PROLOG
SEBAIK sahaja Ain duduk di dalam
keretanya sehinggalah sekarang, patah-patah ayat yang keluar dari bibir kecil
Ain boleh dibilang dengan jari. Ain kembali ke gaya robotnya. Ia benar-benar
mendera hati dan jiwa Tengku Ritzlan.
Dia
membawa gadis itu ke Secret Recipe di Queensbay Mall setelah tempat lepak yang kerap dikunjungi dengan
teman-teman di Kenari gelap gelita. Rancangannya bolehlah dia lebih mengenali
gadis itu dengan lebih rapat, namun Ain terus ‘merobotkan’ dirinya.
“Macam
mana?” soal Tengku Ritzlan sambil menyuap Grilled Balck Pepper Chicken ke dalam
mulutnya.
“Okey,”
jawab Ain sepatah. Namun dia tidak pasti apa sebenarnya yang disoal oleh Tengku
Ritzlan. Mungkin Noodle Tom Yam Soup yang sedang dinikmatinya.
Tengku
Ritzlan memandang Ain yang tunduk menjamu seleranya. Okey aje? Soal Tengku
Ritzlan sendiri. Letih sungguh bercakap dengan robot ni, keluhnya. Dari tadi
dia asyik mendengar perkataan yang kerap keluar dari mulut Ain, iaitu ‘okey’.
“Sedap
Noodle Tom Yam Soup, tu?” soalnya ingin mendengar apa yang dijawab oleh Ain.
“Sedap,”
jawab Ain sepatah lalu mengesat mulutnya dengan tisu.
Bibirnya
mengulum senyuman dengan gelengan. “Terima kasih,” ucapnya sepatah.
“Untuk
apa?” soal Ain mengangkat mukanya memandang ke wajah lelaki kacak di hadapannya.
Entah mengapa dadanya bergetar tidak menentu sejak masuk ke dalam kereta lelaki
itu tadi.
“Birthday
Lyna,” balas Tengku Ritzlan.
“Saya
gembira tengok dia gembira,” ucap Ain dengan sengihnya.
Sekali
lagi Tengku Ritzlan senyum.
“Saya pun
gembira. Awak tak gembira ke saya gembira?” usik Tengku Ritzlan.
Bulat mata
Ain menatap wajah lelaki yang sedang menikmati Grilled Black Pepper Chickennya. Dia berdeham, menahan rasa
hati yang tidak menentu. Terasa menyesal dia tidak memaksa Sara mengikutnya sama.
“Hujung
tahun ni saya punya birthday. Awak
jadi birthday planner saya ya.”
Sengaja dia hendak menduga Ain.
“Saya nak
buat macam birthday Lyna. Ada belon-belon, semua orang pakai topi, boleh?”
Pecah tawa
Ain mendengar permintaan Tengku Ritzlan. Betul ke tidak lelaki ni. Dia menutup
mulutnya dengan tisu sebagai tidak dapat menahan tawanya yang semakin panjang.
Tengku
Ritzlan senyum. Barulah nampak wajah ceria gadis itu. Kalau tidak, susahnya
hendak melihat senyuman itu. Senyuman yang boleh buat dia terbawa dalam mimpi.
“Insya-Allah,”
ucap Ain.
“Tapi saya
kena charge Ku tau. Bukan FOC,” usik Ain pula.
“Wah...
mana aci, Lyna awak tak charge apa-apa pun,” balasnya. Konon-konon berkecil
hati dengan kata-kata Ain sebentar tadi.
“Dia tak
kerja.”
Tengku
Ritzlan senyum lagi. “Awak saja nak kenakan saya, ya,” guraunya.
“Ku rasa
terkena ke?” balas Ain, menentang mata lelaki itu yang sedang tunak memandangnya.
Saat itu, dia sudah mula terasa lain macam.
“Ya...
saya memang dah terkena dengan awak.” Penuh makna tersirat, Tengku Ritzlan kenyit
mata bersama senyuman menggoda. Harap-harap Ain faham dengan maksudnya.
Terkedu,
Ain telan liur. Maksud disebalik kata-kata tersebut Ain tidak pasti tetapi tingkah
Tengku Ritzlan boleh buat jantungnya seperti mahu terlompat keluar. Hati...
janganlah sampai ‘terjatuh’.
“Err... Ku,
saya nak ke ladies, sebentar.” Ain
bangun dan melangkah meninggalkan Tengku Ritzlan, cuba membawa dirinya
bertenang. Ah! Itu hanya sangkaannya
sahaja. Tidak ada apa-apa maksud.
Tengku Ritzlan
angguk perlahan. Dia tahu Ain mahu mengelak. Tak apalah, harap-harap Ain faham
maksudnya dan gadis itu akan bersedia.
BAB 1
“MUNGKIN itu hanya mimpi aje. Jangan
fikirkan sangat,” nasihat Fendi lembut.
Ain menghela nafasnya. Sudah berkali-kali dia bermimpi, mimpi yang sama.
Tidak tahu apakah maksudnya. Yang peliknya, Aizad berada di dalam mimpinya itu
tetapi tidak kelihatan. Hanya memanggil namanya beberapa kali dan menunjuk
kepada sebuah rumah agam yang berdiri gagah dan berlantaikan marmar putih.
