Friday, 3 January 2014

Awek Pisang Goreng : Bab 7, 8, 9 & 10

Bab 7.

“Err... dia sekolah lagi, makcik?”
Makcik tu dah kerut-kerut kening.
“Kamu tak tau ke?”
Laju aku menggeleng. Lagi sekali dia kerut kening.
“Sekolah lagi... Tahun depan dalam bulan... Bulan empat kalau tak silap makcik, dia habislah.”
Bulan empat habis? Err... sekolah apa habis bulan empat? Hmmm... Budak U kot... Aku tarik senyum. Keyakinan yang sekejap tadi terbang menghilang, kembali semula.
“Pakcik ada tak makcik?”
Dia mengangguk, tapi tayang riak pelik.
“Kalau tak keberatan, saya nak jumpa dengan pakcik, boleh?”
Masih menayangkan riak pelik, tapi tetap mengangguk.
“Sekejap makcik pergi panggil dekat atas.” Dan dia terus memanjat anak tangga yang berada dekat dengan pintu utama.
Aku bersandar sambil berpeluk tubuh pada dinding, menghayati pemandangan di luar rumah. Senyum di bibir masih tak lekang. Gabra macam mana sekalipun, senyum jangan lupa.
“Awak buat apa lagi kat sini?” soalan siap pakej dengan tumbukan di bahu.
Aku mengaduh perlahan sambil menggosok bahu yang perit. Dah empat kali bahu kiri ni menerima tumbukan, aku bajet tak payah tunggu esok, sekarang pun dah naik kesan lebam dah ni rasanya.
Senah yang bercekak pinggang depan muka pintu aku pandang. Tak sempat buka mulut, ada derap kaki menuruni anak tangga. Senah mendongak dan aku ikut memandang ke arah yang sama.
“Husna, pergi buatkan teh.”
Husna. Husna. Husna. Nama tu bergema dalam kepala. Sangat indah kedengaran di telinga. Indah lagi bila disebutkan di bibir. Aku pandang dia yang masih melopong memandang ke arah kedua mak ayah dia.
“Husna...” bisik aku sebelum menarik senyum senget. Terus dia berkalih memandang aku. Membuntang mata kucing itu tak berkelip memandang aku.
Auh... comel. Comel sangat. Tahap confidence aku naik 150% walaupun perasaan gementar tu masih terus ada.
“Pergi buatkan air, Husna.” Mak dia tegaskan suara, dia merengus dan hentakkan kaki sekali sebelum mencicit berlari masuk ke dalam. 
Aku kulum senyum. Sumpah comel nak mati perangai tu.
“Haa, nama kamu apa tadi?”
“Err... Firdaus, pakcik.”
“Haa... Firdaus... Meh, jemput masuk, kita pi duduk kat depan.”
Sandal aku buka dan dengan lafaz bismillah, aku melangkah masuk. Perlahan mengekor di belakang mak ayah Senah... eh, err... Husna. Ye, belakang mak ayah Husna menuju ke ruang tamu.
“Jemputlah duduk. Mintak maaflah, pakcik baru balik mesyuarat JKKK tadi, penat sikit.”
Aku geleng dan senyum.
“Tak apa. Patut saya yang minta maaf, mengganggu pakcik berehat petang-petang ni.”
Elok habis aku bercakap, dia masuk dengan menatang sebuah dulang. Dituangkan teh ke dalam cawan sebelum diagihkan. Kemudian dia berlalu masuk ke dalam semula. Itupun dia sempat hadiahkan jelingan membunuh lebih dulu pada aku siap dengan menjelir lagi. Nak tergelak, tapi aku tahan. Aku berdehem sekali.
“Dah lama kenal anak pakcik?”
Tak sempat aku tarik nafas lagi, ayah dia dah tanya soalan maut tu. Aku telan liur sebelum menarik nafas dalam-dalam. Perlahan kepala kugeleng. Ayah dia nampak sedikit terkejut. Wajah serius lelaki berusia lebih dari separuh abad di depan aku pandang. Mata bertentang. Harus. Yakin. Diri.
“Saya baru kenal dia. Baru pertama kali jumpa lebih kurang seminggu lepas dekat gerai pisang goreng tu.”
Mak dia dah melopong. Ayah dia pun ikut melopong.
Second time saya jumpa dia secara kebetulan dekat restoran mamak kat Kota Kemuning. Dan hari ni, juga secara kebetulan, dekat Summit,” sambung aku lagi.
Membuntang mata mak dia memandang aku. Ayah dia juga pandang aku dengan riak penuh ketidakpercayaan. Aku berdehem lagi.
“Kamu tau tak anak pakcik tu sekolah lagi?”
Aku geleng.
“Saya tak tau apa-apa tentang dia. Nama sebenar dia pun sampai sekarang saya masih tak tau. Err... kecuali Husna, sebab makcik panggil dia tadi,” jawabku, jujur.
Sungguh, aku dah tak kuasa nak berdolak-dalik lagi. Biarlah diorang tahu sekarang daripada aku terjerat sendiri di kemudian hari. Mak dengan ayah dia berpandangan sesama sendiri sebelum saling berbisik.
“Kamu tak tau apa-apa, tapi kamu boleh sampai rumah pakcik ni? Macam mana sampai kamu boleh  hantar dia?”
Aku garu belakang kepala. Teragak-agak hendak memberikan jawapan.
“Sebab saya rasa sebelum saya berkenalan dengan dia lebih lanjut, lebih afdhal saya berkenalan dengan wali dia dulu. Itu yang membuatkan saya nekad untuk hantar dia balik.”
Ayah dia senyum lalu menggeleng. Teh dalam cawannya disisip perlahan. Mak dia ikut senyum.
“Kerja kat mana?”
“Dekat kawasan perindustrian kat Kota Kemuning tu je.”
Setelah itu aku mencapai cawan teh di atas meja dan menyisip sedikit teh yang sudah suam, cuba menghilangkan perasaan gementar yang masih belum pudar.
“Kerja apa?”
Cawan kukembalikan atas piring lapiknya kemudian berdehem sekali.
“Saya kerja biasa-biasa je, pakcik. Buat maintenance dekat kilang-kilang.”
Ayah dia mengangguk-angguk. Teh dalam cawannya disisip lagi.
“Dah lama ke kerja situ?” Mak dia pula menyoal setelah sekian lama berdiam diri.
Aku mencongak dalam kepala.
“Adalah dalam enam tahun dah saya dekat situ.”
“Haa, nama kamu apa tadi?”
“Err... Firdaus, pakcik.”
“Kamu masih ada mak ayah?” soal ayah dia lagi.
“Mak ada lagi. Ayah saya dah meninggal empat tahun lepas.”
Dia mengangguk-angguk. Aku angkat cawan teh dan membawanya ke bibir. Teh yang dah semakin sejuk aku teguk perlahan.
