Monday 6 January 2014

Kau Kekasih Gelapku : Bab 1-5



Bab 1

"KAU gadis pelik."
Rihanna menoleh ke sisinya. Wajah Addi dipandangnya dengan kerutan berlapis di dahi. "Pelik macam mana? Aku jalan guna tangan ke?"
Addi tergelak kecil. "Bukan tu maksud aku. Dah lama aku perhatikan kau. Selalu aku nampak kau cakap sorang-sorang. Terutama bila malam. Kau cakap dengan sapa sebenarnya?"
"Emmm....kawan halimunan aku." Selamba jawapan Rihanna. Nasi ayam di hadapannya dikunyah perlahan-lahan.
Makin kuat gelak Addi. Kasar bunyinya. "Jangan buat cerita. Tak kelakar langsung. Tak elok buat macam tu. Nanti orang kata awek aku ni gila."
"Malanglah nasib kau dapat awek gila macam aku. Siapa suruh kau ngorat aku? Kenapa tak ngorat aje Atiqah yang lemah-lembut tu? Baru padan dengan muka kau yang hensem macam gajah tu!" tempelak Rihanna.
"Aku lagi hensem daripada gajah yang belalai panjang tu. Entah apa yang P.Ramlee fikir masa dia gubah lirik lagu tu? Entah gajah mana yang hensem sampai boleh masuk dalam lirik lagu."
"Manalah aku tau. Kau tanyalah dia."
"Gila. Nak tanya orang yang dah mati. Psikolah kau ni. Cuba normal sikit. Sejuk hati aku." Addi merenung gadis di hadapannya. Gadis yang menjadi pujaan hatinya sejak setahun yang lalu. Dia pernah mahu melamar Rihanna, tapi gadis itu menolak. Katanya terlalu awal. Mereka baru saja nak berkenal-kenalan. Entah sampai bila dia harus tunggu gadis itu mengatakan "ya, aku setuju terima pinangan kau."
"Kalau aku kata aku boleh bercakap dengan orang mati, cemana?" Wajah Rihanna serius.
Addi tersenyum, kurang selesa. "Jangan merepek ler, sayang oi. Seram aku dengar kau cakap macam tu. Boleh tak bersikap normal macam gadis biasa?"
"Aku dah bagitau kau awal-awal lagi. Aku ni tak normal. I can see dead people!" Rihanna membeliakkan matanya.
"Rihanna....jangan main-main. Tak kelakar. Kau macam tak sayang aku aje." Addi dah berjauh hati. Entah kenapa dia rasakan gurauan Rihanna tengah hari itu semacam saja. Selalu Rihanna tak begini.
"Kalau benar aku kata aku tak sayang kau...cemana?" Rihanna menduga.
"Betul kau tak sayang aku?" Wajah Addi ketat.
Rihanna mengangguk.
Addi terus bangun dan meninggalkan Rihanna sendirian di situ menghabiskan nasi ayamnya.
"Bukan tak sayang...sebabkan sayanglah aku buat macam ni," bisik Rihanna perlahan. Baki nasi ayam dimakannya dengan perlahan.
Addi tak tau siapa sebenarnya Rihanna. Rihanna bukan gadis biasa. Dia gadis supernatural...hmmm...dah macam cerita supernatural pulak!

