Friday 3 January 2014

Pujuk Hati Dia : Prolong, Bab 1 & 2



 PROLOG

SEBAIK sahaja Ain duduk di dalam keretanya sehinggalah sekarang, patah-patah ayat yang keluar dari bibir kecil Ain boleh dibilang dengan jari. Ain kembali ke gaya robotnya. Ia benar-benar mendera hati dan jiwa Tengku Ritzlan.
Dia membawa gadis itu ke Secret Recipe di Queensbay Mall setelah  tempat lepak yang kerap dikunjungi dengan teman-teman di Kenari gelap gelita. Rancangannya bolehlah dia lebih mengenali gadis itu dengan lebih rapat, namun Ain terus ‘merobotkan’ dirinya.
“Macam mana?” soal Tengku Ritzlan sambil menyuap Grilled Balck Pepper Chicken ke dalam mulutnya.
“Okey,” jawab Ain sepatah. Namun dia tidak pasti apa sebenarnya yang disoal oleh Tengku Ritzlan. Mungkin Noodle Tom Yam Soup yang sedang dinikmatinya.
Tengku Ritzlan memandang Ain yang tunduk menjamu seleranya. Okey aje? Soal Tengku Ritzlan sendiri. Letih sungguh bercakap dengan robot ni, keluhnya. Dari tadi dia asyik mendengar perkataan yang kerap keluar dari mulut Ain, iaitu ‘okey’.
“Sedap Noodle Tom Yam Soup, tu?” soalnya ingin mendengar apa yang dijawab oleh Ain.
“Sedap,” jawab Ain sepatah lalu mengesat mulutnya dengan tisu.
Bibirnya mengulum senyuman dengan gelengan. “Terima kasih,” ucapnya sepatah.
“Untuk apa?” soal Ain mengangkat mukanya memandang ke wajah lelaki kacak di hadapannya. Entah mengapa dadanya bergetar tidak menentu sejak masuk ke dalam kereta lelaki itu tadi.
“Birthday Lyna,” balas Tengku Ritzlan.
“Saya gembira tengok dia gembira,” ucap Ain dengan sengihnya.
Sekali lagi Tengku Ritzlan senyum.
“Saya pun gembira. Awak tak gembira ke saya gembira?” usik Tengku Ritzlan.
Bulat mata Ain menatap wajah lelaki yang sedang menikmati Grilled Black  Pepper Chickennya. Dia berdeham, menahan rasa hati yang tidak menentu. Terasa menyesal dia tidak memaksa Sara mengikutnya sama.
“Hujung tahun ni saya punya birthday. Awak jadi birthday planner saya ya.” Sengaja dia hendak menduga Ain.
“Saya nak buat macam birthday Lyna. Ada belon-belon, semua orang pakai topi, boleh?”
Pecah tawa Ain mendengar permintaan Tengku Ritzlan. Betul ke tidak lelaki ni. Dia menutup mulutnya dengan tisu sebagai tidak dapat menahan tawanya yang semakin panjang.
Tengku Ritzlan senyum. Barulah nampak wajah ceria gadis itu. Kalau tidak, susahnya hendak melihat senyuman itu. Senyuman yang boleh buat dia terbawa dalam mimpi.
“Insya-Allah,” ucap Ain.
“Tapi saya kena charge Ku tau. Bukan FOC,” usik Ain pula.
“Wah... mana aci, Lyna awak tak charge apa-apa pun,” balasnya. Konon-konon berkecil hati dengan kata-kata Ain sebentar tadi.
“Dia tak kerja.”
Tengku Ritzlan senyum lagi. “Awak saja nak kenakan saya, ya,” guraunya.
“Ku rasa terkena ke?” balas Ain, menentang mata lelaki itu yang sedang tunak memandangnya. Saat itu, dia sudah mula terasa lain macam.
“Ya... saya memang dah terkena dengan awak.” Penuh makna tersirat, Tengku Ritzlan kenyit mata bersama senyuman menggoda. Harap-harap Ain faham dengan maksudnya.
Terkedu, Ain telan liur. Maksud disebalik kata-kata tersebut Ain tidak pasti tetapi tingkah Tengku Ritzlan boleh buat jantungnya seperti mahu terlompat keluar. Hati... janganlah sampai ‘terjatuh’.
“Err... Ku, saya nak ke ladies, sebentar.” Ain bangun dan melangkah meninggalkan Tengku Ritzlan, cuba membawa dirinya bertenang.  Ah! Itu hanya sangkaannya sahaja. Tidak ada apa-apa maksud.
Tengku Ritzlan angguk perlahan. Dia tahu Ain mahu mengelak. Tak apalah, harap-harap Ain faham maksudnya dan gadis itu akan bersedia.
 


















BAB 1

“MUNGKIN itu hanya mimpi aje. Jangan fikirkan sangat,” nasihat Fendi lembut.
Ain menghela nafasnya. Sudah berkali-kali dia bermimpi, mimpi yang sama. Tidak tahu apakah maksudnya. Yang peliknya, Aizad berada di dalam mimpinya itu tetapi tidak kelihatan. Hanya memanggil namanya beberapa kali dan menunjuk kepada sebuah rumah agam yang berdiri gagah dan berlantaikan marmar putih.