Rumah siapa? Itulah yang menjadi persoalan yang tidak terjawab sehingga
kini. Pernahkah dia ke situ? Dia menggeleng-geleng sendiri. Pening kepalanya
memikirkan apabila mimpi itu berulang untuk kesekian kali. Matanya beralih
kepada jam yang sudah menunjuk ke angka 2.30 petang dan bermakna hampir 10
minit dia bersembang dengan Fendi.
“Hanya mimpi aje Ain. You jangan fikir semua tu. Mimpi tu kan permainan
tidur,” pujuk Fendi lagi.
“Entahlah,” keluh Ain sambil memicit dahinya. “Tapi, kalau dah
berkali-kali rasa macam satu tanda aje?” dia mengagak dalam tidak pasti.
“Dah, tak baik fikir benda-benda
karut macam tu.”
Ain senyap menunggu kata-kata Fendi seterusnya. Pagi tadi sudah dua kali
lelaki itu menelefonnya. Dan masuk panggilan itu adalah panggilan ketiga. Fendi
kini berada di Pulau Pinang atas urusan kerjanya.
“You tak miss I ke? I miss you sangat-sangat tau.” Fendi seperti
merengek-rengek di sebelah sana.
“Banyaklah miss you. Baru pergi
semalam dah nak miss-miss pula,” ejek
Ain perlahan.
“You tak miss I ke?” ulang Fendi dalam nada mengusik.
“Alah, baru semalam. Esok you balik kan?” balas Ain sebagai tidak mahu
menjawab soalan Fendi. Hubungan mereka sedikit tidak menentu gara-gara Datin
Fariza yang tidak menyukai dirinya. Ya, dia sedar... siapalah dia. Dia cuba
mengelak daripada terlalu mengharap walaupun hubungan mereka sudah berlangsung
lebih tiga tahun. Selama tiga tahun itu entah berapa kali hubungan mereka putus
dan sambung semula.
Fendi senyap.
“Kita kahwin, Ain.”
Kaget Ain mendengar lamaran itu. Berteguk liur ditelannya. Dadanya bagai
hendak meletup sebaik mendengar perkataan ‘kahwin’ disebut oleh Fendi. Bukan
dia tidak gembira, dengan usianya yang sudah menuju ke akhir 20-an perkara
itulah yang diidamkan. Tetapi... ahh, terlalu banyak tetapi dalam hidupnya.
“Fendi...”
“Kita kahwin, Ain.” Sekali lagi Fendi mengulangi lamaran itu.
Ain senyap.
“Jangan fikir kan sangat tentang mama I. Apa yang penting adalah kita.
Kita berdua. Hidup kita.” Perlahan suara Fendi seolah-olah merayu kepada Ain.
“Fendi,” sebutnya. Namun dia tidak tahu apa yang patut disuarakan untuk
menyekat harapan lelaki itu.
“Ain...”
“I belum bersedia lagi, Fendi.”
Pantas dia memotong lanjutan kata-kata Fendi. Dia mahu lelaki itu tidak
terlalu menaruh harapan terhadap perancangan masa depan mereka. Ada rasa
terharu dengan lamaran itu. Dia tahu, Fendi ikhlas menerima buruk dan baiknya.
“Bukan itu alasan sebenarkan? Tetapi mama I kan?” Fendi seperti mengagak.
Ya, jawab Ain dalam senyap. Dia tidak mahu hidupnya kelak huru hara akibat
sikap tidak puas hati Datin Fariza. Lebih 3 tahun mengenali Fendi dan selama
itulah dia mula memahami sikap Datin Fariza. Walaupun Dato Johan atau Dato Syed
Muhammad Johan merestui hubungan mereka itu bukan tiket untuknya menerima
lamaran Fendi secara terburu-buru. Banyak hati dan perasaan yang harus
difikirkan.
“Jangan macam tu Fendi, apa-apa pun dia mama, you.”
Dia tidak mahu kerana dia, Fendi menjadi anak kurang ajar. Jika bukan
jodohnya dan Fendi, dia reda. Bila memikirkan perkara itu hatinya bagai digerit
dengan belati.
“Dia tak pernah faham perasaan I, Ain.” Keras suara Fendi di sebelah sana.
“Beri I masa untuk fikir kan tentang perkara ni, ya,” pujuk Ain.
“Jangan fikir terlalu lama, ya. I tak mahu sepanjang usia kita asyik
berkawan je, Ain. I love you. You tahu kan?”
Ain mengangguk. Ada rasa terharu pada kata-kata lelaki itu. Dia juga
menyayangi Fendi namun dia tidak meletakkan apa-apa harapan untuk hidup bersama
lelaki itu. Diserahkan segalanya kepada Yang Maha Berkuasa. Biarlah Dia yang
menentukannya.
“Insya-Allah. Tak apa, settle
kan kerja tu semua. Esok balik.” Ain cuba memberi hint untuk menamatkan perbualan itu. Kerjanya terlalu banyak dan
dia perlu menyiapkannya sebelum pukul 5.00 petang. Senarai gaji pekerja kontrak
itu perlu dihantar ke bank di tingkat bawah. Dan sebelum itu dia perlu
mendapatkan tanda tangan Dato Johan sebagai signatory.
“Okeylah, apa-apa kita bincang lepas I balik nanti. Malam nanti I call
lagi,” janji Fendi.
“Ya,” jawab Ain sepatah.
“Okey, Assalammualaikum.”
“Waalaikumusalam...” pantas Ain bangun sebaik menamatkan perbualan itu.
Dia belum bersolat lagi. Bagaimanalah dia boleh begitu lalai sekali? Bergegas dia
meninggalkan meja kerjanya menuju ke bilik solat yang terletak di hujung
bangunan itu.