SALAKAN anjing bersahutan. Bayu malam yang dingin selepas hujan, bertiup agak kencang, menusuk hingga ke tulang hitam. Macam musim dingin, getus Rihanna. Dia memulas kunci, membuka pintu gril di koridor kondo tempat tinggalnya. Bunyi pintu gril bergeser, memenuhi malam yang sunyi.
Rihanna berkaki ayam melangkah ke balkoni. Beberapa helai kemeja yang bergantung di tepi dinding, dicapai. Mujur dia tak lupa. Jika tak, mungkin pakaian yang kering itu akan dibasahi hujan. Rihanna sempat mendongak ke langit. Sesekali guruh menerangi langit malam yang kelam. Tanda-tanda hujan akan turun. Deruan angin mula kencang.
Seram pula rasanya. Pekikan anjing tiba-tiba diam. Hanya bunyi angin kedengaran menampar telinga. Sekilas satu bayang hitam menerjah ke balkoni tempat Rihanna berhenti. Dek kerana terkejut, pakaian di tangan Rihanna terlepas. Bulat matanya memandang ke hadapan.
Darius tersenyum, penuh muslihat. Sepantas kilat dia tunduk mengutip pakaian Rihanna yang terlepas tadi. Kemudian dihulurkannya kepada gadis yang masih berdiri kaku itu.
"Lain kali kalau nak datang, bagi salam dulu. Jangan main terjah. Jantung aku masih nak berdegup lama. Bukan macam jantung kau yang dah berhenti berdegup tu!" marah Rihanna lalu merampas pakaiannya yang dihulurkan.
Dia melangkah masuk ke dalam. Darius mengekorinya.
"Apa yang kau nak?" Suara Rihanna masih kasar. Tanpa mempedulikan Darius yang sentiasa ada di mana-mana saja dia pergi, dia terus menggosok pakaian yang baru dikutipnya tadi.
"Aku perlukan bantuan kau sekali lagi." Suara Darius menyapa telinga Rihanna bagaikan bisikan.
"Sekali lagi? Hmm....rasa aku dulu pun kau ada cakap macam tu." Rihanna menoleh sekilas ke arah Darius yang sedang bersandar pada dinding di belakangnya.
"Kau tau yang kau tak boleh menolak." Darius berdiri betul-betul di belakang Rihanna.
Tegak roma Rihanna tika itu. Aura hantu yang dibawa oleh Darius agak menyeramkan. Tapi entah mengapa, dia rela mendekati mahkluk malam yang tak perlu disebut namanya itu. Apa boleh buat? Itu dah menjadi kelebihannya berdamping dengan mahkluk malam.
"Satu skrol telah ditemui oleh  ahli arkelologis di Tasik Bera. Kau perlu curi skrol itu dari mereka." Darius bercakap di telinga Rihanna.
"Kenapa kau tak curi sendiri?" Tangan Rihanna masih lagi menggosok kemeja yang akan dipakai ke pejabat esok.
"Skrol itu telah disimpan di Muzium Terapung. Kau tau yang kami tak boleh ke sana. Muzium itu telah dilindungi mantera yang menghalang kami memasukinya."
Rihanna memejamkan matanya seketika. Nampaknya dia harus akur sekali lagi. "Kau akan rancang semuanya?
"Seperti biasa." Darius tersenyum di hadapan Rihanna. "Kita akan bertolak malam ni sebelum matahari terbit."
"Apa?" Terlopong mulut Rihanna memandang Darius. "Secepat ini? Tapi esok aku kerja. Ada presentation...." Kata-kata Rihanna terhenti apabila Darius meletakkan jarinya ke bibir gadis itu.
"Segala-galanya dah diuruskan. Kau tak perlu bimbang. Dapatkan aku skrol itu, maka dapatlah kau projek yang kau idamkan tu." Darius tersenyum lagi.
Rihanna mengecilkan matanya cuba mengukur, membaca fikiran Darius. Tapi hijab fikiran lelaki itu begitu kukuh. Darius tersenyum, sinis.
"Kau belum cukup kuat lagi, wahai sang puteri. Teruskan usaha." Darius memandang keluar melalui pintu balkoni. "Aku perlu berburu sebelum memulakan perjalanan kita. Siap-siaplah. Sejam lagi aku datang ambil kau."
Sebagaimana dia datang, begitulah dia pergi. Pantas seperti angin hitam yang membelah kepekatan malam.
  

Bab 2

TEPAT sejam seperti yang dijanjikan, Darius muncul di hadapan Rihanna yang sedang menyelempang tali beg secara silang ke tubuhnya. Dia sempat mengerling jam di tangan.
"Tepat sejam. Kalau kau jadi wakil rakyat, mesti ramai undi kau. Jarang ada pemimpin yang tau menghormati masa kecuali Tun M." Rihanna membebel-bebel.
Dahi Darius berkerut. "Cepat. Matahari akan terbit sejam lagi. Nanti tak sempat sampai." Darius membelakangi Rihanna.
"Er...hello...disebabkan kau, aku masih belum tidur lagi tau." Rihanna bercekak pinggang. Dia memang belum tidur lagi sejak semalam. Pulang saja dari pejabat jam 9 malam, dia terus menyambung kerja-kerja pejabat yang tak sempat disiapkan. Kertas kerja hasil kajian pemasaran yang diusahakannya itu amat penting demi masa depan kerjayanya.
Sepatutnya dia akan membentangkan kertas kerja itu pukul 9.30 pagi itu. Tetapi disebabkan Darius mengarahkannya menjalankan satu misi, maka tak dapatlah dia menghadiri mesyuarat penting itu. Rihanna tau dia tak perlu risau kerana Darius telah menguruskan perkara itu untuknya. Bagaimana ia diuruskan, taklah dia tahu. Yang Rihanna tahu kalau Darius yang menguruskannya, ia pasti berjaya.
"Kau menung apa lagi tu? Cepatlah!" Suara Darius keras. Dia memandang Rihanna dari bahunya.
"Kau nak suruh aku naik belakang kau macam dulu?" Dahi Rihanna pula berkerut. "Macam spider monkey? Tak naklah!" Rihanna berpeluk tubuh. Kali terakhir dia berbuat begitu, hampir nak tercabut kepalanya.
"Kalau macam tu...."
Dalam sekelip mata, tubuh Rihanna melayang ke atas bahu Darius. Dia ibarat sekarung guni saja. Rihanna tak sempat mahu meronta apabila Darius bergerak sepantas angin. Hanya suaranya saja yang melolong disebarkan oleh angin.

SUARA Rihanna hampir serak tatkala tubuhnya dilepaskan ke atas tanah. Darius dah tertiarap di sisinya.
"Gilalah kau, hantu! Nyaris tak tercabut jantung aku!" pekik Rihanna. Degup jantungnya masih bergerak pantas. Dia menoleh ke sisi.
Darius masih lagi tertiarap di atas tanah, tak bergerak. "Wei....matahari tu!" jerit Rihanna panik apabila dia terlihat cahaya suram matahari semakin menerobos di celah-celah daun pokok-pokok hutan yang merimbun. Tubuh Darius yang keras macam batu itu dipukulnya berkali-kali sampai sakit tangan.
Seperti gerakan kilat, Darius bangun dan mula menggali tanah. Dalam sekejap masa, jasadnya dah tertanam jauh ke dalam tanah. Ada dalam lima kaki kut. Macam lubang kubur. Rihanna berdiri bercekak pinggang memandang tanah yang gembur itu. Tanpa membuang masa, dia menutupi tanah itu dengan daun-daun kering dan ranting pokok. Jangan ada orang terjumpa kubur tak bertanda ni dahlah, fikir Rihanna.
Sambil menyapu kotoran di tapak tangannya, Rihanna berjalan keluar dari hutan kecil itu. Berpandukan bunyi deruan air, dia menjumpai sebatang anak sungai yang mengalir deras. Rihanna garu kepala. Bagaimana dia hendak ke Muzium Terapung tanpa kenderaan? Bijak betul rancangan si hantu ni, gerutunya geram.
"Tuan Puteri!" Tiba-tiba satu suara menyapa, gemersik.
Teragak-agak Rihanna menoleh ke belakang. Dalam keadaan kelam itu dia dapat melihat dua orang gadis berpakaian putih dan berambut panjang. Okey....mujur dia masih memakai hijab mata. Jika tak tentu wajah sebenar mahkluk malam itu akan terlihat olehnya.
"Panglima minta hamba berdua bawa tuan puteri ke Istana Terapung." Salah seorang gadis itu bersuara.
"Bagaimana?" tanya Rihanna, skeptik. Dia tak nampak pun sebarang kenderaan di mana-mana.
"Gunakan bahtera kecil tu." Gadis yang sama menuding ke arah sungai.
Rihanna berpaling. Eh? Ada kolek? Bagaimana dia tak boleh nampak tadi? Lantas Rihanna mengekori kedua-dua gadis itu menaiki kolek yang dihias dengan ukiran yang cantik. Patutlah mereka memanggilnya bahtera. Walaupun tak besar, tapi buatannya cantik dan halus berseni.
Kolek itu meluncur laju mudik ke hilir sungai. Walaupun terdapat batu-batu besar di sepanjang perjalanan, sedikit pun perjalanan mereka tak terhalang.
"Siapa kamu?" Rihanna bertanya.
"Hamba dipanggil Wan Empuk," sahut gadis yang mendayung kolek.
"Hamba pula Wan Malini," balas gadis yang menyapa Rihanna buat kali pertama tadi.
Wan Empuk? Wan Malini? Macam Hikayat Sulalatus Salatin daaa....Rihanna rasa seperti nak gelak. Tapi wajahnya sengaja diketatkan. Tak mahu mengecilkan hati mahkluk halus itu.
Sinar matahari semakin terang sebaik saja mereka menghampiri sebuah tasik. Tiba-tiba dia perasan sesuatu.
"Eh kamu berdua....matahari...." kata-katanya terputus apabila secara perlahan-lahan Wan Empuk dan Wan Malini hilang dari pandangan. Namun dayung kolek masih bergerak seperti tadi. Tahulah dia yang pandangannya dah terhalang dek cahaya matahari. Dia tak boleh lagi melihat mahkluk halus itu dengan pandangan mata kasar. Wan Empuk dan Wan Malini sebenarnya masih di situ. Cuma dia tak boleh melihat dan bercakap dengan mereka.


Bab 3

KOLEK yang didayung oleh Wan Empuk menghampiri tebing, tak jauh dari Muzium Terapung yang dipanggil Istana Terapung oleh kedua-dua mahkluk halus itu. Entah mengapa mereka memanggilnya istana? Mungkin reka bentuk bangunan muzium yang mirip istana kot.
Rihanna melompat turun dari kolek. Beberapa tapak dia melangkah, dia berpaling ke belakang. Kolek itu dah tiada! Mujur dia naik kolek. Buatnya buaya tembaga yang datang tadi, tak ke ngeri terpaksa tunggang belakang buaya menyeberangi sungai? Mujur panglima –gelaran yang diberikan oleh Wan Empuk dan Wan Malini kepada Darius – hantar kolek.
Rihanna membetulkan kedudukan beg silangnya. Dengan langkah yang teratur, dia menghampiri jambatan yang menghubungkan daratan dengan Muzium Terapung. Jambatan itu diperbuat daripada kayu balak yang diikat dan hanya satu meter saja jaraknya daripada permukaan tasik. Keluasan jambatan itu hanya memuatkan sebuah kereta. Namun tiada kenderaan yang dibenarkan masuk ke pekarangan muzium kecuali pedati lembu...tettt. Lembu...huh. Busuk betul bau najisnya, Rihanna menggumam sendirian apabila ternampak timbunan najis lembu di kawasan persekitaran.
Sambil menyembunyikan tubuh di balik rimbunan pokok, Rihanna mengintai jambatan. Sunyi. Satu bayang manusia pun tak kelihatan. Masih awal lagi. Baru pukul 7.30 pagi. Bagaimana dia hendak masuk? Tiada pula pedati yang lalu yang boleh menumpangkan dirinya secara sembunyi....
Bunyi roda kayu bergeser dengan batu menarik perhatian Rihanna. Eh...bagai tahu-tahu saja isi hatinya tika dia terlihat sebuah pedati yang ditarik oleh dua ekor lembu bonggol. Pedati itu membawa bekalan makanan. Baru saja Rihanna hendak menghendap pedati itu, tiba-tiba pedati itu berhenti bergerak.
Langkah Rihanna mati. Pemandu pedati yang memakai jubah berpenutup kepala itu menoleh ke arah Rihanna yang sedang bersembunyi. Eh...macam tahu-tahu saja dia....Nyaris Rihanna tak menjerit sebaik terpandang mata merah saga dan telinga runcing lelaki pendek itu. Troll?
Adoyai! Kenapalah si busuk ni yang Darius hantar untuk membantunya? Tak ada mahkluk lain ke? Perlahan-lahan Rihanna mengatur langkah ke arah belakang pedati. Tanpa disuruh, dia menyembunyikan diri di bawah gebar guni yang menutupi bekalan makanan seperti beberapa guni beras, tepung, kentang, bawang, minyak masak dan entah apa-apa lagi. Mujur pedati itu tak sebusuk tuan yang menggembalanya.
Rihanna terasa pedati bergelak perlahan, bergoyang-goyang melalui jalan kerikil sebelum agak lancar ketika melintasi jambatan kayu yang kukuh itu.
Laluan pedati itu mudah tatkala melewati pos pengawal. Seperti biasa, pedati yang membawa makanan itu akan dibawa ke belakang muzium tempat punggahan barang. Dari situ, Rihanna akan menyelinap masuk ke dalam muzium. Laluannya memang teramat mudah kerana muzium itu tak dikawal rapi oleh pengawal. Ia cuma dikawal oleh mantera yang menghalang mahkluk malam memasukinya. Hatta si troll penghantar barang itu juga tak boleh masuk. Cukup sekadar dia menurunkan barang dan beredar. Hanya manusia saja yang boleh masuk ke muzium itu.
Muzium Terapung; tempat yang menyimpan pelbagai khazanah ilmu, harta karun, artifak peninggalan purba dan macam-macam lagi. Kitab-kitab magis pun ada tersimpan di situ. Rihanna tak mahu membuang masa memikirkan perihal muzium itu. Dia perlu segera menuju ke bilik penyimpanan skrol yang terletak di bawah tanah yang sebenarnya di dalam tasik.