“Husna tu dah nak habis sekolah dah. Tahun depan, kan? Bulan berapa?” Berkerut-kerut dahi mak Senah. Eh, eh, bukan Senah. Husna...
“Kalau tak silap haritu dia kata bulan empat dia habis final. Konvo bulan sembilan.”
“Lepas bulan empat, kalau kamu masih ada niat yang sama, datanglah bawak mak. Kita bincang.” Ayah dia dah senyum lebar.
“Err... Awal lagi saya dah cakap dengan mak saya. Hujung minggu depan dia kata nak datang.”
Terjungkit kening ayah dia. Sekejap kemudian dia bangun dan terus duduk di sebelah. Bahu aku dipeluk erat.
Tiba-tiba aku rasa sebak. Teringat-ingat pada arwah ayah dulu yang selalu duduk di sebelah aku, memeluk bahu sambil bercerita dan memberi pelajaran hidup. Meminjamkan kekuatan saat aku hampir rebah menongkah kehidupan.
“Jujur pakcik cakap, walaupun pakcik tak kenal kamu lagi, tapi pakcik suka dekat kamu. You’re one fine gentleman. Pakcik yakin kamu serius dengan anak pakcik tu. Kalau tak, tak mungkin kamu berani datang macam ni walaupun kamu tak kenal dia siapa sebenarnya, kan? Keberanian kamu ni, bukan calang-calang orang ada. Tapi, pakcik tak boleh nak bagi kata putus. Semuanya terpulang pada dia. kamu faham, kan?”
Aku tarik senyum dan mengangguk perlahan.
“Saya faham, pakcik. Apa sahaja jawapan dia, saya terima. Tak ada sebarang paksaan dari pihak saya.”
Bahu kiri aku ditepuk-tepuk. Adeh, sengal kesan tumbukan Senah tadi terasa mencucuk-cucuk, tapi aku tahankan sahaja. Pandangan si ayah terhala pada mak dia.
“Pi dalam sat, abah ada hal nak bincang. Sat lagi abah panggil lain,  panggil dia mai depan ni sekali,” arahnya.
Eh? Dia ni satu family orang utara jugak ke? Mak dia akur dan terus ke dalam.
Aku terus rasa kecut perut. Aisehmen... Apa lagi yang tak kawtim ni? Tadi gaya-gaya macam dah lulus temuduga dah. Isk... Dia jarakkan sedikit duduknya dari aku. Aku telan liur. Seram gila pulak tengok riak serius ayah dia ni.
“Berapa umur kamu tahun ni, Firdaus?”
“Err... Saya dah tigapuluh dah pakcik.”
“Ramai adik beradik?”
“Err... lima orang. Saya yang nombor dua.”
“Adik-adik ramai yang sekolah lagi?”
Bertubi-tubi soalan hah.  Lepas satu, satu. Nasib baik soalan senang je nak jawab.
“Dua dah kerja. Sorang baru masuk poli. Sorang lagi form five.”
“Ada yang dah kahwin?”
Aku angguk.
“Kakak dengan adik saya seorang.”
“Ada adik beradik lelaki lagi yang lain?” Raut wajah itu masih serius tanpa sebarang senyuman.
Aku tarik nafas dalam-dalam.
“Seorang je. Dah kerja dah. Kahwin dah pun.”
Dan akhirnya ayah dia mengangguk. Belakang badan aku ditepuk perlahan.
“Berat tanggungjawab kamu ni. Kamu betul-betul dah sedia ke nak pikul lagi satu tanggungjawab?”
“InsyaAllah pakcik. Saya yakin Allah akan memudahkan urusan saya bila saya menyenangkan hati mak saya. Ini permintaan mak saya yang sedang saya tunaikan. Dan saya yakin dengan pilihan saya ni bila segala urusan saya dipermudahkan setakat ni. Alhamdulillah.”
Belakang aku ditepuk lagi. Dan kali ini beserta senyuman di wajah tua itu. Aku hela nafas lega sembunyi-sembunyi.
Ayah dia bangkit dan keluar dari ruang tamu. Cawan teh aku tarik dan meneguk perlahan. Lega tak tau nak habaq lagu mana. Sebaik aku kembalikan cawan yang masih suku bersisa ke piringnya, ketiga-tiganya kembali ke ruang tamu. Husna disuruh duduk berhadapan dengan aku, diapit mak ayahnya kiri dan kanan. Dia tayang muka blur. Sedikitpun tak memandang pada aku.
“Ni abah nak tanya dengan Una.”
Ooo... Family dia panggil Una... Maknanya Senah tu just among friends lah. Ok, set, lepas ni aku nak panggil dia Una jugak. Kata dah nak jadi part of the family, kan?
“Tanya ape?”
Wooo... dengar cara dia menyoal dekat ayah dia pun aku rasa dah boleh cair. Manja rupanya budak ni.
“Una setuju?”
Berkerut-kerut kening dia. Dijelingnya aku sekilas.
Aku cuma balas dengan senyum simpul.
“Setuju apa abah ni?”
“Una setuju kalau abah terima pinangan Firdaus untuk Una?”
Dia terus melompat dari sofa.
“Apadia?! Orang gila tak faham bahasa ni pinang Una?!”









Bab 8.

Telunjuknya lurus tepat kepadaku. Aku cuma senyum. Gabra toksah cakaplah, memang gabra habis. Tapi mesti maintain tenang. Harus bertenang.
“Una! Don’t be rude!”
Tu dia, mak dia cakap English! Hebat ustazah ni.
I’m not!” bantahnya keras. Siap dengan mimik muka tak puas hati, kening berkerut dan bibir sedikit muncung. Comel. Heh.
“Una.” Semudah itu sang ayah bersuara dan tangannya yang lurus menuding ke arah aku diturunkan perlahan.
Aku berdehem sekali.
“Err... pakcik, makcik. Don’t blame her for her reactions. Err... sebab memang saya yang salah.”
Pandangan Husna mencerun pada aku. Terketap-ketap bibir mungil itu. Mak dan ayah dia ikut memandang ke arah aku. Aku telan liur.
“Terus terang cakap, saya yang mintak dia tunjuk-”
“Mintak tunjuk?” pangkas Husna. Terjungkit kening lebat itu sebelah.
Aku hela nafas panjang. Fine.
“Err... kind of paksa dia tunjukkan...”
Kind of?” pangkas dia lagi.
Dia ni laa kan... Ada jugak yang aku cium terus kat sini kang, baru tau langit tu tinggi ke rendah. Baru berbaloi kalau aku kena belasah dengan mak ayah dia pun. Hiisshh... Geram betul.
Aku hela nafas panjang sekali lagi dan menolak rambut yang berjuntaian di dahi ke belakang.