DATIN FARIZA meletak sekeping cek di
hadapan Ain dengan kasar. Terkejut gadis itu yang sedang menyemak senarai
nama-nama pekerja kontrak yang harus dilangsaikan pembayaran gaji mereka esok.
Diangkat wajahnya memandang wanita yang berdiri di hadapan mejanya.
“Datin!” Ain bangun dari duduknya. Dadanya mula berdebar-debar dengan
situasi sebentar tadi. Langsung tidak sedar dengan kehadiran wanita itu di
situ.
Dua orang staf Ain yang sedang sibuk melakukan tugasan mereka terkejut sebaik
melihat kedatangan Datin Fariza, isteri kepada Dato Johan, Pengarah Urusan
Akhabar Engineering.
“Ambil duit ni, jangan jumpa Fendi lagi!” herdik Datin Fariza yang sedang bercekak pinggang memandang Ain yang berdiri
di hadapannya dengan dihalangi oleh meja kerja gadis itu yang agak berselerak.
Ain meneguk liurnya. Apakah Fendi sudah menyuarakan lamaran tadi kepada
mamanya? Ya Allah, mengapa begitu pantas sekali disuarakan perkara itu,
gumamnya sendiri.
“Kau tak faham ke? Fendi tu dah bertunang. Dah bertunang. Apa jenis
perempuan yang tak tahu malu mengganggu tunang orang, haa!” bergema suara
wanita itu di jabatan yang agak terhad ruangnya.
Ternganga Ain mendengarnya dengan mata terkelip-kelip memandang wanita itu
yang memandangnya. “Dah bertunang?” dadanya tiba-tiba menghangat.
Datin Fariza pula ternganga. Kemudian tersenyum melihat reaksi dan soalan
gadis di hadapannya itu. Nampaknya Fendi tidak memberitahu perkara itu kepada
buah hatinya. Hmm... menjalar segala idea jahatnya.
“Wah... dia tak bagi tahu kau yang dia dah bertunang ya?” soal Datin
Fariza sinis sambil melipat tangan ke dada.
Ain tunduk memandang sekitar mejanya. Tidak tahu apa yang dipandangnya
kini. Benarkah Fendi sudah bertunang?
Soalnya sendiri. Atau Datin Fariza sengaja mahu menyakiti hatinya? Tangannya
menggigil disaat dia melepaskan pen di tangan.
Kalau benar... mengapa dia tidak diberitahu perkara itu? Air mata sudah
mula bertakung di tubir mata. Dadanya terasa amat ketat menahan perasaannya.
Cuba membawa dirinya bertenang.
“Tak apalah... mungkin kau hanya untuk dia berseronok-seronok sahaja
sebelum berkahwin kan,” sindir Datin Fariza dengan tawa yang dibuat-buat.
Ain menarik nafasnya dalam-dalam dan mengangkat mukanya memandang wanita
itu.
“Aku tak kisah kalau macam tu. Fendi pasti akan cari perempuan yang
baik-baik dan bukan macam kau!” cemuh Datin Fariza.
Ain senyap. Mahu sahaja dia menangis mendengar sindiran berupa penghinaan
wanita itu.
“Baik kau cermin dulu diri kau tu. Tengok siapa diri tu. Sepadan atau tak
dengan anak aku!” cemuh Datin Fariza. Geram pula dia melihat Ain tidak melawan
kata-katanya.
Ain senyap. Namun ada rasa luka di hatinya. Berkali-kali dia dilukai dan
berkali-kali dia memaafkan wanita yang hampir sebaya Puan Salmah, ibunya. Orang
tua patut dihormati. Namun luka kali ini bagai tidak akan sembuh. Sabarlah Ain,
pujuknya sendiri.
“Dah berapa kali aku cakap dengan kau. Jangan dekat dengan Fendi. Jangan
dekat dengan Fendi! Tapi kau degil. Sekarang apa dah jadi?”
Datin Fariza tersenyum lagi. Terasa kali ini dia menang. Fendi
menelefonnya tadi memintanya agar dia memutuskan pertunangan dengan Nelly. Walaupun
pertunangan itu dibuat tanpa persetujuan Fendi namun dia tetap berpuas hati.
“Dia orang akan kahwin hujung bulan depan. Lagi cepat kau berambus dari
sini, lagi cepat dia boleh lupakan kau. Tolong jangan ganggu anak aku lagi.
Hidup dia dah huru hara sebab kau tau tak!” tingkah Datin Fariza kembali
serius.
Terasa petir memanah hatinya mendengar berita itu sekali lagi. Sampai hati
Fendi rahsiakan semua itu darinya. Tebal wajahnya memandang staf-staf yang
memandangnya. Dia berpaling mukanya ke tempat lain.
Fikirannya terasa kosong. Antara percaya dengan tidak pada berita yang
disampaikan oleh wanita itu. Namun hatinya terus luka. Fendi sudah menipunya.
Sekali lagi Ain mengesat air matanya yang sudah mengalir di hujung mata.
“Aku nak kau ambik cek tu dan berambus
dari pejabat ni dan hidup Fendi, faham! Jangan datang ke sini lagi,” tingkah
wanita itu dengan garang. “Kalau tak cukup... Cakap! Tapi kau jangan tunjuk
muka kau tu di sini dan depan Fendi lagi!” ucapnya dengan keras dan kasar.
Rasa pedih hatinya apabila kasih sayang menjadi barang jualan. Matanya
beralih dari wajah Datin Fariza ke cek yang terbentang di hadapannya. Seratus
lima puluh ribu ringgit. Inikah nilai sebuah kasih sayang? Soalnya sendiri.
Terasa maruahnya dipijak-pijak oleh wanita itu.
“Haa, kenapa?! Tak cukup?” Pantas Datin Fariza mengeluarkan sesuatu dari
beg tangan berjenama Gucci yang berharga tiga ribu atau mungkin lebih.
Ain terpegun. Kelu lidahnya mendengar ungkapan wanita yang mungkin sudah mencecah
separuh abad. Dia melihat wanita itu menulis jumlah yang entah berapa banyak di
atas buku ceknya. Seketika dikoyak lalu dicampak ke mukanya. Terpinga-pinga Ain
melihat layangan cek itu jatuh ke atas cek yang sebelumnya.
“Lima puluh ribu. Cukup?” Datin Fariza senyum sinis. Seolah-olah berjaya
membeli apa yang dihajati.
Ain terus terkedu.
“Aku rasa jumlah semua tu lebih daripada cukup untuk kau tak bekerja
selama 2 tahun. Orang macam kau tak perlu nak berbelanja banyak pun, kan?”
sekali lagi wanita itu mencebik. Matanya turun naik memandang Ain. Tidak
dinafikan gadis itu berkali-kali lebih cantik dan manis daripada Nelly. Namun
bukan cantik dan manisnya Ain. Dia mahu penyatuan sebuah keluarga yang kaya dan
berstatus.
Astaghfirullah
al’azim, Ain mengucap di dalam hati.
Ain menarik nafasnya dalam-dalam. Dadanya terasa begitu hangat dan semakin
ketat sekali. Rasanya tidak sanggup mendengar cemuhan wanita itu yang akan
melibatkan ibu dan keluarganya kelak. Lebih baik dia berundur sahaja walaupun
hatinya terasa ingin meraung memanggil Fendi.
“Datin ambillah duit ni. Daripada bagi pada saya, lebih baik datin sedekah
kepada anak-anak yatim. Dapat juga datin pahala.” Tidak tahu apa yang sedang
dikatakan. Fikirannya tiba-tiba menjadi kosong. Hatinya ingin menangis.
Bulat mata wanita itu mendengar kata-kata Ain. “Apa kau cakap?!” keras
suara Datin Fariza.
“Nampaknya datin tidak tahu menilai sebuah hubungan. Dan datin nilaikan ia
bersamaan dengan wang ringgit. Begitukah juga kasih sayang datin terhadap
dato?” balas Ain. Pandangannya tajam merejam wajah wanita yang berambut perang.
Tidak langsung bersesuaian dengan usia yang sudah menjangkau 50-an.
Ternganga mulut wanita itu ditempelak dengan kata-kata lembut dan halus
dari bibir kecil Ain.
“Saya tak perlukan duit datin. Hidup saya tak susah dan tak juga terlalu
senang. Tetapi alhamdulillah. Allah ada. Dia yang beri rezeki kepada kita,”
ungkap Ain dengan penuh rasa syukur dengan kehidupannya kini.
“Kau ni dah melaumpau, ya!” hatinya terbakar dengan ayat terakhir Ain.
Terasa dirinya dihina oleh Ain. “Kau keluar dari pejabat laki aku sekarang!
Jangan datang, ke sini lagi!” pekik wanita itu dengan nafas turun naik menahan rasa amarahnya.
“Ya, saya akan keluar,” ucapnya.
Sebaik mendengar apa yang disampaikan oleh wanita itu tentang Fendi yang
akan berkahwin tidak lama lagi, spontan dia membuat keputusannya. Ya, dia akan meninggalkan
tempat itu. Begitu juga dengan Fendi. Ya Allah, apa semua ni, bisiknya dengan
rasa pilu.
“Saya tak perlu nasihat datin untuk keluar dari sini. Saya bukan orang tak
berakal untuk membuat tindakan bodoh begitu,” balas Ain pula.
Terjojol mata Datin Fariza. “Kurang ajar punya budak!”
“Saya tidak berkurang ajar. Orang yang kurang ajar sahaja yang akan
mengeluarkan kata-kata yang tidak baik dan tidak sepatutnya dikeluarkan sebagai
seorang manusia,” balas Ain secara lembut dan terus memuntahkan apa yang
dirasakan betul untuk diluahkan. Biar wanita itu sedar yang dirinya tidak
sebesar mana.
Semakin luas mulut Datin Fariza. Rasa kata-kata itu bagai menampar
wajahnya yang baru sahaja melakukan facial sebelum datang ke situ. Dia
memandang dua orang pembantu Ain yang sedang memandangnya.
“Apa pandang-pandang. Tak ada kerja ke? Atau korang nak aku pecat sekali
dengan bos korang ni?” Dia mula mengugut kedua gadis itu. Kemudian beralih
kembali memandang Ain. “Nampak baik, tapi perangai macam jalang!” cemuh Datin
Fariza. Puas hatinya.
Menyirap darah Ain dengan kata-kata yang dilemparkan oleh wanita itu. Dia
menarik nafasnya dalam-dalam. “Siapa pun saya, biar Allah yang menilainya. Saya
tidak perlu pandangan daripada datin. Datin tiada kuasa, hanya Allah sahaja yang
Maha Berkuasa,” tegas Ain tenang. Namun tangan dan kakinya sudah menggeletar
menahan sabar dan air matanya.
Sekali lagi terbeliak mata wanita itu. Hangat hatinya apabila Ain sering
menyebut nama yang satu itu.
“Eh, kau keluar sekarang! Keluar sekarang dari sini!” pekik Datin Fariza
sambil menunding jarinya ke pintu jabatan yang terbuka luas. Dia sudah tidak
betah mendengar setiap kata-kata yang keluar dari mulut Ain. Terasa ia seperti
selumbar yang begitu halus mencucuk setiap isi dan daging tubuhnya.
Ain menarik menghela nafasnya untuk kesekian kali. Pantas dia mencapai beg
tangan yang terletak di kabinet belakang. Tanpa pamitan dia melangkah keluar
dari situ.
“Ambil cek ni!” herdik Datin Fariza sambil menarik kasar dua keping cek
yang berada di atas meja kerja Ain yang bersepah-sepah dengan kertas yang dia
sendiri tidak tahu.
Ain menoleh.
“Itukah harga kasih sayang datin terhadap Fendi?”
Terkedu Datin Fariza. Seketika dia melihat Ain berlalu meninggalkannya di
situ.
DIA membawa dirinya sehingga ke Masjid
Putra, Putrajaya. Jauh dari pejabatnya yang terletak di pusat bandaraya Kuala
Lumpur. Lama dia berada di situ. Memerhati orang yang lalu lalang dan keluar
masuk ke bangunan masjid itu dengan satu tujuan. Bersolat. Dia mendongak ke
atas, mencari langit di bawah rimbunan pohon yang meneduhi tempat yang diduduki.
Dikesat air mata yang mengalir. Mengapa air mata itu tidak mahu berhenti
sejak dia keluar dari pejabat tadi. Dia tidak menyangka yang Fendi sanggup
merahsiakan pertunangannya. Sudah berapa lama lelaki itu bertunang? Mengapa
tiada siapa di antara kaki tangan di Akhabar Engineering memberitahu tentang
perkara itu? Bukan mereka tidak tahu hubungannya dan Fendi. Dia benar-benar
rasa malu dengan semua kaki tangan Akhabar Engineering sebaik mengetahui akan
perkara itu.
“Ya Allah.” suaranya perlahan merintih sendiri. Kuatkanlah hati ini.
Nampaknya apa yang pernah dijangka, berlaku akhirnya. Redakah dia kini?
Hari sudah pun beransur gelap namun masih tidak kedengaran azan. Mungkin
sebentar lagi, bisiknya sendiri. Lampu-lampu disekitar kawasan masjid itu mulai
terpasang. Nafas berat dihelakan untuk kesekian kali. Tiba-tiba telinganya
menangkap sesuatu. Pantas dia menyelongkar isi di dalam beg tangan yang diriba
sejak tadi. Semakin ketat dadanya sebaik melihat nama Fendi di skrin telefon
bimbitnya.
“Ain!”
Ain menghela nafasnya. Semakin sebak dadanya mendengar suara lelaki itu
menyebut namanya.
“Kenapa you tak bagi tahu I yang you dah bertunang?” soal Ain lemah sambil
mengesat air mata untuk kesekian kalinya. Mendengar suara lelaki itu membuat
hatinya semakin pilu dan rindu.
“Ain...”
“Kenapa you tak bagi tahu I yang you dah bertunang, Fendi?” sekali lagi
dia bertanya. Dia mahu tahu kenapa dirinya tidak diberitahu akan perkara itu.
Kenapa dia diketepikan oleh Fendi?
“Bukan begitu sayang.”
“Habis tu? Macam mana?” selar Ain geram.
“Itu bukan keputusan I.”
“Tak kisahlah keputusan siapa pun. Tapi tak boleh ke you beritahu I?”
tingkah Ain geram.
Kedengaran hembusan nafas lelaki itu di telinganya. Ain menggeleng-geleng
sendiri. Kemudian memandang orang yang lalu lalang di situ.
“I rasa macam orang bodoh, Fendi. Macam orang bodoh!” Ain menahan
sebaknya.
“Maafkan I, sayang. Ini semua rancangan mama I tanpa persetujuan I, Ain.
Memang I nak beritahu you.”
“Tak kisahlah semua tu. Main point
is, you lied to me!” tekan Ain mengharap segala-galanya dapat diperbetulkan
kembali namun ia tidak mungkin akan berlaku.
“I minta maaf, Ain. You knew, I love
you...”
“Love? Love you kata. Tapi you
tipu I. Itukah makna cinta pada you!” bentak Ain.
Mahu sahaja dia menjerit di situ. Cuba dikawal perasaan marah, kecewa dan
sakit hatinya. Ya Allah, mengapa dia seperti tidak dapat mengawal perasaan dan emosinya.
Kenapa dia menjadi panas baran tiba-tiba. Selalunya dia yang akan menasihati
Fendi yang bersikap baran dan kini dirinya pula mendapat penyakit itu.
“Ain...” Fendi seolah-olah tidak mampu untuk bersuara lagi.
Ain senyap. Mengesat hidungnya yang rasa tersumbat dan sebat kerana
terlalu banyak air yang berkumpul di dalam hidungnya.
“Esok I balik, kita bincang, hmm...” Fendi terus memujuk buah hatinya.
“I tak mahu bincang apa-apa lagi,” tegas Ain sambil memicit-micit
kepalanya. Kepalanya terasa semakin berat. Mungkin kerana terlalu sesak
memikirkan perkara sebentar tadi.
“Ain, jangan macam ni sayang.” Fendi seolah-olah takut hendak menerima
kata-kata seterusnya yang akan menjadi kata putus Ain.
“I nak kita putus. Cukuplah dengan apa yang I dengar hari ni,” putus Ain.
Dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi daripada sesiapa biarpun lelaki yang amat
disayangi. Hatinya tawar, hancur dan sudah pun berkecai dengan kata-kata Datin
Fariza tadi.
“Tak!” terjerit Fendi di sebelah sana.
“Terpulang pada you, Fendi. Itu keputusan I,” balas Ain cuba membawa
dirinya bertenang.
“Tapi itu bukan keputusan I, Ain.” tingkah Fendi dengan suara lantang.
“I tak perlu kan keputusan you!” balas Ain bengang.
“Ain, tolonglah... esok I balik. Kita boleh bincang.” Untuk kesekian kali Fendi
memujuk Ain agar dapat mengubah keputusannya tadi.
“Nak bincang apa lagi Fendi?!” tengking Ain geram. “You akan kahwin hujung
bulan depan. You bertunang pun I tak tahu!” keras suara Ain.
Fendi senyap.
“I malu tahu tak? Malu! Macam mana orang lain tahu tapi I tak tahu
langsung,” ucapnya dengan rasa amat kecewa. “Mana I nak letak muka I Fendi. I
ni seolah-olah pengacau tunangan orang.” Ain kembali menangis.
“Ain...” panggil Fendi lembut di sebelah sana.
Ain senyap dan terus melayan tangisannya. Namun cuba membawa dirinya
bertenang. Dia tahu banyak mata memandangnya.
“Esok I balik. Tunggu I ya.”
Ain menggeleng-gelengkan kepalanya. Rasanya tidak perlulah dia bertemu
dengan Fendi. Ia hanya akan menambah rasa kusut di hati dan kepalanya sahaja.
“Tak perlulah Fendi. Cukuplah sampai sini aje. I tak mahu terus ditipu, dihina.
I tak mampu nak hadapi apa-apa lagi,” ujar Ain kembali sebak. Disaat itu mahu
sahaja dia berlari mendapatkan ibunya.
“Ain jangan macam ni, sayang. Please,
jangan buat I macam ni,” rayu Fendi.
Ain menarik nafasnya dalam-dalam. Mengesat air matanya. Bukan mudah
untuknya membuat keputusan itu. Tetapi itulah keputusannya. Walaupun sakit, itu
adalah lebih baik daripada terus disakiti kelak.
“Ain... tolong jangan buat macam ni. Kita bincang selepas I balik, hmm...
esok you kerja macam biasa, okey,” pujuk Fendi.
Dia tidak perlu membalas kata-kata Fendi. Biarlah...
Ain terus memutuskan talian dan menutupnya terus.
Bersabarlah Ain, pujuknya. Ini bukan pengakhiran hidup. Tetapi inilah
permulaan. Ya, inilah permulaan daripada serpihan kegagalan. Gagal ini tidak
bermakna dirinya kalah, bisiknya.
Sekali lagi dia menarik nafasnya dalam-dalam agar dapat menenangkan
hatinya. Lama Ain memerhati sekelilingnya. Cuba menstabilkan dirinya. Perlahan-lahan
dia bangun dan mula menghayun langkah namun bahunya terlanggar seseorang.
“Maaf,” pinta Ain sebaik memandang lelaki yang berusia dalam lingkungan
50-an yang sedang memandangnya dengan senyuman. Dia tidak pasti dari mana
lelaki itu muncul.
“Tak apa,” jawab lelaki itu yang masih memandangnya dengan senyuman.
“Sa... saya tak perasaan tadi. Minta maaf.” Sekali lagi Ain
tertunduk-tunduk meminta maaf daripada lelaki itu.
“Tak apa, tak apa,” balas Dato Lokman dengan senyuman dan masih memandang
Ain yang memandangnya antara senyum dan tidak.
“Kenapa bang?” soal Tengku Yuhanis yang baru sahaja menghampiri suaminya.
Dato Lokman menoleh sebaik mendengar suara isterinya. Perlahan-lahan Ain
melangkah meninggalkan lelaki itu. Dato Lokman kembali memandang Ain yang sudah
pun beredar meninggalkannya. Dia seperti mengenali gadis itu tetapi siapa?
“Kenapa?” soal Tengku Yuhanis sekali lagi sambil memandang gadis yang
sedang dipandang oleh suaminya.
“Tak ada apa-apa,” ujar Dato Lokman tanpa mengalihkan pandangannya pada
Ain yang sedang melangkah masuk ke dalam masjid.
“Jom, bang,” ajak si isteri lalu melangkah menuju ke tempat yang sama
ditujui oleh gadis yang melanggar suaminya sebentar tadi.
BAB 2
“AIN!” jeritnya sebaik tidak kedengaran
suara Ain di sebelah sana lagi.
Dia berdengus kasar. Memandang telefon bimbitnya. Mahu sahaja dicampak
keluar dari bilik hotel yang didiami sejak semalam. Diraup wajahnya beberapa
kali. Debaran di dada begitu kencang sekali. Ada rasa sakit yang menyengat
seolah-olah digigit-gigit.
Ya Allah, tidak mungkin ini akan berlaku. Dia baru mahu merancang masa
depannya bersama Ain. Meskipun dia sudah bertunang tetapi itu adalah
perancangan Datin Fariza tanpa persetujuannya. Dia mahu memilih masa depannya
sendiri bersama orang yang dicintai.
Pantas dia mencari kembali nombor Ain. Hatinya tidak senang dengan apa
yang berlaku. Apa yang berlaku di sana sebenarnya? Dibatal niatnya untuk
menghubungi Ain dan mencari nombor Datin Fariza pula.
“Mama.”
Seketika dia bersuara sebaik mendengar perkataan helo daripada Datin
Fariza.
“Fendi macam mana? Sihat?” soal Datin Fariza seperti tiada apa-apa yang
berlaku di sana.
Fendi menggeleng-gelengkan kepala. Dia sudah sedia maklum dengan sikap
wanita itu. Bukan sehari dua dia kenal dengan Datin Fariza tetapi seluruh
hidupnya. Dia kembali bangun dan melangkah ke pintu balkoni yang terbuka.
“Kenapa mama datang ke pejabat tadi?” soal Fendi tanpa menjawab soalan
Datin Fariza.
“Ooo...” sepatah kata wanita itu di sebelah sana. “Kenapa? Mama tak boleh
datang pejabat suami dan anak mama?” balas Datin Fariza pula.
Fendi menarik nafas dalam-dalam. Bukan mudah untuk berbicara mahupun
berbincang dengan wanita itu. Apa pun rancangan mestilah mengikut kehendak dan keputusannya
pasti menjadi milik wanita itu. Terasa penat menjadi anak kepada Datin Fariza
yang terlalu mementingkan kesempurnaan
dunia.
“Mama ke pejabat semata-mata nak jumpa Ain kan?”
“Hmm... pantas budak tu mengadu, ya,” sindir wanita itu.
Fendi senyap. Tidak perlu diberitahu siapa yang beritahu perkara itu. Banyak
mata memandang ketika wanita itu ke sana. Dan pasti tujuannya untuk bertemu Ain
sementelah dia tiada di sana.
“Hmm...” hanya itu yang disuarakan oleh wanita itu di sebelah sana.
“Apa mama nak dari Ain?” soalnya walaupun dia sudah dapat mengagak.
“Mama suruh dia tinggalkan Fendi. Sebab Fendi dah bertunang dan akan
berkahwin tak lama lagi, itu aje,” jawab Datin Fariza tanpa berselindung.
“Mama...”
“Kenapa Fendi tak beritahu Ain yang Fendi dah bertunang? Kesian mama
tengok dia tadi. Mama rasa dia malu.” Datin Fariza ketawa dihujung
kata-katanya.
“Itu rancangan mama!” Terasa sakit dia mendengar tawa sinis mamanya. Namun
cuba membawa dirinya bersabar. Ya Allah, mengapa dengan Datin Fariza ni,
dengusnya sendiri.
“Mama buat semua ni untuk masa depan Fendi juga, sayang. Kalau hidup
dengan budak miskin keparat, masa depan Fendi akan hancur, faham tak? Mama tak
mahu macam tu.” Lembut tutur kata Datin Fariza separuh memujuk anak tunggalnya.
“Mana mama tahu, tak ada masa depan?” soal Fendi mula bengang dengan
kata-kata Datin Fariza yang lupa siapa dirinya. “Mama tuhan ke?”
“Fendi! Jangan kurang ajar dengan mama!” melengking suara wanita itu di
sebelah sana.
“Bukan nak berkurang ajar mama, tapi cara mama memandang orang lain
seolah-olah mereka tu bukan manusia. Mama kena ingat Allah yang memberi rezeki
pada kita. Bila-bila masa Dia boleh tarik segala kepunyaannya kalau kita
terlalu angkuh terhadapNya.” Fendi cuba mengingatkan wanita itu agar ingat pada
Yang Maha Esa menjadikan langit, bumi dan segala-galanya.
“Dah, cukup! Jangan nak jadi ustaz pulak!” tengking Datin Fariza. Mungkin
rasa tercabar dengan kata-kata Fendi sebentar tadi.
Fendi senyap.
“Mungkin esok Ain tak akan datang pejabat lagi. Mama cakap dia tak perlu
datang. Esok Nelly akan ganti tempat dia sebagai Pengurus di situ.”
“Apa?!” terkejut dia mendengar penjelasan wanita itu. “Mama tak boleh buat
macam tu aje tau!”
“Kenapa pulak tak boleh? Mama salah seorang pemegang saham syarikat. Dah
tentu mama boleh buat apa aje yang mama suka!” tekan Datin Fariza.
Fendi meraup wajahnya. Tidak tahu apa yang patut dikatakan lagi. Terasa
hangus hatinya dengan tindakan wanita itu memecat Ain begitu sahaja.
“Kenapa mama buat macam ni? Kenapa mama tak cuba faham perasaan Fendi?”
soalnya separuh merayu mengharapkan wanita itu dapat memahami hati dan
perasaannya.
“Mama buat semua ni, untuk Fendi juga. Fendi akan bahagia dengan Nelly
nanti...” lembut sekali suara Datin Fariza di sebelah sana. Dia menghela
nafasnya. “Kalau Fendi nak Ain selamat ikut cakap mama.”
Terkejut Fendi mendengar amaran itu. “Mama!”
“Ingat lagi kemalangan dua bulan lepas?” soal Datin Fariza disusuli tawa
sekejapnya.
Fendi tercengang. Masakan dia lupa. Kemalangan yang hampir-hampir meragut
nyawa Ain. Mujurlah Ain hanya luka ringan sahaja. Kereta yang dipandu oleh Ain
terbalik dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melarikan diri
selepas kejadian itu.
“Astaghfirullah al’azim,
mama.” Dadanya kembali berdebar-debar. Kenapa mamanya sampai sanggup melakukan
perkara-perkara begitu? Ya Allah, inikah orang yang melahirkan dirinya? Serasa
tidak percaya dengan pengakuan walaupun tidak jelas sebagai sebuah penjelasan.
“Kalau tak mahu kisah tu berulang, ikut cakap mama, hmm...”
Fendi senyap. Wajah Ain berbalam-balam di matanya. “Ya Allah, mama...”
“Mama akak buat apa sahaja Fendi.”
Kenyataan Datin Fariza sebentar tadi benar-benar menakutkan dirinya. Ya
Allah, keluhnya. Terasa tiada tempat untuknya mengadu lagi.
“Okeylah sayang, mama nak mandi ni... ada dinner di rumah Uncle Malik. Pasal nak bincang kat mana wedding Fendi dan Nelly nak buat.” Datin
Fariza kembali bersuara tenang setelah tiada suara dari Fendi. “Nelly nak buat
di Pusat Konvesyen KLCC, Fendi rasa macam mana? Tapi mama rasa masa dah suntuk
sangat nak buat tempahan kan?”
Fendi senyap.
“Okey tak apa. Fendi fikirlah apa yang mama cakap tadi. Okey, bye darling.”
Seketika dia tidak mendengar lagi suara mamanya. “Ya Allah, apa semua ni?” keluhnya.
DATIN FARIZA senyum memandang dirinya
di cermin. Subang di telinga ditanggalkan lalu di letak di dalam sebuah kotak
yang menyimpan segala barang kemasnya.
Dia berjaya menyekat pergerakan Fendi. Dan dia berjaya membuat Ain tidak
percaya kepada anak tunggalnya. Dia pasti sangat yang Ain sudah membuat
keputusan untuk meninggalkan Fendi melihatkan reaksi Ain. Senyumannya semakin
melebar membayangkan peristiwa siang tadi di pejabat suaminya.
Begitu pun dia bimbangkan Fendi. Bukan dia tidak faham dengan anak yang
dilahirkan. Pasti akan berusaha untuk memujuk kekasih hatinya untuk kembali
bersama semula. Sudah berpuluh kali hubungan mereka dihuru harakan namun jodoh
keduanya begitu kuat. Dan kali ini dia tidak akan beralah lagi. Penat rasanya
dengan kedua mereka.
“Tak apa.” Pantas tangannya menyambar gajet canggihnya lalu menghubungi
seseorang.
“Ya, bos?” suara garau seseorang lelaki kedengaran di sebelah sana.
“Knot... aku mahu kau perhatikan budak perempuan tu. Fendi balik esok.
Mesti dia ke sana nak jumpa dengan budak perempuan tu. Kalau betul, bagi tahu
aku!” pesan Datin Fariza sedikit keras.
“Baik bos.” Sepatah jawapan itu sebelum talian diputuskan.
Datin Fariza meletak semula
gajetnya. Dia memandang Dato Johan yang baru masuk selepas menunaikan solat
maghrib.
Bergegas dia ke bilik mandi. Bimbang akan dileteri oleh si suami kerana
tidak bersolat.
“Abang... kita ada dinner dengan
Malik di rumah dia lepas ni. Jangan keluar pulak!” Datin Fariza mengingatkan
suaminya. Dia sudah pun beritahu perkara itu tengah hari tadi dan dilihat Dato
Johan hanya mengangguk-angguk tanpa jawapan.
“Betul ke apa yang awak buat ni Izah?” soal Dato Johan.
“Betullah!” lantang suara Datin Fariza menjawab.
“Kenapa awak tak bincang dengan Fendi? Dia kan suka dengan Ain.”
Pantas Datin Fariza membuka pintu bilik mandi. “Abang jangan ungkit lagi
perkara ni boleh tak? Tahulah saya apa yang nak buat!” tegas Datin Fariza.
“Semua ikut kehendak awak. Macam mana dengan budak tu?” balas Dato Johan
berang.
“Kehendak saya untuk kebahagiaan dia juga!” tegas Datin Fariza dengan
suara kasar.
“Awak pasti dia bahagia nanti?”
Datin Fariza senyap.
“Awak pasti?!” soal Dato Johan merenung si isteri yang masih berpakaian
tadi biarpun sudah hampir 10 minit berada dalam bilik mandi.
Terkelip-kelip mata Datin Fariza mendengar soalan Dato Johan. Entah
mengapa dia mudah mengalah dengan si suami.
Dato Johan berdengus kasar lalu melangkah membelakangi si isteri.
“Siaplah bang. Kita ke rumah Malik sekejap lagi,” suruh Datin Fariza
perlahan.
“Awak pergi sorang. Saya tak pergi!” Dato Johan melangkah keluar
meninggalkan si isteri yang masih tercegat di hadapan pintu bilik mandi.
“Bang!” panggil Datin Fariza mula bimbang dengan tindakan suaminya yang sebelum
ini hanya menurut sahaja rancangannya. “Bang!” jerit Datin Fariza apabila
lelaki itu tidak kelihatan lagi dipandangannya.
No comments:
Post a Comment