Bab 6
MASUK hutan????
Rihanna tersenyum-senyum. Apa
dia ingat Rihanna tak biasa masuk hutan sebelum ni? Hutan ni kan kampung
halamannya. Mentang-mentanglah Addi tu anggota tentera. Nak tunjuk lagaklah tu.
Tapi Rihanna tak mahu Addi makin pelik dengan sikapnya. Biarlah Addi sangka
Rihanna ni budak bandar yang takut pacat, lipan, ular, babi dan tenuk.
Untuk Addi, Rihanna rela
berlakon setaraf penerima Grammy Award...hahaha.
Rihanna menampar-nampar
nyamuk. Pura-pura sebenarnya. Mana ada nyamuk, pacat, lipan, babi, tenuk yang
berani gigit dia? Darahnya kan beracun. Binatang-binatang tu pun tau. Bau aje
dia, mereka dah lari seratus kilometer setengah.
"Manja betullah kau ni.
Nyamuk pun tak tahan." Tiba-tiba Addi datang dan terus sapu losyen nyamuk
kat lengan Rihanna. "Tak ada pun kesan gigit?" Wajah Addi berkerut.
"Belum kena gigit lagi.
Baru hinggap," Rihanna buat dalih. Kena cover line betul-betul. Nanti Addi lagi syak wasangka kat dia. Mata
Addi memang amat tajam memerhati. Dia kan anggota tentera. Berapa kali mau
cakap daaa....
"Kita nak khemah kat mana
ni?" Rihanna alih topik perbualan. Buat-buat muka risau macam tak pernah
masuk hutan rimba Royal Belum. Kalaulah Addi tahu di situ terletak kampung
halaman asal usul kejadiannya.....
"Sini." Addi
mencampakkan khemah ke atas tanah. "Tau pasang khemah?"
Rihanna geleng. Dia mana
pernah tidur dalam khemah. Selalunya dia tidur di atas pokok. Tidur sama-sama
dengan sepupu sepapat Wan Empuk dan Wan Malini. Sejak masuk ke hutan itu,
Rihanna masih belum rasa lagi aura suku sakat kedua-dua beradik tu. Mungkin
malam kot baru mereka tunjuk muka.
"Sini aku ajar!"
Addi menarik tangan Rihanna hingga menyebabkan Rihanna hampir-hampir nak
tersembam ke tanah. Kasar betul si Addi ni. Macam nak lepas marah aje. Tak
macam dua insan bercinta betul.
Rihanna hanya ikut saja apa
yang Addi suruh. Memang dia betul-betul canggung. Tak pernah seumur hidupnya
dia pasang khemah.
Siap saja khemah bentuk bulat
tu, Addi pasang buaian yang diikat pada pokok.
"Kenapa aku tak boleh
tidur kat situ?" tanya Rihanna sambil tunjuk pada hammock yang dah siap.
"Kau berani ke? Nanti
nampak yang bukan-bukan, histeria pulak." Addi seolah-olah mencabar.
Rihanna pura-pura tunduk
tengok kasut sambil sembunyikan senyum. Kalaulah Addi tau siapa dirinya...tentu
dia tak berani nak sindir-sindir macam tu.
"Nampak macam best." Rihanna buat-buat muka comel.
Addi tersenyum lagi sinis.
"Malam nanti kita try nak? Tidur
sama-sama kat sini."
Wajah Rihanna terus berubah
merah. Tak guna punya Addi!
Addi ketawa melihat wajah
Rihanna yang berubah merah kerana diusik begitu. Barulah sejuk hatinya sebab
melihat Rihanna macam gadis normal. Mungkin dia silap kot. Rihanna memang gadis
normal. Cuma dia pelik sikit. Sebab itulah Addi bawa Rihanna masuk hutan.
Sebenarnya dia nak menduga. Betul atau tak anggapannya selama ini. Tak mengapa. Ada seminggu lagi masa mereka di
hutan tu. Addi akan cuba uji Rihanna secukup-cukupnya sehingga dia puas hati
yang Rihanna hanyalah gadis biasa. Bukan gadis pelik yang luar biasa.
"Aku nak mandi
dulu." Rihanna mencapai tuala dan selamba berjalan ke sungai. Hari semakin
gelap.
Addi terus memerhati dengan
curiga. Pelik. Berani pulak dia jalan sorang-sorang. Tadi masa mula masuk
hutan, terjerit-jerit sebab nampak cacing aje.
Langkah Rihanna terhenti.
Alamak!!!! Dia sepatutnya berlakon. Bukan buat hutan tu macam rumah sendiri
walaupun memang rumahnya.
Rihanna terus menarik nafas
dalam-dalam sebelum menjerit sekuat-kuat hati bagaikan tersampuk setan.
"Kenapa?" Addi
berada di sisinya tak sampai 10 saat.
"Tu!!!" Rihanna
menuding seekor ulat gonggok gergasi yang sedang merayap di atas batu. Dia
terus berpaling dan terpeluk Addi. Mulanya Rihanna mahu melepaskan pelukannya.
Tetapi bila fikir kalau buat macam tu lagi real
sebab dia takutkan gonggok. Kan?
Addi terpaksa menahan gelak.
"Dia tak usik oranglah." Addi mengusap belakang tubuh Rihanna
perlahan-lahan. Konon-konon hendak memujuk gadis itu.
"Tolong alihkan, boleh
tak? Geli." Tika itu Rihanna mahu melepaskan tubuh Addi. Tapi bila dia
ternampak Darius sedang berdiri di atas dahan pokok tinggi di belakang Addi,
terus tindakan Rihanna terhenti.
Tak guna punya Darius. Aku dah
suruh dia jangan ikut. Rihanna menyumpah di dalam hati.
"Macam mana aku nak
alihkan kalau kau tak lepaskan aku?" Selamba Addi menegur.
Muka Rihanna terus merah padam.
Dia mana pernah peluk Addi macam tu. Gila betul tindakannya. Dah macam laki
bini pulak. Tapi disebabkan Darius, dia terpaksa memalukan diri. Kalau Addi
pusing ke belakang, memang dia akan nampak Darius dengan jelas. Macam sengaja
pula si hantu tu nak tunjuk dirinya kepada Addi.
"Tak apa. Biarkan ulat
tu. Boleh kau temankan aku mandi?" Rihanna buat-buat tebalkan muka. Tapi
tuhan saja tahu betapa malunya dia bila kata begitu.
Addi memandang wajah Rihanna.
Dalam keadaan suram itu, dia tak dapat melihat dengan jelas riak wajah gadis
itu.
"What?"
Bagai tak percaya saja Addi mendengar permintaan Rihanna. Sengaja benar Rihanna
mahu menguji pendiriannya.
"Aku takutlah. Dah malam
ni. Lagipun gelap. Kau bukannya boleh nampak apa-apa pun." Rihanna
menundukkan wajah. Giginya diketap. Rasa nak baling aje kepala Darius dengan
batu sungai yang besar tu. Disebabkan dia, Rihanna terpaksa buat macam tu.
"Jom!" Dia terus tarik tangan Addi ke arah yang bertentangan.
"Rihanna....kau buat apa dengan lelaki tu?"
Tiba-tiba suara Darius bergema
di kepala Rihanna. Tika itu dia dah pun masuk ke dalam sungai tanpa
menanggalkan pakaian. Tangan Addi masih belum dilepaskannya.
"Kenapa kau datang sini, hantu?"
"Aku tak percayakan manusia tu. Dia nak apa daripada kau?"
"Dia nak aku. Salah ke?" Sengaja Rihanna mahu buat Darius marah. Biar
padan mukanya.
"Kau milik aku, Rihanna. Selama-lamanya. Tak mungkin kau bersama
dia!"
Waaaahhh...Darius dah marah. Suka betul Rihanna menyakat lelaki itu.
"Di dunia kau, ya, memang benar aku milik kau. Tapi di dunia Addi, aku
miliknya! Dah...pergi blah. Jangan ganggu aku. Kalau tak...."
"Kalau tak....apa kau nak buat?"
"Kalau kau tak blah dari sini, aku akan biarkan Addi buat apa yang dia
mahu pada aku."
Rihanna mencabar. Dia masih lagi memandang ke arah Darius. Mujur Addi sentiasa
membelakangi Darius.
"Kau....."
Darius terus lenyap dari pandangan.
Rihanna mengeluh lega. Tak
tahu berapa lama dia boleh bertahan berlakon gedik di hadapan Addi. Addi
mungkin salah faham sekarang. Addi mungkin anggap Rihanna gadis liar yang boleh
buat apa saja.
Perlahan-lahan Rihanna
melepaskan tangan Addi dan berjalan keluar dari sungai. Addi pelik melihat
sikap Rihanna yang tiba-tiba dingin.
"Kata nak mandi?"
"Sejuklah. Jom balik ke
khemah." Rihanna menyelubungkan tubuhnya dengan tuala besar. Mujur hari
dah gelap. Kalau tak, tentu Addi boleh lihat tubuhnya yang di sebalik t-shirt
yang jarang itu.
Addi memandang Rihanna dengan
pelik. Tadi Rihanna begitu manja. Tiba-tiba saja dia berubah dingin. Memang
pelik betul gadis ini. Saja suka main-main kut.
Bab 7
ADDI berjalan di samping
Rihanna kembali ke khemah. Dia masih terkejut sebenarnya dengan tindakan
Rihanna yang begitu berani memeluknya begitu. Selama ni pegang tangan pun
Rihanna tak pernah izinkan. Apatah lagi berpeluk macam tadi. Menakutkan sangat
ke hutan ni?
Jantung Rihanna berdegup kuat.
Kejadian di sungai tadi masih terbayang. Berani betul dia buat macam tu pada
Addi. Dah macam sengaja menggoda pulak. Tentu Addi dah salah faham. Tinggal
mereka berdua aje di situ. Macam-macam perkara tak elok boleh berlaku.
Tanpa pandang ke belakang, Rihanna terus masuk ke dalam
khemah. Lampu suluh besar berbentuk lantern dinyalakan. Dia terus menukar
pakaiannya yang basah.
Addi menyidai t shirt hijau
gelapnya di atas batu. Kemudian seluar celorengnya juga ditanggalkan dan
dijemur. Dia hanya berseluar pendek. Addi berpaling ke belakang untuk mengambil
pakaian kering.
Langkah kakinya mati melihat
khemah Rihanna terang dari dalam. Walaupun dia hanya lihat bayang-bayang
Rihanna, dia tahu apa yang sedang gadis itu sedang buat. Bodoh betul! Kenapa
dia ni blur sangat? Addi mengetap
gigi. Tanpa memikirkan apa-apa, dia terus meluru nasuk ke khemah Rihanna.
“Addi!!!!” Rihanna terpekik.
Suasana malam yang sunyi dicemari dengan suara jeritan dan rayuan Rihanna.
ADDI termenung panjang. Bodoh
betul! Entah kenapa dia boleh hilang pertimbangan sampai macam tu sekali.
Sekarang segala-galanya dah terlambat. Nak menyesal pun tak akan kembalikan
apa-apa. Semuanya dah berlaku dengan begitu pantas.
Addi menoleh ke belakang, ke
arah khemah. Rihanna masih belum bangun agaknya. Atau dia memang tak nak bangun
lepas kejadian tu. Mungkin Rihanna tengah menangis dan tengah fikir bagaimana
nak bunuh dia.
Baru saja Addi hendak bangun
melihat Rihanna, gadis itu sendiri keluar dari khemah. Wajahnya ditundukkan ke
tanah. Di tangannya ada tuala mandi. Semakin bersalah Addi rasa. Perlahan-lahan
Rihanna dihampiri dengan penuh berjaga-jaga. Takut-takut Rihanna tikam dia
dengan pisau komando. Barulah nanti senjata makan tuan.
“Hanna...” Lembut gemersik
Addi memanggil. Teragak-agak dia hendak menyentuh wajah Rihanna. Tapi Addi tahu
yang dia harus bertanggungjawab ke atas Rihanna. Dia anak jantan. Dah buat
beranilah tanggung.
“Tak guna kau jantan puaka!”
Kan Addi dah kata. Mujur dia sempat mengelak. Tujahan pisau komando Wild Tiger
tu nyaris nak tertusuk ke perutnya.
“Hanna!” Suara Addi lantang.
Pisau dilibas sesuka hati. Kalau tak kena gaya, mungkin boleh mencederakan diri
Rihanna sendiri.
Tapi Addi lebih pantas
menumpaskan amukan rambang Rihanna. Dengan mudah pisau di tangan Rihanna
dijatuhkan ke tanah. Tubuh di Rihanna dipeluk dari belakang dengan kuat.
“Hanna! Maafkan aku! Maafkan
aku!” Addi berbisik berkali-kali ke telinga Rihanna untuk mententeramkan
perasaan gadis yang sedang marah itu.
Rihanna terlupa diri.
Disebabkan marah, dia bertindak cuai. Mujur kebolehan dirinya yang sebenar tak
ditonjolkan tadi. Dia terlalu mengikut perasaan. Sebab tu naluri manusianya
yang bertindak. Nasib baik! Kalau tak, habis rahsianya terbongkar!
Rihanna membiarkan Addi
mengambil alih dirinya. Sendi-sendinya dibiarkan lemah. Dia tak akan melawan
lagi. Perlahan-lahan Rihanna duduk di atas tanah. Addi masih lagi memeluk erat
tubuhnya dari belakang. Apa yang akan berlaku sekarang? Dia dengan Addi?
Bagaimana penghabisannya? Mereka dah melakukan perbuatan terlarang. Seseorang
harus bertanggungjawab.