“Ok. Saya terus terang cakap, saya memang kebetulan jumpa dia dekat Summit tadi. Tapi lepas tu saya paksa dia balik dengan saya. Saya paksa dia tunjuk mana rumah dia. Saya...”
Aku tengok Husna dah tarik senyum. Siap bersilang tangan di dada. Mak dengan ayah dia masih terlihat tenang menunggu penjelasan aku. Aku tarik nafas dalam-dalam. Ok, relax Daus, chill. Jangan cepat sentap. Not at this moment. Not at this time.
Aku kalih pandang pada si ayah. Memandang tepat ke wajahnya. Kira man to man laa ni.
“Saya mengaku saya salah sebab paksa Husna dan saya minta maaf pasal tu. Betul-betul minta maaf. Niat saya buat macam tu, macam yang saya cakap tadi. Sebelum saya kenal dia lebih lanjut, lebih afdhal saya berkenalan dengan wali dia dulu, dengan pakcik.” Aku berhenti.
Mak dengan ayah dia masih diam, sedang menghadam penjelasan aku mungkin. Dari ekor mata aku nampak Husna menjulingkan matanya ke atas dan menggeleng. Kau tak percaya eh? Siap kau, aku goreng cukup-cukup sampai jadi jugak. Heh.
First time jumpa je hati saya dah jatuh berkenan. Kali kedua pulak saya dah jatuh suka. Kali ketiga, saya yakin dan pasti, Allah yang aturkan pertemuan demi pertemuan tu yang membuatkan saya akhirnya sampai kat rumah pakcik petang ni. Niat saya cuma satu. Saya nak minta izin dan restu dari pakcik, dari makcik, untuk mengambil Husna sebagai pendamping saya yang sah di dunia dan akhirat nanti.”
Mak ayah dia tersenyum lebar. Tapi Husna aku tengok dah melopong besar. Pandang semula pada si ayah.
“Saya mengaku cara saya salah. Tapi kalau saya tak buat macam tu, saya pun tak tau bila saya dapat jumpa dengan pakcik, dengan makcik. Sekarang ni, semuanya terpulang pada pakcik, pada makcik, pada Husna. Apa saja pun cakap pakcik, saya terima.” Aku tamatkan hujah bela diri dengan helaan nafas panjang.
 Ayah dia berdehem sekali. Cawan teh ditarik ke bibir dan diteguk perlahan. Aku telan liur. Aiseh, main jeda-jeda macam ni yang aku tak gemar ni. Dahlaa tengah saspen gila nih.
Aku kilas pandang pada Husna yang aku rasa juga tengah tak senang duduk menunggu jawapan dari ayah dia. Pakcik, cepat sikit cakap boleh tak? Saya dah rasa nak terkucil ni. Heh.
Cawan teh dikembalikan atas piring lapik. Ditolehnya pada sang isteri, kemudian pada si anak sebelum memandang pada aku. Sekali lagi dia berdehem. Aku telan liur.
“Mak kamu nak datang bila? Hujung minggu depan ye?”
Err... Aku angguk perlahan.
“Datanglah. Kami tunggu.” Dia senyum.
“Alhamdulillah... Terima kasih pakcik.” Aku ikut senyum. Lega!
“Abah! Una tak-“
“Pakcik bagi peluang kamu bincang elok-elok dengan Husna dekat luar sana.”
Rengekan dia dipangkas laju. Husna tayang muka tak puas. Berulang kali dia pandang aku dengan ayah dia. Aku sekadar senyum dan bangkit berdiri. Dah nak cair sebenarnya dengar dia punya merengek tadi. Merengek marah-marah pun aku dengar manja yang amat. Tak boleh tahan betul. Kalau ayah dia tak potong tadi, confirm aku dah meleleh ke lantai. Heh!
“Saya mintak izin bincang dengan Husna sekejap ye pakcik, makcik?” Mereka mengangguk. Mak dia tolak Husna supaya bangun.
Aku keluar lebih dulu dari ruang tamu melintasi ruang tv dan terus ke pintu utama tadi. Sandal kusarung dan terus ke tepi kereta, menunggu. Lebih kurang lima minit kemudian baru Husna muncul dengan muncung panjang sedepa di bibir.
Aku bersandar pada dinding kereta, memerhatikannya yang sedang menendang-nendang batu-batu kecil atas tanah. Senyum dan geleng-geleng. Tangan kusilangkan di dada.
“Apa motif awak ni sebenarnya, hah?” Akhirnya dia yang memulakan setelah puas menendang batu-batu kecil. Tubuhnya disandarkan pada tiang besi yang menampung awning rumah. Tangannya ikut bersilang di dada.
“Apa yang saya cakap tadi, itulah motif saya.”
Dikecilkan matanya. Skeptiklaa tu, macam aku tak faham.
“Cakap betul-betul boleh tak?” rengusnya.
Aku ketawa kecil.
“Saya cakap betul-betullah ni. Dah siap terus terang lagi dengan mak ayah awak. Apa yang tak betulnya lagi?”
“Main-mainlah awak ni!”
KTANG!! Tiang besi disepak kuat. Berdengung bunyinya. Tak padan dengan pakai selipar getah aje. Pergh! Kalau dia sepak keting aku tadi, confirm patah. Garang yang amat budak ni dengan aku. Tapi dengan mak ayah dia, dengan kawan-kawan dia, apasal nada manja tu kedengaran jelas walaupun tengah marah? Tak aci betul...
Haisshhh... Aku kuis tanah dengan hujung sandal.
“Husna, I’m dead serious about it. Kalau saya nak main-main, saya tak datang sini hadap mak ayah awak. Saya takkan berani cakap mak saya nak datang next weekend. Saya memang tak main-main bila saya cakap saya nak kahwin dengan awak.”
Dia merengus kuat.
“Gila! Siapa yang nak kahwin dengan awak?” Matanya mencerlung tajam pada aku.
Aku tarik senyum senget.
“Awaklah. Ayah awak dah setuju apa.”
Membuntang terus mata kucing tu sebelum sekali lagi tiang besi yang tak berdosa tu disepak. KTANG!! Sekali lagi tiang itu berdengung.
“Awak tau tak awak tu gila? Tak hingin saya kahwin dengan orang gila macam awak ni, tau?” marahnya.
Aku gelak.
“Memang saya gila. Gilakan awak. Tak boleh?”
“Eeeiii!! Boleh gila saya cakap dengan orang gila macam awak ni, tau tak?!”
Tiang besi dicengkamnya kuat-kuat lalu digegar. Serius aku rasa nak tergelak berguling-guling dah dekat situ, tapi cover macho depan bakal mertua punya pasal, aku kunci keinginan tu kemas-kemas.
“Umur awak berapa eh?”
Dia kembali memandang tajam pada aku.
“Dah habis kenal dengan abah saya ke?”