Rumah siapa? Itulah yang menjadi persoalan yang tidak terjawab sehingga kini. Pernahkah dia ke situ? Dia menggeleng-geleng sendiri. Pening kepalanya memikirkan apabila mimpi itu berulang untuk kesekian kali. Matanya beralih kepada jam yang sudah menunjuk ke angka 2.30 petang dan bermakna hampir 10 minit dia bersembang dengan Fendi.
“Hanya mimpi aje Ain. You jangan fikir semua tu. Mimpi tu kan permainan tidur,” pujuk Fendi lagi.
“Entahlah,” keluh Ain sambil memicit dahinya. “Tapi, kalau dah berkali-kali rasa macam satu tanda aje?” dia mengagak dalam tidak pasti.
 “Dah, tak baik fikir benda-benda karut macam tu.”
Ain senyap menunggu kata-kata Fendi seterusnya. Pagi tadi sudah dua kali lelaki itu menelefonnya. Dan masuk panggilan itu adalah panggilan ketiga. Fendi kini berada di Pulau Pinang atas urusan kerjanya.
You tak miss I ke? I miss you sangat-sangat tau.” Fendi seperti merengek-rengek di sebelah sana.
“Banyaklah miss you. Baru pergi semalam dah nak miss-miss pula,” ejek Ain perlahan.
You tak miss I ke?” ulang Fendi dalam nada mengusik.
“Alah, baru semalam. Esok you balik kan?” balas Ain sebagai tidak mahu menjawab soalan Fendi. Hubungan mereka sedikit tidak menentu gara-gara Datin Fariza yang tidak menyukai dirinya. Ya, dia sedar... siapalah dia. Dia cuba mengelak daripada terlalu mengharap walaupun hubungan mereka sudah berlangsung lebih tiga tahun. Selama tiga tahun itu entah berapa kali hubungan mereka putus dan sambung semula.
Fendi senyap.
“Kita kahwin, Ain.”
Kaget Ain mendengar lamaran itu. Berteguk liur ditelannya. Dadanya bagai hendak meletup sebaik mendengar perkataan ‘kahwin’ disebut oleh Fendi. Bukan dia tidak gembira, dengan usianya yang sudah menuju ke akhir 20-an perkara itulah yang diidamkan. Tetapi... ahh, terlalu banyak tetapi dalam hidupnya.
“Fendi...”
“Kita kahwin, Ain.” Sekali lagi Fendi mengulangi lamaran itu.
Ain senyap.
“Jangan fikir kan sangat tentang mama I. Apa yang penting adalah kita. Kita berdua. Hidup kita.” Perlahan suara Fendi seolah-olah merayu kepada Ain.
“Fendi,” sebutnya. Namun dia tidak tahu apa yang patut disuarakan untuk menyekat harapan lelaki itu.
“Ain...”
“I belum bersedia lagi, Fendi.”
Pantas dia memotong lanjutan kata-kata Fendi. Dia mahu lelaki itu tidak terlalu menaruh harapan terhadap perancangan masa depan mereka. Ada rasa terharu dengan lamaran itu. Dia tahu, Fendi ikhlas menerima buruk dan baiknya.
“Bukan itu alasan sebenarkan? Tetapi mama I kan?” Fendi seperti mengagak.
Ya, jawab Ain dalam senyap. Dia tidak mahu hidupnya kelak huru hara akibat sikap tidak puas hati Datin Fariza. Lebih 3 tahun mengenali Fendi dan selama itulah dia mula memahami sikap Datin Fariza. Walaupun Dato Johan atau Dato Syed Muhammad Johan merestui hubungan mereka itu bukan tiket untuknya menerima lamaran Fendi secara terburu-buru. Banyak hati dan perasaan yang harus difikirkan.
“Jangan macam tu Fendi, apa-apa pun dia mama, you.”
Dia tidak mahu kerana dia, Fendi menjadi anak kurang ajar. Jika bukan jodohnya dan Fendi, dia reda. Bila memikirkan perkara itu hatinya bagai digerit dengan belati.
“Dia tak pernah faham perasaan I, Ain.” Keras suara Fendi di sebelah sana.
“Beri I masa untuk fikir kan tentang perkara ni, ya,”  pujuk Ain.
“Jangan fikir terlalu lama, ya. I tak mahu sepanjang usia kita asyik berkawan je, Ain. I love you. You tahu kan?”
Ain mengangguk. Ada rasa terharu pada kata-kata lelaki itu. Dia juga menyayangi Fendi namun dia tidak meletakkan apa-apa harapan untuk hidup bersama lelaki itu. Diserahkan segalanya kepada Yang Maha Berkuasa. Biarlah Dia yang menentukannya.
“Insya-Allah. Tak apa, settle kan kerja tu semua. Esok balik.” Ain cuba memberi hint untuk menamatkan perbualan itu. Kerjanya terlalu banyak dan dia perlu menyiapkannya sebelum pukul 5.00 petang. Senarai gaji pekerja kontrak itu perlu dihantar ke bank di tingkat bawah. Dan sebelum itu dia perlu mendapatkan tanda tangan Dato Johan sebagai signatory.
“Okeylah, apa-apa kita bincang lepas I balik nanti. Malam nanti I call lagi,” janji Fendi.
“Ya,” jawab Ain sepatah.
“Okey, Assalammualaikum.”
