Sunday 5 January 2014

Tiada Yang Lain : Bab 6-10

BAB 6


JENUH Salmah menunggu anak-anaknya pulang daripada berjoging. Selalunya mereka balik cepat. Pukul 9 dah sampai ke rumah. Tetapi, sekarang sudah jam 11 namun tidak juga muncul. Ke mana agaknya budak dua beradik itu merayap? Kalau ia pun hendak membeli-belah ke, hendak ke kedai makan ke, takkan tak boleh telefon dia?
Dalam resah, dia melihat dua buah kereta berhenti di luar pagar. Kereta Nurain, tentulah Salmah kenal dengan warna merah Viosnya. Tetapi yang sebuah lagi itu? Kereta kancil yang buruk berwarna putih itu! Siapa punya?
            Cemas rasa hati melihat Atiqah keluar dari tempat duduk penumpang di hadapan. Semakin cemas kerana pada masa sama seorang pemuda keluar dari tempat pemandu. Ketika anak sulungnya itu baru hendak memulakan langkah, pemuda itu sibuk hendak memimpin tangan Atiqah. Mujurlah anak gadisnya itu sempat mengelak. Kalau tidak, mahu dia keluar dan tampar pipi pemuda itu.
Melampau! Siapa dia berani benar hendak menyentuh Atiqah? Nasib baik Atifah cepat-cepat mendapatkan kakaknya. Rasa tenang jiwanya melihat adik-beradik itu masuk ke dalam rumah.
            “Apa kena kaki kamu tu, Iqa?” sapa Salmah dengan kerutan di dahi.
“Maaf, mak cik. Anak mak cik kemalangan tadi. Ni, kami baru balik dari klinik.”
Pemuda itu yang memberitahu. 
            Pandangan Salmah berkalih daripada Atiqah kepada pemuda itu.
“Kamu ni siapa? Macam penagih dadah aje aku tengok?”
Erk? Zharif terkedu. 
“Teruk ke kamu, Iqa? Sampai pergi klinik? Kenapa tak berhati-hati?” tanya dia.
            “Salah saya, mak cik. Saya yang terlanggar anak mak cik ni.” 
Tidak sempat Atiqah hendak membuka mulut, Zharif terus memberitahu begitu. Sudah tentu jawapannya menyebabkan hati Salmah jadi panas. Malah sudah hendak mencapai takat suhu didih. Siaplah, Zharif!
            “Jadi, kamu yang langgar anak aku ni? Kenapa? Dah buta? Kalau jadi apa-apa pada dia, siap kamu! Aku saman!” jerkah Salmah.
Garangnya? Zharif melirik ke arah gadis yang baru sahaja duduk di atas kerusi. Ketika pandangan mata bersabung, mereka seolah-olah sedang berdialog:

Atiqah : Apa?
Zharif  : Saya tahu dah dari mana awak mewarisi sifat garang awak tu!
Atiqah : Awak cakap apa? Saya tak fahamlah!
Zharif  : Awak tu! Garang macam emak awak ni la!
Atiqah : Saya? Garang?

“Iqa!”
Tatapan terlerai. Cepat-cepat Atiqah berpaling memandang wajah ibunya. Takut pula kalau-kalau ibunya naik hantu macam tadi. 
“Macam mana dia boleh langgar kamu? Kamu berdiri di tengah jalan ke Iqa?”           
Atiqah geleng.
“Kalau Iqa kena langgar dengan kereta dia ni, tentu Iqa dah jadi arwah, mak,” jawabnya. 
“Habis? Tayar kereta dia gilis kaki kamu ke?”
Salmah beria-ia hendak tahu. Dia bercadang hendak tuntut ganti rugi. Pemuda ini ada duit atau tidak, belakang kira. Yang penting, kaki anaknya. Kalau nanti jadi cacat atau berjalan senget sebelah, siapa yang mahu?
“Emak, sikit aje ni. Abang Zharif terlanggar kak long masa dia berlari turun bukit. Kak long yang halang laluan. Abang Zharif tak sempat mengelak. Dum, dua-dua jatuh! Tapi, Abang Zharif cepat-cepat bangun. Cuma, agaknya nasib kak long kurang baik. Tulang kat buku lali dia tu retak sikit. Doktor cakap macam tu tadi. Doktor suruh kak long berehat. Dia bagi cuti selama seminggu.”
Panjang lebar Atifah memberitahu. Entah kenapa dia tidak suka dengan perangai ibunya yang asyik hendak menyalahkan Zharif. Nampak benar yang ibunya tidak sukakan lelaki itu. Layanannya jauh berbeza berbanding pertemuan pertama dengan Afif dahulu. Adakah penampilan dan keadaan Zharif yang comot dan serebeh ini menjadi ukurannya?
Salmah merenung wajah Nurain pula.
“Betul ke, Ain? Mak cik tak berapa nak percaya dengan budak dua beradik ni. Kamu pun tahu yang mereka selalu berpakat, kan?” sindirnya kepada Atiqah dan Atifah. 
Nurain tersenyum.
“Betul, mak cik. Memang cerita Tipah tu tepat seperti apa yang berlaku tadi. Tak ada tokok-tambah.” Dia meyakinkan.
Salmah berasa lega. Bagaimanapun, dia tetap tidak suka kepada pemuda ini. Terutama apabila dia tengok selalu benar mata Zharif mengintai Atiqah. Hesy, tak sesuai! Tak padan langsung! Tak berkenan!