“Err... belum...”
Dia tarik senyum sinis.
“Tadi kata sebelum kenal saya, nak kenal dengan wali dulu, kan? Pergi berkenalan dulu habis-habis dengan abah, baru carik saya,” tegasnya.
Aku telan liur. Dia boleh kenakan aku pulak. Chiss... Eh? Dia kata apa tadi? Ahhaaaa.. Senyum senget terukir dibibirku.
“Maknanya awak setuju la ni kan nak kahwin dengan saya?”
Serta-merta blusher original terpalit di kedua belah pipinya. Senyum aku semakin lebar.
“Takde maknalah saya nak kahwin dengan awak. Tak hingin!” dalihnya. Tangannya disilangkan ke dada. Riaknya serius walau rona merah jambu itu masih jelas terlihat di pipi.
“Maknanya awak nak tolak tanggungjawab laa ni, ye?”
Keningnya berkerut.
“Tanggungjawab apa pulak? Awak jangan mengarut boleh tak?” Silangan tangan dileraikan. Kedua belah tangan jatuh ke sisi dan aku nampak penumbuk sudah terkepal.
“Awak jangan buat-buat lupa pulak apa awak dah buat kat saya dalam panggung tadi.”
Kepalan penumbuk terlepas. Merah padam terus wajahnya. Kening berkerut-kerut dengan gigi diketap rapat. Malu campur marah. Confirm.
“Itu orang tak sengajalah!” bentaknya.
Aku kunci tawa kemas-kemas dalam hati dan buat muka kesian.
“Tak sengaja ke, atau awak memang saja ambil kesempatan? Tak pernah lagi ada orang perempuan sentuh saya kat situ tau selama ni? Kecik-kecik dulu adalah mak saya ke, makcik ke... Dah besar-besar ni, memang tak ada. Awak orang pertama. Awak dah calarkan kehormatan saya. Sebab tu saya ajak awak kahwin. Saya nak awak bertanggungjawab,” kataku serius.
“Saya tak sengajalah...” Dia tunduk. Hujung seliparnya menguis-nguis tanah. Aku sembunyi senyum.
Memang aku tau dia tak sengaja. Walaupun panggung dah gelap masa tu, bukan aku tak nampak ada orang terlanggar dia masa dia baru nak duduk. Dalam dia nak terjatuh tu, entah macam mana tangannya menekan paha aku, menahan diri dari terus tersungkur ke bawah. Sikit lagi nak kena kat situ. Tak kena pun, tapi memang sikit je lagi nak kena.
Terlompat jugaklah aku pun, terkejut punya pasal. Berpuluh kali jugaklah budak yang langgar dia tu minta maaf bila tengok muka garang aku masa tu. Terpaksa buat muka garang pasal nak cover malu. Itu yang masing-masing senyap sunyi je sepanjang cerita ditayangkan. Kalau aku rasa malu, dia dah tentu-tentu rasa berkali-kali ganda malunya.
“Kalau tak sengaja, at least say sorry once. Ini sampai sekarang tak ada awak sebut apa-apa pun. Sekarang ni, awak sengaja ke, tak sengaja ke, belakang kira. Yang saya tau, you have to bear the responsibility. Kalau tak, saya cakap kat ayah awak apa awak buat.”
Dia angkat muka, memandang tepat pada aku. Auh... mata kucing tu... Argh! Chill Daus, chill! Kuatkan semangat Daus, kau nak kahwin kan? Nak tergoda ke, nak cair ke, meleleh ke apa, tunggu kemudian. Sekarang ni kena keraskan hati dulu.
“Tapi saya tak nak kahwin lagi...” nada suaranya dah lembut. Sejuk je telinga ni mendengar.
Aku senyum dan mendekatinya.
“Saya bukan ajak awak kahwin this instant. Saya tunggu sampai awak habis final. Kalau nak tunggu sampai awak habis konvo pun saya sanggup. It’s not like I’m pregnant or something like that yang perlu kita nikah instant to cover things up.” Dan aku rasa seolah menjerat diri sendiri seusai melafazkan ayat terakhir tu bila melihat dia dah mencerlung marah pada aku.
“Memanglah tak pregnant! Awak gila ke apa?” Dan tumbukannya hinggap di bahu kiri aku menyebabkan aku sedikit terdorong ke belakang. Cukup lima kali sudah dan aku sangat yakin lagi pasti, tulang bahu aku dah patah remuk sebab tumbukan dia kali ini sangat-sangat padu lagi jitu. Tangan kanan memegang kejap bahu yang berdenyut sakit.
I think you broke my shoulder already this time around...” ujarku dengan kening berkerut menahan sakit.
“Husna Binti Samsudin!!”
Aku toleh ke arah pintu utama. Ayah dia dah bercekak pinggang dengan muka bengis. Aku pandang Husna semula. Dia dah pucat lesi. 
















Bab 9.

Are you nuts?!” Dia dah terjerit.
Aku gelak. Dulu masa dia bukak cerita dengan aku, tak ada pun aku punya refleks melampau macam tu. Cool je. Even masa dia kecoh-kecoh telefon aku dari hospital pasal kena balun dengan steering lock dulu pun, aku cool je tolong uruskan apa yang patut. Dia ni, baru aku bukak cerita sikit, over pulak reaksi tu.
You think?” Aku jungkit kening sebelah.
“Memang gila tak pernah dibuat orang, bang chor. Serius aku habaq hang, memang patutlah dia duk cakap hang gila. Pasai hang memang gila! Agak-agaklah kot ya pun nak jumpak mak ayah dia. Gila keji dol main paksa-paksa!”
Aku gelak lagi.
“Hang toksah nak mengata aku. Hang pun sama keji pedajal skuter Kak Maira dulu.”
Dia ikut gelak.
“Hat tu lain. Aku guna cara halus,” dalihnya.
“Hangguk hang laa cara halus. Cara halus tu laa lagi keji hang tau? Tak pasai mendapat tang kepala tu sekali. Sapa susah? Ni, adik hang ni jugaklah yang susah. Nasib baik aku pun duk tengah cuti time tu.” Sekali lagi tawa bersatu menggegarkan kereta.
“Gila lah hang ni, Daus. Memang gheja gila betui.” Dia dah geleng-geleng kepala.
“Lepaih balik tu aku buat istikharah dah. Jawapan dia pun aku dapat dah. Memang confirm. Lagipun ayah dia dah habaq kata go ahead. Aku go ahead sajalah ni.” Stereng kuputar membelokkan kereta ke kiri.
“Hang serius? Like, seriously serious?”
Aku tarik sengih dengan soalan itu.
Damn right I am. Hang ingat hang sorang jaa boleh buat gheja gila lagu tu?” Tawanya meletus semula.