Hawanya mula dingin apabila Rihanna menuruni tangga menuju ke bawah. Jamung yang bernyala di kiri kanan jalan, sedikit menerangkan suasana yang semakin gelap. Rihanna tak boleh melihat dengan jelas. Lantas lampu suluh berkuasa tinggi dikeluarkan dari begnya.
Langkahnya pantas mencari bilik penyimpanan skrol. Bunyi titisan air kedengaran di sana sini, menyeramkan keadaan yang suram dan kelam. Sebaik saja menjumpai bilik skrol, Rihanna terus masuk menggunakan kunci serba guna yang diberikan oleh Darius sewaktu misi pertamanya dulu. Kunci itu boleh membuka apa-apa pintu yang wujud di alam halus itu. Hanya satu kunci, tetapi boleh membuka pelbagai jenis pintu.
Bilik yang dimasuki oleh Rihanna dibarisi rak-rak yang bersusun kemas. Entah berapa ratus kesemuanya. Dan skrol yang terdapat di situ, entah berapa puluh ribu bilangannya. Tak kuasa Rihanna hendak mengira. Dia ada perkara yang lebih penting untuk difikirkan tika itu.
Lantas Rihanna memejamkan matanya. Cuba mengesan aura skrol yang dimaksudkan oleh Darius. Baris ke-13, rak ke-21, tingkat yang ke-9. Rihanna terus berlari ke arah skrol itu. Dalam sekejap masa, tanpa ada sebarang masalah, dia berjaya mendapat skrol yang amat berharga kepada Darius itu. Rihanna tak punya masa hendak membelek skrol itu. Dia pantas berlari keluar dari tempat yang menyeramkan itu.
Rihanna berlari mendaki tangga dan kembali ke tempat pemunggahan barang. Dia terkejut apabila mendapati pedati troll tadi dah tiada! Bagaimana dia hendak keluar dari situ? Rihanna mulai panik. Keadaan yang sunyi tadi mulai hingar. Pekerja semakin ramai memenuhi muzium itu. Apa akalnya untuk mencari jalan keluar?
Sedang terhendap-hendap, tiba-tiba satu bayang hitam mendarat di hadapan Rihanna.
"Hmm...siapa lagi kalau bukan si pengkhianat ni?"
Rihanna terdengar lembaga hitam itu menegurnya. Sepantas kilat Rihanna mencapai pemegang pedang dari dalam beg. Sebaik saja pemegang pedang dikeluarkan, bilahnya terus memanjang membentuk pedang lurus yang tajam berkilat.
"Ryuu!" sapa Rihanna yang dah bersedia untuk menyerang seandainya dia diserang.
"Rihanna!" balas lelaki berpakaian putih di hadapannya itu.
Dia bukan mahkluk malam seperti Darius. Dia mahkluk siang yang bukan seperti Rihanna. Ryuu ialah ketua pengawal Muzium Terapung.
"Kembalikan skrol itu kalau kau tak mahu cedera atau ditangkap." Ryuu memberikan amaran.
"Apa pentingnya skrol ni sampai kau meletakkannya di sini?" Rihanna cuba memikirkan helah untuk melepaskan diri. Berlawan dengan Ryuu adalah perkara terakhir yang mahu dilakukannya.
"Kau tak tau apa yang dah kau lakukan. Pulangkan skrol tu!"
"Ryuu, apa kata kalau kau lepaskan aku? Dulu pun kita seri. Dan sampai bila-bila pun kita akan seri."
"Ya...memang kita akan seri. Sampai bila-bila kerana aku tak boleh bunuh kau dan kau tak boleh bunuh aku walau bagaimana kuat pun keinginan kita nak berbunuhan sesama sendiri."
"Hmm...teruk betul!" Rihanna tersenyum penuh muslihat sebelum melompat tinggi menguja ke udara dan menyebarkan debu pari-pari yang menyebabkan padangan Ryuu terhalang.
"Rihanna!" pekik Ryuu sambil cuba mengesan aura Rihanna.
Matanya dibutakan buat sementara dek debu pari-pari itu. Ryuu tak menyangka Rihanna akan menggunakan helah murahan seperti itu. Nampaknya Rihanna pun dah bosan berhadapan dengan Ryuu tanpa kemenangan mahupun kekalahan. Ryuu juga sebenarnya dah bosan bertarung dengan Rihanna yang tiada kesudahan. Namun sebagai ketua pengawal, dia perlu mendapatkan semula skrol yang dicuri tak kira apa cara sekali pun.
Bab 4

MENJELANG petang baru Rihanna tiba semula di KL. Dari Tasik Bera dia terpaksa menumpang lori barang untuk ke pekan berhampiran. Dari situ, dia terpaksa menaiki kereta sapu untuk sampai ke bandar. Dari bandar, dia menaiki bas ekspres kembali ke kota. Punyalah penat.
Sampai saja di rumah, Rihanna terus tidur tak sedarkan diri kerana dah lebih 24 jam dia berjaga. Sedar-sedar saja matahari dah terbenam. Perutnya berbunyi-bunyi minta diisi kerana seharian dibiarkan kosong. Rihanna masih lagi terlentang di atas katil dengan beg masih terselempang di tubuh. Tak bertenaga rasanya untuk bangun, mandi dan bertukar pakaian.
"Nak aku tolong?" Wajah Darius muncul di hadapan matanya.
Rihanna mengeluh. Pasti Darius dapat membaca fikirannya. Disebabkan terlalu letih, dia tiada tenaga hendak melindungi fikirannya daripada dibaca oleh Darius.
Darius menghulurkan tangan dan membantu Rihanna bangun. Gadis itu terus bersila di atas katil dengan rambut kusut-masai seperti bertahun tak disikat.
"Mana skrol tu?" Darius duduk di hadapannya. Pakaian Darius dah bertukar. Seharian tertanam di dalam tanah, tentu pakaian yang dipakainya semalam dah kotor.
Rihanna menanggalkan tali beg dari tubuhnya. Kemudian dia menonggengkan beg itu untuk mengeluarkan segala isi yang ada di dalamnya. Pemegang pedang Rihanna bergolek ke arah Darius. Sepantas kilat Darius bangun. Rihanna hanya tersengih sebelum mencapai pemegang pedang itu dan meletakkannya di atas meja sisi katil.
Pedang pemburu khas untuk membunuh mahkluk malam yang dipunyai oleh Rihanna tak boleh tersentuh Darius. Jika tersentuh, ia boleh mencederakan lelaki itu.
Darius duduk kembali di hadapan Rihanna. Dia menyambut skrol yang dihulurkan. Terus saja skrol itu dibuka dan isi kandungannya dibaca.
"Ni skrol apa?" Rihanna menghampiri Darius, turut menatap skrol yang sama.
"Eh? Kenapa skrol ni kosong?" Berkerut dahi Rihanna memandang skrol yang kosong tak berisi itu. Pura-pura blur.
"Bukan kosong." Darius menggulung semula skrol itu. "Kau tak buka hijab mata. Sebab tu tak nampak." Darius menoleh ke sisinya, ke arah Rihanna. "Pergi mandilah. Bau kau dah macam bau troll. Bau tahi lembu pun ada juga!"
"Hek elehhhhhh!" Mahu saja Rihanna hempuk Darius dengan hulu pedangnya. Celopar sungguh mulut Demon itu. "Siapa suruh kau hantar troll tak guna tu? Ada ke patut dia tinggalkan aku. Mujur aku bawa debu pari-pari!" Rihanna membentak sebelum mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik mandi.
"Dodi tinggalkan kau?" Darius kehairanan. Mahkluk troll itu amat setia dan mereka tak berani mengingkari arahannya. Tentu ada sesuatu yang menyebabkan dia terpaksa ingkar. Lantas Darius menyeru Dodi mahu bertanyakan sebab mengapa dia membiarkan Rihanna sendirian.
"Ryuu!" Nama itu bergema dibawa angin.
Dah Darius agak. Tentu Ryuu punya angkara. Darius menoleh ke arah pintu bilik mandi yang tertutup rapat. Mujur Rihanna berjaya melarikan diri. Jika tak, tentu skrol itu akan terlepas kembali ke tangan Ryuu.  Tapi Darius tahu yang Ryuu tak akan berputus asa. Pengawal itu pasti akan berusaha mengembalikan skrol itu ke Muzium Terapung.
Sewaktu Rihanna selesai mandi dan keluar dari bilik air, Darius tiada di situ. Dia mengeluh lega kerana tak perlu bertegang urat menghalau Demon itu keluar dari biliknya. Terburu-buru Rihanna memakai pakaian. Perutnya pedih. Dia amat lapar. Setelah memasukkan isi begnya yang berselerakan di atas katil, Rihanna terus keluar dari bilik.
"Biar aku temankan kau." Darius ada di sisinya ketika dia terkial-kial menyarung kasut.
"Kau dah makan ke belum ni? tanya Rihanna. Bahaya berjalan bersama Darius kalau-kalau Demon itu belum 'makan'.
"Tak perlu. Skrol tu dah buat aku kenyang." Darius menekan butang lif. Sesekali berlagak seperti manusia, seronok juga. Tak perlulah terbang ke sana ke mari macam hantu.
Apabila pintu lif terbuka, ada beberapa orang gadis berpakaian cantik di dalamnya. Selamba saja Rihanna melangkah masuk. Darius turut di belakangnya.
Rihanna menekan butang untuk menutup pintu. Belum pun seminit berada di dalam lif, Rihanna mendengar bisik-bisik gadis-gadis cantik itu. Tentu mereka tertarik dengan wajah kacak Darius. Mujur juga Darius dah kenyang. Kalau tak, hilang nyawa gadis-gadis tu jawabnya.
"Kau nak makan kat mana?" Tiba-tiba Darius menarik tubuh Rihanna rapat kepadanya.
"Eh..." Baru saja dia hendak membantah, Darius telah menghantar isyarat fikiran kepadanya. Oh...pura-pura saja sebab Darius tak suka dengan apa yang difikirkan oleh gadis-gadis itu terhadap dirinya.
"Aku nak makan burger bakar Pak Cik Bakar." Rihanna menyambung lakonan Darius. Pinggang lelaki itu dipeluknya. Darius turut membalas perbuatan yang sama.
Rihanna terpaksa menahan gelak apabila gadis-gadis di belakang mereka seolah-olah kecewa melihat kemesraan Rihanna dan Darius.
"Jom sayang," ajak Darius sewaktu lif terbuka.
Mereka melangkah agak jauh sedikit sebelum Rihanna melepaskan pinggang Darius.
"Kesian aku tengok minah-minah tu kecewa sebab tak dapat nak memikat kau." Rihanna ketawa.
"Baguslah. Kalau tak, mereka yang mati kalau aku tak dapat kawal diri aku tadi." Tangan Darius masih lagi di pinggang Rihanna.
"Kau kata kau kenyang?"
"Tapi naluri aku memang tak boleh dipuaskan kalau berada begitu hampir dengan mereka. Bau mereka tadi sungguh menyelerakan!"
"Nak muntah aku dengar!" Rihanna membuat gaya seperti hendak termuntah. Tika itu juga dia terdengar namanya dipanggil dengan kuat.
"Rihanna!"
Rihanna mengangkat muka memandang ke hadapan. "Addi?" Bulat matanya memandang Addi.
Wajah lelaki itu merah menahan marah kerana terlihat Rihanna sedang berpelukan dengan lelaki lain.




Bab 5

DENGAN pantas Rihanna cuba melepaskan diri. Tetapi Darius sengaja memeluk Rihanna dengan lebih rapat. Rihanna menolak tangan Darius sekuat-kuatnya. Namun Darius bukan tandingan tenaganya. Macam menolak batu saja.
Wajah Addi masih merah padam. Tanpa berkata apa-apa, dia berpaling dan terus pergi.
"Addi! Tunggu!" jerit Rihanna.
Tetapi Addi dah pergi, jauh meninggalkan Rihanna dengan hati yang marah membara.
"Woi hantu!" pekik Rihanna ke muka Darius. "Kenapa kau buat macam gini?" Rihanna masih bergelut mahu melepaskan dirinya.
"Kenapa kau masih layan manusia tu lagi?" Tetapi selamba saja Darius memarahi Rihanna balik.
"Suka hati akulah! Yang kau sibuk apasal? Lepaskan akulah!" Rihanna masih lagi berusaha melepaskan dirinya.
"Kau tak sepatutnya bersama dia. Dia bukan macam kita." Darius berdegil tak mahu melepaskan Rihanna.
"Macam kita?" Rihanna merenung wajah Darius dengan marah. "Kau lain. Aku lain. Dia lain. Kita semua tak sama!" Suara Rihanna high pitch, menyakitkan telinga Darius yang sensitif.
Apabila Darius masih bertegas tak mahu melepaskan dirinya, Rihanna mula seluk beg sandangnya. Pemegang pedang dipegang dan serta-merta cahaya keluar dari situ. Cepat-cepat Darius melepaskan Rihanna.
"Tau takut. Tadi kemain berlagak lagi!" ejek Rihanna puas hati. "Aku tak mau jumpa kau lagi. Dan jangan cuba-cuba nak halang hubungan aku dengan Addi!" amar Rihanna sebelum berlari mengejar jejak Addi yang dah sejuk.