“Aku...aku cuma nak padamkan
lampu. Tak ada niat apa-apa pun. Tapi...” Ayat Addi tergantung. Memang itu
niatnya semalam. Tiada langsung niatnya hendak mengapa-apakan Rihanna.
“Hanna...” Addi memusingkan
tubuh Rihanna supaya mengadapnya. Dagu gadis itu ditolak ke atas supaya mereka
dapat bertentang mata.
“Hanna...”
Ish...kenapa pula Addi panggil
dia ‘Hanna’? Dah macam terlebih mesra pulak.
“Aku akan bertanggungjawab!”
Addi berjanji. “Tak jauh dari sini...lebih kurang setengah hari berjalan kaki,
ada satu perkampungan orang asli. Aku kenal tok batin tu. Aku akan minta dia
nikahkan kita!”
Bulat mata Rihanna memandang
Addi. Nikah??????
ADDI nak nikah dengan Rihanna?
Macam tak percaya aje. Tapi
kalau dia tak percaya kenapa dia boleh ikut Addi menuju ke perkampungan orang
asli tu untuk mencari Tok Kudus?
Addi nak nikah dengan Rihanna?
Dah berapa kali dia tanya
soalan tu. Boleh ke dia kahwin dengan Addi? Bukankah dia lain...dia
supernatural. Rihanna bukan macam Darius; bukan macam Ryuu; bukan macam Addi.
Dia....
“Hanna nak berhenti rehat ke?”
Suara Addi memecah lamunan panjang Rihanna yang dah sampai ke planet Kejora.
Rihanna menggeleng kepala.
Mereka dah sampai mana ni? Jauh sangat mengelamun sampai di mana kaki dipijak
pun dia dah tak tau.
“Bibir Hanna dah kering tu.
Minum sikit.” Addi menyuakan botol minuman ke bibir Rihanna.
Rihanna yang masih blur hanya ikut telan air yang disuakan.
Bibirnya kering? Apsal dia tak rasa pun?
Renungan simpati Addi menimpa
wajah Rihanna. Dia rasa amat bersalah kerana meletakkan Rihanna dalam keadaan
itu. Sungguh demi Tuhan dia tiada niat
hendak menodai kesucian Rihanna. Tapi apa boleh buat. Nasi dah jadi kanji.
Sebagai lelaki dia harus bertanggungjawab apatah lagi Rihanna anak yatim piatu.
Sesungguhnya Addi telah menganiaya gadis malang itu.
“Jauh lagi ke?” Rihanna
mendongak memandang langit yang condong ke barat.
“Setengah jam lagi.” Addi
menyimpan botol minuman. Beg jenama Condor digalasnya kembali. Mereka hanya
bawa satu beg saja. Jadi Rihanna memang jalan berlenggang di sepanjang perjalanan.
Botol air pun bukan dia yang bawa.
Addi memang nampak gagah
perkasa bawa beg berat rentas hutan. Jiwa wanita Rihanna sedikit tercuit. Apa
salahnya dia bernikah dengan Addi? Dia pun memang menyayangi Addi. Tapi
keputusan ni memang terlalu cepat tak diduga. Rihanna masih belum pasti sama
ada dia membuat pilihan yang tepat. Ada banyak perkara yang perlu difikirkan
sebenarnya. Dia bukan gadis normal. Bagaimana dia hendak hidup di samping Addi
sebagai isterinya? Mahukah keluarga Addi terima dirinya?
Lamunan Rihanna terhenti bila
mereka tiba di perkampungan yang dituju. Beberapa orang kanak-kanak orang asli
yang sedang bermain di halaman, berhenti untuk melihat mereka. Kelihatan Addi
mengusap kepala mereka. Nampaknya Addi kenal mereka rapat.
“Abang...siapa kakak ni.
Cantiklah dia. Macam puteri.” Seorang kanak-kanak perempuan menegur Addi.
“Betul ke dia cantik macam
puteri?” Addi menjeling Rihanna yang berjalan lambat-lambat di belakangnya.
Muka Rihanna nampak macam cuak.
Budak perempuan itu angguk
kepala sambil tersenyum-senyum memandang Rihanna.
Senyuman Rihanna kaku semacam.
Macam dah suntik botox berjarum-jarum. Dia sebenarnya tak biasa dengan keadaan
tu. Rihanna tak pernah di kelilingi oleh ramai kanak-kanak macam ni.
“Abang nak pergi mana ni?”