“Waalaikumusalam...” pantas Ain bangun sebaik menamatkan perbualan itu. Dia belum bersolat lagi. Bagaimanalah dia boleh begitu lalai sekali? Bergegas dia meninggalkan meja kerjanya menuju ke bilik solat yang terletak di hujung bangunan itu.

DATIN FARIZA meletak sekeping cek di hadapan Ain dengan kasar. Terkejut gadis itu yang sedang menyemak senarai nama-nama pekerja kontrak yang harus dilangsaikan pembayaran gaji mereka esok. Diangkat wajahnya memandang wanita yang berdiri di hadapan mejanya.
“Datin!” Ain bangun dari duduknya. Dadanya mula berdebar-debar dengan situasi sebentar tadi. Langsung tidak sedar dengan kehadiran wanita itu di situ.
Dua orang staf Ain yang sedang sibuk melakukan tugasan mereka terkejut sebaik melihat kedatangan Datin Fariza, isteri kepada Dato Johan, Pengarah Urusan Akhabar Engineering.
“Ambil duit ni, jangan jumpa Fendi lagi!” herdik Datin Fariza yang sedang  bercekak pinggang memandang Ain yang berdiri di hadapannya dengan dihalangi oleh meja kerja gadis itu yang agak berselerak.
Ain meneguk liurnya. Apakah Fendi sudah menyuarakan lamaran tadi kepada mamanya? Ya Allah, mengapa begitu pantas sekali disuarakan perkara itu, gumamnya sendiri.
“Kau tak faham ke? Fendi tu dah bertunang. Dah bertunang. Apa jenis perempuan yang tak tahu malu mengganggu tunang orang, haa!” bergema suara wanita itu di jabatan yang agak terhad ruangnya.
Ternganga Ain mendengarnya dengan mata terkelip-kelip memandang wanita itu yang memandangnya. “Dah bertunang?” dadanya tiba-tiba menghangat.
Datin Fariza pula ternganga. Kemudian tersenyum melihat reaksi dan soalan gadis di hadapannya itu. Nampaknya Fendi tidak memberitahu perkara itu kepada buah hatinya. Hmm... menjalar segala idea jahatnya.
“Wah... dia tak bagi tahu kau yang dia dah bertunang ya?” soal Datin Fariza sinis sambil melipat tangan ke dada.
Ain tunduk memandang sekitar mejanya. Tidak tahu apa yang dipandangnya kini.  Benarkah Fendi sudah bertunang? Soalnya sendiri. Atau Datin Fariza sengaja mahu menyakiti hatinya? Tangannya menggigil disaat dia melepaskan pen di tangan.
Kalau benar... mengapa dia tidak diberitahu perkara itu? Air mata sudah mula bertakung di tubir mata. Dadanya terasa amat ketat menahan perasaannya. Cuba membawa dirinya bertenang.
“Tak apalah... mungkin kau hanya untuk dia berseronok-seronok sahaja sebelum berkahwin kan,” sindir Datin Fariza dengan tawa yang dibuat-buat.
Ain menarik nafasnya dalam-dalam dan mengangkat mukanya memandang wanita itu.
“Aku tak kisah kalau macam tu. Fendi pasti akan cari perempuan yang baik-baik dan bukan macam kau!” cemuh Datin Fariza.
Ain senyap. Mahu sahaja dia menangis mendengar sindiran berupa penghinaan wanita itu.
“Baik kau cermin dulu diri kau tu. Tengok siapa diri tu. Sepadan atau tak dengan anak aku!” cemuh Datin Fariza. Geram pula dia melihat Ain tidak melawan kata-katanya.
Ain senyap. Namun ada rasa luka di hatinya. Berkali-kali dia dilukai dan berkali-kali dia memaafkan wanita yang hampir sebaya Puan Salmah, ibunya. Orang tua patut dihormati. Namun luka kali ini bagai tidak akan sembuh. Sabarlah Ain, pujuknya sendiri.
“Dah berapa kali aku cakap dengan kau. Jangan dekat dengan Fendi. Jangan dekat dengan Fendi! Tapi kau degil. Sekarang apa dah jadi?”
Datin Fariza tersenyum lagi. Terasa kali ini dia menang. Fendi menelefonnya tadi memintanya agar dia memutuskan pertunangan dengan Nelly. Walaupun pertunangan itu dibuat tanpa persetujuan Fendi namun dia tetap berpuas hati.
“Dia orang akan kahwin hujung bulan depan. Lagi cepat kau berambus dari sini, lagi cepat dia boleh lupakan kau. Tolong jangan ganggu anak aku lagi. Hidup dia dah huru hara sebab kau tau tak!” tingkah Datin Fariza kembali serius.
Terasa petir memanah hatinya mendengar berita itu sekali lagi. Sampai hati Fendi rahsiakan semua itu darinya. Tebal wajahnya memandang staf-staf yang memandangnya. Dia berpaling mukanya ke tempat lain.
Fikirannya terasa kosong. Antara percaya dengan tidak pada berita yang disampaikan oleh wanita itu. Namun hatinya terus luka. Fendi sudah menipunya. Sekali lagi Ain mengesat air matanya yang sudah mengalir di hujung mata.
 “Aku nak kau ambik cek tu dan berambus dari pejabat ni dan hidup Fendi, faham! Jangan datang ke sini lagi,” tingkah wanita itu dengan garang. “Kalau tak cukup... Cakap! Tapi kau jangan tunjuk muka kau tu di sini dan depan Fendi lagi!” ucapnya dengan keras dan kasar.
Rasa pedih hatinya apabila kasih sayang menjadi barang jualan. Matanya beralih dari wajah Datin Fariza ke cek yang terbentang di hadapannya. Seratus lima puluh ribu ringgit. Inikah nilai sebuah kasih sayang? Soalnya sendiri. Terasa maruahnya dipijak-pijak oleh wanita itu.
“Haa, kenapa?! Tak cukup?” Pantas Datin Fariza mengeluarkan sesuatu dari beg tangan berjenama Gucci yang berharga tiga ribu atau mungkin lebih.
Ain terpegun. Kelu lidahnya mendengar ungkapan wanita yang mungkin sudah mencecah separuh abad. Dia melihat wanita itu menulis jumlah yang entah berapa banyak di atas buku ceknya. Seketika dikoyak lalu dicampak ke mukanya. Terpinga-pinga Ain melihat layangan cek itu jatuh ke atas cek yang sebelumnya.
“Lima puluh ribu. Cukup?” Datin Fariza senyum sinis. Seolah-olah berjaya membeli apa yang dihajati.
Ain terus terkedu.
“Aku rasa jumlah semua tu lebih daripada cukup untuk kau tak bekerja selama 2 tahun. Orang macam kau tak perlu nak berbelanja banyak pun, kan?” sekali lagi wanita itu mencebik. Matanya turun naik memandang Ain. Tidak dinafikan gadis itu berkali-kali lebih cantik dan manis daripada Nelly. Namun bukan cantik dan manisnya Ain. Dia mahu penyatuan sebuah keluarga yang kaya dan berstatus.
Astaghfirullah al’azim, Ain mengucap di dalam hati.
Ain menarik nafasnya dalam-dalam. Dadanya terasa begitu hangat dan semakin ketat sekali. Rasanya tidak sanggup mendengar cemuhan wanita itu yang akan melibatkan ibu dan keluarganya kelak. Lebih baik dia berundur sahaja walaupun hatinya terasa ingin meraung memanggil Fendi.
“Datin ambillah duit ni. Daripada bagi pada saya, lebih baik datin sedekah kepada anak-anak yatim. Dapat juga datin pahala.” Tidak tahu apa yang sedang dikatakan. Fikirannya tiba-tiba menjadi kosong. Hatinya ingin menangis.
Bulat mata wanita itu mendengar kata-kata Ain. “Apa kau cakap?!” keras suara Datin Fariza.
“Nampaknya datin tidak tahu menilai sebuah hubungan. Dan datin nilaikan ia bersamaan dengan wang ringgit. Begitukah juga kasih sayang datin terhadap dato?” balas Ain. Pandangannya tajam merejam wajah wanita yang berambut perang. Tidak langsung bersesuaian dengan usia yang sudah menjangkau 50-an.
Ternganga mulut wanita itu ditempelak dengan kata-kata lembut dan halus dari bibir kecil Ain.
“Saya tak perlukan duit datin. Hidup saya tak susah dan tak juga terlalu senang. Tetapi alhamdulillah. Allah ada. Dia yang beri rezeki kepada kita,” ungkap Ain dengan penuh rasa syukur dengan kehidupannya kini.
“Kau ni dah melaumpau, ya!” hatinya terbakar dengan ayat terakhir Ain. Terasa dirinya dihina oleh Ain. “Kau keluar dari pejabat laki aku sekarang! Jangan datang, ke sini lagi!” pekik wanita itu dengan nafas  turun naik menahan rasa amarahnya.
“Ya, saya akan keluar,” ucapnya.
Sebaik mendengar apa yang disampaikan oleh wanita itu tentang Fendi yang akan berkahwin tidak lama lagi, spontan dia membuat keputusannya. Ya, dia akan meninggalkan tempat itu. Begitu juga dengan Fendi. Ya Allah, apa semua ni, bisiknya dengan rasa pilu.
“Saya tak perlu nasihat datin untuk keluar dari sini. Saya bukan orang tak berakal untuk membuat tindakan bodoh begitu,” balas Ain pula.
Terjojol mata Datin Fariza. “Kurang ajar punya budak!”
“Saya tidak berkurang ajar. Orang yang kurang ajar sahaja yang akan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik dan tidak sepatutnya dikeluarkan sebagai seorang manusia,” balas Ain secara lembut dan terus memuntahkan apa yang dirasakan betul untuk diluahkan. Biar wanita itu sedar yang dirinya tidak sebesar mana.
Semakin luas mulut Datin Fariza. Rasa kata-kata itu bagai menampar wajahnya yang baru sahaja melakukan facial sebelum datang ke situ. Dia memandang dua orang pembantu Ain yang sedang memandangnya.
“Apa pandang-pandang. Tak ada kerja ke? Atau korang nak aku pecat sekali dengan bos korang ni?” Dia mula mengugut kedua gadis itu. Kemudian beralih kembali memandang Ain. “Nampak baik, tapi perangai macam jalang!” cemuh Datin Fariza. Puas hatinya.
Menyirap darah Ain dengan kata-kata yang dilemparkan oleh wanita itu. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. “Siapa pun saya, biar Allah yang menilainya. Saya tidak perlu pandangan daripada datin. Datin tiada kuasa, hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa,” tegas Ain tenang. Namun tangan dan kakinya sudah menggeletar menahan sabar dan air matanya.
Sekali lagi terbeliak mata wanita itu. Hangat hatinya apabila Ain sering menyebut nama yang satu itu.
“Eh, kau keluar sekarang! Keluar sekarang dari sini!” pekik Datin Fariza sambil menunding jarinya ke pintu jabatan yang terbuka luas. Dia sudah tidak betah mendengar setiap kata-kata yang keluar dari mulut Ain. Terasa ia seperti selumbar yang begitu halus mencucuk setiap isi dan daging tubuhnya.
Ain menarik menghela nafasnya untuk kesekian kali. Pantas dia mencapai beg tangan yang terletak di kabinet belakang. Tanpa pamitan dia melangkah keluar dari situ.
“Ambil cek ni!” herdik Datin Fariza sambil menarik kasar dua keping cek yang berada di atas meja kerja Ain yang bersepah-sepah dengan kertas yang dia sendiri tidak tahu.
Ain menoleh.
“Itukah harga kasih sayang datin terhadap Fendi?”
Terkedu Datin Fariza. Seketika dia melihat Ain berlalu meninggalkannya di situ.

DIA membawa dirinya sehingga ke Masjid Putra, Putrajaya. Jauh dari pejabatnya yang terletak di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Lama dia berada di situ. Memerhati orang yang lalu lalang dan keluar masuk ke bangunan masjid itu dengan satu tujuan. Bersolat. Dia mendongak ke atas, mencari langit di bawah rimbunan pohon yang meneduhi  tempat yang diduduki.
Dikesat air mata yang mengalir. Mengapa air mata itu tidak mahu berhenti sejak dia keluar dari pejabat tadi. Dia tidak menyangka yang Fendi sanggup merahsiakan pertunangannya. Sudah berapa lama lelaki itu bertunang? Mengapa tiada siapa di antara kaki tangan di Akhabar Engineering memberitahu tentang perkara itu? Bukan mereka tidak tahu hubungannya dan Fendi. Dia benar-benar rasa malu dengan semua kaki tangan Akhabar Engineering sebaik mengetahui akan perkara itu.
“Ya Allah.” suaranya perlahan merintih sendiri. Kuatkanlah hati ini. Nampaknya apa yang pernah dijangka, berlaku akhirnya. Redakah dia kini?
Hari sudah pun beransur gelap namun masih tidak kedengaran azan. Mungkin sebentar lagi, bisiknya sendiri. Lampu-lampu disekitar kawasan masjid itu mulai terpasang. Nafas berat dihelakan untuk kesekian kali. Tiba-tiba telinganya menangkap sesuatu. Pantas dia menyelongkar isi di dalam beg tangan yang diriba sejak tadi. Semakin ketat dadanya sebaik melihat nama Fendi di skrin telefon bimbitnya.
“Ain!”
Ain menghela nafasnya. Semakin sebak dadanya mendengar suara lelaki itu menyebut namanya.
“Kenapa you tak bagi tahu I yang you dah bertunang?” soal Ain lemah sambil mengesat air mata untuk kesekian kalinya. Mendengar suara lelaki itu membuat hatinya semakin pilu dan rindu.
“Ain...”
“Kenapa you tak bagi tahu I yang you dah bertunang, Fendi?” sekali lagi dia bertanya. Dia mahu tahu kenapa dirinya tidak diberitahu akan perkara itu. Kenapa dia diketepikan oleh Fendi?
“Bukan begitu sayang.”
“Habis tu? Macam mana?” selar Ain geram.
“Itu bukan keputusan I.”
“Tak kisahlah keputusan siapa pun. Tapi tak boleh ke you beritahu I?” tingkah Ain geram.
Kedengaran hembusan nafas lelaki itu di telinganya. Ain menggeleng-geleng sendiri. Kemudian memandang orang yang lalu lalang di situ.
“I rasa macam orang bodoh, Fendi. Macam orang bodoh!” Ain menahan sebaknya.
“Maafkan I, sayang. Ini semua rancangan mama I tanpa persetujuan I, Ain. Memang I nak beritahu you.”
“Tak kisahlah semua tu. Main point is, you lied to me!” tekan Ain mengharap segala-galanya dapat diperbetulkan kembali namun ia tidak mungkin akan berlaku.
“I minta maaf, Ain. You knew, I love you...”
Love? Love you kata. Tapi you tipu I. Itukah makna cinta pada you!” bentak Ain.
Mahu sahaja dia menjerit di situ. Cuba dikawal perasaan marah, kecewa dan sakit hatinya. Ya Allah, mengapa dia seperti tidak dapat mengawal perasaan dan emosinya. Kenapa dia menjadi panas baran tiba-tiba. Selalunya dia yang akan menasihati Fendi yang bersikap baran dan kini dirinya pula mendapat penyakit itu.
“Ain...” Fendi seolah-olah tidak mampu untuk bersuara lagi.
Ain senyap. Mengesat hidungnya yang rasa tersumbat dan sebat kerana terlalu banyak air yang berkumpul di dalam hidungnya.
“Esok I balik, kita bincang, hmm...” Fendi terus memujuk buah hatinya.
“I tak mahu bincang apa-apa lagi,” tegas Ain sambil memicit-micit kepalanya. Kepalanya terasa semakin berat. Mungkin kerana terlalu sesak memikirkan perkara sebentar tadi.