“Kamu ni kerja apa?”
Salmah mulakan edisi siasat.
“Saya kerja kilang aje, mak cik.” Zharif memberitahu. Melihat Salmah menjuihkan bibir, dia tersenyum sinis. Mesti sedang memperlekehkan dirinya di dalam hati, dia meneka sendiri.
Sememangnya, hati yang tidak berkenan jadi semakin menyampah. Sudah terpahat kemas dalam minda untuk menghalang pemuda ini daripada mendekati Atiqah. Tidak ada faedahnya Atiqah berkawan dengan budak ala-ala gangster ini! Lagipun, Atiqah sudah ada Afif. Jadi, Atiqah tidak boleh lagi melayan lelaki lain.
Pada ketika itu, Idris sampai ke rumah bersama motosikal Krissnya. Zharif segera bangun dan sebaik berdepan, terus menghulurkan tangan untuk bersalam.
            “Nama saya, Zharif, pak cik. Saya nak mintak maaf banyak-banyak pada pak cik. Saya terlanggar anak pak cik masa kami bersenam tadi sampai kakinya bengkak dan terseliuh.”
            Idris senyum sambil menepuk bahu Zharif. Kemudian dia memandang wajah Atiqah yang sedang tersenyum.
“Iqa masih boleh senyum nampaknya tu! Jadi, pak cik maafkan kamu. Tentu sikit aje cederanya tu,” balas Idris.
Zharif ketawa kecil namun ketawa itu mati sebaik mendengar cemuhan Salmah.
            “Sikit, kata awak? Kalau sikit, tak adanya doktor nak bagi MC sampai seminggu, bang.” Dia membangkang. Sakit hati sebab suaminya ramah melayan Zharif.
            “Eloklah tu! Iqa mana pernah cuti sejak dia bekerja, Sal. Sekarang, doktor dah suruh dia berehat. Biarkanlah! Rahmat daripada kemalanganlah tu!”
Idris memang sentiasa bersikap positif. Kerana dia tahu, di sebalik musibah ada hikmah yang tersembunyi.
            “Ha’ah! Dah setahun kerja tapi kak long tak pernah ambil cuti. Betul cakap ayah. Ada rahmat walaupun sakit.”
Atifah yang periang sudah mengekeh ketawa. Tidak peduli pada jegilan mata ibunya.
            Zharif berdiri semula. Tahu yang kehadirannya tidak diundang di dalam rumah ini. Jadi dia perlu sedar diri. Perlu balik! 
“Saya nak mintak diri dulu, pak cik. Dah lewat sangat ni. Tadi dah janji nak makan tengah hari di rumah emak.” Dia memberitahu.
Cepat-cepat Idris memandang Atifah.
“Tipah, apa tunggu lagi tu? Pergi cepat bancuhkan air untuk ayah dengan Zharif ni. Amboi, sampai tetamu dah nak balik pun kau orang belum hidangkan air?” omelnya. Sebenarnya dia sedang menyindir isterinya. Asyik nak marah-marah kepada tetamu mereka. Padahal tetamu yang datang ke rumah, datang membawa rezeki. 
Atifah angguk lantas berlari ke dapur.
“Tak apalah, pak cik. Saya dah lambat ni.”
Zharif meminta diri sekali lagi. 
Idris sekali lagi menahan.
“Tak ada, tak ada! Duduk, Zharif! Bukannya lama nak buat air sirap di dapur tu.” Dia melaung.
“Tipah, cepat sikit! Ayah dahaga sangat ni. Kamu pun sama jugak, kan?”
            Zharif tersengih sambil mengangguk. Sepasang mata melirik ke arah Atiqah yang turut tersenyum.
            Salmah menjeling ke arah suaminya. Geram! Inilah sikap Idris yang tidak begitu digemari. Mudah benar mesra dengan orang. Buta agaknya? Tak nampak bagaimanakah rupa si Zharif yang dilayan dengan baik ini? Hesy, benci!
            “Ain, bawak Iqa masuk bilik dia. Biar dia baring. Duduk sini nanti lagi bengkak kaki tu!” arahnya kepada Nurain.
            Nurain patuh menurut perintah. Atiqah juga. Tapi, sebelum melangkah Atiqah sempat lagi berkata kepada Zharif.
“Awak, terima kasih sebab bawa saya ke klinik tadi. Nanti balik, bawak kereta elok-elok tau. Taknaklah cilok-cilok macam tadi.”
            Zharif ketawa mendengar usikan itu.
“Tadi tu sebab saya nak cepat bawak awak jumpa doktor,” sahutnya.
“Yalah tu! Tak percayalah saya. Saya rasa memang awak ni suka drive  laju-laju. Lepas tu suka menyelit-nyelit pulak. Dengan kancil, mudah ajelah awak buat kan?”
            Salmah menjuihkan bibir saat orang lain ketawa mendengar usikan Atiqah itu.
“Dah tu, Iqa. Pergi masuk!” arahnya dengan suara melengking kuat.
            Atiqah kerut dahi tanda tak faham dengan angin ibunya. Namun sebagai anak yang baik, dia patuh perintah ibunya itu.
            Zharif mengambil kesempatan itu untuk menunjuk isyarat yang dia akan menelefon Atiqah nanti. Isyarat yang menyebabkan Atiqah senyum sampai ke telinga. 