“Tapi aku tak adalah gila macam hang! At the very least aku kenai kak hang tu dah lama jugak sebelum aku dengan penuh sopan santun datang dengan mak pak aku pi masuk minang dia behind her knowledge. Ini hang main aci pakai terjah takdak warning, takdak pesan. Baru seminggu jaa kenai kot, terus ajak kahwin. Gila desperado ka apa hang nih?” Bahu kiri aku ditepuk kuat. Berkerut muka aku tahan sakit.
“Hoi, hoi. Kan aku dah habaq kata bahu aku ni tak baik lagi. Hang ni aku humban keluaq kereta jugak satgi, hang tau lah.”
Haziq ketawa lagi.
Sorry, sorry, aku lupa. Dahsyat rupanya penangan awek pisang goreng tu na? Sampai..”
“Husna. Nama dia Husna,” tekan aku.
“Yalah, yalah. Husna. Dahsyat penangan dia sampai hang teruih masuk minang sendiri tak tunggu mak lagi dah.”
Tawa Haziq meledak lagi. Kemain lagi sampai tertunduk-tunduk menekan perutnya. Aku sekadar sengih. Pandangan tetap fokus pada jalanraya di hadapan. Jam di dashboard kereta sudah menunjukkan waktu sudah mencecah jam tujuh suku malam. Sepatutnya jam lima lagi sudah selesai buat site evaluation, tapi sebab site engineer tu beria ajak lepak bersama, tu yang jadi lambat keluar tu. Bukan orang lain, orang kampung jugak. Itu yang jadi banyak cerita tu.
So Saturday ni kira confirm laa ni?”
Aku angguk.
Confirm laa. Esok mak aku sampai dengan Acaq dengan Abang Salim. Petang ka malam ka, camtu laa... Tumpang rumah hang laa, macam biasa.” Aku tayang sengih.
“Tu laa hang. Beli ghumah, pi sewa kat oghang. Lepaih tu hang pi sewa bilik pulak. Kot dak, kan senang mak hang nak datang tidoq,” tempelak Haziq.
“Halamak... Kalau hang tak sudi bagi tumpang, hang habaq. Aku boleh pi carik hotel,” tukas aku laju.
“Aku bubuh penampaq jugak sat lagi budak ni. Bila pulak aku kata lagu tu?”
Kepala aku disekehnya sekali.
“Woi, woi. Aku duk driving ni. Terjun laut satgi, tak sempat hang nak kejaq masa afdhal hang tu. Baru hang tau.” Aku dah gelak dulu.
“Sebelum hang terjun laut, aku terjun keluaq dulu, lari pi airport. Tinggai la hang sorang. Esok baghu aku mai balik carik hang.” Dia pulak gelak.
“Barua punya member! Sampai hati hang nak tinggai aku!” Aku sambung gelak. Serius tak boleh blah betul mamat ni sejak-sejak kahwin. Gila punya merenyam sampai aku tak tau nak kata apa dah.
“Setakat hang, apa pulak tak sampai? Sampai sangat.”
“Mangkuk ayun hang!” Tawa terus bergema dalam kereta sewa yang sedang kupandu menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Sampai di depan perkarangan pintu departure, aku hentikan kereta dan matikan enjin lalu keluar. Beg galas dari seat belakang aku ambil dan kugalas di bahu kanan. Clip file yang penuh dengan kertas aku kepit celah ketiak sebelum menutup pintu.
“Op! Op! Jangan tepuk bahu kiri dia, Haji! Satgi ada yang meraung tang ni satgi!”
Kata-kata Haziq buat aku laju berpusing ke belakang. Bos syarikat kereta sewa yang aku biasa ambil tersengih dengan tangan yang terangkat. Aku ikut sengih.
“Awat bahu hang?” soalnya setelah aku hulurkan salam dan kunci kereta.
“Haa? Err... Tak dak pa aih. Lebam bengkak skit jaa,” jawabku.
Accident ka hapa buleh lebam bengkak pulak? Tapi kalau accident, takkan tang bahu jaa kot?”
Haziq dah ketawa lebih dulu. Chiss.
“Bergaduh laki bini, Haji. Tu yang berlebam tang tu, tu.” Dia sambung ketawa. Lelaki hampir separuh abad depan aku ni ikut ketawa. Aku sekadar tayang sengih.
“Aih, menikah dah ka hang? Dia aih, tak jemput habaq pun.”
Lagi kuat Haziq ketawa. Barua betul. Mengenakan aku nombor satu mamat ni.
“Haji percaya sangatlah cakap mamat gelong tu. Mana ada saya menikah lagi pun.”
“Tahun depan tu, insyaAllah,” tokok Haziq, laju. Nasib baik dia kat sebelah sana kereta. Kot tak, memang aku dah kepit kepala dia lepas tu sekeh laju-laju dah ni.
“Oklah tu. Umuq pun sedang elok nak menikah tu. Nanti jangan lupa hantaq kad. Setakat SP tu, insyaAllah.” Dia senyum. Aku ikut senyum. Tak boleh nak kata apa dah.
“InsyaAllah, Ji. Oklah, Ji. Kami masuk dulu na? InsyaAllah bulan depan jumpak lagi.” Salam kuhulur sekali lagi.
“Ok, ok. Assalamualaikum.”
Salam kujawab dan terus membawa langkah masuk ke tengah-tengah ruang legar lapangan terbang itu. Jam di pergelangan tangan ku kilas sekali. Baru pukul tujuh setengah. Masih ada banyak masa lagi.
“Aku nak mandi tukaq baju dulu. Lepaih jamak, baru kita masuk.”
Haziq sekadar angguk. Langkah terus dibawa menuju ke tandas lelaki terlebih dahulu untuk membersihkan diri dan mengganti pakaian. Bukanlah kotor sangat pun, cuma ada terlekat sedikit debu-debu pasir dan simen je. Kebas sikit, hilanglah. Lagipun cuma buat evaluation dekat site je, bukan buat kerja buka motor. Tapi sebab nak menghadap Tuhan yang Maha Esa, rasanya lebih afdhal aku menghadap dengan pakaian yang serba bersih.
Usai mandi dan ganti baju, aku terus berjalan menuju ke surau dengan Haziq mengekor di belakang. Sampai depan pintu surau, aku berhenti. Dan Haziq terus merempuh aku. Aku pandang dia atas bawah. Galaxy Note II nya terus diselit ke dalam poket seluar. Dia sengih lalu membawa tangannya ke dahi.
Sorry bos. Aku tak sempat brek.”
“Tak lari kemana laa bini hang tu. Nak lari pun dah tak larat, hang laju sangat. Gelojoh.”
Sikit lagi penumbuknya nak mendarat ke bahu kiri aku namun terhenti serta-merta bila aku menjegilkan mata. Tawanya pecah, namun perlahan. Hormat, depan surau kot.
“Satgi lepaih solat kita pi makan sat. Aku rasa lapaq gila pulak dah,” ujar Haziq.
Sandal aku tanggalkan dan susun atas rak kasut.
“Tak payah. Hang peghabih jaa coklat melambak hang beli tak sat tadi,” balasku laju.
“Hat tu kak hang yang order, ok? Aku punya hat Kinder Buenos tu jaa sekotak.”  Dia gelak. Aku ikut gelak.
Pintu surau aku kuak sedikit. Tak ramai yang berada di dalam sementelah waktu maghrib pun dah tinggal hujung-hujung je. Aku tinggalkan beg galas di tepi dinding dan terus ke tempat mengambil wudhu’. Selepas mengambil wudhu’ aku angkat beg dan mengambil tempat rapat ke dinding di sebelah kiri.
Sengaja rapat sikit dengan dinding supaya tak ada orang berada disebelah kiri aku. Takut berlaga bahu. Serius sakit. Ngilu sampai ke tulang sum-sum rasanya. Kaki seluar aku lipat sedikit sebelum berdiri. Kemudian bahu kanan terasa ditepuk lembut. Aku toleh kebelakang.
“Imam eh?”
Aku kerut kening.
“Hang laa lagi afdhal. Lagi tua pada aku.”
“Dah hang duk rapat dengan dinding, aku nak jadi imam lagu mana? Duk tengah-tengah dalam dinding pulak?”
Aku ketawa kecil. Dia juga. Aku angkat beg dan berganjak tiga langkah ke kanan.
“Hek eleh, mengelat. Hang nak kahwin lagu mana suruh jadi imam pun mengelat lagu ni?” rungut Haziq sambil melangkah.
Aku tepuk belakangnya sekali. Haziq terhenti dan berpusing kembali menghadap aku.
“Aku tak habaq apa pun. Aku ginjak sikit ja pun. Takkan aku nak duk rapat dengan dinding pulak? Tapi kalau hang nak jadi jugak, by all means, please, be my guest.” Aku depakan tangan ke depan. Haziq sengih lalu ke belakang semula.
“Aku ingat hang nak mengelat. Takpa, aku dah lama tak merasa jadi makmum hang ni,” katanya selamba.
Mamat ni, nak je aku sekeh. Suka sangat buat assumption sendiri. Aku pandang ke hadapan. Nafas panjang ku tarik dan menghembusnya perlahan. Bismillaahirrahmaanirraahiimm...
Usai solat dan berdoa ringkas, beg segera aku galas dan keluar dari surau. Sandal kusarung kembali dan bersandar di dinding sambil menunggu Haziq . Kedua belah tangan menyeluk poket jeans. Sekejap kemudian Haziq keluar dari surau.
“Hang nak makan kat food court ke, kat luar tu ke, kat cafe belah dalam waiting lounge tu?”
Haziq pegang perut.
“Dalam lah. Eh, jap. Dah boleh masuk ke pun?”
Aku jungkit bahu. Masing-masing mengilas jam di pergelangan tangan. Baru pukul lapan setengah. Ada dua jam lagi. Flight pukul sepuluh tiga puluh lima minit malam.
Food court je lah. Jom.” Dia berjalan lebih dahulu dan aku mengekor dari belakang.
Skrin penuh calar Galaxy Ace yang aku tarik keluar dari poket aku tatap. Dah berapa hari, tapi aku masih belum ada kesempatan nak call. Itupun nasib baik abah dia baik hati nak bagi nombor. Mintak dekat dia bukan main kedekut lagi. Aku cakap karang senang mak aku nak tanya apa-apa. Haram tak mau dibaginya. Siap jelir lidah lepas tu terus lari masuk.
Heiii... Nasib baik abah kau ada kat situ. Kot tak, aku pun tak sure apa aku akan buat. Kejar sampai dapat. Lepas tu? Humban atas katil? Wooo~ Ganasnya imaginasi kau Daus. Rileks Daus, chill. Tak kemana dah tu. Memang confirm insyaAllah dapat tak lama lagi dah tu.
“Hoi!”
Angkat kepala pun tak sempat, terus merempuh Haziq di depan. Dia terdorong beberapa langkah ke belakang sebelum sempat berpaut pada railing tangga. Dia dah tayang muka tak puas hati. Aku gelak.
“Awat hang brake tak bagi signal?” soalku dalam tawa.
“Hang yang duk mamun sengih sorang-sorang tengok handphone tu sapa suruh? Aku panggil pun duk tak dengaq,” marah dia.
“Hang dah nampak aku lagu tu, awat hang tak elak? Salah sendiri, nak salahkan aku pulak.” Aku tak nak kalah.
“Hang laa. Orang berjalan mata pandang depan, bukan duk tengok handphone. Dah laa duk sengih sorang-sorang. Gelong ngat aih!”
Lagi kuat aku gelak.
“Ooo... Hang buat tadi takpa. Sampai kat aku, tak buleh pulak. Ini tidak adil!” Aku tumbuk tapak tangan sendiri sebab tak ada meja yang boleh ditumbuk. Gaya dah macam Abdul Wahub dalam filem 3 Abdul. Tawa Haziq akhirnya meledak juga.
“Sudahlah. Layan hang, dan mati kebuloq aku tang ni. Memang malang sungguh aih nasib bakal bini hang tu dapat laki gelong macam ni.”
“Hang toksah mengata aku. Hang pun sama dua kali lima, lima kali dua, sepuluh!”
Dia tutup telinga dengan tangan buat tak dengar dan terus berjalan meninggalkan aku menuju ke food court. Telefon di tangan aku pandang sekali lagi. Nantilah sampai rumah nanti aku telefon. Sms ke. Rindu pulak nak gaduh-gaduh manja dengan dia lagi. Aku usap perlahan bahu kiri dan tarik senyum.
“Hoi!”
Belakang aku ditepuk kuat. Aku pandang Haziq yang entah bila tiba di sebelah sedang tayang muka marah, tapi pada masa sama sedang menahan tawa. Serius lawak.
“Angau tak habih!” ujarnya dan tawa kami terus meledak menggamatkan ruang legar kawasan food court itu.
Woah! Tak sabarnya tunggu hari Sabtu ni!!




















Bab 10.

Clip file yang berisi maklumat dari site evaluation semalam aku pandang lama. Pensil tekan di tangan aku putar-putarkan. Rasa blank je kepala tengok maklumat tu semua. Tiba-tiba rasa tak pandai nak buat costing padahal dah bertahun buat kerja yang sama.
Hujung pensil aku ketuk-ketuk di pelipis pula. Nafas panjang aku hela. Bukan tak reti, tapi malas sebenarnya. Nak-nak pulak dah waktu petang-petang macam ni. Kepala otak dah tepu.