“Ain, jangan macam ni sayang.” Fendi seolah-olah takut hendak menerima kata-kata seterusnya yang akan menjadi kata putus  Ain.
“I nak kita putus. Cukuplah dengan apa yang I dengar hari ni,” putus Ain. Dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi daripada sesiapa biarpun lelaki yang amat disayangi. Hatinya tawar, hancur dan sudah pun berkecai dengan kata-kata Datin Fariza tadi.
“Tak!” terjerit Fendi di sebelah sana.
“Terpulang pada you, Fendi. Itu keputusan I,” balas Ain cuba membawa dirinya bertenang.
“Tapi itu bukan keputusan I, Ain.” tingkah Fendi dengan suara lantang.
“I tak perlu kan keputusan you!” balas Ain bengang.
“Ain, tolonglah... esok I balik. Kita boleh bincang.” Untuk kesekian kali Fendi memujuk Ain agar dapat mengubah keputusannya tadi.
“Nak bincang apa lagi Fendi?!” tengking Ain geram. “You akan kahwin hujung bulan depan. You bertunang pun I tak tahu!” keras suara Ain.
Fendi senyap.
“I malu tahu tak? Malu! Macam mana orang lain tahu tapi I tak tahu langsung,” ucapnya dengan rasa amat kecewa. “Mana I nak letak muka I Fendi. I ni seolah-olah pengacau tunangan orang.” Ain kembali menangis.
“Ain...” panggil Fendi lembut di sebelah sana.
Ain senyap dan terus melayan tangisannya. Namun cuba membawa dirinya bertenang. Dia tahu banyak mata memandangnya.
“Esok I balik. Tunggu I ya.”
Ain menggeleng-gelengkan kepalanya. Rasanya tidak perlulah dia bertemu dengan Fendi. Ia hanya akan menambah rasa kusut di hati dan kepalanya sahaja. “Tak perlulah Fendi. Cukuplah sampai sini aje. I tak mahu terus ditipu, dihina. I tak mampu nak hadapi apa-apa lagi,” ujar Ain kembali sebak. Disaat itu mahu sahaja dia berlari mendapatkan ibunya.
“Ain jangan macam ni, sayang. Please, jangan buat I macam ni,” rayu Fendi.
Ain menarik nafasnya dalam-dalam. Mengesat air matanya. Bukan mudah untuknya membuat keputusan itu. Tetapi itulah keputusannya. Walaupun sakit, itu adalah lebih baik daripada terus disakiti kelak.
“Ain... tolong jangan buat macam ni. Kita bincang selepas I balik, hmm... esok you kerja macam biasa, okey,” pujuk Fendi.
Dia tidak perlu membalas kata-kata Fendi. Biarlah...
Ain terus memutuskan talian dan menutupnya terus.
Bersabarlah Ain, pujuknya. Ini bukan pengakhiran hidup. Tetapi inilah permulaan. Ya, inilah permulaan daripada serpihan kegagalan. Gagal ini tidak bermakna dirinya kalah, bisiknya.
Sekali lagi dia menarik nafasnya dalam-dalam agar dapat menenangkan hatinya. Lama Ain memerhati sekelilingnya. Cuba menstabilkan dirinya. Perlahan-lahan dia bangun dan mula menghayun langkah namun bahunya terlanggar seseorang.
“Maaf,” pinta Ain sebaik memandang lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an yang sedang memandangnya dengan senyuman. Dia tidak pasti dari mana lelaki itu muncul.
“Tak apa,” jawab lelaki itu yang masih memandangnya dengan senyuman.
“Sa... saya tak perasaan tadi. Minta maaf.” Sekali lagi Ain tertunduk-tunduk meminta maaf daripada lelaki itu.
“Tak apa, tak apa,” balas Dato Lokman dengan senyuman dan masih memandang Ain yang memandangnya antara senyum dan tidak.
“Kenapa bang?” soal Tengku Yuhanis yang baru sahaja menghampiri suaminya.
Dato Lokman menoleh sebaik mendengar suara isterinya. Perlahan-lahan Ain melangkah meninggalkan lelaki itu. Dato Lokman kembali memandang Ain yang sudah pun beredar meninggalkannya. Dia seperti mengenali gadis itu tetapi siapa?
“Kenapa?” soal Tengku Yuhanis sekali lagi sambil memandang gadis yang sedang dipandang oleh suaminya.
“Tak ada apa-apa,” ujar Dato Lokman tanpa mengalihkan pandangannya pada Ain yang sedang melangkah masuk ke dalam masjid.
“Jom, bang,” ajak si isteri lalu melangkah menuju ke tempat yang sama ditujui oleh gadis yang melanggar suaminya sebentar tadi.













BAB 2

“AIN!” jeritnya sebaik tidak kedengaran suara Ain di sebelah sana lagi.
Dia berdengus kasar. Memandang telefon bimbitnya. Mahu sahaja dicampak keluar dari bilik hotel yang didiami sejak semalam. Diraup wajahnya beberapa kali. Debaran di dada begitu kencang sekali. Ada rasa sakit yang menyengat seolah-olah digigit-gigit.
Ya Allah, tidak mungkin ini akan berlaku. Dia baru mahu merancang masa depannya bersama Ain. Meskipun dia sudah bertunang tetapi itu adalah perancangan Datin Fariza tanpa persetujuannya. Dia mahu memilih masa depannya sendiri bersama orang yang dicintai.
Pantas dia mencari kembali nombor Ain. Hatinya tidak senang dengan apa yang berlaku. Apa yang berlaku di sana sebenarnya? Dibatal niatnya untuk menghubungi Ain dan mencari nombor Datin Fariza pula.
“Mama.”
Seketika dia bersuara sebaik mendengar perkataan helo daripada Datin Fariza.
“Fendi macam mana? Sihat?” soal Datin Fariza seperti tiada apa-apa yang berlaku di sana.
Fendi menggeleng-gelengkan kepala. Dia sudah sedia maklum dengan sikap wanita itu. Bukan sehari dua dia kenal dengan Datin Fariza tetapi seluruh hidupnya. Dia kembali bangun dan melangkah ke pintu balkoni yang terbuka.
“Kenapa mama datang ke pejabat tadi?” soal Fendi tanpa menjawab soalan Datin Fariza.
“Ooo...” sepatah kata wanita itu di sebelah sana. “Kenapa? Mama tak boleh datang pejabat suami dan anak mama?” balas Datin Fariza pula.
Fendi menarik nafas dalam-dalam. Bukan mudah untuk berbicara mahupun berbincang dengan wanita itu. Apa pun rancangan mestilah mengikut kehendak dan keputusannya pasti menjadi milik wanita itu. Terasa penat menjadi anak kepada Datin Fariza yang terlalu mementingkan  kesempurnaan dunia.
“Mama ke pejabat semata-mata nak jumpa Ain kan?”
“Hmm... pantas budak tu mengadu, ya,” sindir wanita itu.
Fendi senyap. Tidak perlu diberitahu siapa yang beritahu perkara itu. Banyak mata memandang ketika wanita itu ke sana. Dan pasti tujuannya untuk bertemu Ain sementelah dia tiada di sana.
“Hmm...” hanya itu yang disuarakan oleh wanita itu di sebelah sana.
“Apa mama nak dari Ain?” soalnya walaupun dia sudah dapat mengagak.
“Mama suruh dia tinggalkan Fendi. Sebab Fendi dah bertunang dan akan berkahwin tak lama lagi, itu aje,” jawab Datin Fariza tanpa berselindung.
“Mama...”
“Kenapa Fendi tak beritahu Ain yang Fendi dah bertunang? Kesian mama tengok dia tadi. Mama rasa dia malu.” Datin Fariza ketawa dihujung kata-katanya.
“Itu rancangan mama!” Terasa sakit dia mendengar tawa sinis mamanya. Namun cuba membawa dirinya bersabar. Ya Allah, mengapa dengan Datin Fariza ni, dengusnya sendiri.
“Mama buat semua ni untuk masa depan Fendi juga, sayang. Kalau hidup dengan budak miskin keparat, masa depan Fendi akan hancur, faham tak? Mama tak mahu macam tu.” Lembut tutur kata Datin Fariza separuh memujuk anak tunggalnya.
“Mana mama tahu, tak ada masa depan?” soal Fendi mula bengang dengan kata-kata Datin Fariza yang lupa siapa dirinya. “Mama tuhan ke?”
“Fendi! Jangan kurang ajar dengan mama!” melengking suara wanita itu di sebelah sana.
“Bukan nak berkurang ajar mama, tapi cara mama memandang orang lain seolah-olah mereka tu bukan manusia. Mama kena ingat Allah yang memberi rezeki pada kita. Bila-bila masa Dia boleh tarik segala kepunyaannya kalau kita terlalu angkuh terhadapNya.” Fendi cuba mengingatkan wanita itu agar ingat pada Yang Maha Esa menjadikan langit, bumi dan segala-galanya.
“Dah, cukup! Jangan nak jadi ustaz pulak!” tengking Datin Fariza. Mungkin rasa tercabar dengan kata-kata Fendi sebentar tadi.
Fendi senyap.
“Mungkin esok Ain tak akan datang pejabat lagi. Mama cakap dia tak perlu datang. Esok Nelly akan ganti tempat dia sebagai Pengurus di situ.”
“Apa?!” terkejut dia mendengar penjelasan wanita itu. “Mama tak boleh buat macam tu aje tau!”
“Kenapa pulak tak boleh? Mama salah seorang pemegang saham syarikat. Dah tentu mama boleh buat apa aje yang mama suka!” tekan Datin Fariza.
Fendi meraup wajahnya. Tidak tahu apa yang patut dikatakan lagi. Terasa hangus hatinya dengan tindakan wanita itu memecat Ain begitu sahaja.
“Kenapa mama buat macam ni? Kenapa mama tak cuba faham perasaan Fendi?” soalnya separuh merayu mengharapkan wanita itu dapat memahami hati dan perasaannya.
“Mama buat semua ni, untuk Fendi juga. Fendi akan bahagia dengan Nelly nanti...” lembut sekali suara Datin Fariza di sebelah sana. Dia menghela nafasnya. “Kalau Fendi nak Ain selamat ikut cakap mama.”
Terkejut Fendi mendengar amaran itu. “Mama!”
“Ingat lagi kemalangan dua bulan lepas?” soal Datin Fariza disusuli tawa sekejapnya.
Fendi tercengang. Masakan dia lupa. Kemalangan yang hampir-hampir meragut nyawa Ain. Mujurlah Ain hanya luka ringan sahaja. Kereta yang dipandu oleh Ain terbalik dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melarikan diri selepas kejadian itu.
Astaghfirullah al’azim, mama.” Dadanya kembali berdebar-debar. Kenapa mamanya sampai sanggup melakukan perkara-perkara begitu? Ya Allah, inikah orang yang melahirkan dirinya? Serasa tidak percaya dengan pengakuan walaupun tidak jelas sebagai sebuah penjelasan.
“Kalau tak mahu kisah tu berulang, ikut cakap mama, hmm...”
Fendi senyap. Wajah Ain berbalam-balam di matanya. “Ya Allah, mama...”
“Mama akak buat apa sahaja Fendi.”
Kenyataan Datin Fariza sebentar tadi benar-benar menakutkan dirinya. Ya Allah, keluhnya. Terasa tiada tempat untuknya mengadu lagi.
“Okeylah sayang, mama nak mandi ni... ada dinner di rumah Uncle Malik. Pasal nak bincang kat mana wedding Fendi dan Nelly nak buat.” Datin Fariza kembali bersuara tenang setelah tiada suara dari Fendi. “Nelly nak buat di Pusat Konvesyen KLCC, Fendi rasa macam mana? Tapi mama rasa masa dah suntuk sangat nak buat tempahan kan?”
Fendi senyap.
“Okey tak apa. Fendi fikirlah apa yang mama cakap tadi. Okey, bye darling.”
Seketika dia tidak mendengar lagi suara mamanya.  “Ya Allah, apa semua ni?” keluhnya.

DATIN FARIZA senyum memandang dirinya di cermin. Subang di telinga ditanggalkan lalu di letak di dalam sebuah kotak yang menyimpan segala barang kemasnya.
Dia berjaya menyekat pergerakan Fendi. Dan dia berjaya membuat Ain tidak percaya kepada anak tunggalnya. Dia pasti sangat yang Ain sudah membuat keputusan untuk meninggalkan Fendi melihatkan reaksi Ain. Senyumannya semakin melebar membayangkan peristiwa siang tadi  di pejabat suaminya.
Begitu pun dia bimbangkan Fendi. Bukan dia tidak faham dengan anak yang dilahirkan. Pasti akan berusaha untuk memujuk kekasih hatinya untuk kembali bersama semula. Sudah berpuluh kali hubungan mereka dihuru harakan namun jodoh keduanya begitu kuat. Dan kali ini dia tidak akan beralah lagi. Penat rasanya dengan kedua mereka.
“Tak apa.” Pantas tangannya menyambar gajet canggihnya lalu menghubungi seseorang.
“Ya, bos?” suara garau seseorang lelaki kedengaran di sebelah sana.
“Knot... aku mahu kau perhatikan budak perempuan tu. Fendi balik esok. Mesti dia ke sana nak jumpa dengan budak perempuan tu. Kalau betul, bagi tahu aku!” pesan Datin Fariza sedikit keras.
“Baik bos.” Sepatah jawapan itu sebelum talian diputuskan.
Datin Fariza  meletak semula gajetnya. Dia memandang Dato Johan yang baru masuk selepas menunaikan solat maghrib.
Bergegas dia ke bilik mandi. Bimbang akan dileteri oleh si suami kerana tidak bersolat.
“Abang... kita ada dinner dengan Malik di rumah dia lepas ni. Jangan keluar pulak!” Datin Fariza mengingatkan suaminya. Dia sudah pun beritahu perkara itu tengah hari tadi dan dilihat Dato Johan hanya mengangguk-angguk tanpa jawapan.
“Betul ke apa yang awak buat ni Izah?” soal Dato Johan.
“Betullah!” lantang suara Datin Fariza menjawab.
“Kenapa awak tak bincang dengan Fendi? Dia kan suka dengan Ain.”
Pantas Datin Fariza membuka pintu bilik mandi. “Abang jangan ungkit lagi perkara ni boleh tak? Tahulah saya apa yang nak buat!” tegas Datin Fariza.
“Semua ikut kehendak awak. Macam mana dengan budak tu?” balas Dato Johan berang.
“Kehendak saya untuk kebahagiaan dia juga!” tegas Datin Fariza dengan suara kasar.
“Awak pasti dia bahagia nanti?”
Datin Fariza senyap.
“Awak pasti?!” soal Dato Johan merenung si isteri yang masih berpakaian tadi biarpun sudah hampir 10 minit berada dalam bilik mandi.
Terkelip-kelip mata Datin Fariza mendengar soalan Dato Johan. Entah mengapa dia mudah mengalah dengan si suami.
Dato Johan berdengus kasar lalu melangkah membelakangi si isteri.
“Siaplah bang. Kita ke rumah Malik sekejap lagi,” suruh Datin Fariza perlahan.
“Awak pergi sorang. Saya tak pergi!” Dato Johan melangkah keluar meninggalkan si isteri yang masih tercegat di hadapan pintu bilik mandi.
“Bang!” panggil Datin Fariza mula bimbang dengan tindakan suaminya yang sebelum ini hanya menurut sahaja rancangannya. “Bang!” jerit Datin Fariza apabila lelaki itu tidak kelihatan lagi dipandangannya.


BERSAMBUNG 







No comments:

Post a Comment