BAB 7


ZHARIF duduk di birai katil. Dia tersenyum apabila melihat jarum jam yang sudah menunjuk angka sepuluh. Waktu untuk dia mengusik seseorang sudah tiba. Jadi, laju sahaja jemarinya menekan butang ‘speed dial’ nombor milik Atiqah. 
            “Saya tak nak kacau awak, Iqa. Just nak ucap selamat malam aje.” Zharif memulakan bicara.
“Jadi, lepas ucap terus nak tidurlah tu, ya?” tanya Atiqah. Suara halusnya yang menyapa telinga Zharif, menggetar perasaan.
            “Iyalah! Nak buat apa lagi?” Sengaja mengusik.
            “Tak apalah kalau macam tu...”
‘Aik, bunyi macam merajuk aje. Jangan, Zharif! Nanti jenuh kau nak pujuk dia.’ desis hati Zharif.
“Alah, Iqa. Janganlah! Sembanglah dengan saya.”
Atiqah ketawa sahaja di hujung talian.
            “Tak kuasa! Esok, saya mula kerja, tau!”
Zharif tepuk dahi.
“Lupa pulak saya. Esok Isnin, kan? Tapi, kaki awak tu dah betul-betul sembuh ke? Boleh berjalan dah?”
“Alhamdulillah. Jangan risaulah! Kaki saya dah baik!”
“Kalau macam tu, baguslah. Pergi kerja dengan siapa? Takkan naik bas kut?” tanya Zharif.
“Alah awak ni! Hari tu saya naik bas sebab Ain pergi kursus.”
“Okey, faham. Tapi kenapa awak tak drive? Tak ada lesen ke?”
“Ada. Tapi saya takut nak bawak kereta. Seramlah bila kat atas jalan tu.”
Aduhai, manjanya suara! Cair hati ni, Cik Atiqah oi! Rasa rindulah pulak. Lantas, ligat otaknya mengatur pertemuan. Ya, dia ingin berjumpa dengan Atiqah lagi. 
“Apa kata, saya ajar awak memandu semula? Rasanya, kalau dalam 4 jam, awak dah boleh mahir nanti.” Zharif mempelawa.
            “Belajar dengan awak? Eeii, tak naklah saya. Takut! Awak tu garang sangat!”
            Zharif ketawa besar. Geli hati sebab Atiqah selalu benar cakap begitu. Selalu sangat menuduhnya seorang yang garang.
“Tapi, Iqa, garang-garang saya ni, saya romantis giler, kan? Tengok betapa beruntungnya awak jadi mak we saya? Hari-hari saya bagi bunga, kan?” usiknya.
            “Eeii, stop! Stop! Mengada-ngada! Bila entah orang jadi mak we dia? Perasan!” balas Atiqah sambil tergelak kecil.
            “Tak nak? Jangan, Iqa. Nanti awak menyesal. Guling-guling atas tanah sebab frust!” usik Zharif lagi.
            Atiqah ketawa halus.
“Dalam telefon, macam-macam awak cakap. Tapi bila datang rumah, menikus aje. Tunjuk alim depan ayah saya, kan?”
            “Itu tanda hormat bakal bapak mertua, tahu!” Zharif memintas.
            Atiqah tersengih. Main-main sungguh pemuda ini dengannya sekarang. Tidak disangka-sangka, ini dia sikap sebenar Zharif Ikmal. Zharif tidak sombong malah dia suka bergurau. Seronok berbual dengannya.
            “Iqa!”
            Meremang bulu tengkuk mendengar namanya diseru penuh romantis. Tetapi, Atiqah tidak mahu melayan perasaan. Bimbang nanti bertepuk sebelah tangan sahaja. Kata orang tua-tua, harap ada, percaya tidak. Begitulah dia dengan Zharif. Dia mengharapkan pemuda itu serius dengannya tetapi mereka baharu benar kenal. Takkan dalam tempoh sesingkat ini sudah ada bunga-bunga cinta di dalam hati?
            “Nak apa?”
Sengaja ditegaskan suaranya.
            Zharif membaringkan diri di atas tilam empuknya.
            “Nak beritahu awak yang saya pernah bertekad tak mahu jatuh cinta sebelum kahwin,” ujar Zharif perlahan.
            Atiqah tersentak. Amarankah itu? Apakah yang Zharif maksudkan? Signal untuk dia? Agar tidak berharap?
            “Iqa, awak dengar tak?”
            “Dengar! Faham dah pun!” balas Atiqah keras.
            Zharif kerut dahi. Dia hairan kenapa suara Atiqah tiba-tiba jadi tegang. Tadi, manja bukan main. Sekarang, kedengaran seperti marah pula.
Kenapa Atiqah marah? Dia belum habis cakap lagi!
“Faham? Faham apa, Iqa?” soalnya keliru.
            “Fahamlah! Faham yang awak dah beri amaran supaya saya tak jatuh cinta dengan awak, kan? Okey, mesej diterima. Saya janji, saya akan jaga hati saya ni supaya tak jatuh cinta pada awak.”
“Iqa?”
“Lepas ni, jangan bagi bunga pada saya lagi!” pesan Atiqah.
Erk? Zharif garu kepala.
“Jangan mesej-mesej dengan saya dah!”
Pulak?
“Tak payah telefon lagi. Tak nak dengar usikan-usikan awak pun!”
Tak boleh jadi ni!
“Iqa? Awak dah salah faham ni. Saya...”
Atiqah pintas cepat-cepat. 
“Zharif, saya nak tidur. Dah lewat sangat ni. Esok nak kerja. Terima kasih sebab sudi layan saya selama ni, awak. Selamat malam.”
            Tidak menunggu jawapan Zharif, terus talian dimatikan.
            Zharif resah. Dia bangun lalu berkawad ke hulu ke hilir di dalam bilik sempitnya. Sekejap dia ke hadapan, sekejap ke belakang. Selepas dia berdiri, dia duduk pula. Kemudian bangkit semula.
            “Tak boleh jadi ni! Tak boleh biarkan Atiqah salah faham. Kena betulkan ayat tu semula. Mesti!” gumamnya.
            Dia duduk. Tekun dia menekan aksara pada Samsung kesayangan. Selesai mengarang, dia baca dan baca lagi. Setelah berpuas hati, butang ‘send’ ditekan.
Dan senyum menghiasi wajah...   





BAB 8


*Jangan marah-marah, nanti berkerut dahi, tak cantik muka tu dah! Fasal tadi, saya minta maaf banyak-banyak, Iqa. Saya tahu, awak marah. Tapi sebenarnya, saya nak sambung lagi. Cuma awak tak mahu dengar. Kecewa dah ni, tau!*
           
ATIQAH menjuihkan bibir mungilnya sebaik sudah membaca titipan pesanan ringkas daripada Zharif itu. Minta maaf, konon? Untuk apa? Isk, lelaki memang selalu begini, kan? Sudah puas menyakiti hati, barulah tersedar bahawa dia sudah membuat salah. Kemudian, sibuk hendak memujuk pula.
Bukankah lebih baik seandainya Zharif berfikir dahulu sebelum membuat kenyataan bodoh itu semalam? Tidak mahu bercinta sebelum kahwin, konon? Siapakah dia untuk menentukannya? Soal hati dan perasaan... Bukankah semua itu milik Dia?
            SMS itu tidak dibalas. Kenapa? Kerana Atiqah tidak mahu berharap. Sebab itu, apabila SMS kedua diterima, dengan malas, dia membacanya. Niat di hati, dia akan delete mesej itu nanti. Tapi, manalah menyangka bahawa hati akan bergetar secara tiba-tiba? Mengocak suatu rasa di dalam jiwa? Hanya dengan...
           
*Iqa, esok hari jadi awak, kan? Awak nak hadiah apa ya? Hmm, awak nak hati saya tak?*
           
Atiqah sudah tersenyum meleret.
“Nak! Nak!” hati membisik.
Bertuahlah badan andai hadiah itu yang dia dapat! Sekeping hati Zharif menjadi miliknya. Tentu bahagia!
           
*Diam aje? Tak apa, kalau awak tak nak ambil hati saya. Apa kata awak beri hati awak pada saya. Boleh, Iqa?*
           
Senyum menjadi semakin lebar. Bahagia memenuhi relung hati kerana buat pertama kali Zharif bercakap tentang hati. Tentu ada mesej tersirat yang ingin disampaikan, fikirnya.
Kalau difikir betul-betul, itu adalah luahan rasa hati pemuda itu terhadapnya? Bahawa, ada cinta sedang bermukim. Bahawa, Atiqah tidak bertepuk sebelah tangan. Bahawa, di dalam diam, hati masing-masing sudah dicuri. 
Tiba-tiba, Atiqah rasa malu hendak membalas pesanan ringkas Zharif itu. Jemari jadi kaku, tidak tahu apa yang harus ditulis. Banyak yang ingin dikatakan namun tidak terluah.
‘Alah, esok-esok ajelah aku balas. Malam ni, biar dia terdera menanti jawapan aku. Semalam dia buat aku sedih, kan? So, it’s payback time now. Semalam aku tak boleh lena. Malam ni, biar dia pulak yang tak boleh lelap. Baru adil!
Dan, Atiqah tersenyum membayangkan Zharif dalam keresahan. Zharif yang kegelisahan. Biar lelaki itu mengerti erti sebuah penantian. Bukankah penantian suatu penyeksaan?
‘Ya, tunggu esok, Zharif! Iqa pun tak suka berteka-teki. Iqa pun tak suka hendak memendam perasaan. Bagi Iqa, kalau hati sudah suka, kita perlu meluahkannya! Tak payah nak sorok-sorok, okey! Jadi, esoklah masanya untuk kita berterus terang. Bersabarlah!’
“Tahulah yang kau sekarang tengah dilanda perasaan. Tapi, apa ke halnya duk tengok skrin telefon sambil tersengih-sengih? Kat mata kau asyik terbayang muka mamat sengal tu ya?” Nurain menyindir. Mug air yang dihulurkan Atifah, disambutnya.
            Malam ini, Atiqah berdua beradik bertamu ke rumah Nurain. Mereka hendak melarikan diri daripada bebelan Salmah sekejap. Letih mendengar omelannya. Ada-ada sahaja yang hendak dikutuk tentang Zharif.
            “Mamat sengal? Siapa?” Atiqah pura-pura bertanya.
“Eleh, buat-buat tanya konon? Siapa lagi? Zharif la?” jawab Nurain sambil tersengih.
Kan dah cakap? Mesti Zharif yang Nurain maksudkan. Sengal? Alahai, tahulah yang Zharif tu sempoi sangat orangnya. Selekeh pulak tu! Tetapi, kalau asyik menaruh minat kepada lelaki yang handsome, anak orang kaya, bergaya, tegap, maco, mengharap agar pemuda sebegitu mahu menjadi suami, kasihanlah pula kepada mamat-mamat sengal, kan? Tak laku pulak mereka nanti.
Samalah juga sekiranya yang cantik memilih hanya pemuda kacak untuk menjadi suami. Tentu kasihan kepada pemuda yang tidak kacak. Atau pemuda kacak hanya mahukan perempuan cantik. Maka, ramailah yang tidak cantik menjadi andartu pula.
Sebenarnya Allah itu Maha Adil. Diciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Lelaki dan perempuan saling melengkapi.
            “Alah, Kak Ain. Kak long memang macam tu sekarang ni. Asyik berangan saja. Tengah angaulah, katakan?” Atifah mengejek.
            “Yalah, orang dah pandai merindu, Tipah. Bukan macam kita berdua. Siapa pun tak sudi, kan?” usik Nurain pula.
            “Macam-macamlah kau orang berdua ni,” balas Atiqah sambil tergelak-gelak.
            “Ehem, ehem,” Atifah berdehem untuk menarik perhatian Atiqah kepadanya.
            Nurain mengerutkan dahi.
“Apa kena kamu, Tipah? Sakit kerongkong ke?” sindirnya.
            “Ha’ah! Kenapa kamu, Tipah?” tanya Atiqah, serius sahaja mukanya apabila memandang Atifah.
            “Orang nak tanya satu benda pada kak long,” kata Atifah.
“Apa dia?”
Atifah tersengih.
“Kak long suka Abang Zharif ya?” tanya dia.
Atiqah mengangguk penuh yakin.
“Dah jatuh cinta pada dia?”
“Mungkin.”
Satu jawapan selamat.
“Tapi kan baru kenal aje? Macam mana kak long yakin yang itu cinta?”
Wah, Atifah benar-benar mendesak.
“Jangan tanya kenapa dan bagaimana seseorang boleh jatuh cinta, Tipah. Semua tu kerja Dia. Perasaan tu Allah yang semai dalam diri kita.”
Atiqah bersetuju sangat dengan pendapat Nurain itu. Hati, kalau sudah suka? Bagai kilat perasaan ini datang. Dalam jangka masa yang amat singkat pula tu! Sebab itu orang kata, cinta boleh bersemi dalam tempoh sesaat sahaja. Daripada mata yang melihat, turun ke hati yang menyemai harapan.
“Dia? Dia sukakan kak long tak?”
Atiqah angkat bahu tanda tidak tahu.       
            “Ajaklah dia pergi dating! Luahkan apa yang kak long rasa. Nanti, dia curahkan pulak isi hati dia pada kak long. Kalau diam macam ni, bila nak bercinta?”
Atifah memberikan pendapat tanpa dipinta. 
            “Kalau dah suka sama suka, usah tunggu lama-lama. Suruh dia masuk meminang. Kalau boleh, terus kahwin. Cepat sikit aku dapat anak angkat. Tipah jadi mak su. Kan, Tipah?” usik Nurain pula.
            Atiqah tersengih mendengarnya.
            “Itulah, kan? Tak boleh benci sangat pada orang. Tengok apa dah jadi sekarang? Tidur pun tak berapa nak lena. Makan pun tak berapa nak kenyang,” tambah Atifah pula.
            Atiqah mengekek mendengar sindiran Atifah itu.
“Gelak, gelak jugak, kak long. Tapi kak long kena alert dengan emak. Dia dah dapat baca isi hati kak long tu. Takut nanti emak betul-betul paksa kak long kahwin dengan Abang Afif. Macam mana? Sudi ke? Rela?”
Atiqah risau mendengar soalan itu. Relakah dia? Sudikah dia berkahwin dengan Afif, lelaki pilihan ibunya itu? Bagaimana dengan Zharif? Sanggupkah dia melupakan Zharif untuk memenuhi impian dan harapan ibunya?
“Tipah, kamu rasa emak sanggup ke paksa kak long?” tanya Atiqah.
Atifah jongket bahu.
“Entahlah, tak berani nak cakap, kak long. Tapi kan, emak nampak nekad aje sekarang. Dia betul-betul sukakan Dr Afif tu. Calon menantu terbaiklah, katakan.”
Atiqah mengeluh halus. Dia juga tahu itu. Kalau ada pertandingan, tentu sahaja Zharif sudah KO. Berkali-kali dia kalah KO dengan Afif. Malah, kalau bukan Afif pun, ibunya pasti memberi kemenangan KO kepada mana-mana lelaki lain. Sejak dari awal lagi, Zharif sudah lama tewas.
            Tetapi, bolehkah apa yang tercatat dalam titipan pesanan Zharif itu dianggap sebagai luahan perasaan? Apakah itu luahan cinta? Keliru sudah! 
Tak apa! Nanti saja dia tanyakan Zharif.
            “Eh hmm!”
            Nurain dan Atiqah serentak mengalih pandang ke arah Atifah. Kenapa berdehem bagai?
“Apa kena kamu, Tipah? Tak habis-habis dengan sakit kerongkong lagi ke?” sindir Nurain.
            “Tak adalah, Kak Ain. Orang geram tengok kak long ni. Tanya dia macam-macam tapi sikit pun dia tak jawab. Esok-esok kalau jadi apa-apa, macam mana orang nak tolong dia?” Atifah mengadu.
Nurain ketawa besar.
Atiqah menjegilkan matanya yang cantik itu.
“Jadi apa-apa tu, apa?” tanya dia.
“Macam orang cakap tadilah. Orang takut emak paksa kak long terima Dr Afif sebagai calon suami. Takut emak tak pedulikan perasaan kak long nanti. Bukan kak long tak tahu yang emak tu suka guna kuasa veto dia. Kalau dia dah tetapkan fikiran, boleh ke kalau kak long nak membantah nanti?” tanya Atifah dengan wajah serius.
Gementar perasaan Atiqah mendengar kata-kata adiknya itu.
‘Adik, mak tak kejam la!’ desis hati.
“Kak long, cepat-cepatlah bincang dengan Abang Zharif. Tanya dia...”
“Hesy, takkan kak long nak mulakan dulu? Malulah!”
Wajah Atifah masam mencuka.
“Habis, kalau kak long tak cakap, macam mana Abang Zharif nak tahu isi hati kak long? Kalau Abang Zharif tak tahu, macam mana dia nak masuk meminang? Macam mana nak kahwin? Ke, kak long sanggup jadi isteri Dr Afif?”
“Eeii... pleaseee!  Tak mahulah kak long.”
Masing-masing ketawa melihat ekspresi muka Atiqah. Macam alergik sahaja mendengar nama Afif.





BAB 9


SEUSAI solat Isyak, Salmah mengajak Idris berbual di ruang tamu. Dah kebetulan anak-anak tak ada di rumah, dia hendak menggunakan kesempatan ini untuk berbincang hati ke hati dengan suaminya. Dia mahu Idris tahu betapa susah hatinya sekarang. Dia mahu masalah ini diselesaikan segera. Mesti!
“Abang, abang tahu tak betapa rimasnya saya sekarang?” Salmah bertanya.
“Rimas dengan siapa?” tanya Idris acuh tak acuh.
“Abang tak sedar ke? Bang, tengok sekeliling awak! Tak nampak ke awak jambangan bunga hidup yang banyak tu?”
Idris memerhati ke sekitar ruang tamu yang berbau harum. Dia melihat ada beberapa buah pasu berisi jambangan bunga mawar pelbagai warna.
“Setiap hari, ada aje budak dari ‘Lover’s Florist’ yang datang untuk hantar jambangan bunga ke rumah kita ni. Hari ini bunga teluki, esok pula bunga tulip. Lepas itu bunga mawar. Putih? Kuning? Pink? Merah hati? Semua jenis ada. Abang tak perasan ke?” tanya Salmah.
            “Jadi?”
“Abang, abang tahu tak siapa pengirimnya? Tak ada orang lain selain dia. Budak tu!”
Idris sengih. “Itu pun nak jadi isu? Biarlah, Sal. Duit dia banyak kut? Tu yang hari-hari dia hantar bunga ke sini. Bagus apa? Wangi rumah kita.”
“Banyak duit? Zharif yang kerja kilang tu abang kata banyak duit? Mengarut! Tapi, kalau dia banyak duit pun saya tetap tak suka dia.” marah Salmah.
            “Awak cemburu ke sebab Zharif bagi bunga tu pada Iqa? Bukan pada awak?” usik Idris sambil tertawa halus.
            “Abang!” jerit Salmah sambil menampar paha suaminya.
            “Sakitlah, yang. Garangnya awak ni,” kata Idris sambil menggosok paha yang sedikit sengal.
            “Lain kali jangan nak bergurau bila saya serius.”
            “Yalah!” Idris beralah.                     
            Suasana sepi seketika. Masing-masing tidak bersuara. Masing-masing sedang membayangkan wajah Zharif agaknya.
“Sal, Zharif tu bukan alien. Dia baik. Setiap kali dia datang sini dan berbual dengan abang, abang tak nampak sikap buruk dia. Yang awak anti sangat dengan dia tu, kenapa?” tanya Idris menghilangkan kebisuan di antara mereka.
“Alah, baik nak mengena!”
“Awak ni!”
“Saya hairan dengan sikap abang ni. Budak Zharif yang macam kutu rayau tu abang kata baik?”
“Ya! Dia ramah. Dia hormat saya. Dia hormat awak. Bercakap dengan suara yang rendah dengan kita. Beradab aje! Apa yang kurang lagi?” tanya Idris.
“Diri dia tak terurus. Kereta kecik. Buruk pulak tu.”
“Itu semua luaran. Awak ni materialistik ke apa ni?”
Salmah tarik muka.
“Habis, Zharif tu berakhlak sangatlah? Beragama sangat? Alim?”
Suara keras isterinya menyebabkan Idris tersentak. Lama baru dia menyahut.
“Salmah, kalau ada jodoh anak awak dengan Afif, tak akan ke mana. Kalau Allah dah tetapkan nama suami Atiqah tu, Afif, tak adanya Zharif dapat potong jalan! Yang susah hati tak tentu fasal ni, kenapa? Awak tak percaya pada qadak dan qadar?” marahnya.
            Salmah terdiam untuk seketika. Mencari cara untuk memahamkan si suami.
“Fikir apa lagi tu?” tanya Idris. Bimbang melihat sikap isterinya. Apakah lagi yang mahu dikatakan?
Tiba-tiba Salmah tersenyum meleret menyebabkan Idris mengangkat kening.  
            “Saya nak suruh Nora masuk meminang. Lagi cepat, lagi baik!” ujar Salmah setelah agak lama membisu.
Idris termangu.
“Biar betul awak ni, Sal!”
            “Itu aje caranya, bang. Supaya kita dapat berbesan dengan Nora dan Dr Husin,” kata Salmah lagi, penuh semangat.
            Idris melepaskan keluhan.
“Oh! Jadi, sebenarnya itulah tujuan awak, ya? Nak berbesan dengan doktor? Nak bermenantukan seorang doktor? Uisy, panjang angan-angan awak, ya Sal?” sindirnya.
            “Tak adalah, bang. Saya nak Afif jadi menantu kita sebab kita dah kenal Nora dengan Dr Husin tu. Dah kenal hati budi mereka. Kalau daripada keluarga baik-baik, tentulah Afif seorang yang baik, kan?” nafi Salmah beria-ia.
            Idris tersenyum. Sinis sekali kelihatannya.
“Yalah tu! Pada awak, Zharif tak sesuai jadi calon menantu awak, kan? Tak sesuai jadi suami Iqa! Yalah, berapa sangat gaji Zharif? Budak tu kerja kilang aje. Mampu ke dia nak tanggung Iqa nanti? Kalau tengokkan gayanya sekarang, tentu awak ingat yang dia tu nak tampung diri sendiri pun tak lepas. Iya tak?”
“Memang! Cuba abang fikir. Awak suka ke kalau esok-esok, selepas dia kahwin dengan Iqa, habis dia ambil duit gaji anak kita tu. Lelaki macam dia tu... Hesy!” bentak Salmah.
“Saya tak fikir Zharif sanggup buat macam tu!”
“Awak boleh jamin ke? Tak, kan? Bang, saya tak mahu nanti kita menyesal kemudian.”
“Susah cakap dengan awak ni, Sal. Asyik cakap awak aje yang betul.”
“Memang. Saya selalu betul! Sebab itu, sebelum cinta Iqa pada Zharif berputik, lebih baik saya cantas.”
            “Atiqah tu dah besar, Sal. Abang tak suka awak paksa dia.” 
            “Abang, abang tahu tak? Kalau Iqa dengan Zharif? Pakat naik kancillah jawabnya! Buatnya selepas kahwin nanti, dia cakap nak duduk dengan kita. Macam mana? Suka?” 
            Idris tersengih lebar.
“Apa salahnya? Anak kita dua orang aje, Sal. Kalau menantu abang sanggup duduk sekali di sini dengan kita, alhamdulillah. Ada juga teman abang berbual. Ada juga teman abang nak pergi ke masjid,” balasnya.
            “Hesy! Tak rela!”
            Sekali lagi terdengar keluhan keluar daripada mulut Idris.
            “Sal, abang takut Nora aje yang beria-ia nak bermenantukan Iqa. Tapi, Afif? Entah-entah, Afif dah ada calonnya sendiri. Lagipun, harta dengan wang ringgit bukan jaminan bahagia, Sal. Tengok kita berdua. Abang tak kaya, kan? Habis, awak tak bahagia dengan abang? Macam tu?”
Salmah tidak tahu hendak cakap apa-apa lagi. Takut suaminya salah faham. Nanti kalau Idris kecil hati, susah dia hendak memujuk. Orang tualah, katakan?  
“Awak tahu tak, Sal? Bila tengok sikap awak ni, dah macam tengok Mak Dara dalam Ibu Mertuaku pulak! Garang, pandang harta, sombong pulak tu! Ingat, Sal! Jangan duk perlekeh orang sangat. Esok-esok, diri awak pulak orang perlekeh. Sakit nanti!” ucap Idris penuh sindiran. Kalau Salmah masih juga tidak faham-faham, tak tahulah!
            Salmah ketawa mendengar omelan suaminya itu.
            “Saya buat semua ni untuk Iqa, bang. Supaya dia gembira. Supaya dia hidup senang. Tentang Afif, abang usah risau. Kata Nora, Afif memang dah berkenan dengan Iqa. Insya-Allah, Iqa akan bahagia jadi bini Afif tu. Abang tengoklah nanti!”
            Lama Idris termangu memandang wajah isterinya. Dia diam, malas hendak terus membangkang. Mustahil dia akan menang. Baik tutup mulut, tutup buku dan pura-pura menguap.
            “Abang dah mengantuk. Esok aje sambung angan-angan awak tu. Selamat malam.”
            “Abang, Iqa akan bahagia dengan Afif. Saya yakin!”
Salmah berbisik sendiri sambil melihat suaminya mengatur langkah lemah menuju ke bilik mereka. Dia sudah nekad. Esok dia akan hubungi Nora. Majlis pertunangan Iqa – Afif akan diatur nanti dengan seberapa segera yang boleh!



BAB 10


ZHARIF menunggu dengan sabar di tempat letak kereta Hospital Selayang sambil melayan lagu dan celoteh juruhebah radio Suria FM, siaran kegemarannya. Menanti Afif menghabiskan tugasannya, memang begini. Abang sepupunya itu tidak pernah menepati masa. Asyik lewat sahaja! Nanti, pasti akan ada alasan yang diberi oleh tuan doktor itu.
Ada kes kecemasanlah! Ada pesakit yang tiba-tiba semakin tenat. Ada yang baru masuk dan perlukan perhatiannya di wad!
Alahai, Zharif sudah mangli, sudah biasa benar dengan sikap abang sepupunya ini. Jadi, sabar ajelah!
            Tiba-tiba hati teringat kepada Atiqah. Segera telefon bimbit dikeluarkan daripada kocek seluar. Melihat skrin yang kosong, Zharif mengeluh kecil. Kecewa.
‘Nampaknya, awak merajuk benar dengan saya, Iqa. Dah dua minggu tapi awak langsung tak call saya. Mesej saya pun awak tak balas. Bila saya call awak, awak tak angkat pulak. Haih, apa nak jadi dengan kita berdua ni? Awak tak suka saya ke?’
Risau sungguh hatinya. Bimbang diri bertepuk sebelah tangan. Pasti kecewa nanti!
Ketukan pada cermin tingkap mengejutkannya. Bulat sepasang bola mata melihat si dia yang sudah tersengih, menanti dia keluar untuk menyapa. Cepat-cepat Zharif membuka pintu kereta.
            “Adira? Dr Adira? Kau buat apa di sini?” tanya dia. Teruja ya amat kerana Dr Adira, gadis manis di hadapannya ini ialah bekas teman sekelas Zharif semasa di sekolah menengah dahulu. Orangnya tinggi, berkulit putih, cantik sekali. Meskipun penampilannya agak ringkas namun gaya seorang doktor itu tetap terserlah.
            “Weh, ini kan hospital? Aku pulak doktor! Tentulah aku kerja kat sini. Kau pulak? Apa kau buat dalam kereta ni?” 
            Zharif resah. Serba salah untuk menjawab. “Adalah.”
Jawapan paling selamat dapat diberi.
            Adira mengerutkan dahi. Jawapan itu tidak berapa digemari.
“Cakap betul-betullah, Zharif. Kau buat apa dalam kereta ni? Tunggu mak we, eh?” Dia mengusik.
            “Pandailah, kau! Aku mana ada mak we la.” Cepat-cepat Zharif menafikan. 
Riak wajah Adira sudah tidak ceria lagi. Kalau bukan mak we, tentu lelaki itu. Dia tahu sangat betapa rapat perhubungan di antara Zharif dengan lelaki itu. Sejak dia mengenali kedua-duanya, di mana ada Afif, di situ ada Zharif. Begitu juga sebaliknya. Mereka berdua bagaikan isi dengan kuku.
“Jadi, kau tentu tengah tunggu dia, kan? Kalau macam tu, lebih baik aku jalan dulu, Zharif.”
Adira sudah ingin melangkah pergi ketika Zharif bertanya.
“Dira? Tak boleh ke kalau kita berbual sekejap? Kenapa nak pergi padahal kita baru jumpa?”
Adira menoleh memandang Zharif.
“Kau pun tahu apa sebabnya. Lagi mahu tanya?” soalan dijawab dengan soalan.
“Memang aku tunggu Afif. Jadi, apa masalah kau? Takkan sebab dia, aku tak boleh berbual dengan kawan baik aku masa di sekolah dulu? Takkan sebab dia, kau tak boleh bercakap dengan aku?”
Ada kemarahan dalam lantunan suara Zharif kali ini.
Adira berpatah balik dan kali ini, dia berdiri betul-betul di hadapan Zharif. Mendongak, dia meluah rasa tidak senangnya.
“Masalahnya, Zharif, aku tak boleh tengok muka dia. Aku hangin satu badan bila nampak dia. Hati aku ni sakit sangat bila aku teringat apa dia buat pada manusia yang kat rumah aku tu. Jadi, nak selamat, lebih baik kami jangan bertembung. Tak gitu?”
Lama Zharif termangu mendengar kemarahan di sebalik suara Adira. Lama, baru dia mampu bersuara.
“Kau dah tak pandai bergurau, Dira. Tak macam dulu. Serius betul kau terutama sejak...”
“Sejak abang sepupu kesayangan kau tu tinggalkan kakak aku!” Adira pintas cakap Zharif.
“Hmm, betul tu! Dia bukan saja dah bunuh jiwa dan perasaan Syakila. Dia jugak dah menyebabkan hidup keluarga aku yang bahagia dulu, jadi huru hara! Dia dah musnahkan kegembiraan kami, Zharif! Sebab itu, aku dah tak reti nak senyum langsung.” Adira bersuara tegas dengan wajah yang amat serius.
Zharif terdiam. Bentakan Dr Adira menyebabkan dia terkedu. Namun, sedikit sebanyak dia faham kenapa Adira begitu bencikan Afif.
Siapakah yang tidak marah kepada lelaki yang telah menyebabkan kakak kesayangannya jatuh sakit?
Siapakah yang tidak membenci kepada lelaki yang telah berjanji untuk sehidup semati dengan kakaknya tapi lelaki itu bukan sahaja tidak menunaikan janji malah telah memutuskan hubungan mereka?
“Lama sungguh mereka bercinta, kan? Sejak di tahun satu lagi. Ke hulu, ke hilir, macam belangkas. Tup-tup, bila dah tamat belajar, waktu masing-masing hendak memulakan karier, terus Afif putuskan hubungan mereka. Macam mana kakak aku tak jadi gila, Zharif? Cuba kau cakap!” hambur Adira.
Sememangnya, kisah cinta Afif – Syakila diketahui oleh keluarga Syakila. Malah direstui! Dan setahu Zharif, ibu dan ayah Syakila sangat sayangkan Afif.
Zharif menyandarkan tubuh ke kereta. Kaku jadinya apabila mendengar kemarahan Adira. Namun, apakah yang dapat dilakukannya? Dia sendiri pelik dengan kerenah Afif. Konon, Syakila ialah cinta hatinya. Konon, cintanya hanya satu, untuk Syakila seorang. Nampaknya, semua itu hanya dongengan. Cinta mereka tidak kesampaian.
“Sejak bila kau posting kat sini, Dira?”
Zharif sengaja tidak mahu meneruskan perbualan tentang kisah cinta Afif.  
Adira menarik nafas lega. Berterima kasih kerana Zharif tidak berlama-lama dengan kisah menyayat itu. Hati yang panas tadi kini dah menyejuk. Ialah... Dia marahkan Afif. Tetapi, haruskah Zharif menjadi mangsa amukan dan kebenciannya? Haruskah tempias itu kena pada Zharif?
            “Baru aje! Esok, genap sebulan aku kat sini.”
Hanya itu sebagai jawapan.
            “Oh, ya ke? Baguslah! Nanti, kalau aku ada masalah dengan jiwa aku ni, boleh aku cari kau, kan?”
Zharif berjenaka untuk mengurangkan ketegangan di antara mereka. Lega hatinya melihat raut Adira yang sudah mampu tersenyum semula. Bagaimanapun, melihat Adira, masakan boleh dia membisu dan membiarkan sahaja persoalan tentang Syakila. Dia ingin tahu tentang keadaan gadis itu lagi.
“Dira? Dah lama peristiwa itu berlaku. Macam mana dengan Sya sekarang? Dah okey ke? Dah dapat terima kenyataan tak?” tanya dia.
            Lama Adira menatap wajah Zharif. Kalau ikutkan hati yang sakit, dia tidak mahu menjawab soalan itu. Lelaki ini bertanya tentang Syakila yang putus cinta dengan Afif namun keadaannya mengalahkan perempuan yang kematian suami.
            Bagaimanapun, dia tidak mungkin marah kepada Zharif. Bukan Zharif yang bercinta dengan Syakila, tapi Afif! Afiflah kekasih kakaknya. Afif, cinta agung kakaknya. Afif, cinta pertama Syakila, cinta yang sukar sungguh untuk dilepaskan.           
            Susah hendak membuka mulut untuk bertanya tentang Syakila. Bimbang Adira membentak. Bimbang Adira naik angin. Bimbang kalau-kalau soalan yang ditanya itu... salah.
Memang pun! Soalan yang salah! Dahi Adira sudah berkerut semula nampaknya. Jelas dia tidak suka mendengar pertanyaan itu!
            “Dira, maafkan aku. Aku...”
            “Yang kau pulak mintak maaf ni, kenapa? Bukan salah kau, Rif. Abang sepupu kau tu yang tak bertanggungjawab. Dia yang tergamak buat Sya sampai jadi macam orang tak betul,” tukas Adira.
            “Dira!”
            “Kenapa Afif buat macam tu? Nak kata dia ada buah hati yang lain, dia tak kahwin-kahwin sampai sekarang, kan? Apa agaknya masalah dia orang ya? Perangai Sya tu memang berubah 100 peratus. Sampai sekarang, dia asyik murung. Asyik sedih! Malah, dia kena makan tranquilizer, kau tahu tak? Kalau tidak, jangan harap dia boleh lena.”
Adira melepaskan keluhan lagi. Entah sudah berapa kali.
            “Kesian, Sya.” Hanya itu yang mampu Zharif luahkan.
            “Sedih tau tengok Sya macam tu. Jenuh emak bapak aku bawak dia berubat. Tapi...”
Adira ingin meneruskan namun kelibat seseorang mematikan kata. Kelibat Afif yang sedang menuju ke arah mereka. Melihatnya, hati menjadi panas. Menyampah!
            “Err, Zharif. Aku minta diri dululah. Aku dah lambat ni.”
Tanpa menunggu balasan daripada Zharif, Adira terus sahaja berlalu meninggalkannya.
Dahi Zharif berkerut. Tidak faham kenapa Adira pergi dengan tergesa-gesa. Apa yang sudah berlaku?
            “Siapa tu?” Suara garau Afif menyapa.
Oh patutlah! Patutlah Adira pergi macam lipas kudung. Dia sudah nampak kelibat Afif tadi. Tidak mungkin Adira hendak berlama-lama. Musuh tu!
            “Lambatnya!” sahut Zharif, mengabaikan soalan Afif sambil masuk semula ke dalam kereta.
            Afif menjongket bahu. Gelagat Zharif sedikit pun tidak dipeduli. Pantas dia masuk ke ruang di sebelah pemandu. Sebaik merasakan diri selesa, mata dipejamkan. Baharulah terasa kepenatan setelah sepanjang malam bertungkus lumus bekerja.
            Suasana sepi seketika. Zharif memberi tumpuan kepada pemanduan.
            “Tak jawab pun bila abang tanya tadi. Siapa perempuan tu? Girlfriend kau ke?”
Afif mengulangi soalannya tadi. Masih tidak puas hati apabila Zharif diam, membekukan diri.
            Zharif tersengih. Girlfriend? Adira? Tidak pernah terlintas di fikiran. Sekilas, wajah penat Afif ditatap.
“Abang ni! Adira pun abang dah tak kenal?” tanya dia.
            “Adira?”
Mata Afif buntang. Entah mengapa dada jadi bergetar pula.
            “Ya! Dia pun kerja kat sini. Baru sebulan pindah.”
            Afif tidak jadi hendak melelapkan mata. Risau semacam wajah dia sekarang.
“Kenapa abang tak tahu pun? Di jabatan mana?” tanya dia.
            Giliran Zharif untuk menjadi rimas.
            “Tanya saya banyak-banyak ni, apasal? Manalah saya tahu dia kerja di bahagian mana, Dr Afif. Pergilah cari dia esok, okey! Boleh juga abang risik-risik keadaan Syakila.”
            Wajah Afif terus berubah. Disertakan dengan satu dengusan kasar.
“Tak payah sebutlah nama budak tu!” bentaknya.
            Mendengar dengusan Afif, Zharif menggeleng. Dia tidak faham dengan perangai abang sepupunya ini. Sebut nama Syakila sahaja, terus naik hantu. Pelik memikirkannya. Tadi, Adira pun begitu. Sebut nama Afif sahaja, sudah mencuka wajahnya. Payah betul hendak dimengerti. Sikap Afif, sikap Adira, Syakila...
            Siapakah yang bersalah? Siapakah yang benar? Kenapa berahsia sangat?
Baik Afif mahu pun Syakila, tidak pernah mahu memberitahu sebab-sebab hubungan mereka putus. Afif tidak mahu bercerita. Syakila juga menutup mulutnya rapat. Yang pasti, sejak hubungan itu putus, hanya kebencian di antara mereka.
            “Sampai bila abang dengan keluarga Sya nak bermusuh?” tanya Zharif lembut.
            “Bukan abang, okey! Syakila dengan keluarga dia yang tak nak terima kenyataan,” balas Afif.
            “Tapi, apa sebabnya? Apa yang abang dah buat sampai Sya jadi teruk macam tu? Abang tahu tak? Sya tu kalau sehari tak ambil ubat penenang, dia langsung tak boleh dikawal, bang. Kenapa sampai macam tu sekali?”
            “Manalah aku tahu, Zharif? Iman dia yang tak kuat, kenapa nak salahkan aku pulak?”
Suara Afif melantun kuat.
            “Siapa salahkan abang? Saya tak cakap abang salah. Saya cuma nak tahu sebab mengapa hubungan kau orang berdua putus. Itu aje!” balas Zharif. Dia ingin benar tahu sebab itu. Tadi, jawapan yang diharap tidak ditemui pada Adira. Adira zip mulutnya rapat. Kini, Afif juga buat yang sama. Nampaknya rahsia itu akan kekal menjadi rahsia!
Zharif pula yang risau. Baginya, kalau ini perkara kecil, masakan sampai begitu sekali Adira dan keluarganya membenci Afif. Tapi, kalau besar persoalannya, mengapa hendak disembunyikan?     
            “Alah, biasalah putus cinta ni. Sya yang tak mahu terima hakikat. Dia tak mahu faham yang abang dah tak boleh terima dia,” balas Afif dengan riak tidak bersalah.
            “Iyalah, mungkin cara abang putuskan hubungan tu, tak betul kut? Tu yang merana si Sya,” bentak Zharif. Kadang-kadang, dia geram juga dengan Afif. Selamba derk sahaja apabila bercakap tentang Syakila. Tidak adakah sedikit pun rasa bersalah? Nasib baik emak ayah semua tidak tahu. Kalau tidak, tentu kecoh.
            “Kalau kau kesian dia, kau ambillah dia! Ganti tempat aku.”
            Dahi Zharif berkerut. Stereng kereta digenggam kuat. Kalau orang lain yang berkata begitu kepadanya? Pasti, pasti sudah makan penumbuknya ini. Tetapi, Afif?
Tak sangka! Tak sangka Afif sanggup cakap macam tu? Boleh gelak lagi! Bunyi gelak itu pun semacam sahaja. Jahat!
            Entah mengapa, dia pula rasa sakit hati sekarang. Geram betul tengok muka abang sepupunya itu.
“Tu sebab saya tak suka bercinta sebelum kahwin ni. Masa suka, tak ingat dunia. Bila berpisah, putus silaturrahim.” Zharif menyindir penuh kemarahan.
            “Boleh stop tak? Aku penat ni, Rif. Subuh tadi ada satu kes cubaan membunuh diri. Entah apa nak jadi dengan budak sekarang, tak tahulah. Frust sikit aje dah nak ambil nyawa sendiri. Kalau mati tak apa jugak. Ini hidup lagi tapi menyusahkan orang.”
            Zharif tidak percaya seorang doktor yang tugasnya menyelamatkan nyawa pesakit sanggup berkata begitu. Bukankah sumpah seorang doktor ialah untuk menyelamatkan nyawa manusia? Jadi, mengapa lelaki di sebelahnya ini harus mengeluh?
            “Jadi, budak tu tak matilah. Alhamdulillah.”
            “Syukur apanya? Orang lemah mental macam dia, macam Syakila tu, mati lagi baik, Zharif!”
            Astaghfirullahil’azim. Sabar ajelah dengan doktor muda ini. Langsung tak beretika! Adakah patut dia cakap macam tu?
Zharif tak kuasa nak berbual dah. Buat sakit hati dia sahaja. Lantas dia terus memandu dalam senyap. Membiarkan suasana sepi sehingga mereka sampai di rumah orang tua Afif di Gombak.


Selama dua minggu Atiqah berada di Pulau Pinang. Berkursus. Itu pun kerana menggantikan Kak Ramlah yang keguguran. Ingat seronok ke berkursus? Memang taklah! Asyik sibuk memanjang dari pagi santak ke malam. Sangat-sangat membosankannya. Dah tu, dia tertinggal telefon di rumah. Haru betul! Sebab itu hatinya hancur sebaik dia jejakkan kakinya ke rumah semalam. Hancur lumat dengan kerenah tidak bertimbang rasa ibunya.  
Belum sempat turun daripada kereta Nurain, ibunya terus memberi amaran.
“Pergi masuk bilik dan duduk di situ senyap-senyap. Jangan keluar selagi mak tak suruh. Faham?”
Mana mungkin dia faham. Malah Atifah turut terkedu. Nurain juga!
Rasa hendak gugur jantungnya mendengar berita yang sebentar lagi, dia akan ditunangkan. Air mata terus gugur dengan laju. Ingin benar hendak membentak. Hendak menolak. Hendak jerit kata...
“TAK NAK!”
Tetapi, di dalam rumah, jiran sekeliling sudah ramai bertamu. Membantu itu ini. Ada yang menggubah hantaran. Ada yang sibuk di dapur. Ada yang hanya datang untuk bersembang.
Apa kata mereka nanti kalau dia buat perangai? Apa nanti yang mereka fikir jika dia menjerit dan meraung? Lagipun, dia tak sanggup hendak memalukan ibu bapanya. Jadi, dia hanya mampu mendiamkan diri.




Untuk baca sambungan boleh dapatkan Novel ini di kedai buku berdekatan atau, beli secara online di website kami Idea Kreatif Publication.

No comments:

Post a Comment