah kan, tidur kat sofa?” Aku tanya dia.
“Eh, siapa cakap aku nak tidur kat sofa? Aku siapkan bantal dan selimut tu untuk kau. Aku nak tidur kat sini,” kata Nas bersahaja.
Dengan selambanya dia panjat naik atas katil yang penuh dengan taburan kelopak bunga ros tu. Terlopong mulut aku tengok dia. Aku baru aje nak berbaik-baik dengan dia, dah dia buat perangai lagi. Ada ke patut dia suruh aku tidur kat sofa? Bengkoklah tulang aku.
“Apsal kau pandang aku macam tu? Tak puas hati? Kalau tak nak tidur kat sana, mari sini tidur sebelah aku. Jangan risau, aku takkan sentuh kau tanpa rela. Tapi kalau terpeluk nanti jangan marah pulak!”

Sakit telinga aku dengar Nas gelak melambak. Dari kena peluk dengan dia, aku lebih rela tidur kat sofa. Kurang asam punya agar-agar!

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget