Friday, 3 January 2014

Yang Pernah Terluka : Prolog, Bab 1 & 2

Prolog

Wajah si suami nampak jelas hiba dengan limpahan air mata yang hangat mengalir. Pedih mengenangkan permintaan isteri yang dulunya pernah dikejami. Lissa.. bagilah abang peluang.. hatinya merintih lagi tanpa henti.
   Benarlah kata orang. Andai perkahwinan itu ada, maka kadang-kala wujudnya juga perpisahan. Dan andai adanya perpisahan, maka akan ada jua pertemuan. Lumrah kehidupan. Bertemu dan berpisah..
   “ Fir tak boleh, Lissa..” Firdaus nampak jelas tertekan. Dipegang rambutnya kasar. Kepalanya terasa sakit. Berdengung hebat.
   “ Lissa mohon pada Fir, lepaskan Lissa. Cukuplah apa yang Fir dah buat pada Lissa. Lissa tak salahkan Fir. Memang Lissa dulu suka mempermainkan perasaan lelaki. Dan Lissa dah dapat balasannya.” Allah.. remuk hatinya mendengarkan permintaan itu. Hancur berkecai jasad dari roh mengenangkan perpisahan yang dipinta oleh si isteri yang dah mengisi ruang hati. Terlambatkah dia? Atau dia memang tidak layak untuk wanita bernama Merlissa Umairah?
   “ Fir tak sanggup, Lissa. Macam mana Fir nak lepaskan nyawa Fir? Fir boleh mati, Lissa. Tolonglah, Fir pernah khilaf sebab menghakimi Lissa sedangkan Fir tak patut dan tak layak. DIA ada untuk menghakimi Lissa. Tapi, Fir diamuk rasa marah  waktu itu. Lissa, jangan tinggalkan Fir. Anak kita perlukan Fir,” pujuk Firdaus lalu duduk melutut di kaki isteri. Merlissa mengelak sedikit. Air mata masih hangat mengalir ditemani sedu-sedan yang semakin lantang melontar keluar.
   Ya Allah.. apa yang perlu aku lakukan? Dia, lelaki yang pernah meragut mahkotaku sebelum waktu halalnya. Dia, lelaki yang sering menghadiahkan caci-maki dan sepak terajang pada tubuh ini. Dia, lelaki yang kini sudah berjaya mencuit hatiku. Dan dia, lelaki yang sudah menanamkan benih dalam rahim ini. Lantas, keputusan apa yang perlu ku ambil? Monolog Merlissa perih sebelum tubuh melorot menyembah lantai. Dia menangis semahunya. Buntu sungguh dia tika ini.
   “ Tolonglah, Fir.. Lissa. Fir minta ampun. Fir sujud pada kaki Lissa.” Firdaus mula bertindak di luar jangkaan. Hujung kaki isterinya dicari dengan niat yang satu. Kemaafan dan keampunan yang dipinta.
   Merlissa tersentak. Dia melarikan pantas kakinya. Sungguh, hatinya tidak tegar melihat insan bergelar suami menjatuhkan martabatnya seperti di hujung kaki sahaja. Biarlah dia yang pernah merasai keperitan apabila maruahnya diinjak kejam. Dia takkan membalas dendam. Oleh, itu jalan yang terbaik adalah perpisahan.
   “ Fir.. apa Fir buat ni??” marah Merlissa lantang. Firdaus semakin meraung hebat. Hujung kaki si isteri cuba dicapai. Merlissa mengelak. Firdaus benar-benar rasa bersalah. Semua dosa-dosanya pada Merlissa bergentayang menjenguk ruang mata.
   “ Fir.. tolonglah jangan buat Lissa serba-salah. Tolonglah..” rayu Merlissa hiba. Firdaus kalih pandang. Wajahnya lencun dek air mata. Sumpah, sepanjang perkahwinan mereka.. tidak pernah Merlissa melihat wajah itu teruk mengalirkan mutiara jernih. Cuma, sesekali Firdaus tertangkap apabila hatinya dijentik rindu pada arwah Nadzril. Mengenangkan arwah Nadzril, rasa bersalah menghambat jiwa. Maafkan Lissa, Nadz. Pinta hatinya.
   “ Lissa nak Fir mati ke?” soal suara itu polos. Zap! Bagaikan halilintar membelah hati perkataan itu memberi kesan pada jiwanya. Tak, dia takkan benarkan seorang lagi insan bernama lelaki mati kerana cinta Merlissa Umairah meskipun itu bukanlah punca utamanya. Walaupun dia tahu hakikat sebenarnya pemergian Nadzril. Sedikit sebanyak dia tetap salahkan diri sendiri.
   Takkan! Dia bertekad kuat. Segera dia memangku wajah Firdaus. Air mata di wajah itu disapu perlahan. Firdaus tergamam.
   “ Fir sayangkan Lissa? Benar-benar sayangkan Lissa?” soal Merlissa tidak diduga. Firdaus terdiam sejenak sebelum lambat-lambat dia mengangguk yakin. Tangan kecil itu dicapai lalu digenggam bersama panahan mata redup memohon simpati.
   “ Lissa pun sayangkan Fir. Sangat sayangkan Fir. Entah bila rasa ini hadir.. cuma Lissa yakin cinta, kasih dan sayang Lissa hanya untuk Fir. Tapi..” Merlissa terhenti. Ah, beratnya mulut ini hendak meluahkan. Merlissa pejam matanya berkali-kali. Cuba menahan air mata dari terus mengalir.
   “ Tapi, apa?” soal Firdaus tidak sabar-sabar. Merlissa tarik nafas berat.
   “ Untuk bersama Fir buat masa sekarang, Lissa tak mampu. Lissa terseksa. Peristiwa tu.. peristiwa yang merenggut mahkota Lissa mengganggu ketenteraman hidup Lissa sejak kejadian hari tu. Peristiwa Fir memukul dan memaki hamun diri ini mula kembali menghantui mimpi lena Lissa. Lissa tak nak berdendam. Lissa tak nak bila peristiwa tu terus mengasak, ianya akan melahirkan sebuah dendam. Dendam itu penyakit hati, Fir. Jadi, eloklah.. kita berpisah untuk sementara.”
   Berat ayat di belakang dimuntahkan. Firdaus melurut kasar rambutnya. Ya, kerana dendam dia menyeksa insan di hadapannya ini. Dendam, pemusnah segalanya. Ah, teganya dia tika itu. Peristiwa hitam itu terlalu perit jika dikenang.
   “ Lissa, anak kita?” soal Firdaus sayu. Anak matanya terlekap pada perut kempis is isteri. Merlissa cuba untuk tersenyum.
   “ Lissa akan jaga dia macam nyawa Lissa. Andai.. andai kata kita perlu berpisah untuk selamanya, Fir masih punya hak ke atas bayi ini. Lissa takkan halang Fir untuk bertemu dengannya. Fir papanya dan sampai bila-bila akan tetap jadi papanya,” jelas Merlissa. Firdaus diam bersama rasa perih yang menebal di sukma. Mungkin demi kebahagiaan Merlissa yang dah direnggutnya, dia perlu melepaskan Merlissa. Ya, perlu. Tapi.. bukan dengan lafaz cerai. Dia yakin itu.
   “ Lissa.. Fir tak sanggup berpisah dengan Lissa walaupun sesaat. Apatah lagi, melenyapkan ikatan suci ini. Jadi.. Fir izinkan Lissa cari ketenangan Lissa. Bila Lissa dah mampu buang kenangan itu jauh-jauh.. pulanglah. Pulanglah pada Fir. Fir akan tetap tunggu Lissa dan anak kita,” putus Firdaus bersama hati yang dah hancur lumat. Dia dah mengalah sebab dia tahu Merlissa sudah tekad.
   Mata dipejam kejap sebelum dia dapat rasa tangan sasanya dipaut Merlissa. Mata dicelikkan. Rapuh hatinya apabila melihat si isteri tunduk mencium hormat tangannya. Ah.. sakitnya jiwa ini, Tuhan. Desis hatinya retak seribu. Tanpa disuruh-suruh.. tangannya mengusap lembut ubun-ubun milik Merlissa. Beberapa titisan jernih mengenai kepala yang dah bertudung litup itu. Pada waktu yang sama, dia dapat rasa tangannya sudah ditimpa air mata jernih milik isteri tercinta.
   “ Lissa minta ampun, Fir. Terima kasih kerana memahami diri ini. Lissa bukan nak buang Fir dari hidup Lissa. Lissa perlu cari ketenangan yang dah lama menjauh. Lissa janji, kalau Lissa dah jumpa dengan apa yang dicari.. Lissa akan pulang dengan anak kita. Pulang ke rumah ni lagi, Fir,” balas Merlissa syahdu.
   “ Fir.. halalkan makan minum Lissa selama menumpang di sini. Maafkan segala dosa Lissa andai Lissa gagal menjadi isteri buat Fir.” Sambung suara itu lagi. Firdaus sebak. Tanpa kata, tubuh itu diraih ke dalam pelukan. Erat dua jiwa itu bersatu. Berkali-kali ubun-ubun Merlissa dicium Firdaus. Merlissa hanya mampu menangis membasuh luka.
   “ Fir halalkan. Lissa isteri terbaik buat Fir, Fir yang tak layak untuk Lissa. Ampunkan Fir, sayang,” balas Firdaus dengan esak tangisnya.
   “ Fir.. Lissa kena pergi dulu. Lissa bimbang kalau Lissa terus macam ni, hati Lissa akan berubah. Lissa tak nak keliru. Lissa nak betul-betul yakin yang Lissa memang dah boleh hapuskan kenangan silam. Izinkan Lissa?” soal Merlissa lirih. Firdaus pegang dadanya. Lambat-lambat.. dia mengangguk.
   “ Fir izinkan. Fir izinkan. Pergilah, cari apa yang Lissa perlukan dalam hidup Lissa. Fir akan tetap menjadi penunggu setia.” Lemah suara itu berlabuh pergi dari bibir yang terketar-ketar menahan sebak.
   “ Izinkan Lissa panggil Fir ‘abang’ buat kali pertama dan juga mungkin kali terakhir?” pohon Merlissa tiba-tiba. Seketika, Firdaus meraung kuat. Allah.. terlukanya jiwa ini. Seksanya diri ini.
   “ Fir izinkan. Takkan ada kali terakhir, sayang. Takkan, sebab Fir yakin Lissa jodoh Fir. Pendamping diri Fir di syurga. Fir yakin, sayang,” ucap Firdaus teresak-esak sebelum tubuh Merlissa diraih kejap sekali lagi ke dalam dakapan hangatnya. Pelukan yang bakal mengiringi perpisahan. Tuhan, temukanlah kami kembali andai perpisahan ini benar-benar wujud. Doa Firdaus penuh harapan.


BAB 1

Merlissa berpaling pada teman baiknya, Fakhirah apabila lengannya disiku gadis itu. Mata dijongketkan berkali-kali tanda menyoal. Fakhirah memuncungkan bibirnya ke arah depan dengan wajah berkerut cuak. Merlissa buat muka pelik sembari tertawa lucu melihat muncung itik itu.
   “ Kau kenapa ni?” soal Merlissa langsung tak memahami bahasa tubuh itu. Fakhirah masih lagi memuncung-muncungkan mulutnya. Menyedari akan maksud yang ingin disampaikan oleh temannya, mata segera dilarikan memandang pada arah yang ditunjukkan.
   “ Bala dah datang Lissa. Cabutt..” ujar Fakhirah cuak. Sudah berkali-kali dia nasihatkan Merlissa supaya tidak meneruskan hobinya yang satu itu, tapi gadis itu berdegil. Apatah lagi.. melihat wajah mencuka lelaki yang kini sudah berdiri tegak di hadapan mereka berdua.
   “ Lissa, siapa ni?” soal lelaki di sebelah Merlissa pula yang masih asyik mengusap-usap jemari halus Merlissa. Merlissa senyum segaris memandang wjaah kacak lelaki itu sebelum mata dialihkan pada wajah tegang Nadzril.
   “ Kau tanya aku siapa? Kau tu yang siapa?” herdik Nadzril pula. Namun, Merlissa buat muka tak bersalah. Perlahan dia menarik tangannya daripada genggaman erat lelaki di sebelahnya, Farid. Fakhirah sudah membatu tanpa kata.
   Come on, guys. Tak payah memekak kat sini, boleh tak?” Merlissa bertutur perlahan. Siswa-siswi yang lain sudah curi-curi pandang ke arah mereka. Aduh, beginilah jadinya kalau sudah menjadi rebutan.
   Nadzril tanpa kata terus melelar pergelangan kecil Merlissa. Terjerit jugalah Merlissa dibuatnya apabila tubuhnya didorong untuk mengekori langkah itu. Dia menampar-nampar lengan sasa itu.
   “ Hei Nadz, apa ni main tarik-tarik? Sakitlah!!” marah Merlissa kuat. Dan seperti yang dia sudah agak, Farid takkan berdiam diri sahaja melihat kekasih hati dibawa pergi. Pemuda berpangkat anak Datuk itu juga turut menyaingi langkah mereka. Fakhirah pula masih terkulat-kulat di meja yang diduduki mereka bertiga tadi.
   Bro, lepaskan girlfriend aku kalau kau tak nak penumbuk ni singgah kat muka kau,” ugut Farid sembari menolak bahu Nadzril kuat. Nadzril tergelak sinis. Girlfriend konon? Puih. Merlissa adalah miliknya. Sudah lama mereka menjalinkan hubungan cinta. Sekarang, lelaki bangsat ini senang-senang hendak mengaku Merlissa kekasihnya pula? Ah, langkah mayat aku dulu baru orang lain boleh ambil Merlissa. Getus hatinya sebal bersama pegangan yang masih kejap pada pergelangan kecil Merlissa.
   Woo.. woo.. jantan bangsat dah mengaku awek aku kekasih dia pula,” sindir Nadzril tajam. Merlissa yang di tengah-tengah hanya mampu terkebil-kebil. Aduh, dah macam scene Hindustan dah aku ni. Omel hati kecilnya.
   “ Kau cakap apa ni, bodoh??” Farid terus beran. Kolar baju Nadzril dicekak kasar. Nadzril tergelak sinis. Merlissa garu kepalanya yang tidak gatal menggunakan sebelah lagi tangan yang lepas bebas.
   “ Apa yang aku cakap, itulah yang kau dengar. Merlissa kekasih aku, milik aku dan jangan kau berani-berani nak mengaku dia kekasih kau pula!” jerkah Nadzril lagi. Dan saat ini, gegendang telinga Merlissa seakan-akan ingin pecah sahaja. Frekuensi suara kedua-dua pemuda ini memanglah tersangat tinggi. Sejenak, Farid pula yang ketawa sakan.
   “ Kekasih?” soal Farid sinis. Merlissa sudah mula telan liur. Wajah berkerut Nadzril dipandang dengan wajah bersalah.
   “ Apa maksud kau soal aku macam tu??” Keras suara Nadzril menyoal. Tajam matanya dengan rahang bergerak-gerak mengepung amarah.
   “ Kau buka telinga kau tu besar-besar.. aku dan Merlissa dah jadi pasangan kekasih sejak setahun yang lepas. In fact, kami dah rancang nak bertunang dah pun,” tukas Farid masih lagi bernada sinis. Dum! Ibarat bumi ditimpa bencana Nadzril rasakan hidupnya kala ini. Spontan, pautan tangan yang mengikat mati tangan kecil itu terlerai. Dia memegang bahu Merlissa. Kejap!
   “ Apa semua ni, Lissa? Apa?” soal Nadzril dengan suara yang dah bergetar. Farid yang memerhati hanya tersenyum sinis.
   “ Lissa, better you terangkan hubungan kita pada lelaki pengemis cinta you ni,” hina Farid pada Nadzril. Namun, Nadzril tika ini tidak berminat mahu mendengar suara lain melainkan penjelasan daripada seorang yang bernama Merlissa Umairah.
“ I.. I tak tahu nak cakap macam mana,” getus Merlissa dengan wajah menunduk. Sungguh, inilah kali pertama dia berhadapan dengan situasi tegang sebegini. Selama ini, dia seronok mempermainkan perasaan lelaki. Tapi.. tidak ada seorang pun yang bersikap serius dalam memburu cintanya seperti Nadzril. Semua lelaki yang pernah dipermainkannya ternyata sama sahaja dengan dirinya. Semuanya playboy dan dia adalah playgirl kampus UiTM, Seri Iskandar. Gelaran yang dah bertahun-tahun disandang sementelah dia sudah pun melangkah ke tahap lebih serius bersama Farid.
   “ Lissa, tell me. Apa yang jantan ni cakap? Tunang? Since when, Lissa? Kita baru saja enam bulan jadi pasangan kekasih. Macam mana pula jantan ni mengaku dia dah berpacaran dengan you lebih setahun yang lepas??” Bertalu-talu soalan itu menyentak benak Merlissa. Dia tergamam. Lidahnya kelu.
   “ Hei bodoh, kalau kau ni betul-betul kenal Lissa, dia tak pernah serius dengan mana-mana lelaki. Dia tu cuma playgirl kampus ni. Kau dan lelaki-lelaki lain yang pernah jadi mangsanya cuma tempat dia berhibur bila aku tak ada. Siapa lagi, Lissa? Hah.. Mukhriz, Danial, Ameer. Lelaki-lelaki hot kat kampus ni tu semua dah pernah jadi mangsa dia. Kau faham tak?” Farid melontar kata ibarat orang yang tiada akal.
   Tidak marahkah dia mengetahui Merlissa punya kekasih lain? Sedang aku, perih dan sakit hati melihat lelaki lain bertegur sapa apatah lagi menjalinkan hubungan istimewa dengan kekasih hati. Rambut dilurutkan kasar.
   Tak, tak mungkin. Lissa takkan buat aku macam ni. Aku tunggu dia bukan sebulan, bukan dua bulan. Tapi.. tiga tahun. Semenjak dia berada di peringkat diploma lagi. Allah.. benarkah apa yang aku dengar? Rintih hatinya.
   “ Lissa, apa salah Nadz? Apa dosa Nadz?” soal Nadzril perih lalu melorot jatuh. Entah kenapa, Merlissa turut sama sebak mendengarkan rintihan penuh sayu itu. Wajah mendung Nadzril dipandang dengan rasa bersalah. Tak pernah dia rasa bersalah sebegini apabila mempermainkan kaum Adam. Sungguh, sedih di hati melihat wajah tampan Nadzril meskipun dia tahu dan yakin.. tiada cinta buat lelaki itu.
    “ Lissa minta maaf, Nadz. Maafkan Lissa,” pinta Merlissa. Hanya itu yang dia mampu cakap. Wajah Nadzril yang dah mula bergenang dengan air mata mendongak perlahan memandang wajah ayu dengan rambut mengurai panjang. Merlissa tersentak. Ada air mata menghiasi wjaah tampan itu. Benar-benar terlukakah Nadzril dengan kenyataan ini? Soal hatinya.
   “ Nadz sayangkan Lissa sepenuh hati Nadz. Kenapa, sayang? Kenapa buat Nadz macam ni? Tak ada langsung ke rasa sayang Lissa buat Nadz? Nadz tak kuat. Tak kuat nak terima hakikat cinta Nadz dipermainkan,” rintih suara itu sambil mula diselangi esak kecil. Hampir tubuh Merlissa rebah menyaksikan panorama itu.
   “ Hei, kau jangan nak buat drama air mata depan akulah. Sayang.. jom ikut Far!” tegas Farid mula hendak mencapai lengan si gadis. Namun, Merlissa menepis lembut.
   “ Lissa nak cakap dengan Nadz kejap. Kalau Far sayang Lissa, tolong bagi Lissa cakap dengan dia. Berdua tanpa Far,” pohon Merlissa. Farid mendengus kasar. Huh! Merlissa yakin Farid akan memberi kebenaran kerana lelaki itu amat mencintainya.
   “ Far bagi Nadz cakap kejap aje. Bila dah selesai, cari Far kat tempat biasa,” tukas Farid mengalah dan Merlissa tarik senyum.
   “ Terima kasih, Far,” balas Merlissa.
   “ Dan kau jantan, jangan kau nak melebih dengan bakal tunang aku.” Farid sempat memberi amaran keras sebelum dia berlalu pergi meninggalkan dua insan itu dengan hati mendongkol geram.
   “ Nadz, ikut Lissa kejap,” gamit Merlissa. Nadzril pandang wajah itu dengan rasa sayang yang berkepuk-kepuk. Entah kenapa, langsung tidak ada rasa benci buat Merlissa. Walhal, gadis itu adalah orang yang sama merenggut pergi kesetiaannya. Perlahan-lahan, dia bangkit. Tapi, benarkah semua itu? Hanya Nadzril yang mengetahui kebenarannya.

Merlissa duduk di sebuah bangku kecil. Wajah sayu Nadzril ditentang dengan persaan bersalah yang dah mula menunjal-nunjal sanubari.
   “ Maafkan, Lissa.” Sebaris ayat pembuka bicara sekaligus memecahkan keheningan ruang yang agak terlindung dari kelibat siswa-siswi.
   “ Kenapa buat Nadz macam ni?” Soalan dilontarkan pada Merlissa. Jelas, Merlissa nampak beku hendak menjawab.
   “ Lissa tak tahu macam mana nak jelaskan. Tapi.. memang salah Lissa. Memang salah Lissa,” luah Merlissa penuh emosi.
   “ Jadi, jelaskan pada Nadz salah Lissa. Apa dosa Nadz? Kenapa permainkan hati Nadz? Perasaan Nadz?” Nadzril turut emosi. Wajah Merlissa ditentang tajam. Merlissa gigit bibir untuk seketika.
   “ Untuk suka-suka,” balas Merlissa akhirnya. Nyata, Nadzril terhenyak mendengarkan jawapan itu. Pedih ulu hatinya. Jadi, selama ini lakonan Merlissa sekadar untuk suka-suka? Siapa dirinya? Sebuah permainankah? Hanya untuk menghilangkan bosan? Nadzril meramas kasar rambutnya. Jelas tertekan.
   “ Jadi, siapa Farid dalam hidup Lissa?” soal dia geram.
     Bakal tunang dan juga mungkin bakal suami,” getus Merlissa tenang. Benarkah Farid adalah jodohnya? Ah, dia sendiri tidak pasti.
   “ Lissa!!” tengking Nadzril sedikit naik angin dengan jawapan selamba Merlissa.
   “ Itu kenyataannya, Nadz.” Dia menjawab lagi. Masih bernada sama. Tenang!
   “ Ya, kenyataan yang menyakitkan hati Nadz. Jadi, memang betullah tiada rasa sayang untuk Nadz?” soal Nadzril lagi. Sedikit mendesak. Perlahan-lahan Merlissa geleng tanda menafikan. Anak mata Nadzril bersinar-sinar melihat pengakuaan itu. Nampaknya dia masih ada peluang. Detik hatinya ceria namun tak kekal lama apabila..
   “ Lissa sayang Nadz. Tapi.. sayang seorang teman buat temannya.” Zap! Pedih jiwa Nadzril menelan hakikat itu. Terngiang-ngiang jawapan Merlissa menerjah deria pendengarannya.
   “ Sampai hati, Lissa,” getus  Nadzril sayu. Wajah kembali ditundukkan memandang rumput-rumput hijau. Dengan teragak-agak, Merlissa sentuh tangan sasa itu. Nadzril nampak terkejut tapi wajahnya langsung tidak diangkat.
   “ Nadz.. Nadz baik. Baik sangat. Nadz nyata berbeza dengan lelaki yang Lissa kenal. Hati Nadz luhur. Dan percayalah.. Nadz akan dapat perempuan yang jauh lebih baik daripada Lissa. Lissa tak layak untuk Nadz.” Merlissa memujuk. Tiba-tiba Nadzril merentap kasar tangannya lalu berdiri tegak. Merlissa terkesima.
   “ Siapa Lissa untuk tentukan siapa yang layak untuk Nadz? Siapa? Huh.. Nadz jauh berbeza daripada lelaki yang Lissa kenal. Berapa ramai lelaki yang Lissa ada? Cakap pada Nadz! Cakap!!” soal dia garang. Merlissa terkejut lalu berdiri tegak menentang panahan tajam itu.
   “ Nadz, jangan hina Lissa macam tu!” Lantang suara Merlissa membalas.
   “ Nadz tak hina. Nadz bercakap perkara yang benar. Masih ingatkah Lissa tentang kata-kata Nadz dulu?” soal dia mulai tenang. Merlissa kerutkan kening. Seketika, Nadzril ketawa yang jelas dibuat-buat.
   “ Tentu Lissa takkan ingat apa sahaja yang berkaitan dengan Nadz. Siapalah Nadz ini,” balas dia dengan wajah terluka. Merlissa cuba tahan sebak melihat perilaku lelaki itu. Maafkan Lissa, Nadz. Detik hatinya.
   “ Nadz akan ingatkan Lissa.” Nafas dia tarik panjang sebelum dia kembali berbicara. “ Nadz pernah cakap yang Lissa nyawa Nadz. Nyawa dan nadi Nadz. Hilangnya Lissa ibarat membawa pergi nyawa Nadz. Tak dapat digambarkan betapa Lissa adalaah mesin hayat Nadz. Jauhnya Lissa bermakna lemahlah denyutan nadi ini. Dan hilangnya Lissa, maka terpisahlah roh dari jasad.” ujar Nadzril berteka-teki. Merlissa kerutkan wajah. Langsung tidak menangkap bait kata-kata itu. Rahsia yang tersembunyi di sebalik kata-kata itu.
   “ Apa maksud Nadz?” soal Merlissa buntu. Nadzril tersenyum kecil bersama mata yang memerah menahan tangis.
   “ Suatu hari nanti Lissa akan faham. Nadz nak tegaskan, Lissa nyawa Nadz, nadi Nadz sampai bila-bila. Nadz sayangkan Lissa. Dan andai suatu hari nanti Lissa dapat tahu Nadz sudah pergi jauh, ketahuilah Nadz dah maafkan kesalahan Lissa pada Nadz. Jaga diri Lissa dan izinkan Nadz bawa kenangan kita dahulu. Nadz pergi dulu,” luah Nadzri seraya berpaling hendak melangkah. Merlissa langsung tidak menangkap maksud di sebalik kata-kata itu. Baru Nadzril berpaling, Merlissa melelar tangan sasa itu.
   “ Maafkan Lissa. Maafkan Lissa,” pinta Merlissa tanpa dapat membendung kesedihan. Setitis air mata gugur. Dan tanpa berpaling menghadap wajah si dia yang dah mencuri hatinya, Nadzril menangguk tanda dia sudah memaafkan lalu langkah kembali diatur. Merlissa terjelopok. Entah kenapa, dia dapat rasa hari ini bakal menjadi hari terkahir dia bersama Nadzril.
   Ah, perasaan apakah ini? Detik hatinya buntu diiringi tangisnnya yang dah mula lebat mencurah-curah. Teganya aku lukakan hati Nadz. Sesal Merlissa tiada gunanya lagi.
   Tanpa pengetahuan semua.. di sebalik pohon rendang, kejadian itu diperhatikan oleh sesusuk tubuh tegap dengan mata yang jelas menahan marah. Penumbuk dikepal kuat.
   Kau akan dapat balasannya, Lissa. Kau tunggu pembalasan dari aku. Bisik hati figura itu lalu dia turut melangkah pergi dengan membawa dendam kesumat.



Bab 2

Syed Adryan Firdaus menggeleng kesal melihat wajah sugul itu. Langsung tidak mahu bercakap dengan orang lain. Sibuk dengan dunia khayalannya saja. Sesekali, wajah yang dulunya pernah menjadi kegilaan siswi UiTM Seri Iskandar ini tersenyum. Kadang-kadang tergelak seorang diri. Dan akhirnya wajah itu menangis. Ya Allah.. begitu hebat penangan cinta seorang gadis bernama Merlissa Umairah. Mengenangkan sebaris nama itu, giginya berlaga atas dan bawah. Jahanam kau, Lissa. Jerit hatinya geram dengan wajah memerah.
   “ Fir..” Suara seseorang membawa mata Firdaus terpaku pada sesusuk tubuh yang sudah semakin cengkung itu. Firdaus berdiri sambil memaut tubuh yang tampak lemah itu. Nadzril tersenyum. Inilah sahabatku, sahabat yang masih setia memberi kata-kata semangat buat diri ini. Tapi.. ianya jelas sia-sia dibawa angin yang berpuput lembut. Dirinya sudah tidak berguna lagi. Bukan saja disebabkan cintanya dipermainkan Merlissa, tetapi akan sesuatu hakikat yang tidak pernah diketahui oleh sesiapa pun. Hanya diri kerdil ini menanggung beban itu sendirian.
   “ Nadz.. kenapa kau macam ni, Nadz? Kenapa seksa diri?” Firdaus bersuara pilu lalu mengambil tempat di hadapan Nadzril. Nadzril tersandar lemah.
   “ Aku okey, Fir. Kau jangan risau,” balas Nadzril sembari tersenyum. Senyuman yang jelas hambar dan kelat.
   “ Okey apa macam ni? Okey bila kau baru ditendang daripada UiTM? Okey bila tubuh dan wajah kau cengkung bagaikan mayat hidup? Okey bila kau tak dapat nak capai cita-cita kau jadi seorang mahasiswa yang memegang segulung ijazah? Nadz, lagi dua bulan kita nak tamatkan belajar. Tapi.. kau tengoklah sendiri macam mana. Aku tak tahu apa lagi nak nasihatkan kau. Aku sedih.. aku sedih tengok kawan baik aku macam ni,” luah Firdaus penuh emosi. Tangan dipekupkan ke wajah. Cuba membendung sedih. Tiba-tiba, bahunya dipeluk kejap. Lantas, dengan wajah sayu dia mendongak.
   “ Fir.. aku sakit,” luah suara itu sambil menahan air mata jantannya daripada gugur. Firdaus mula rasa naik angin. Ya, kau sakit sebab betina tak guna tu. Pekik batinnya penuh dendam. Bingkas dia bangun. Dadanya berombak ganas.
   “ Memang, aku sendiri boleh nampak kau sakit. Kau sakit sebab betina tu. Jiwa kau sakit sebab cinta kau dipermainkan. Kalau betina tu ada depan mata aku, memang tahulah aku nak ajar dia. Ingat hati kita sebagai lelaki ni, hati lembu ke apa??” bentaknya marah.
   “ Nadz.. bukan salah Lissa,” tegur Nadzril hiba. Firdaus semakin berang. Semenjak dua bulan lepas, itulah yang keluar dari bibir Nadzril. Bukan salah Lissa.. bukan salah Lissa. Habis, salah siapa??
   “ Habis salah siapa?? Salah aku??” tengking Firdaus mula rasa amarahnya memuncak. Dada perit mengenangkan kondisi teman baiknya. Nadzril terbatuk kecil. Seketika, dia tarik nafas berat. Wajahnya sayu menggambarkan keperitan.
   “ Bukan salah sesiapa. Bukan salah Lissa dan bukan salah kau sekalipun. Tapi, salah aku..” jawab Nadzril tenang. Matanya nampak berkaca. Firdaus duduk kasar ke birai katil. Wajah diraup berkali-kali. Ah, dia memang rasa nak mengamuk aje sekarang ni. Tanpa kata, tangannya menumbuk tilam itu kuat. Nadzril hanya memerhati dengan ekor matanya. Dia tahu, Firdaus sayangkan dia. Mahu tidaknya.. mereka bersahabat hampir enam tahun.
   “ Kau selalu nak bela dia! Aku tak fahamlah. Kenapa, Nadz? Kenapa kau perlu pertahankan perempuan yang dah robek hati kau sendiri? Aku memang dah tak boleh sabar sekarang ni. Aku kena ajar perempuan tu,” ujar Firdaus lalu bangun tegak. Dia perlu membuat perhitungan dengan Merlissa. Bencinya dia pada nama itu!!
   “ Fir.. kau nak ke mana?” soal Nadzril cemas. Bimbang juga melihat amukan Firdaus.. kan makan penampar gadis kesayangannya nanti. Firdaus terhenti di muka pintu.
   “ Aku nak ajar perempuan tak guna tu!” balas Firdaus bersalut geram yang maha dahsyat.
   “ Jangan. Aku tak izinkan. Selangkah kau keluar dari rumah aku, aku takkan anggap kau kawan aku lagi.” Zap! Tersentak hati kecil Firdaus mendengarkan kata itu. Sampai begitu Nadzril ingin menangkan Merlissa?? Ah!!!
   “ Kau ugut aku, Nadz? Kau sanggup buang aku kerana seorang perempuan yang jelas tak menghargai kau? Kau kenapa, Nadz??” jerit suara itu bagaikan histeria. Agaknya laungan yang bergema itu sampai ke telinga Puan Norly, umi Nadzril yang berada di dapur.
   “ Aku tak buang kau, Fir. Cuma, aku tak nak.. aku tak nak kau apa-apakan dia. Biarlah dia dengan bahagianya,” luah Nadzril tanpa dapat membendung air matanya lagi. Teresak bagaikan anak kecil dia menghamburkan tangisan. Firdaus menggeleng kesal. Jelas menderita, namun masih ada hati hendak mempertahankan betina tak guna tu. Tak, aku akan tetap buat perhitungan. Biarlah putus persahabatan sekalipun, aku rela asalkan nasib Nadzril terbela. Lantas, dia kembali memulakan langkah.
   “ Aku sakit, Fir. Aku sakit,” luah suara garau itu tiba-tiba. Kaki yang ligat hendak diatur terpasak kaku sekali lagi. Firdaus berpaling mencari wajah itu.
   “ Kau sakit? Kau baru sedar ke? Kau memang dah lama sakit. Kau tahu kenapa? Sebab betina tulah. Jadi, kau jangan nak ha..” Firdaus tak sempat nak habiskan ayat bila mana Nadzril terus mencelah.
   “ Aku ada barah otak..” Sambung Nadzril pilu mematahkan bicara temannya. Anak matanya sayu menikam wajah Firdaus. Seketika, kaki Firdaus bagaikan obor-obor. Rapuh hendak berdiri. Tak, tak mungkin. Aku silap dengar. Kawan aku sihat. Dia takkan ada penyakit tu. Takkan!! Jerit Firdaus lalu menggeleng-gelengkan kepalanya. Menyedari reaksi Firdaus, Nadzril pantas mendapatkan temannya yang jelas nampak bingung.
   “ Aku sakit, Fir. Dan itulah penyakit aku, tiada kaitan dengan Merlissa. Tuhan dah takdirkan hidup aku begini. Aku redha, Fir,” jelas Nadzril sambil mengongoi kecil.
   “ Tak, kau tipu aku kan?” soal Firdaus lalu berpura-pura ketawa menutup rasa hati. Nadzril pantas berlalu ke meja kecil yang terdapat di suatu sudut bilik. Rekod kesihatannya dicapai lalu dengan lemah dia menghulurkan pada Firdaus. Firdaus menyambutnya dengan wajah terpinga-pinga. Dia membelek kertas puith itu. Seketika, mimpi tidak lagi kekal menjadi sebuah mimpi. Apa yang terbentang adalah kenyataan. Kenyataan yang cukup pahit!
   “ Aku dah menghidap penyakit ni lama. Sekarang, dah peringkat ketiga. Dah tak ada harapan untuk aku sembuh. Sebab tu aku selalu ponteng kuliah sekaligus menyebabkan aku ditendang keluar dari kampus. Bukan salah Merlissa. Bukan salah dia. Berita ni pun aku dapat tahu pada hari yang sama aku dibongkarkan dengan hubungan Merlissa dan lelaki tu.” Tenang wajah itu melontarkan kata. Firdaus senyap tanpa suara. Mulutnya hendak bergerak, tapi dia tak mampu. Lumpuh tiba-tiba.
   “ Kenapa baru sekarang kau nak bagitahu aku, Nadz? Aku ni siapa, Nadz?” soal Firdaus sesal.
   “ Kau kawan aku dan akan selamanya jadi kawan aku. Aku tak sanggup nak khabarkan berita ni pada kau. Aku tak nak kau sedih, Fir. Biarlah aku lihat wajah gembira orang yang aku sayang sebelum aku menutup mata. Tapi.. hari ni rahsia tu tetap terbongkar.” Firdaus mula tebak sesuatu yang aneh dalam lenggok nada itu.
   “ Kau jangan cakap umi pun tak tahu hal ni??” soal Firdaus curiga. Perlahan-lahan Nadzril angguk.
   “ Aku tak sampai hati nak tambahkan luka di hati umi. Melihat aku dibuang universiti pun wajah itu jelas kecewa. Tapi.. aku tahu umi takkan bagitahu perasaan sebenar dia sebab dia memang tak nak bebankan aku,” balas Nadzril. Beristighfar panjang Firdaus mendengar pengakuan itu.
   “ Nadz, umi perlu tahu. Dia berhak tahu. Sampai bila kau nak rahsiakan perkara sebegini??” marah Firdaus namun tidak terlalu lantang. Memandangkan hubungannya yang agak rapat dengan Nadzril, Puan Norly sendiri yang meminta dia dibahasakan dengan panggilan ‘umi’ Kedegaran keluh-kesah dari bibir Nadzril.
   “ Aku tak tahu, Fir. Bila tiba masanya, umi tetap akan tahu. Fir.. janji dengan aku. Bila aku dah tak ada, tolong jaga umi. Tolong ye, Fir? Aku orang susah, Fir. Umi mungkin hilang tempat bergantung selepas pemergian aku. Tolong, Fir. Hanya pada kau, aku jadikan sandaran untuk umi berteduh kasih,” pinta suara itu hiba. Firdaus terhenyak. Ya Allah, luluhnya mendengarkan permintaan itu.
   “ Kenapa kau cakap macam ni, Nadz? Kau akan sihat. Aku yakin kau akan sihat. Kau bagitahu aku, berapa banyak kos rawatan kau. Aku akan minta daddy salurkan bantuan. Kau cakaplah!!!” marah Firdaus masih tidak dapat menerima hakikat. Nadzril menggeleng lagi.
   “ Kau cepat berputus asa!!” bentak Firdaus tiba-tiba.
   “ Tak, Fir. Macam mana kau tahu aku berputus asa? Tak pernah, Fir. Aku selalu cekalkan hati aku bila tahu aku menghidap penyakit ni. Aku selalu paksa diri aku telan ubat-ubat yang dah tak mampu aku nak cakap berapa banyak jenisnya. Aku cuba, Fir. Tapi.. apa guna lagi bila doktor sendiri dah bagitahu hayat aku tak lama. Hayat aku cuma tinggal dua bulan je, Fir. Sungguh, aku perit nak tanggung semua ni sorang-sorang,” balas Nadzril lemah. Pedihnya hati ini mendengar luahan itu. Tuhan, kenapa begini sekali sahabatku diuji? Tukas hati Firdaus sebak.
   “ Doktor bukan Tuhan, Nadz. Dia cuma buat andaian.” Firdaus menyangkal.
   “ Kau cakap pada aku, berapa peratus yang menafikan kata-kata doktor selama ni? Hampir keseluruhannya yang diperkatakan doktor itu benar, Fir. Ini hakikatnya. Dan aku perlu terima.”
   “ Kau tak boleh macam ni. Kau perlu bertarung dengan penyakit tu. Aku ada untuk sokong kau. Aku ada!” balas Firdaus geram.
   “ Aku dah cuba. Malah, aku dah cuba sehingga aku rasa diri ini semakin lelah, semakin penat. Fir.. janjilah pada aku.. jangan bagitahu umi tentang hal ini. Jangan tanya aku kenapa, sebab aku sendiri tidak punya jawapan. Apa yang aku boleh cakap.. akan tiba ‘waktu’ itu,” pinta suara itu lagi. Sebak bercampur baur.
    “ Tapi, Nadz..” Firdaus hendak menolak. Matanya berkaca dan hatinya sebak tak terkira.
   “ Janji, Fir?” Suara itu terus merayu. Dan dalam keterpaksaan, kepala dijatuhkan jua tanda setuju.

   Tuhan, Kau cekalkanlah hati insan bernama Nadzril Fahmi ini. Kau tabahkanlah hatinya. Aku mohon padaMU. Doa Firdaus dalam hati. Wajah lega Nadzril ditatap sayu.

Bersambung

No comments:

Post a Comment