Pensil aku lepaskan dan bersandar pada kerusi. Jam di dinding luar bilik aku kerling sekali. Sudah lima belas minit waktu pejabat habis. Rasa-rasanya mak jauh lagi nak sampai ni. Pagi tadi Acaq ada bagitau diorang bertolak lepas solat Jumaat, dalam pukul tiga.
Abang Salim tu bawak kereta sopan santun gila. Lagi-lagi pulak mak pun ada sekali. Lagi bertambah sopan laa dia pandu. Heh. Confirm tengah malam karang baru sampai. Baru je ingat nak ajak mak pegi jenguk gerai pisang goreng petang ni. Cuci mata. Itupun kalau dia ada laa...
“Husna!”
Aku petik jari sekali. Serius lupa. Malam tadi sampai rumah pun dah lewat tengah malam. Dah lebih dari jam dua belas pun. Tak ada ampun lagi, aku terus terjun tiruk atas katil. Gila punya mengantuk. Ada klien telefon lebih kurang pukul dua pagi pun aku tak sedar dah. Cuma tersedar bila alarm bunyi subuh tadi. Tengok-tengok ada tiga panggilan tak berjawab. Klien besar pulak tu. Nasib baik masa aku call balik bos dah tolong selesaikan masalah dia. Siap tolong kelentong kata aku masih dekat Langkawi. Terima kasih incik bos.
Handphone di tepi monitor LCD aku capai. Skrin aku aktifkan dan terus ke phonebook. Namanya ku cari lalu terus masuk mode new message.
-    Rindu.
Send. Sending... Sent. Aku tarik senyum senget. Baru nak letak semula telefon atas meja, dah terima balasan. Senyum di bibir makin lebar.
+    Sorry. Awak dah salah nombor ni.
Aku ketawa kecil. Sahih dia tak ada nombor aku. Ni yang rasa nak tumbuh tanduk kat kepala ni.
-    Saya rindu awak, Husna. :)
Sepuluh saat lepas hantar aku dah dapat jawapan. Serius laju dia ni. Mesti selalu main sms. Biasalah, budak-budak, kan? Macam aku ni, agak terkial-kial jugaklah. Selalu terus telefon je, tak kuasa nak taip-taip sms. Buang masa. Segera aku periksa sms balasannya.
+    Memang salah nombor. Saya bukan Husna.
Kening aku dah terjungkit tinggi, kemudian aku kerut dahi pulak. Eh, takkan abah dia nak troll aku pulak kasi nombor salah? Ke dia yang nak main-mainkan aku? Tak boleh jadi ni.
Telefon terus aku sisip masuk dalam poket seluar. Segala file yang terbuka aku save dan tutup. Komputer aku matikan. File-file atas meja aku kemas ala kadar. Beg galas bawah meja aku tarik. Selepas mematikan pendingin hawa dan memadam lampu, aku terus keluar dari bilik. Renu di depan pun sedang mengemas barang nak balik.
“Saya balik dulu,” ujarku berbasa-basi lalu terus keluar dari pejabat tanpa menunggu jawapan darinya.
Safety boot segera aku sarungkan sebelum menuruni anak tangga dengan laju dan terus keluar dari bangunan pejabat menuju ke kereta di tempat parkir. Kunci ku buka dan terus masuk. Beg galas kuletakkan di atas kerusi sebelah. Enjin kuhidupkan, Aviator di atas dashboard aku capai dan kenakan, masuk gear dan terus beredar.
Civic hitam meluncur laju atas jalan. Destinasi sudah dikenal pasti dari dalam pejabat tadi lagi. Tak puas hati punya pasal. Sama ada aku yang tersalah salin nombor, atau abah dia salah bagi nombor, atau memang dia yang tak nak mengaku. Dalam kepala dah siap plan dah nak buat apa sejak masuk dalam kereta lagi.
Kereta aku parkir di hujung deretan gerai. Orang tak berapa ramai. Dah dekat pukul enam kot. Sekarang waktu orang sibuk balik kerja. Dari dalam kereta lagi aku dah nampak kelibat dia sedang melayan dua-tiga orang pelanggan. Aku keluarkan telefon bimbit dan mendail.
“Assalamualaikum. Hah, awat? Depa sampai dah ka?”
“Waalaikumussalam. Dak gi. Hang tolong call aku balik dalam seminit dua lagi, boleh?”
“Ni hang dah call aku, cakap teghuih lah.” Aku keluar dari kereta dan mengunci pintu. Perlahan langkah kuatur menuju ke gerai, memastikan supaya pelanggan terakhir beredar terlebih dulu sebelum aku sampai di situ.
“Hang call lah. Aku ada hal ni. Call sekarang,” arahku, sedikit garang.
“Yalah, yalah. Aku call sekarang.”
“Ok, thanks.” Talian terus kumatikan dan menyisip telefon ke dalam poket. Langkah pegun betul-betul depan gerai, bibir melakarkan sebuah senyuman. Dari balik Aviator hitam likat, anak mataku memandang tepat ke wajahnya. Aku perasan dia buat selamba sahaja macam tak ada perasaan.
“Nak apa?” soalnya kasar. Aviator aku tanggalkan. Baru nak buka mulut, aku terasa telefon aku bergetar dalam poket seluar.
“Pisang goreng dua ringgit,” jawabku dan terus mengeluarkan telefon dan berjalan sedikit menjauh sebelum menjawab panggilan.
“Hello.”
“Hah, ada apa?” soalnya. Garang sekali. Aku ketawa.
“Takdak apa, saja nak buat excuse nak keluaq sat.”
Meeting boring laa tu. Kurang asam hang. Mempergunakan aku.” Tawanya pecah.
“Ok, ok. Thanks. Aku ada benda lain nak settle ni.”
“Sat, sat. Mak hang sampai pukui beghapa?”
“Lewat kot. Depa bertolak lepaih Jumaat tadi. Nanti apa-apa aku call hang balik. Aku ada hal lain nak settle ni.”
“Yalah, yalah. Assalamualaikum.”
Salam kujawab dan terus matikan talian. Lepas tu cepat-cepat mencari nama Husna dan mendail. Telefon kutekap kembali ke telinga seolah masih belum tamat berbual sambil berjalan semula ke gerai.
Elok aku sampai depan gerai, aku dengar lagu Big Girls Don’t Cry dari meja belakang. Husna aku tengok semacam teragak-agak je nak angkat phone. Aku matikan talian. Kemudian mendail semula. Sekali lagi lagu yang sama berkumandang. Dia dah jeling-jeling. Ding! Ding! Ding! Ding! Bingo! Talian aku matikan, telefon kusimpan ke dalam poket lalu menarik senyum senget.
“Saya...”
“Nah. Dua ringgit,” pangkasnya tanpa sebarang senyuman. Sebungkus plastik berisi pisang goreng diletakkan di hadapan aku.