"ADDI!" Rihanna mengetuk pintu apartmen Addi bagai nak roboh. Dia dah tak peduli lagi dengan jiran-jiran Addi yang mungkin terganggu mendengar riuh-riuh tengah malam-malam macam tu. Siapalah berani nak tengok? Kalau hantu yang buat kecoh, cemana?
Lama juga baru Addi bukakan pintu. Tapak tangan Rihanna dah merah. Suaranya pun separuh serak kerana asyik memujuk Addi.
"Addi...aku nakkkkkk....." Suara Rihanna jadi jeritan yang agak nyaring bila Addi terus menarik tangannya masuk ke dalam rumah.
"Kau tak tau malu ke ketuk pintu rumah orang lelaki tengah-tengah malam macam ni?" Addi bercekak pinggang menghadap Rihanna yang terkial-kial membetulkan dirinya yang dah ditarik masuk ke dalam rumah secara kasar.
"Aku panggil baik-baik...kau tak layan." Rihanna mengusap pergelangannya yang sakit. Kasar betul si Addi ni melayannya. Kalau marah sekali pun jangan sampai main tarik-tarik macam ni. Mujur dia tak tertunjuk tenaga luar biasanya tadi. Kalau tak pasti Addi melopong tengok Rihanna segagah Hulk.
"Apa kau nak?" Addi berpeluk tubuh pula sambil memalingkan muka ke arah lain.
Eleh merajuk konon. Meluat pula Rihanna tengok perangai Addi. Jual mahal! Tapi disebabkan sayang, dia tak peduli dengan semua tu. Yang penting dia harus jelaskan keadaan sebenar sebelum Addi terus salah faham.
"Tadi tu....mamat tadi tu...." Tiba-tiba Rihanna tergagap-gagap. Apa yang dia nak cakap sebenarnya ni?
"Ha? Kenapa? Tak ada idea nak bohong aku lagi?" Addi memetir. Langkahnya beberapa tapak dah hampir kepada Rihanna. Hingga Rihanna terpaksa mendongak. Sama pulak tinggi si Addi dengan Darius. Sempat lagi fikiran Rihanna melayang.
"Dia sepupu aku. Dan dia ada hati pada aku. Tapi aku tak suka dia. Aku suka kau!" Macam peluru sesat Rihanna mereka alasan. Apa-apa sajalah janji boleh cover kisah tadi. Kurang ajar betul si Darius tu. Bergurau tak kena masa. Eh? Tadi tu dia bergurau ke?
"Bila pula kau ada sepupu lelaki? Bukan kau cakap hari tu kau sebatang kara aje kat dunia ni?" Addi sinis menyindir. Jelingannya tajam aje.
Rihanna buat muka selamba tak bersalah. "Dia baru aje muncul dalam hidup aku. Selama ni dia duduk kat luar negara. Tu baru balik. Sebab tu selamba-selamba aje dia nak peluk-peluk aku. Macam budaya omputeh. Peluk-peluk...kiss kiss pipi."
"Abis tu...ko pun ada kiss kiss dia lah?" Mata Addi buntang memandang Rihanna.
"Choi! Choi! Gila apa? Nak mampos????" Rihanna menjerit macam histeria. Tak dapat nak bayang kalau Darius....yuckkksssss. Dia tak mau langsung memikirkannya. Sungguh mengerikan! Dia kan....
"Aku datang ni nak minta maaf. Bukan nak cakap pasal aku ngan si Dar...si Daud tuh!" Hampir tersasul Rihanna hendak menyebut nama Darius. Sebut nama lelaki itu maknanya dia menyeru. Kang muncul pulak dia kat sini. Lagi haru-biru petala ke tujuh langit yang ke lapan belas!
"Ke mana kau pergi? Dua hari ilang tak buat report?" Suara Addi kendur. Dia duduk bersandar pada almari rendah di tepi dinding. T-shirt warna hijau gelap lumut dan seluar celoreng masih tersarung pada badannya. Addi baru keluar kem. Cuti agaknya.
"Out station. Tak sempat nak bagitau kau." Suara Rihanna pun dah tenang. Dia bersandar pada dinding, mengadap Addi. "Kau cuti ke sekarang ni?"
"Cuti panjang." Addi menghampiri Rihanna. Kedua-dua belah tapak tangannya diletakkan pada dinding di kiri kanan Rihanna. "Jom ikut aku bercuti." Suara Addi lembut memujuk.
"Ke mana?" Rihanna tertahan nafas. Kedudukan Addi buat dia sesak nafas. Gila romantik mamat ni. Tadi bukan main marah lagi. Rajuk dia hari tu pun makan masa nak pujuk. Tapi hari ni sekejap pulak lah.
Addi tersenyum. "Apply cuti siap-siap. Seminggu tau!"
Seminggu? Macam boleh lulus. Tapi tak apa. Dia akan suruh Darius tolong pukau bos dia macam yang sebelum-sebelum ni. Darius tak boleh nak tolak sebab dia kan Puteri....hehehe.



Bersambung 

No comments:

Post a Comment