Sepanjang jalan budak-budak kampung itu terus mengiringi mereka hingga menarik
perhatian orang-orang dewasa. Makin tak selesa Rihanna rasakan. Dan yang pelik,
dia tak pernah tahu pun ada perkampungan manusia di kawasan ini. Mereka ni benar-benar manusia atau....Rihanna
tak mahu membuka hijab matanya. Takut nanti nampak yang bukan-bukan pula.
Walau siapa pun mereka ini,
Rihanna tak boleh lalai. Pelindung dirinya akan sentiasa dipasang. Mereka tak
boleh tahu siapa dia sebenarnya.
“Tok ada kat rumah?” Rajin
benar Addi melayan soalan tanpa henti yang ditanyakan oleh budak-budak tu. Tak
tahu penat ke budak-budak ni bercakap?
“Ada. Tu dia....”
Rihanna memandang arah yang
ditunjukkan.
Atok????
Bab 8
RIHANNA termenung
memandang bulan. Petang tadi dah selamat jadi isteri Addi. ISTERI ADDI. Macam
tak percaya saja. Dulu dia bertegas menolak lamaran Addi. Bukan sekali dua Addi
datang nak mengajak dia kahwin....dah hampir sepuluh kali. Semuanya Rihanna
tolak mentah-mentah.
Tapi hanya disebabkan perkara
tu, dia terus sah menjadi isteri Addi. Apakah maknanya? Selama ini dia tak
pernah merancang pun untuk sampai ke tahap ni. Dia hanya mahu bercinta saja.
Dengan siapa dia kahwin, itu perkara yang telalu jauh untuk difikirkan. Masih
banyak halangan yang ada di hadapannya. Tapi hari ini....lain pula jadinya.
Bagaimana dia hendak menghadapi semua halangan tanpa melibatkan Addi?
Addi menolak pintu bilik
perlahan-lahan. Untuk malam itu, mereka menumpang tidur di rumah Tok Kudus.
Esok pagi-pagi mereka akan kembali ke KL. Pengembaraan hutan yang baru bermula semalam,
terpaksa dipendekkan.
Addi bersandar pada pintu
sambil memandang Rihanna yang membelakanginya. Rihanna nampak ayu berbaju
kurung yang dipinjamkan oleh isteri Tok Kudus. Addi tak pernah lihat Rihanna
berbaju kurung. Selalunya Rihanna lebih selesa memakai sut pejabat di siang
hari dan berpakaian ala tomboy pada malam hari. Dua personaliti Rihanna yang
bagai langit dan bumi. Siang dia jadi ahli korporat yang jelitawan dan nampak
profesional. Malam dia jadi gadis tomboy macam budak penghantar pizza.
Dia kini personaliti Rihanna
berubah lagi. Gadis ayu itu dah menjadi isteri...isterinya!
Addi menghampiri Rihanna yang
asyik merenung bulan. Cahaya bulan penuh terang-benderang macam siang.
“Abang harap Hanna dah maafkan
abang sebab buat Hanna jadi begini.” Pinggang Rihanna Addi paut kemas dari
belakang.
Abang? Lekas-lekas Rihanna
berpaling mengadap Addi. Dia rasa janggal apabila Addi membahasakan dirinya
sebagai ‘abang’. Rasa macam...lain. Rasa macam ada orang sayang dan benar-benar
ambil berat tentang Rihanna. Macam mimpi.
Rihanna merenung ke dalam mata
Addi mencari keikhlasan di sebalik kata-katanya. Rihanna boleh aje kalau dia
mahu membaca fikiran Addi. Tetapi dia tak mahu kerana untuk buat macam tu, dia
kena turunkan hijab sebab Addi manusia. Kalau Darius, dia tak perlu turunkan
hijab. Lagipun baca fikiran tak sama maksudnya dengan kata hati.
“Ka...” Rihanna tersasul.
Patutkah dia panggil Addi ‘abang’ juga? “Ab...abang tak menyesal kahwin dengan
akk...Hanna?” Tersasul lagi.
“Buat apa nak menyesal? Abang
memang dah lama nak kahwin dengan Hanna. Cuma Hanna aje jual mahal.” Addi
mengusap rambut Rihanna yang panjang lurus sampai pinggang.
“Tak apa ke kahwin macam ni?”
“Buat apa nak kisah? Yang
penting kita kahwin secara sah. Dah lewat ni. Esok pagi-pagi kita nak keluar
dari sini. Jauh perjalanannya.”
Addi menutup tingkap di
belakang Rihanna. Kini bilik itu samar-samar diterangi lampu dari luar. Memang
sengaja tadi Rihanna tak memasang lampu minyak tanah. Cahaya bulan dari luar
cukup terang masuk ke bilik itu.
“RIHANNA!”
Mata Rihanna terbuka. Dia tak
tau waktu dah pukul berapa. Rihanna menoleh ke sisinya. Addi tidur begitu
nyenyak sekali. Perlahan-lahan tangan Addi yang sedang memeluk tubuhnya
dialihkan dengan penuh cermat. Orang kata anggota tentera tidur dengan mata
sebelah terbuka. Lalu Rihanna mendekatkan wajahnya kepada Addi untuk memastikan
yang Addi benar-benar dah lena.
Memang dia tidur mati. Rihanna
turun dari katil dan mengambil pakaiannya dari dalam beg. Siap berpakaian, daun
tingkap dibuka sebelah. Dengan mudah dan senyap, Rihanna keluar dari tingkap
dan terjun ke laman. Sesudah mengambil kasut, dia berlari pantas masuk ke dalam
hutan tanpa dilihat sesiapa.
Panglima Awang dah menunggunya
di pinggir kampung. Haiwan berbelang putih itu ke hulu ke hilir mengukur tanah.
Bagai resah menanti. Rihanna segera menghampiri harimau besar itu.
“Maaf...lambat. Lama kau
tunggu?” Rihanna menepuk dan mengusap kepala Panglima Awang bagaikan mengusap
kepala kucing siam!
Lantas Rihanna terus
menunggang naik ke belakang tubuh Panglima Awang. Harimau belang itu terus
berlari merentas hutan membawa Rihanna jauh ke dalam hutan belantara yang lebih
tebal.
Perjalanan mereka terhenti di
kaki bukit. Panglima Awang mengaum perlahan sambil mendongak ke bukit.
“Tunggu aku tau. Jangan jadi
Dodi si pengkhianat tu,” pesan Rihanna sebelum berlari-lari anak memanjat
bukit.
Darius sedang mendongak
memandang bulan tatkala Rihanna tiba di belakangnya. Segera dia berpaling
apabila menyedari gadis itu telah tiba.
Rihanna pandang Darius. Darius
pandang Rihanna. Agak lama juga mereka saling berlawan pandang. Macam-macam
perkara bermain di fikiran masing-masing. Darius mendekati Rihanna.
“Kau bau dia!” Itu perkara
pertama yang diucapkan oleh Darius.
Wajah Rihanna merah bernyala.
Mujur gelap. “Apa kau nak?” Suara Rihanna keras menyembunyikan rasa malu kerana
ditegur begitu. Kurang asam punya hantu!
“Kau khianati aku!” Suara
Darius begitu dingin dan kasar.
“Aku tak khianati sesiapa. Kau
jangan lupa yang aku ada pilihan di dunia Addi. Cuma kalau melibatkan kau
dengan Ryuu...aku memang kena buat pilihan.”
“Ryuu dah tau pasal kau dengan
manusia tu?” Suara Darius mengendur. Dia memang tak sepatutnya memarahi
Rihanna. Addi ialah pilihan Rihanna di dunia manusia.
“Mungkin dah.” Terus Rihanna
teringatkan Atok.
“Kau bahagia bersama dia?”
“Bahagia boleh dicipta.”
Rihanna berpeluk tubuh. Dia tak mahu terpengaruh dengan bisikan negatif Darius
yang pasti mahu melihat dia sengsara hidup bersama manusia bernama Addi.
“Aku akan sentiasa ada di
samping aku. Bila-bila masa yang kau perlu. Hanya sebut nama aku.”
“Walaupun di siang hari?”
Rihanna sengaja mengusik.
Wajah Darius nampak tegang.
“Kalau terpaksa...aku rela terbakar kerana kau!”
“Jangan buat kerja bodoh!”
Baru Rihanna perasaan. Matahari sedang mula timbul di ufuk timur. Berada di
kawasan tinggi bermakna mereka akan terkena sinar matahari dulu!
“Darius!” Rihanna melaung.
Gelombang matahari pagi mula
menyinar menyapa alam.
Sebelah tubuh Darius berasap
perlahan-lahan.
“Jangan jadi bodoh, boleh
tak?” Rihanna terus menarik tangan Darius dan membawa lelaki itu turun ke bawah
bukit, ke kawasan gelap secepat mungkin.
“Kenapa kau buat macam ni?”
tengking Rihanna sakit hati. Sebelah wajah Darius melecur kemerah-merahan.
Begitu juga dengan belakang tangannya.
“Kewujudan aku dah tak perlu
lagi.” Nada suara Darius perlahan. Lecur di wajahnya bagai tak terasa.
“Jangan buat aku benci kau
terus!” Rihanna memberi arahan. Tak suka betul dia lihat Darius macam patah
semangat seperti itu.
“Jadi aku boleh jumpa kau
bila-bila?” Soalan Darius macam budak-budak.
“Tentulah boleh. Jangan macam
budak-budak boleh tak? Kau sebenarnya tak perlu pun tanya soalan bodoh macam
tu. Kalau tak suruh pun, kau akan datang. Kalau aku larang, lagi kau nak
datang, kan?”
Sedikit senyuman lemah terukir
di bibir Darius.
“Pergilah. Muka kau dah macam
hantu. Aku pun nak kena balik ke sana. Nanti orang tua tu cakap entah apa-apa
pula.” Rihanna berpaling menghampiri Panglima Awang yang setia menanti.
“Dia tak komen apa-apa pasal
hal ni?” tanya Darius.
Rihanna tersenyum mengejek.
“Dia buat-buat tak kenal aku. Biarlah. Lagi bagus macam tu. Bukankah dia juga
yang ‘buang’ aku dulu ke dunia Addi?” Rihanna naik di atas belakang Panglima
Awang. “Dia tak perlu campur urusan aku lagi lepas ni.”
Harimau putih terus meredah
hutan belantara kembali ke perkampungan orang asli tadi.
Bab 9
SEBAGAIMANA perlahan Rihanna
menyelinap keluar tadi, begitu juga perlahan dia masuk ke dalam rumah melalui
tingkap. Mujur Addi tidur lagi. Keadaan di kampung itu juga masih gelap. Cuma
di puncak gunung saja sinar matahari boleh dilihat.
Rihanna mencapai tuala mandi
dan sehelai kain batik yang dipinjamkan oleh isteri Tok Kudus. Segera dia
menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Pakaiannya yang dipakai tadi dah
bau harimau...hahahaha.
Sewaktu Rihanna hendak pulang
ke bilik, dia terserempak dengan isteri Tok Kudus. Tersipu-sipu dia sebab
rambutnya yang panjang itu nampak basah. Sebabkan nak tutup bahagian bahunya
yang terdedah, Rihanna tak dapat menyanggul rambut dengan tuala.
Rihanna segera masuk ke dalam
bilik. Takut terserempak dengan seorang lagi penghuni rumah itu. Dia terkejut
bukan kepalang apabila terlihat Addi sedang berdiri di tepi tingkap yang
terbuka sambil merenung tajam ke arahnya. Addi tahu ke yang dia keluar
sembunyi-sembunyi tadi berjumpa ‘Daud’?
“Ab...abang dah bangun?”
Tergagap-gapap Rihanna menegur. Dia yang hanya berkemban itu teragak-agak mahu
mendekati Addi yang berdiri dekat dengan beg pakaian. Entah kenapa, renungan
Addi begitu menakutkan Rihanna.
Seolah-olah Addi sedang
berhadapan dengan musuh.
Tiba-tiba Addi meluru ke arah
Rihanna dan menolak kasar gadis itu ke atas katil.
“Hanna milik abang seorang!
Tahu tak!” herdik Addi perlahan tetapi cukup tegas di telinga Rihanna.
Rihanna jadi takut. Tak pernah dia lihat wajah
Addi segarang dan sebengis ini. Ini wajah seorang pembunuh. Malah lebih sadis
lagi daripada wajah Darius.
“Abang....” Rihanna cuba
merayu. Dia tahu Addi tengah marah dan fikirannya sedang dikuasai kemarahan.
Namun dia tak boleh buat apa-apa. Lagi dia melawan, lagi kasar perbuatan Addi.
Lalu dia biarkan....
DAH hampir beratus kali kot
Addi memohon maaf daripadanya sejak mereka keluar dari perkampungan orang asli
itu. Dia amat menyesal kerana mengasari Rihanna yang baru dua hari jadi
isterinya.
Addi jadi cemburu tak tentu
hala sebab Rihanna keluar sembunyi-sembunyi di tengah malam. Apa yang dibuatnya
di dalam hutan tu? Siapa yang ditemuinya? Addi terdengar Rihanna sedang
berbual-bual dengan seseorang sebelum tiba-tiba saja jejaknya hilang. Dia
menunggu Rihanna pulang dengan hati yang tak senang. Rihanna pulang sewaktu subuh
menjelma. Ke mana dia pergi? Tak dapat nak kawal perasaannya, Addi bersikap
kasar. Kasihan Rihanna.
Tangan Rihanna dikucupnya
berkali-kali tanda dia menyesali perbuatan kasarnya itu. Wajah Rihanna
dibelainya lembut. Mujur Rihanna tak apa-apa. Malah Rihanna tak marah pun. Cuma
Addi saja rasa bersalah terlebih sukatan.
Di dalam kereta, sepanjang
perjalanan pulang, Rihanna lebih banyak tidur. Tubuhnya rasa keletihan. Malah
lebih penat daripada sebelum-sebelum ini. Menjalankan misi bersama Darius pun
tak penat macam ni. Addi benar-benar menguji kekuatan tenaganya.
Mereka berhenti rehat untuk
makan di sebuah hentian. Addi mengejutkan Rihanna. Apabila Rihanna enggan
bangun, Addi sendirian keluar membungkus makanan dan minuman. Sekali lagi dia
cuba mengejutkan Rihanna. Namun gadis itu seperti pengsan pula tak mahu
bangun-bangun. Addi menjadi risau. Apatah lagi melihat bibir Rihanna kering dan
merekah.
Lalu dia meneguk air. Kemudian
wajahnya didekatkan kepada Rihanna. Dia
membuka mulut Rihanna perlahan-lahan sebelum memasukkan air ke dalam mulut
gadis itu melalui mulutnya sendiri. Dah macam bantuan cemas pulak.
Rihanna terus terjaga dan dia
hampir tersedak sebab terkejut. Addi buat apa ni?
Addi menyapu lebihan air yang
meleleh di dagunya. Dia berasa lega melihat Rihanna bangun. Menjadi juga
akalnya itu.
“Minum air.” Addi menghulurkan
sebotol air mineral.
Rihanna menggeleng dan
membetulkan duduknya. Keletihan di tubuhnya masih bersisa. Sebenarnya dia rasa
lesu.
“Nak abang suap macam tadi?”
Addi mengagah.
Lekas-lekas Rihanna mengeleng
dan mencapai botol yang dihulurkan. Baru dia sedar apa yang baru berlaku tadi.
Addi beri dia minum melalui mulutnya sendiri. Romantik ke tu? Perlahan-lahan
kulit wajah Rihanna jadi merah. Romantik terlebih sukatan!
“Hanna, mari makan.” Addi
menghulurkan bekas makanan polisterin kepada Rihanna.
Sekali lagi Rihanna
menggeleng.
“Abang suapkan, ya?” Sekali
lagi Addi memujuk.
Kali ini Rihanna menggeleng
kepala lagi laju. Cepat saja dia menyambut bekas makanan yang disuakan Addi.
Rihanna terus makan walaupun
dia tak berselera. Nasi yang ditelan dirasakan seperti butiran pasir pula. Baru
sesuap, dia dah berhenti makan dan terus termenung. Makin risau Addi melihat
perilaku isterinya. Mungkin tubuh Rihanna tak cedera sewaktu dia dikasari.
Tetapi perasaan dan jiwa gadis itu bercalar-balar kerana dikasari dua kali;
sekali oleh seorang lelaki; dan sekali oleh seorang suami!
“Hanna sayang. Abang
benar-benar menyesal buat Hanna macam tu. Abang takut kehilangan Hanna hingga
buat abang hilang pertimbangan akal waras.” Addi menghadapkan tubuh Rihanna
kepadanya. “Abang tak tau bagaimana nak minta maaf lagi. Kalau Hanna mahu abang
melutut, abang akan buat.”
Rihanna merenung wajah Addi
yang benar-benar bersungguh memujuknya. Kasihan Addi. Dia tentu rasa bersalah
atas perbuatannya. Sebenarnya Rihanna tak rasa apa-apa pun. Kebetulan dia cuma
penat. Banyak sangat perkara berlaku dalam hidupnya sejak seminggu yang lalu.
“Hanna maafkan abang,” ucap
Rihanna lalu mencium sekejap bibir lelaki itu. Kalau kemaafan yang Addi mahu,
dia dah berikan. Moga Addi puas hati dan pulih daripada rasa bersalahnya.
Addi terpegun seketika dengan
perbuatan Rihanna. Selama ni Rihanna malu-malu kepadanya. Tapi sekarang dah
berani mencium bibirnya pula. Ish...apa lagi yang kau nak Addi? Rihanna dah tak
marah tu, cukuplah. Jangan minta yang lebih-lebih pula. Nanti bukan kena cium,
dapat penampar juga kang sebab buat permintaan bukan-bukan.
Addi kembali meneruskan
pemanduannya. Hatinya berbunga-bunga bahagia. Gadis idaman hati dah menjadi
milik mutlaknya seorang dan dia akan pastikan Rihanna HANYA menjadi miliknya.
Dia rela berhadapan dengan ‘Daud’ walau siapa pun lelaki itu sebenarnya.
Untuk baca sambungan boleh dapatkan Novel ini di kedai buku berdekatan atau, beli secara online di website kami Idea Kreatif Publication.
No comments:
Post a Comment