Aku seluk poket baju di dada dan mengeluarkan sekeping not biru kehijauan lalu kuhulurkan padanya. Dia dah buat muka.
“Duit besar lagi takde?” sindirnya. Huluran aku masih tak bersambut.
Aku ketawa kecil.
“Ada, nak?” balasku sambil berpura-pura mahu menyeluk poket sekali lagi.
Dia mencebik sekejap kemudian membasahkan bibir. Auuhhh... Berdetak hebat jantung ini. Wang kertas di tangan ditariknya kasar dan terus dimasukkan ke dalam bekas wang. Lepas tu dia terus pusing ke belakang dan mengemas. Amboi? Aku berdehem sekali. Dia buat tak reti.
“Husna.” Aku panggil dia, lembut. Tapi dia tetap buat derk, terus mengemas perkakas di meja belakang. Dia ni kang... Isshhh...
Aku toleh ke gerai sebelah. Makcik tu dah senyum-senyum semacam je pandang aku. Aku senyum balik. Takkan takde angin, takde ribut nak masam muka dekat orang pulak, kan? Yang depan aku ni lainlah, memang pesen dia gitu. Dengan orang lain aku tengok kemain senyum. Sampai kat aku je, haa... berjela-jela muncung tu. Aku cium jugak karang, baru dia tau erti penyesalan. Hahahahah Eh? Astaghfirullaahal’adziimm... Ehem!
“Husna.” Sekali lagi aku panggil.
Dia menunduk, mencapai sebuah bakul dari bawah meja. Masih tak mengendahkan aku. Dia ni laa kan... Haiiissshhhh... Geram aku.
“Husna sayang...” Meleret aku panggil.
Tak taulah dia terkejut ke, marah ke, excited ke, Bungkusan tepung yang sedang dipegang terus jatuh atas tanah. Puk! Pecah. Dan tepung berterbangan. Putih sebelah kaki seluar track dia yang berwarna gelap tu. Aku ketap bibir menahan tawa.
“Awak ni laa kan...” Dia berpaling menghadap aku. Merah padam muka dia. Riak marah dia tayang pada aku.
Aku selamba bagi senyuman manis.
“Nak kena panggil sayang baru ada respond rupanya. Ok, noted. Saya skru dalam kepala supaya tak lupa.”
Jari telunjuk buat gaya memutar skru di pelipis kanan, jungkit kening dan senyum lagi. Dia julingkan mata ke atas dan kemudian menarik nafas panjang.
“Jangan sampai saya lumur awak dengan tepung lepas tu goreng dalam kuali ni,” tuturnya mendatar tanpa sebarang nada.
“Sampainya hati?” balasku.
“Sampai sangat,” katanya acuh tak acuh sambil menyambung mengemas meja.
“Try sekarang?” Aku mencabar. Tak puas hati betul dia cakap macam tu.
Dia berhenti mengemas dan memandang tajam pada aku.
“Sinilah!”
Ui, melawan! Fine! Aku terus berpusing nak join dia di sebelah sana meja. Bila aku masuk bawah khemah tu, aku tengok dia macam goyang sikit. Aku tarik senyum senget sambil melangkah perlahan mendekatinya. Tiba-tiba dia menunduk laju dan... PUFF! PUFF! Tepung berterbangan di udara!
“Husna!”
Aku dah terbatuk-batuk. Sebelah tangan menekup hidung dan mulut manakala sebelah lagi mengipas-ngipas sisa-sisa tepung yang masih di udara. Saat telinga ini menangkap suaranya sedang tertawa lepas, aku berhenti mengipas dan membuka mata. Indah betul pemandangan. Cantik je tengok dia sedang ketawa sukahati dengan tepung yang masih berada di udara. Macam salji pulak. Memang betul-betul pemandangan yang cantik.
Lama aku pandang dia, sampai dia tersipu-sipu sendiri cuba berhenti ketawa. Dia berdehem beberapa kali sambil menepuk-nepuk tangan, menghilangkan saki baki tepung yang dibaling pada aku tadi.
“Seronok nampak?” Aku menyindir sambil kibas-kibas baju dan seluar sebelum memandang tepat ke arahnya. Dia senyum. Ikhlas. Manis. Manis sangat. Aku. Rasa. Nak. Pengsan. Sekarang. Auuhhh... Relax Daus... Relax... Chill...
“Err... Awak...” Dia bermain dengan jari sendiri.
 Aku sekadar diam, menunggu baris kata selanjutnya.
“Err... Awak.. Emm.. Esok tu... Err... Awak serius?”
“Awak rasa?”
Dia tunduk. Hujung selipar getahnya menguis-nguis longgokan tepung di tanah. Habis putih kaki itu.
“Tapi... Err... Kenapa?”
Aku senyum. Comel betul perangai malu-malu macam ni. Garang comel, malu-malu lagi comel. Ni yang buat lagi tak sabar menunggu ni. Heh!
“Husna...”
Dia angkat muka memandang tepat ke arah aku.
Do you believe in love at first sight?”
Dia julingkan mata ke atas.
Cliche...” gumamnya.
Aku ketawa kecil.
“Kan? Cliche gila...” Aku hela nafas panjang sebelum menyambung, “ But that’s what happened to me.” Aku senyum bila dia pamer riak tak percaya.
“Dan macam tu je awak boleh terus nak masuk minang? Awak tak tau apa-apa pun pasal saya. Macam mana..”
“Yep. Semudah tu. Sesenang tu. Sesimple tu,” pangkasku.
“Tapi awak tak tau apa-apa pun tentang saya...” tuturnya perlahan.
“Awak nak mulakan proses berkenalan sekarang? Saya on je. Anytime.”
Dia menjeling tajam. Aku tarik senyum. Baru nak sambung, ada suara lelaki berdehem. Serentak aku dan dia menoleh. Erks!
“Err... Pakcik... Err... Assalamualaikum. Apa khabar? Sihat?” Huluran tangan aku disambut. Ada senyum yang tersungging di bibir tua itu. Aku hela nafas lega sembunyi-sembunyi.
“Alhamdulillah. Hmm... Baru balik kerja ke?”
Aku angguk.
“Aaa... A’ah... Err... Tolong Husna kemas-kemas.” Aku capai dulang-dulang yang dah kosong dari meja depan.
“Kamu tolong apa sampai bertepung atas kepala ni?”
Pegun terus. Aku curi pandang pada Husna yang ikut pegun. Kemudian memandang semula pada abah dia yang sedang tersenyum, sinis. Alamak... Confirm... Kantoi!!


Terima kasih kerana membaca. Ingin tahun sambungannya?

Sila dapatkan novel AWEK PISANG GORENG di kedai buku berdekatan atau buat pesanan online di website kami...



No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget